Friday, December 17, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK : LAMBAKAN PELBAGAI JENIS INDUSTRI TERHADAP PENDUDUK DI BATU PAHAT, JOHOR (KUMPULAN C)

Batu Pahat merupakan salah satu daerah terbesar yang wujud di Negeri Johor dan juga salah satu daripada 10 daerah yang terletak di bawah naungan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Daerah ini terletak di tenggara Muar, barat daya Kluang, timur laut Pontian dan selatan Segamat. Tambahan pula, Batu Pahat mempunyai 14 pekan, iaitu Sri Gading, Parit Raja, Ayer Hitam, Yong Peng, Pt Yaani, Sri Medan, Tongkang Pechah, Parit Sulong, Semerah, Senggarang, Rengit, Simpang Lima, Minyak Beku dan Bukit Pasir.

                                                                  
                                               Gambar 1 : Peta Negeri Johor 

    
                                            
                          Gambar 2 : Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar


Menurut M.A Fauzi Mohd Basri (1972/73), “Pentadbiran berdaerah bermula dengan pembangunan bandar Batu Pahat pada Disember 2, 1893”. Menurut beliau lagi, pada tahun berkenaan ladang-ladang kopi, gambir dan lada telah pun berada di situ dan aktiviti import dan eksport juga telah berlaku. Apabila merungkai satu demi satu sejarah pembangunan Bandar Batu Pahat ini, jelaslah bahawa aktiviti ekonomi telah lama dijalankan di kawasan tersebut sejak tahun  80-an lagi.


Gambar 3 : Gambaran Batu Pahat pada tahun 80-an 


Pada abad ke-19 hingga abad ke-20, kebanyakan negara-negara di Asia telah mengalami proses pertumbuhan ekonomi serta perbandaran dengan pesat. Proses ini telah disokong juga dengan pembangunan sektor-sektor perkhidmatan iaitu pengangkutan, pendidikan, kependudukan dan juga peningkatan kemudahan-kemudahan awam. Walaupun peningkatan ini membawa kepada arah kemodenan negara, namun dalam masa yang sama transformasi ini telah menimbulkan beberapa perkara yang negatif terhadap persekitaran penduduk. Kes ini juga disamakan dengan kajian kes di kawasan pengkaji iaitu kawasan perindustrian di Sri Gading, Batu Pahat, Johor. Selain di kawasan pengkaji, Pasir Gudang juga merupakan salah satu kawasan perindustrian besar-besaran di Negeri Johor.


                                                                                                                                             Gambar 4 : kilang Sharp SDN BHD  

 


Gambar 5 : Laluan kilang-kilang


                             
    Gambar 6 : Ibu pejabat kilang  perabot  



                                                                                             Gambar 7 : Kilang memproses makanan


                       
Gambar 8 : Kilang kitar semula


           Gambar 9 : Taman perumahan di sekitar Sri Gading

Pelbagai jenis perindustrian yang dijalankan di kawasan Batu Pahat antaranya ialah kilang perabot, kilang tekstil, kilang pembuatan makanan seperti biskut dan juga makanan ringan, kilang besi, kilang elektronik, kilang pemprosesan sampah, kilang plastik dan kilang kitar semula. Bukan sahaja banyak perindustrian yang dijalankan, malah wujud juga sektor pembinaan di kawasan sekitar berkenaan. Dunia semakin lama semakin moden, tentulah ramai daripada pengasas-pengasas perindustrian akan membangunkan lebih banyak bangunan-bangunan kilang dan dari situlah wujudnya sektor pembinaan ini.


Gambar 10 : Kedudukan sebahagian kilang-kilang di Batu Pahat


Tidak dinafikan bahawa dengan adanya pusat perindustrian ini, ia menjadikan sektor ini sektor terpenting yang ada di Batu Pahat selain daripada sektor perniagaan. Pada 4 Disember 2021, satu pemerhatian telah dijalankan oleh pengkaji di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat, Johor dan tujuan kajian ini adalah untuk memenuhi kursus HGM3033 Geografi Penduduk. Semasa pengkaji tiba di kawasan kajian, kebanyakan semua kilang-kilang disitu beroperasi seperti biasa, malah ada juga kilang yang sedang membebaskan asap pencemar udara yang berwarna hitam kecoklatan begitu sahaja di permukaan udara. 


