Sunday, December 26, 2021

Kesan Anjing Liar Terhadap Kawasan Perumahan Taman Jaya 2, Dungun, Terengganu

KESAN ANJING LIAR TERHADAP KAWASAN PERUMAHAN TAMAN JAYA 2,

DUNGUN, TERENGGANU

PENGENALAN

Masalah anjing liar di kawasan perumahan Taman Jaya 2, Dungun, Terengganu sering berlaku sejak kebelakangan ini. Hal ini kerana masalah anjing liar yang semakin bertambah saban hari ini boleh mencemarkan dan mengancam keselamatan penduduk khususnya penduduk yang tinggal di kawasan perumahan ini. Hampir semua kawasan perumahan, anjing liar dan anjing terbiar berkeliaran mencari makanan di tong sampah dan membuang najis sehingga menyebabkan persekitaran tempat tinggal menjadi kotor dan boleh menimbulkan kesan sampingan yang lain. Memelihara anjing bukanlah satu tindakan yang tidak baik tetapi perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh pihak-pihak kerajaan kepada pemilik anjing. Oleh hal yang demikian, sekiranya pihak berkuasa tempatan tidak bertindak awal, anjing liar ini akan berkembang biak di kawasan perumahan itu sebagai habitat baru bagi mereka. Dengan ini, masalah anjing liar yang semakin bertambah dan berkembang biak ini nyata menimbulkan banyak kesan terhadap persekitaran mahupun keselamatan penduduk di kawasan perumahan Taman Jaya 2 ini.

Sumber: Google Image

Kesan Anjing Liar Terhadap Kawasan Perumahan Taman Jaya 2

Kejadian yang berlaku ini di mana anjing liar yang berkeliaran di Taman Jaya 2 menimbulkan banyak kesan antaranya terhadap persekitaran kawasan tempat tinggal. Kawasan-kawasan yang dahulunya bersih dan terjaga tidak lagi berlaku apabila adanya haiwan-haiwan liar seperti ini yang mula berkeliaran dan menjadikan kawasan tersebut sebagai habitat baru bagi mereka. Menurut Adnan Ibrahim (2019), anjing-anjing liar ini juga sering kali meninggalkan bau busuk yang sangat kuat di kawasan tersebut sehinggakan menganggu ketenteraman masyarakat sekitar. Hal ini menjadikan yang penduduk di kawasan ini mula merasakan yang keselesaan tempat tinggal mereka terjejas akibat adanya anjing-anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahannya. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila anjing-anjing liar ini banyak membuang najis mereka di merata tempat dan makan makanan yang ada di dalam tong sampah sehingga melimpah ataupun bersepah di merata tempat. Keadaan yang berlaku ini akan meninggalkan bau busuk kepada persekitaran Taman Jaya 2. Oleh itu, jelaslah bahawa persekitaran kawasan tempat tinggal terjejas merupakan antara kesan yang timbul akibat masalah anjing-anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan Taman Jaya 2.

Sumber: Google Image

            Selain itu, anjing liar yang berkeliaran di Taman Jaya 2 ini juga menimbulkan kesan terhadap kesihatan penduduk setempat. Hal ini berlaku kerana anjing liar tersebut yang dulunya hidup di kawasan hutan ataupun kawasan-kawasan yang tercemar membawa pelbagai wabak penyakit kepada penduduk sekitar. Menurut Khairil Anwar Mohd Amin (2019), anjing-anjing liar ini ada yang bukan anjing peliharaan manusia, jadinya ia tidak terjaga dan tidak bersih. Keadaan ini mengakibatkan ramai penduduk yang disahkan mengalami masalah kesihatan seperti rabies, alergi, kurap yang datangnya dari virus-virus yang dibawa oleh anjing liar tersebut. Masalah ini menyebabkan para penduduk berasa takut kerana bimbang wabak penyakit tersebut akan menjadi lebih teruk. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila anjing-anjing liar berkenaan tidak mengambil makanan yang sepatutnya malah mereka lebih banyak makan makanan yang kotor seperti sisa-sisa makanan yang ada di dalam tong sampah. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa masalah anjing liar yang berkeliaran di Taman Jaya 2 ini banyak memberi kesan kepada kesihatan penduduk setempat.

