Sunday, December 26, 2021

Masalah Gangguan Bekalan Air di Taman Sri Rugading Tuaran, Sabah.

Masalah Gangguan Bekalan Air di Taman Sri Rugading Tuaran, Sabah.

Asmidah binti Hairul

D20181083519

 

Air merupakan satu keperluan asas yang sangat penting untuk manusia meneruskan hidup dan melakukan aktiviti harian. Selain penggunaan air untuk minum dan kebersihan diri, air juga berfungsi untuk tujuan aktiviti lain seperti aktiviti pertanian, perindustrian dan penghasilan tenaga. Namun begitu, cuba anda bayangkan hidup tanpa air, susah bukan? Begitulah keperitan yang dirasakan oleh kebanyakan penduduk di Taman Sri Rugading yang kerap mengalami gangguan bekalan air dan masalah ini secara tidak langsung telah memberi kesan kepada hidup penduduk setempat.

 

                                                                                                    

Sumber: Internet

 

Taman Sri Rugading merupakan salah satu taman perumahan dibawah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang telah dianjurkan oleh pihak kerajaan untuk golongan yang kurang berkemampuan. Taman perumahan ini terletak 29 km daripada pusat bandar Kota Kinabalu. Taman Sri Rugading mempunyai 22 blok bangunan perumahan dan satu masjid. Sejak lima tahun yang lalu hingga Oktober 2021, lima blok di Taman Sri Rugading iaitu blok E F G J dan blok V telah mengalami masalah gangguan bekalan air yang sangat serius. Hal ini kerana, blok yang telah disebutkan tadi seringkali mengalami kejadian bekalan air terputus dan selalunya hanya seminggu sekali penghuni mendapat air.


                                                                                              


Sumber: Internet

 

Penduduk di blok berkenaan telah mengajukan masalah berkaitan air kepada pihak yang sepatutnya seperti pihak pengurusan Taman Sri Rugading sejak bermulanya masalah gangguan bekalan air. Namun, masalah bekalan air di blok berkenaan telah berlarutan sehingga Oktober pada tahun ini dan perkara ini telah menyukarkan penduduk setempat untuk melakukan aktiviti harian. Sebilangan penduduk agak tidak berpuas hati terhadap pihak pengurusan bekalan air yang sepatutnya bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan air untuk penduduk setempat. Hal ini kerana, blok lain tidak mengalami masalah gangguan air seperti yang dialami oleh lima blok yang telah disebutkan tadi.

 

                                                                                        
Sumber: Internet

 

 

 

Punca

Antara punca yang menyebabkan masalah gangguan air di blok F Taman Sri Rugading adalah disebabkan ketiadaan tangki air di blok tersebut. Hal ini bermula apabila berlakunya gempa bumi di sekitar kawasan Ranau pada tahun 2015 dan telah menyebabkan kerosakan bangunan dan infrastruktur di kawasan berhampiran. Akibat daripada kejadian gempa bumi tersebut, tangki air yang terletak di atas bangunan blok F mengalami keretakan dan beberapa kerosakan. Sehubungan itu, demi menjaga keselamatan penduduk setempat, pihak pengurusan perumahan Taman Sri Rugading telah mengambil langkah untuk mengosongkan tangki air. Perkara ini telah menyebabkan penghuni blok selalu meghadapi masalah gangguan bekalan air.

 

Punca kedua yang menyebabkan masalah gangguan air di Taman Sri Rugading adalah disebabkan oleh loji air di Sabah yang bermasalah. Berdasarkan laporan daripada Berita Harian Online, Sabah berdepan masalah untuk membekalkan air bersih kepada penduduk setempat berikutan pencemaran air sungai yang telah menjejaskan operasi 22 loji rawatan air. Akibat daripada tahap kekeruhan air sungai yang tinggi ketika waktu musim hujan, maka loji yang terbabit sering ditutup. Hal ini telah menyebabkan banyak daerah di negeri Sabah mengalami masalah bekalan air termasuk perumahan Taman Sri Rugading yang terletak di daerah Tuaran. Pencemaran sungai biasanya berlaku akibat daripada pembuangan sisa domestik terus ke dalam sungai oleh pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab.

 

Punca seterusnya yang telah menyebabkan gangguan bekalan air adalah kadar tahap NRW yang tinggi. Air tidak berhasil didefinasikan sebagai perbezaan antara kuantiti air yang dibekalkan dari loji rawatan air dengan kuantiti air yang dimeter kepada pengguna. Tahap NRW yang tinggi menunjukkan pengurusan utiliti air yang lemah. NRW boleh dibahagikan kepada tiga komponen, iaitu kehilangan sebenar, kehilangan ketara,dan juga penggunaan air yang tidak dibilkan. Kehilangan sebenar merupakan air hilang daripada paip bocor, paip pecah, tangki limpahan dan lain- lain kehilangan air secara fizikal. Kehilangan ketara adalah disebabkan oleh meter yang tidak ditukar mengikut masa, kesilapan semasa pengurusan maklumat dan kecurian air terawat., dan penggunaan air yang tidak dibilkan ialah air yang digunakan oleh pihak perkhidmatan utiliti untuk tujuan operasi, memadamkan api dan air yang diberikan secara percuma kepada kumpulan pengguna tertentu

 

Kesan

Masalah pengurusan air di Taman Sri Rugading memberi kesan negatif kepada penduduk terutamanya dari segi ekonomi, masalah kesihatan dan emosi penduduk. Penduduk terpaksa mengeluarkan lebih banyak duit untuk membeli air mineral yang telah diproses di kedai runcit untuk tujuan diminum dan dimasak. Selain itu, penduduk juga terpaksa berbelanja lebih untuk membasuh pakaian iaitu dengan menghantar pakaian yang perlu dibasuh ke dobi berdekatan. Dobi yang terdapat di Taman Sri Rugading kebanyakannya menyediakan caj perkhidmatan sebanyak RM 8 untuk satu cucian dan berat kain adalah 14 kg. Bagi penduduk yang mempunyai saiz keluarga yang besar, mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan dobi dengan lebih kerap.

            Kesan seterusnya adalah dari segi masalah kesihatan. Masalah gangguan bekalan air di Taman Sri Rugading telah memberi impak kepada masalah kesihatan segelintir penduduk. Hal ini kerana, kebanyakan penduduk terpaksa mengangkat air sehingga ke tingkat empat dengan menaiki tangga sahaja. kebiasannya air tersebut digunakan untuk tujuan membasuh pinggan dan kegunaan lain di tandas. Golongan yang paling terkesan adalah kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Selain itu, masalah bekalan air ini juga secara tidak langsung telah meningkatkan masalah emosi dalam kalangan penduduk. Sebelum berangkat ke tempat kerja, segelintir penduduk terpaksa membuat catuan air untuk tujuan minum dan membersihkan diri akibat ketiadaan air. Manakala, sewaktu pulang dari tempat kerja mereka terpaksa mengangkat air ke rumah masing-masing. Hal ini menyebabkan tahap tekanan penduduk semakin bertambah.

 

Langkah

Bagi mengatasi masalah ketiadaan tangki air di blok F Taman sri Rugading, pihak yang bertanggungjawab telah mengambil langkah untuk menyediakan dua tangki air bersaiz besar dan diletakkan di tepi blok tersebut. Sehubungan itu, bagi memastikan air sentiasa dipam masuk ke rumah penghuni blok, terdapat dua orang yang bertugas untuk selalu melakukan rondaan dan memastikan pam tangki tersebut berfungsi dan dapat membekalkan air kepada penduduk.


                                                                                                     


Gambar: Tangki Air

 

Langkah seterusnya yang boleh diambil bagi mengatasi masalah loji air di Sabah adalah dengan membina kolam simpanan air sungai atau 'Off River Srorage' (ORS) dan mewujudkan Suruhanjaya Air Sabah bagi membolehkan perkhidmatan pembekalan air diswastakan. Bagi perancangan jangka panjang, penubuhan sebuah suruhanjaya air di Sabah adalah penting bagi menangani sepenuhnya masalah yang diahadapi  oleh penduduk Sabah. Projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa Tiga atau lebih dikenali sebagai isu Empangan Papar merupakan salah satu projek yang menggunakan kaedah ORS.

 

Seterusnya, pihak kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan berkaitan air seperti Jabatan Air Negeri juga perlu melaksanakan lebih banyak pengairan bawah tanah dan sistem pengumpulan air hujan di kawasan luar bandar untuk tujuan menambah bekalan air terutamanya untuk penduduk di kawasan pinggir dan luar bandar. Sehubungan itu, kajian secara mendalam berkaitan pengairan bawah tanah dan sistem pengumpulan air hujan adalah sangat penting supaya kawasan luar bandar boleh mengakses dan mendapat bekalan air.

 

Selain itu, pihak berwajib juga perlu memberi tumpuan terhadap usaha mengurangkan Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water-NRW) dengan memastikan penguatkuasaan lebih ketat ke atas kecurian air serta penggantian paip dan meter dengan menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS). Dengan kata lain, GIS juga boleh digunakan untuk merancang rangkaian pengedaran serta pemulihan sistem pengedaran dan menaik taraf loji rawatan sedia ada. Merujuk Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), NRW boleh diketegorikan sebagai kehilangan dalam pengagihan untuk setiap industri bekalan air.

 

Seterusnya, pihak berwajib juga perlu menggalakkan industri dan pembuat untuk mengitar semula air dengan menawarkan insentif tarif. Air sisa dikategorikan kepada tiga jenis, iaitu air sisa perindustrian, kumbahan dan bercampur. Mengikut takrifan Jabatan Alam Sekitar (JAS), air sisa perindustrian ialah air buangan terhasil daripada proses pengeluaran industri. Air yang telah dikitar boleh digunakan semula untuk pelbagai tujuan seperti kegunaan semula dalam pemprosesan, tandas dan landskap. Dari sudut lain, ia juga boleh terus digunakan sebagai sumber nutrien dalam aktiviti pertanian. 

 

Pihak berwajib juga perlu terus menguatkuasakan perancangan dan perlindungan tadahan air dan sumber air semula jadi dengan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjimatan air. Tanggungjawab menentukan pengurusan dan penggunaan air merupakan tanggungjawab kerajaan, indutri awam dan pembuat dasar awam. Namun, penduduk atau pengguna air juga dapat memainkan peranan penting dalam memelihara sumber sedia ada. Sehubungan itu, kempen penjimatan air perlu disebarkan dengan meluas kepada semua masyarakat agar lebih menghargai air dan mengurangkan pembaziran.

 

 

 

Rajah 1: Unjuran Keupayaan Air, Bekalan dan Permintaan

                                                                           


            Sumber: Jabatan Bekalan Air, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi

 

Info Tambahan

Pengeluaran air di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu dilaksanakan oleh syarikat swasta, manakala kawasan lain pula dibekalkan oleh Jabatan Air. Meskipun begitu, pengedaran air di seluruh negeri, dikendalikan keseluruhannya oleh Jabatan Air

 

Kesimpulannya, punca masalah gangguan bekalan air di Taman Sri Rugading adalah disebabkan oleh ketiadaan tangki air di Blok F dan juga pencemaran sungai yang berlaku berhampiran dengan kawasan loji air. Sehubungan itu, diharapkan agar pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan dapat berkerjasama dengan baik dalam memantapkan sekuriti air yang meliputi kuantiti dan kualiti air bagi memenuhi keperluan asas penduduk setempat. Selain itu, diharapkan juga semua penduduk di Malaysia sama ada penduduk di bandar mahupun penduduk di kawasan pedalaman mendapat kemudahan untuk mengakses bekalan air untuk memenuhi keperluan harian. Everyone has the human right to safe drinking water-UNICEF  

 

 

Rujukan

 

Lai C.H., Chan N.W., Suhaimi A.T., Jamaluddin., Jahi, Md. (2014). Ke Arah Pengurusan Air Mampan: Kajian Awal Terhadap Cabaran Untuk Mengurangkan Air Tidak Berhasil Di Malaysia. Conference: Prosiding Seminar Serantau Ke-2 Pengurusan Persekitaran di Alam Melayu. At: Pekanbaru, Indonesia. Volume: 1

Sakke, N., Jafar, A., & Abidin, A. (2020) Air Tidak Berhasil (NRW): Cabaran ke Atas Sekuriti Bekalan Air di Sabah, Malaysia. Jurnal Kinabalu, 295. Retrieved from https://jurcon.ums.edu.my/ojums/index.php/ejk/article/view/2782

 

 

No comments:

Post a Comment