                                   

                                                   Gambar 11: Asap kilang

                                           
                                                  Gambar 12 : Asap kilang


Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pengkaji mengamati masa yang diambil oleh pengilang-pengilang yang berlainan tersebut semasa melepaskan kepulan asap berkenaan adalah selama 30 minit. Jelaslah bahawa di kawasan ini masih lagi berada di tahap kerapnya berlaku pencemaran udara yang majoritinya disumbangkan oleh asap kilang. Menurut Nor Azura Md Amin (2019), kawasan Batu Pahat mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) yang tidak sihat iaitu 102. Kadang-kala bacaan IPU di kawasan kajian ini juga boleh mencecah sebanyak 205 yang bermaksud kadar IPU yang sangat tidak sihat.


API

KATEGORI TAHAP

0 hingga 50

Sihat

101 hingga 200

Tidak sihat

201 hingga 300

Sangat tidak sihat

300 ke atas

berbahaya

Jadual 1 : Indeks Pencemaran Udara


Apabila udara di kawasan sekitar telah tercemar, apa yang akan terjadi kepada penduduk setempat? Kerakusan pembinaan dan aktiviti industri ini telah menimbulkan kegusaran kepada penduduk setempat. Aktiviti perindustrian telah meningkatkan kadar pencemaran udara melalui pembebasan pelbagai gas pencemar atmosfera seperti karbon dioksida, karbon monoksida, sulfur oksida dan partikel-partikel terampai seperti debu, habuk dan asap. Hal-hal ini telah menyebabkan kesihatan penduduk terganggu antaranya ialah asthma, alahan kulit, sesak nafas jika mereka menghidu secara berterusan, mata pedih dan berair, kerap bersin, ruam, pening kepala, kulit gatal dan bengkak serta kemerah-merahan dan pandangan menjadi kabur. Perkara-perkara ini sesetengahnya telah dialami oleh pengkaji sendiri kerana pengkaji juga mempunyai pengalaman bekerja di syarikat pembuatan perabot atau kilang kayu. Lazimnya perkara yang melibatkan kesakitan mata, penduduk akan menggunakan cecair pelembap mata untuk mengurangkan kesakitan tetapi kelegaan tersebut hanyalah sebentar sahaja.   


Gambar 13 : Persekitaran kilang pemprosesan 


Selain daripada pencemaran udara yang disebabkan oleh pengeluaran asap kilang, penduduk setempat juga merana akibat berlakunya pencemaran bau. Semasa pemerhatian dijalankan, pengkaji juga telah menghidu bau yang sangat busuk berhampiran dengan kilang-kilang pemprosesan tersebut. Pembuangan pelbagai bahan enap cemar dan sisa toksik ke dalam sumber air parit telah menyebabkan kandungan BOD dalam sumber air berkenaan meningkat, air menjadi keruh, berubah warna, berbau busuk, beracun dan bertoksik.


Gambar 14 : Pembuangan sisa makanan, sampah sarap dan sisa toksin ke dalam longkang berhampiran dengan kilang


Selain daripada pencemaran bau yang disebabkan oleh pembuangan sisa toksin dan sampah sarap dari kilang-kilang pemprosesan di dalam sumber air iaitu di dalam longkang, pembuangan sampah secara tidak terancang juga berlaku di sekitar kawasan kajian ini oleh pekerja-pekerja di sana.  Pengkaji sempat mengambil beberapa keping gambar di mana pengurusan sampah tidak berlaku secara sistematik lebih-lebih lagi di kawasan terbuka dan mengundang bau busuk yang kuat di kawasan sekitar penduduk.


                                                

                     Gambar 15 : Pembuangan sampah sarap merata di tempat terbuka 


                                               

                               Gambar 16 : Pengurusan sampah yang tidak strategik                                                           


Seterusnya, dengan adanya pelbagai jenis kilang ia telah menarik kemasukan warga asing secara beramai-ramai. Berdasarkan pemerhatian pengkaji, 80% pekerja kilang di kawasan kajian adalah daripada kelompok warga asing yang rata-rata terdiri daripada Pakistan, Vietnam, Bangla, Nepal, Myanmar, Sri Langka, malah warga Palestine juga ada tetapi hanyalah sedikit bilangannya. Daripada pemerhatian, warga asing di kawasan Sri Gading ini tidak menjaga kebersihan mereka dengan betul, malah kebersihan mereka di tempat kediaman mereka (rumah sewa) juga tidak teratur. Kemasukan mereka dengan bebas di kawasan Batu Pahat boleh menimbulkan pelbagai penyakit oleh kerana mereka tidak mengurus diri mereka dengan betul antaranya ialah penyakit AIDS, TIBI, kelamin, HIV dan hepatitis serta mengundang bau yang tidak menyenangkan.


