Tuesday, December 28, 2021

Tajuk : Kesan aktiviti ekppelancongan (sungai), jana pendapatan penduduk setempat di Kampung Luanti Baru, Ranau.

 

PENGENALAN

Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia yang terdiri daripada 13 negeri dan 3 wilayah

persekutuan.Jumlah keluasan tanah d sabah menjangkau 72,500 kilometer persegi.Sabah terletak di bahagian paling utara borneo dan juga merupakan pulau ke-3 terbesar di dunia.Sabah terdiri daripada 33 etnik dan berkomunikasi dalam 50 bahasa serta 80 dialek yang berbeza.Terdapat 3 etnik  yang terbesar di negeri sabah iaitu etnik Kadazan-Dusun,Bajau dan Murut.Sabah kaya dengan sumber-sumber semulajadi seperti hutan,galian,flora dan fauna hinggalah ke hidupan laut.Bahan mentah seperti minyak,tembaga,emas dan batu kapur juga boleh didapati di negeri ini.Sabah digelar sebagai Negeri di Bawah Bayu.Sepasang tangan yang menjulang megah memegang Bendera Sabah menghiasi lencana ini melambangkan semangat perpaduan yang erat dan kerjasama yang lama terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum demi mencapai kemajuan dan kejayaan bagi negeri Sabah.Sabah mempunyai gunung kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di Kepulauan Borneo dan diiktiraf sebagai gunung yang kesepuluh tertinggi di Asia Tenggara.

 

  

                                             Gambar 1:Peta Negeri Sabah dan Logo Negeri Sabah

 

 

DAERAH RANAU

Ranau berasal dari perkataan Ranahon yang bermaksud kawasan sawah padi.Biasanya masyarakat dusun yang menetap di daerah ranau mengusahakan penanaman padi huma atau bukit disebabkan bentuk muka bumi yang berbukit bukau.Manakala penduduk yang menetap di kawasan lembah Ranau akan mengusahakan penanaman padi sawah.Keluasan daerah Ranau pada masa ini ialah 294,224 hektar atau 1978.5 km persegi.Walau bagaimanapun apabila perubahan persempadan baru yang melibatkan daerah Tambunan dan Beluran diluluskan maka luas daerah Ranau telah bertambah kepada 3555.9 km persegi.Ranau merupakan sebuah daerah yang terletak di bahagian Pantai Barat Utara Negeri Sabah,Malaysia.Ranau dikelilingi oleh 7 buah daerah lain seperti Tuaran,Kota Belud,Keningau,Kinabatangan,Beluran dan Kota Marudu.Daerah Ranau mempunyai 3 rangkaian jalanraya utama yang menghubungkan dengan Bandar dan daerah seperti Kota Kinabalu,Pantai Timur Sabah dan Pedalaman.Di pekan Ranau terdapat pasar tani yang menjual pelbagai jenis buah-buahan tempatan seperti durian,manggis,langsat dan rambutan serta sayur-sayuran segar.Pasar tani mula beroperasi setiap hari bermula pukul 8 pagi sehingga 5 petang.

Gambar 2:Peta daerah Ranau dan Replika teko Sabah Tea Ranau

 

"TAGAL" SUNGAI MOROLI KAMPUNG LUANTI BARU (FISH MASSAGE)

 