Sumber: Google Image

            Seterusnya, sumber-sumber makanan penduduk seperti ternakan dan tanaman terjejas juga merupakan antara kesan yang timbul akibat masalah anjing liar yang berkeliaran di Taman Jaya 2. Hal ini berlaku kerana ada sebahagian penduduk di Taman Jaya 2 menjalankan aktiviti ternakan dan tanaman berhampiran di kawasan tempat tinggal mereka. Keadaan ini sedikit sebanyak memberi kesan ke atas aktiviti pertanian dan penternakan yang dijalankan mereka contohnya apabila anjing-anjing liar itu menjadikan ternakan yang dipelihara penduduk seperti ayam dan itik sebagai sumber makanan kepada mereka. Selain itu, tanaman-tanaman yang dijalankan oleh sebahagian penduduk juga terjejas di mana mereka terpaksa dibuang apabila anjing-anjing liar tersebut berkeliaran di kawasan itu dan memakan atau merosakkan sumber tanaman penduduk. Keadaan ini juga memberi banyak kerugian kepada masyarakat setempat yang menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan yang kebanyakkannya rosak akibat anjing-anjing liar yang berkeliaran di kawasan kegiatan ekonomi mereka. Oleh itu, jelaslah bahawa masalah anjing-anjing liar yang berkeliaran di kawasan Taman Jaya 2 ini memberi kesan ke atas sumber-sumber makanan mahupun ekonomi penduduk setempat di kawasan tersebut.

Sumber: Google Image

            Di samping itu, berikutan daripada masalah ini juga telah menimbulkan kesan keselamatan penduduk di taman perumahan ini yang terjejas terutamanya kepada kanak-kanak yang keluar bermain atau pulang dari sekolah di mana mereka sering kali terserempak dengan haiwan liar tersebut. Hal ini bukanlah khusus kepada kanak-kanak sahaja malah kepada orang dewasa juga tetapi mereka lebih tahu bagaimana untuk mengendalikan jika berhadapan dengan anjing liar tersebut. Menurut Zakkina Wati Ahmad Tamizi (2020), bagi kanak-kanak mereka mungkin berasa takut dan akan menjejaskan keselamatan mereka kerana haiwan liar tersebut mungkin akan mengancam mereka, Akibat daripada masalah ini, ramai ibu bapa terpaksa mengawasi ketat anak-anak mereka pada setiap hari supaya kejadian seperti yang dinyatakan dapat dielakkan sekali gus menganggu tumpuan mereka untuk melakukan perkara-perkara yang lain seperti menjejaskan tumpuan mereka terhadap pekerjaan.

Sumber: Google Image

Langkah-langkah Untuk Menangani Masalah Anjing Liar

Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan telah mengambil pelbagai langkah yang komprehensif bagi membasmi anjing liar yang semakin membimbangkan kebelakangan ini. Kerajaan Negeri juga akan mengguna pakai Tatacara Operasi Piawai (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di kawasan pihak berkuasa tempatan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT). Antara langkah yang dilakukan untuk menangani masalah anjing liar adalah:

Aktiviti Penangkapan Anjing Liar

Aktiviti penangkapan anjing liar ini boleh terdiri ataupun dilakukan oleh pasukan penangkapan anjing liar majlis yang terdiri daripada beberapa orang ahli pihak berkuasa tempatan. Pasukan ini boleh dikenali melalui kad kuasa, pakaian seragam Majlis (ves berpantulan yang bercetak “SMC”). Operasi penangkapan anjing liar ini dijalankan secara berkala iaitu 3 malam dalam seminggu dan dari masa ke semasa pada siang hari. Mana-mana anjing liar yang berkeliaran di tempat awam sama ada berlesen atau tidak akan ditangkap. Penangkapan yang dijalankan kepada anjing-anjing liar adalah dengan menggunakan kaedah jerat atau loop. Semua anjing yang ditangkap akan direkodkan dan anjing tersebut akan dihantar ke kandang di sesuatu tempat khas untuk anjing-anjing liar. Pemilik anjing boleh menuntut anjing mereka dan dikenakan caj atau bayaran atas sebab kecuaian dalam pemeliharaan anjing. Manakala, anjing yang tidak dituntut dalam masa 48jam akan dilupus dengan menggunakan suntikan oleh pihak Jabatan Veterina. Dengan adanya langkah sebegini dapat memberikan kesedaran kepada pemilik-pemilik anjing di atas kecuaian mereka selain dapat menangani masalah anjing liar di suatu kawasan khususnya di kawasan-kawasan taman perumahan.

Sumber: Google Image

Penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Lesen Anjing

Langkah yang seterusnya untuk menangani masalah anjing liar di kawasan perumahan adalah dengan menguatkuasakan undang-undang kecil pelesenan anjing. Hal ini kerana dengan adanya penguatkuasaan undang-undang sebegini, pemilik anjing lebih bertanggungjawab terhadap anjing mereka supaya lebih berhati-hati memelihara anjing mereka. Pelesenan anjing ini boleh dibuat semasa anjing tersebut mencapai umur tiga bulan dengan disertakan kadar bayaran bagi seekor anjing. Dengan adanya lesen anjing ini, pemilik lebih bersifat profesional untuk menjaga anjing mereka dengan sebaiknya mengikut syarat-syarat yang diberikan oleh kerajaan. Antaranya jika anjing itu berpenyakit, pemilik perlu mengambil langkah-langkah dengan seberapa segera untuk membolehkan anjing itu diperiksa dan dirawat supaya tidak berlaku penyakit berjangkit kepada manusia dari haiwan liar tersebut. Anjing yang berkeliaran di luar premis ataupun kediaman tanpa pemilik sama ada memakai lencana lesen atau tidak berhak ditangkap dan dimusnahkan. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penguatkuasaan undang-undang kecil lesen anjing ini perlu dilaksanakan dengan sebaiknya di mana ia mampu menangani masalah anjing liar di kawasan perumahan.

Sumber: Google Image

Kempen Tanggungjawab Pemilik Anjing

Langkah yang boleh dilaksanakan bagi menangani masalah anjing liar daripada berleluasa ataupun sering berlaku di kawasan kediaman adalah dengan mengadakan kempen tanggungjawab pemilik anjing. Kempen-kempen sebegini adalah penting bagi memupuk kesedaran kepada pemilik-pemilik anjing yang ingin memelihara haiwan tersebut di kawasan perumahan mereka. Kempen yang dilaksanakan banyak memberi peraturan kepada pemilik-pemilik anjing supaya keadaan yang tidak diingini boleh berlaku. Sebagai contoh, mengadakan kempen “Peliharalah Anjing Anda dengan Baik” yang banyak menceritakan ataupun mengkhususkan kepada langkah-langkah yang perlu dibuat oleh pemilik anjing. Antara contoh langkah ataupun tanggungjawab yang perlu dibuat oleh pemilik anjing adalah dengan memastikan anjing berada di bawah pengawasan mereka iaitu jika membawa anjing bersiar, pastikan diikat dengan rantai supaya anjing tersebut tidak mendatangkan ancaman atau bahaya kepada orang lain, binatang lain atau merosakkan harta benda awam. Seterusnya, jangan biarkan anjing peliharaan membuang najis di tempat awam ataupun di kawasan perumahan kerana ia akan mencemarkan persekitaran. Selain itu, pemilik anjing hendaklah menghantar anjing untuk pemeriksaan kesihatan oleh doktor haiwan dan menerima imunisasi untuk mengelakkan jangkitan penyakit berjangkit dari masa ke semasa. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa kempen tanggungjawab pemilik anjing ini perlu dilaksanakan dengan sebaiknya bagi memupuk kefahaman dalam diri pemilik bahawa tanggungjawab mereka untuk memelihara anjing supaya masalah anjing liar yang berlaku dapat ditangani dengan baik.

Sumber: Google Image

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, masalah anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan khususnya di Taman Jaya 2, Dungun, Terengganu sememangnya memberi banyak kesan buruk kepada persekitaran malah juga mengancam keselamatan penduduk setempat. Semua pihak khususnya pihak-pihak kerajaan haruslah memainkan peranan yang penting dalam mengawal masalah anjing liar yang berlaku di kawasan perumahan penduduk setempat. Hal ini kerana kesan yang timbul akibat masalah ini nyata memberi impak yang sangat besar dalam menjamin keharmonian masyarakat. Tidak lupa juga, pemilik-pemilik anjing ini juga perlu memainkan peranan yang penting dalam mengutamakan pemeliharaan anjing secara terurus supaya haiwan tersebut tidak memberi kesan negatif kepada penduduk setempat. Oleh hal yang demikian, masalah anjing liar ini perlu diberi perhatian bagi menyelesaikan atau ditangani dengan sebaiknya. 

Disediakan oleh: Khairul Eizhan bin Khairul Anuar

No. Matriks: D2019***7916

Kumpulan B

Rujukan

Salim Aziz. (2018, Januari). Masalah Anjing Liar Ancam Penduduk Tempatan. Astro Awani Online. Diperoleh daripada https://www.google.com/amp/s/www.astroawani.com/berita-malaysia/masalah-anjing-liar-ancam-penduduk-tempatan-166969%3famp=1

Adnan Ibrahim. (2019, Oktober). Anjing Liar Meresahkan Penduduk Taman. Berita Harian Online. Diperoleh daripada

https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/berita/wilayah/2019/10/618747/anjing-liar-meresahkan-penduduk-taman

Zakkina Wati Ahmad Tarmizi. (2020, Julai). Anjing Liar Ancam Penduduk Taman Matahari Indah. Utusan Malaysia. Diperoleh daripada

https://www.utusan.com.my/berita/2020/07/anjing-liar-ancam-penduduk-taman-matahari-indah/

Khairil Anwar Mohd Amin. (2019, Januari). Kawasan Sampah Haram Punca Wabak Rabies. Sinar Harian Online. Diperoleh daripada

https://www.google.com/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/10503

No comments:

Post a Comment