Gambar 17 : Asrama kediaman warga asing (Nepal)

 

Menurut Essa Abu Yamin (2021), pada 7 Julai 2021 berlaku satu pergaduhan antara warga asing di kediaman asrama pekerja kilang di kawasan kajian tersebut. Pergelutan itu berlaku di antara warga Bangladesh dan juga warga Sri Langka. Semakin lama mereka di sini, semakin berani mereka bertindak mengikut sukahati mereka dengan mencetuskan pergaduhan, kecurian dan juga melakukan gangguan seksual terhadap penduduk wanita. Perkara-perkara ini amatlah membimbangkan penduduk sekitar dengan bertambahnya warga asing lebih-lebih lagi jika terdapatnya pendatang asing tanpa izin.


Gambar 18 : Kekecohan yang berlaku di kediaman warga asing akibat pergaduhan

Sumber : https://www.kosmo.com.my/2021/07/07/tiga-warga-asing-ditahan-terlibat-pergaduhan/ 

 

Di samping itu juga, dengan adanya perindustrian ini kelengkapan untuk pembinaan kilang juga dilakukan di kawasan kajian. Pengkaji mendapati barangan untuk pembinaan kilang diletakkan di luar kilang. Hal ini menjadikan laluan untuk penduduk lalu menjadi semakin sempit dan boleh menyebabkan kemalangan berlaku sekiranya penduduk di kawasan sekitar tidak melihatnya dengan jelas.  Selain itu, kerosakan infrastruktur juga berlaku akibat daripada kenderaan berat keluar dan masuk ke kilang.


                                        

                                          Gambar 19 : Bahan binaan kilang di tepi jalan 


                                             
                                                   Gambar 20 : Kerosakan infrastruktur (jalan raya)


Tidak dinafikan bahawa dengan kewujudan pusat perindustrian ini dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat khususnya dalam golongan muda. Kebanyakan daripada mereka bekerja dalam bahagian ‘operasi pengeluaran’ atau operator yang bersama dengan warga asing. Tidak kurang hebatnya juga ramai daripada golongan muda yang berpendidikan tinggi bekerja di ibu pejabat atau hq dalam sesebuah syarikat kilang. Hal ini dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyat kawasan sekeliling di samping dapat mengatasi masalah peningkatan pengangguran dan mengurangkan kemiskinan dalam golongan muda.


Pencemaran bunyi juga boleh diambil kira sebagai pencemaran yang sering terjadi di kawasan kajian. Menurut Nur Shazwanie Rosehan dan Azlan Abas (2019), punca berlakunya pencemaran bunyi adalah disebabkan pembangunan industri, kenderaan dan juga pembinaan. Melalui pemerhatian pengkaji, 70% pekerja kilang di kawasan Sri Gading menggunakan kenderaan bermotor iaitu kereta, lori dan motor. Kebingitan bunyi-bunyian kenderaan ini boleh menyebabkan seseorang itu rimas dan mempunyai gangguan seperti sikap yang agresif, hipertensi, tahap tekanan tinggi, kehilangan pendengaran, gangguan tidur, dan kesan buruk yang lain. Seterusnya, tekanan dan hipertensi adalah punca utama masalah kesihatan, di mana telinga berdengung atau 'tinitus' yang boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah daya ingatan, tekanan teruk dan serangan panik yang tidak dapat diduga. Ia juga boleh menganggu ketenteraman penduduk bukan sahaja pada waktu pagi, malah bunyi mesin dan jentera daripada kilang-kilang ataupun daripada kerja-kerja sektor pembinaan juga menyumbang kepada pencemaran sepanjang tempoh waktu bekerja.


                                         

                                                        Gambar 21: Kerja pembinaan


                                                       
                                         Gambar 22 : Bahu jalan dipenuhi dengan kenderaan pekerja


                                               

                                              Gambar 23 : Bahu jalan dipenuhi dengan lori kilang


                                            
                                                      Gambar 24 : Kenderaan pekerja kilang


Berdasarkan data yang telah dikaji oleh Nur Shazwanie Rosehan dan Azlan Abas (2019),

Bacaan purata bunyi trafik (Leq) pada hari bekerja di Bandar Batu Pahat yang tertinggi pada waktu pagi (7.00-9.00am) ialah 78.8 dBA iaitu di jalan utama Hotel Pelican dan diikuti dengan stesen Dataran Penggaram dengan bacaan 77.8 dBA. Jumlah kenderaan pada waktu ini masing-masing ialah sebanyak 1584 dan 1356 buah kenderaan per jam (ms. 103).

Tetapi menurut kajian yang dijalankan oleh Jeffrey Lawrence D’Silva, Haliza Abdul Rahman dan Dzuhailmu Dahalan (2021) pula mengatakan, “PKP mengurangkan jumlah pergerakan kenderaan sekaligus mengurangkan pencemaran udara di kawasan kediaman mereka (M=4.64, SP=.605); dan PKP mengurangkan jumlah pergerakan kenderaan sekaligus mengurangkan pencemaran bunyi di kawasan kediaman mereka (M=4.56, SP=.698)” (ms. 875). Hal ini menunjukkan pencemaran bunyi semakin berkurangan disebabkan oleh pelaksanaan PKP dalam memutuskan rantaian Covid-19. Walaubagaimanapun, perkara ini berulang kembali semenjak aktiviti perindustrian kembali aktif dan musim pekerjaan sudah bermula atas arahan kerajaan.

 

Gambar 25 : Indeks Pencemaran Bunyi

 

Demikianlah sedikit sebanyak pemerhatian dan kajian pengkaji terhadap impak aktiviti perindustrian terhadap penduduk setempat di kawasan Sri Gading, Batu Pahat, Johor. Bermula dengan pusat perindustrian, semakin lama semakin banyak masalah yang timbul dan juga pencemaran yang berlaku dan akan menjadi kesan kepada penduduk sekitar. Segala pencemaran yang telah dinyatakan adalah sangat berbahaya kerana mereka mampu “membunuh secara senyap”. Sikap tamak dan ketidaksedaran orang ramai terhadap peningkatan aktiviti perindustrian ini juga boleh “membunuh” sekiranya tiada bantahan dan arahan untuk meminimumkan segala tindakan mereka di dalam sektor perindustrian di Batu Pahat ini. Akhir sekali, pengkaji mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Kamarul Bin Ismail kerana telah memberi peluang kepada pengkaji untuk membuat kajian lapangan secara mendalam dan mengenalpasti pencemaran-pencemaran yang berlaku di negeri tanah air pengkaji sendiri.

 

Pengkaji / Penulis : NURAIN NABILA BINTI HAJALI

No. Matrik : XXXXXXXX1306

Kumpulan : C

 

RUJUKAN

Essa Abu Yamin. (2021). Polis tahan 3 warga asing terbabit pergaduhan beramai-ramai. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/07/836809/polis-tahan-3-warga-asing-terbabit-pergaduhan-beramai-ramai

 

Jefferey Lawrence D’Silva, Haliza Abdul Rahman & Dzuhailmi Dahalan. (2021). Aanalisis status alam sekitar semasa tempoh perintah kawalan pergerakan akibat pandemik COVID-19 di Malaysia. Sains Malaysiana, 50(3), 869-878. Diperoleh daripada http://www.ukm.my/jsm/pdf_files/SM-PDF-50-3- 2021/27.pdf 


Klaus Esterluss. (2018). How humans are polluting the world with noise. Diperoleh daripada https://www.dw.com/en/how-humans-are-polluting-the-world-with-noise/a-42945885


M. A. Fawzi Mohd Basri. (1972/73). Daerah Batu Pahat : (1880 - 1917). Jebat, 2, 81-92. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/555/1/1.pdf

 

Nur Alina Hassan. (2021). Tiga warga asing ditahan terlibat pergaduhan. Diperoleh daripada https://www.kosmo.com.my/2021/07/07/tiga-warga-asing-ditahan-terlibat-pergaduhan/ 

 

Nor Azura Md Amin. (2019). Batu Pahat catat IPU tidak sihat. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/44855/EDISI/Johor/Batu-Pahat-catat-IPU-tidak-sihat

 

Nur Shazwanie Rosehan & Azlan Abas. (2019). Pencemaran bunyi bising trafik di Bandar Batu Pahat, Johor. Akademia, 89(2), 97-109. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/15018/1/27336-106514-1-PB.pdf

No comments:

Post a Comment