"Tagal" Sungai Moroli Kampung Luanti Baru terletak bersebelahan dengan pintu masuk Sabah Tea Garden.Kampung ini kaya dengan sumber persekitaran termasuklah sumber hutan dan sungai.Sungai Moroli terkenal sebagai sebuah sungai yang diurus secara cekap melalui pengurusan yang telah disebut sebagai "Tagal".Majoriti penduduk yang tinggal di kampung ini terdiri daripada etnik dusun yang menganut agama Islam dan Kristian.Pekerjaan utama penduduk di sini adalah petani,peniaga kecil dan sederhana(IKS) dan kakitangan kerajaan.Namun begitu,semenjak kampung ini menjadi sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di Sabah,penduduk telah memiliki pekerjaan baharu dalam sektor pelancongan.Malah,mereka telah memiliki lebih punca pendapatan sama ada secara tetap mahupun sekadar sambilan sahaja.Sungai Moroli sesuai dikunjungi oleh seisi keluarga khususnya bagi penggemar ikan.Para pengunjung dapat mandi bersama ikan-ikan yang jinak ataupun hanya merendamkan kaki dan memberi makanan sahaja kepada ikan tersebut.Jarak kawasan tempat ini dari pekan Ranau mengambil masa 25 minit perjalanan iaitu lebih kurang 18.8 kilometer.Gerai-gerai jualan juga disediakan di sini termasuklah gerai kraftangan,gerai kuih-muih dan warung.Meskipun tempat pelancongan ini jauh dari kawasan bandar akan tetapi kemudahan dan fasiliti yang disediakan di sini mencukupi dan para pelancong dapat menikmati udara segar dan nyaman disebabkan sumber alam semulajadi di kawasan ini masih terjaga dengan baik.

  

(Gambar 3: Tagal Sungai Moroli Kampung Luanti Baru-Fish Massage)

 

KESAN AKTIVITI EKOPELANCONGAN (SUNGAI), JANA PENDAPATAN PENDUDUK SETEMPAT DI KAMPUNG LUANTI BARU, RANAU SABAH.

 

Industri pelancongan yang berteraskan kepada sistem tagal merupakan salah satu produk utama dan pengurusannya telah memberi kesan kepada komuniti pelaksana khususnya dari segi penjanaan pendapatan, kualiti hidup yang dapat dilihat daripada sistem pengurusan kualiti persekitaran semula jadi, pembangunan terhadap sosial dan juga pembangunan kepada ekonomi.

 

1.Penjanaan pendapatan penduduk setempat.

Pelaksanaan sistem Tagal di Kg. Luanti Baru secara khususnya telah mendatangkan impak atau kesan yang amat positif kepada komuniti di kampung ini. Hal ini demikian kerana mereka dapat menjana pendapatan ekonomi untuk menampung perbelanjaan kehidupan seharian mereka. Kebanyakan komuniti Kg. Luanti Baru bekerja di Tagal Luanti sebagai ahli jawatankuasa Tagal dan ada yang berniaga di gerai-gerai yang disediakan. Semenjak tagal Sungai Moroli Kampung Luanti Baru ini menjadi tumpuan para pelancong setiap minggu. Struktur dalam pekerjaan penduduk Kg. Luanti Baru yang terdiri daripada kira-kira 35 buah keluarga mengalami perubahan yang ketara, iaitu daripada pekebun kecil kepada sektor pekerjaan komersial. Pengurusan Tagal Luanti menawarkan perkhidmatan pelancongan (pemandu pelancong dan sebagainya), perkhidmatan bekalan makanan, pengangkutan dan lain-lain. Sistem tagal pada awalnya dipimpin oleh Encik Jeffrin selaku pengerusi yang telah menubuhkan Jawatankuasa Penduduk Kg. Luanti Baru untuk menguruskan pusat pelancongan di Sungai Ini. Untuk rekod, setiap pengunjung yang datang bagi menikmati pengalaman spa fish di Sungai Moroli dikenakan bayaran RM5 (urutan kaki) dan RM10 (urutan seluruh badan). Pada tahun 2015, Encik Jeffrin telah membina gerai-gerai untuk membolehkan komuniti kampung berniaga untuk menjana pendapatan mereka. Penduduk kampung terutamanya suri rumah menjalankan aktiviti perniagaan di gerai tersebut. Terdapat peniaga yang menjual makanan, buah-buahan serta barangan kraf tangan. Tambahan pula, peniaga tidak perlu untuk membayar sewa tapak, hal ini kerana Encik Jeffrin mahu membantu komuniti kampung mencari rezeki.

 

2.Pengurusan alam sekitar yang lebih cekap.

Dalam mengawal selia kualiti persekitaran untuk aktiviti ekopelancongan ini,  penguatkuasaan undang-undang dan peraturan seringkali ditekankan. Salah satu usaha yang telah dilakukan adalah dengan meletakkan papan tanda peraturan untuk mengingatkan pengunjung berkaitan dengan peraturan yang telah ditetapkan dalam penguatkuasaan sistem tagal ini. Telah didapati masyarakat memahami daya tampung ekosistem seperti mengehadkan kemasukan pelawat, mengawal pencemaran bunyi dan sebagainya yang boleh menimbulkan gangguan kepada persekitaran semula jadi.Di samping itu, kepentingan dalam sumber semulajadi ini menyebabkan pengurusan terhadap persekitaran menjadi lebih cekap dan sistematik. Contohnya, memperkasakan peraturan dan penguatkuasaan tagal dengan mengenakan 'sogit' mengikut peraturan kampung. Lazimnya jumlah 'sogit' bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa yang dilantik oleh kampung, yang biasanya denda adalah dalam bentuk wang dan kerbau. Bagi kes kampung ini, jika ada pihak yang melanggar peraturan, denda seekor kerbau atau lembu bernilai RM1500 dan denda RM500 tunai iaitu RM2000. Pengurusan alam sekitar yang lebih baik juga timbul daripada kesedaran masyarakat yang semakin peka terhadap kualiti alam sekitar. Ini kerana alam sekitar telah menjadi aset masyarakat sebagai produk pelancongan yang memberi manfaat kepada mereka. Kesedaran dan kepekaan ini akan mendorong masyarakat untuk terus memulihara alam sekitar khususnya berkaitan kebersihan sungai dan pengurusan spesies ikan dan tumbuhan.

 

3.Kesan melalui pembangunan sosial

Sehingga tahun 2009, lebih 20 orang penduduk telah bekerja secara tetap di sektor tersebut, sama ada sebagai pemandu pelancong, bahagian pentadbiran dan pekerja di bahagian perkhidmatan penginapan dan selebihnya bekerja sebagai pekerja sambilan. Ini secara langsung dapat mengurangkan kadar pengangguran penduduk di kampung ini. Selain peluang pekerjaan dalam sektor perindustrian, peluang perniagaan dalam perkhidmatan dan barangan juga semakin berkembang. Ini kerana permintaan pengunjung terhadap penawaran pasaran berasaskan makanan, kraftangan dan juga penginapan semakin meningkat. Ini menyebabkan ramai penduduk mengaut keuntungan daripada jualan cenderahati, makanan ringan dan barangan runcit yang dijual di gerai kampung serta perkhidmatan homestay. Keadaan ini menunjukkan pengaruh industri pelancongan ke atas pendapatan individu dan isi rumah dan pada masa yang sama meningkatkan kuasa beli dan pemilikan aset. Selain itu, keuntungan daripada sektor pelancongan telah digunakan untuk membiayai aktiviti penyelenggaraan yang merangkumi pembayaran bil elektrik bangunan awam di kampung tersebut seperti masjid dan dewan untuk kegunaan masyarakat itu sendiri. Selain itu, sebahagian daripada pendapatan digunakan untuk membiayai penganjuran aktiviti seperti perhimpunan kampung, manakala peruntukan untuk membiayai persekolahan semua pelajar kampung dan skim pinjaman awal untuk pelajar yang melanjutkan pelajaran ke universiti turut disediakan. Inisiatif komuniti ini merupakan langkah bijak dalam meningkatkan kadar celik huruf.

 

4.Kesan melalui pembangunan ekonomi.

Akhir sekali, dari segi impak sosial. Menurut Mathiesen & Wall (1991) menyatakan bahawa impak sosial melalui pengaruh pelancongan adalah sukar untuk diukur dengan angka. Hal ini demikian kerana ia biasanya meliputi perkara yang tidak ketara dan tidak dapat dihitung kuantitinya. Walau bagaimanapun ia tetap memberi impak kepada perubahan sosial komuniti yang terlibat amnya. Merujuk kepada situasi sistem tagal di Kg, Luanti Baru, industri pelancongan memberi kesan kepada perubahan sosial, apabila ahli mempunyai peranan dan tanggungjawab baru dalam komuniti, selain daripada menjadi petani sepenuh masa. Penduduk yang terlibat sebagai kakitangan dalam aktiviti pelancongan, telah meningkatkan pengetahuan tentang hal-hal pengurusan, pengetahuan tentang sistem tagal dan kemahiran berkomunikasi dengan pengunjung. Pemandu pelancong tempatan juga telah mula diberikan pendedahan tentang kaedah menguruskan pelancong dan melakukan intepretasi. Ini menunjukkan bahawa penglibatan  komuniti dalam industri pelancongan membuka ruang kepada mereka untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, tanpa mengira usia. Pembangunan infrastruktur di kawasan kampung juga telah mengalami peningkatan. Kemudahan pengangkutan dan telekomukasi telah dipertingkatkan. Kini maklumat perkembangan sistem ini, yang disediakan sendiri oleh komuniti tagal boleh dilayari secara atas talian. Ini juga menunjukkan perkembangan pengetahuan dan cara hidup penduduk dalam penyebaran maklumat secara digital. Ini akan menjadi galakan kepada peningkatan kadar celik IT di kalangan ahli komuniti dan merapatkan penglibatan dalam dunia pelancongan. Penglibatan masyarakat dalam industri pelancongan berasaskan pengurusan sistem tagal sebagai produk pelancongan telah melahirkan kesedaran terhadap nilai bekerjasama dalam komuniti. Maklumbalas komuniti menunjukkan bahawa penglibatan komuniti dalam sektor ini telah menyebabkan hubungan mereka semakin rapat, iaitu seperti sebuah keluarga kerana masingmasing mempunyai hak yang sama dalam mencapai matlamat. Keadaan ini wujud apabila banyak keputusan pelaksanaan sistem ini, sama ada berkaitan pengurusan atau aktiviti pelancongan, adalah dilakukan berdasarkan pendapat kolektif dan persetujuan bersama. Ini kerana pandangan ahli komuniti sangat wajar diambil dalam memajukan pelancongan (Habibah, 2000. dlm Abdul Halim et.al. 2000).

 

KESIMPULAN

  Kesimpulannya,melalui kajian ini yang telah saya laksanakan di Tagal Sungai Moroli Kampung Luanti Baru ini saya dapat meningkatkan lagi kesedaran dalam diri untuk sentiasa menghargai, menyayangi dan juga menjaga alam sekitar khususnya flora dan fauna. Hal ini demikian kerana, setiap komponen yang ada pada ciri-ciri fizikal tersebut amatlah penting dan harus dijaga dengan sebaik mungkin. Apabila salah satu komponen tersebut musnah ia akan menjejaskan ekosistem. Selain itu, saya juga telah mendapat banyak pengalaman tentang ilmu geografi semasa menjalankan kajian tentang ciri-ciri fizikal yang ada di Tagal Sungai Moroli. Oleh itu, kajian ini amatlah penting dan bermakna bagi saya kerana banyak memberi kesedaran tentang pentingnya penjagaan alam semulajadi bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar.

 

 

 

RUJUKAN

Jurry Foo@ Jurry bt. F. Michael. (2011). Sistem tagal dalam industri pelancongan: n Manfaat kepada komuniti. Diperoleh daripada:

http://www.ukm.my/geografia/images/upload/2.2011-1-jurry-melayu-2.pdf

Blongspot, (2016). Senarai Tempat Menarik Di Negeri Sabah:Destinasi pelancongaan di negeri sabah. Diperoleh daripada http://sabah-attraction-kvb.blogspot.com/2016/08/sabah-di-bawah-bayu.html

Wikipedia Ensiklopedia bebas, (2020). Sabah. Diperoleh daripada https://ms.wikipedia.org/wiki/Sabah

Peta lokasi Daerah Ranau. Diperoleh daripada https://www.google.com/maps/place/Ranau,+Sabah/@5.9523394,116.6646792,1605m/data=!3m1!1e3!4m5!3m4!1s0x323b91758ed76f7f:0xc567968a7af7430a!8m2!3d5.953561!4d116.6639501

 

LAMPIRAN

 

 

 

 

 

 

 

 

NAMA: FITRIANI

NO MATRIK : D20191089462

 

 

 

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment