Thursday, December 23, 2021

PENGABAIAN KESEDARAN KOMUNITI TERHADAP ISU PENCEMARAN SUNGAI DI JERTEH TERENGGANU

 PENGENALAN

Isu alam sekitar sudah menjadi suatu perkara yang tidak asing lagi untuk dibicarakan dan dikaitkan dengan kebanyakan negara dunia termasuklah negara ini. Salah satu isu alam sekitar utama yang dialami oleh penduduk di Malaysia ialah pencemaran sungai. Hampir kesemua negeri di Malaysia menghadapi masalah pencemaran sungai kerana berpunca daripada pelbagai faktor. Pencemaran sungai akan memberi kesan atau menjejaskan kehidupan manusia dalam pelbagai aspek termasuklah sumber makanan, keadaan kesihatan, aktiviti ekonomi dan lain-lain lagi. Kajian yang dilaksanakan ini bertujuan untuk membicangkan tentang tahap kesedaran komuniti di daerah Jerteh dalam berhadapan dengan isu pencemaran sungai yang berlaku di kawasan mereka.

Pencemaran sungai adalah isu alam sekitar yang sering diperkatakan dalam di negara kita sejak dahulu lagi. Pencemaran sungai yang telah didefinisikan oleh Wahab dan Yaacob (2012) merupakan sebagai perubahan yang berlaku terhadap air sama ada dari segi warna, rasa, kualiti, bau dan sebagainya yang telah menjejaskan fungsi sesebuah sungai tersebut. Umumnya, sungai berfungsi sebagai sumber utama terhadap semua hidupan iaitu haiwan, tumbuhan dan manusia yang digunakan bagi pelbagai tujuan seperti untuk tumbesaran tumbuhan, minuman, kegunaan domestik dan sebagainya. Pencemaran sungai secara jelasnya telah banyak mengubah sifat semulajadi sungai terhadap hidupan dan komuniti sekitarnya. Hasil dapatan daripada Jabatan Alam Sekitar (2013), rata-rata pencemaran sungai yang berlaku telah dinyatakan berpunca daripada dua aspek utama iaitu punca tetap seperti sisa daripada pengurusan loji kumbahan dan pelepasan sisa dari kawasan perindustrian, manakala punca tidak tetap pula terdiri daripada aliran air tanah akibat aktiviti pertanian, kawasan perumahan, perniagaan, dan sebagainya.

Lokasi yang telah menjadi pilihan saya untuk menjalani kajian ini adalah sebuah kawasan bandar yang menjadi antara tumpuan komuniti untuk menjalankan perniagaan dan tumpuan pihak pemaju mendirikan taman perumahan atau tempat tinggal di kawasan Bandar Jerteh ini. Oleh itu, apabila kawasan ini telah menjadi tumpuan komuniti, semakin banyak berlakunya pencemaran di sekitarnya terutama sekali di sungai Jerteh ini.

METODOLOGI KAJIAN

Reka bentuk kajian yang dijalankan ialah menggunakan pendekatan kualitatif iaitu melalui instrumen temu bual dan juga pemerhatian. Temu bual tersebut telah melibatkan 6 orang responden yang terdiri daripada peniaga dan penduduk yang tinggal di kawasan Jerteh. Kriteria responden yang dipilih untuk ditemu bual adalah dilihat berusia dan sudah lama tinggal di kawasan ini. Hal ini membuktikan bahawa mereka sememangnya berpengalaman dan boleh melihat setiap perubahan yang berlaku sejak zaman berzaman. Nama sebenar komuniti yang menjadi responden ini adalah dirahsiakan dan diganti dengan kod contohnya seperti komuniti pertama dicatatkan dengan K1.

Jadual 1 : Latar Belakang Responden

Komuniti

Jantina

Umur

Kategori

K1

Lelaki

56 Tahun

Penduduk

K2

Lelaki

60 Tahun

Peniaga

K3

Lelaki

48 Tahun

Peniaga

K4

Perempuan

50 Tahun

Penduduk

K5

Perempuan

50 Tahun

Penduduk

K6

Lelaki

55 Tahun

Penduduk

 

PUNCA BERLAKUNYA PENCEMARAN SUNGAI JERTEH

Berdasarkan hasil dapatan yang diperoleh daripada temu bual dan pemerhatian saya sendiri, punca utama yang mengakibatkan pencemaran sungai di lokasi kajian tersebut ialah pembuangan sampah sarap. Aktiviti pembuangan sampah ke dalam sungai dan kawasan pinggir Sungai Jerteh telah menjadikan kawasan tersebut kotor dan tercemar. Hal ini berlaku disebabkan oleh perbuatan segelintir pihak dan masyarakat yang tidak bertanggungjawab dalam memelihara kebersihan sungai dan persekitarannya. Tambahan lagi menurut K1, Sungai Jerteh berada di tepi jalan raya dan berdekatan dengan lokasi pasar basah. Sampah sarap yang berlonggokan di tepi sungai berkemungkinan besar datangnya daripada peniaga pasar berdekatan yang meninggalkan sampah mereka dan sedikit-demi sedikit akan dibawa arus air sungai. Sikap pentingkan diri sendiri dan kesedaran yang rendah seperti inilah yang telah menyebabkan pihak berkenaan tidak dapat berfikir secara rasional dan bertindak membuang sampah sarap ke dalam sungai tanpa mempedulikan impaknya.

         Gambar 1 : Sisa buangan & sampah sarap


            Di samping pembuangan sampah sarap, aktiviti perniagaan oleh komuniti di Bandar Jerteh turut menjadi punca berlakunya pencemaran sungai. Aliran sisa buangan dan sisa minyak yang disalurkan secara terus ke dalam longkang berdekatan sungai oleh premis perniagaan terutamanya restoran, telah menyebabkan sungai tercemar. Kuantiti bahan buangan ini sememangnya tidak setanding dengan isipadu air sungai yang banyak, namun jika penyaluran tersebut berlaku pada setiap hari dan dari beberapa perniagaan lain lagi, lama-kelamaan sungai tersebut pasti sudah ketandusan air yang bersih walaupun dilihat jernih. Pencemaran ini bukan sahaja dapat dilihat dari segi fizikalnya, malah juga turut menjejaskan kandungan pH air sungai yang menjadi punca kemusnahan hidupan akuatik lebih-lebih lagi yang bersaiz kecil kerana tidak dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka di kawasan sungai tersebut.

            Selain daripada dua punca di atas, terdapat lagi lima isu yang menjadi punca ekoran daripada pencemaran sungai yang berlaku di Sungai Jerteh ini. Antara punca lain yang mendatangkan kotoran dan bahan pencemar terhadap sungai ini ialah daripada pembuangan sisa industri, pembinaan kawasan perumahan dan bangunan baru, pembinaan landasan atau jalan raya dan pengorekan pasir sungai. “Walaupun dilihat Bandar Jerteh hanya sebagai bandar yang sederhana, namun pencemaran yang berlaku sehari-hari mampu membuatkan sungai di kawasan ini tercemar pada tahap yang membimbangkan.” Ulas K2. Secara kasarnya, semua punca ini berlaku akibat daripada sektor perindustrian dan proses pembandaran kawasan tersebut yang dijalankan secara tidak sistematik dan kurang kawalan yang sewajarnya dari pihak yang berkuasa.

Menurut kajian yang telah dijalankan, komuniti yang telah dipilih untuk menjalankan temu bual ini merupakan responden yang memiliki pengetahuan mengenai pencemaran yang berlaku di sungai kawasan mereka. Hal ini membuktikan bahawa mereka sangat peka akan keadaan dan perubahan alam sekitar yang berlaku di sekeliling. Sumber pengetahuan yang didapati berdasarkan pemerhatian sendiri juga telah menguatkan lagi bukti mengenai punca pencemaran sungai yang berlaku di Sungai Jerteh ini. Pemerhatian saya sebagai pengkaji dan juga penduduk di situ kebanyakannya telah menyaksikan sendiri setiap perubahan dan implikasi terhadap pencemaran sungai yang berlaku akibat daripada pelbagai faktor tersebut.

IMPAK BERLAKUNYA PENCEMARAN SUNGAI JERTEH

Setiap pencemaran yang berlaku pasti akan meninggalkan impak atau kesan yang negatif terhadap alam sekitar fizikal dan manusia termasuklah pencemaran sungai. Antara kesan utama pencemaran sungai ini terhadap alam sekitar fizikal ialah udara di kawasan sekitar Sungai Jerteh akan berbau busuk. Memandangkan Jerteh merupakan pusat bandar yang menjadi tumpuan orang ramai untuk menyelesaikan setiap urusan mereka, keadaan ini semestinya turut menjejaskan persekitaran bagi mereka. Menurut K3, komuniti di kawasan Bandar Jerteh ini yang terdiri daripada kalangan peniaga, penduduk dan individu sebagai pelanggan akan mengalami persekitaran udara yang busuk dalam kehidupan seharian mereka disebabkan oleh kandungan sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai. Hal ini ternyata bukan sahaja mengakibatkan ketidakselesaan dalam diri penduduk, bahkan juga telah menjejaskan persekitaran fizikal atau pemandangan mereka. Udara yang busuk ini sekali gus akan mengehadkan komuniti untuk menjalankan pelbagai aktiviti lebih-lebih lagi aktiviti luar di taman berdekatan seperti beriadah, santai bersama keluarga dan sebagainya. Gerai makanan atau restoran yang berhampiran kawasan itu juga kurang menjadi tumpuan orang ramai akibat ketidakselesaan daripada bau busuk sampah dan sisa buangan.


Gambar 2 : Air sungai menjadi kehitaman 

Selain itu, kesan yang kedua ialah persekitaran Sungai Jerteh menjadi kotor. Isu ini telah menyebabkan keadaan menjadi semakin teruk apabila sungai yang dulunya bersifat memberi ketenangan kepada sesiapa yang melihatnya, kini telah menjadi perosak pemandangan apabila airnya telah bertukar menjadi keruh dan hitam di beberapa kawasan yang berpunca daripada aliran sampah sarap di sungai tersebut. Sampah-sampah yang terapung di permukaan air lebih-lebih lagi yang berbentuk plastik dan polisterin akan menjadikan sungai tersebut seperti tempat pelupusan sampah yang tidak akan dapat dilupuskan. Hal ini kerana plastik merupakan bahan paling sukar lupus walaupun jika dikambus ke dalam tanah, inikan pula apabila di dalam sungai. Jika sampah tersebut dibiarkan mengalir dan tidak dipungut semula, bahan ini akan berada di permukaan sungai dan terus mengalir ke sungai yang lain dalam jangka masa yang panjang.

Kesan seterusnya ialah terhadap alam sekitar manusia iaitu wujudnya binatang buas atau haiwan liar seperti ular berbisa yang datang daripada kawasan longgokan sampah sarap yang tercemar di pinggir sungai. K4  dan K5 bersependapat bahawa longgokan sampah dan sisa makanan yang ditinggalkan begitu sahaja di sesuatu kawasan menjadi seolah-olah tempat yang menyumbang sumber makanan kepada haiwan berbisa ini untuk mencari mangsanya sama ada di darat mahupun di dalam sungai. Keadaan ini seterusnya telah menyebabkan haiwan tersebut akan menyusur ke kawasan yang berdekatan untuk mencari sumber makanannya. Haiwan ini secara langsung akan menjadi pengancam kepada hidupan yang lain termasuklah manusia lebih-lebih lagi jika keberadaannya yang tersorok di sesebuah premis dalam kawasan Bandar Jerteh ataupun tempat awam.


      

                                                

         Gambar 3 : Longgokan sampah menjadi tumpuan lalat & nyamuk


Gambar 4 : Tempat pembiakan nyamuk aedes

Kesan berikutnya terhadap manusia ialah jangkitan penyakit akibat pencemaran sungai. Sungai Jerteh yang tercemar akan mengalirkan air yang tercemar atau kurang berkualiti. Hal ini telah mengakibatkan penggunanya akan menghadapi pelbagai jangkitan penyakit seperti penyakit kulit yang menyebabkan kegatalan lebih-lebih lagi bagi seseorang yang berkulit sensitif. Jangkitan penyakit ini juga berlaku apabila adanya pembiakan nyamuk aedes dalam air sungai yang bertakung di kawasan sampah yang mendatangkan penyakit demam denggi dan malaria. Penyakit lain yang sering dikaitkan dengan persekitaran kotor ialah penyakit taun yang berpunca daripada lalat yang berkerumun di kawasan sampah seterusnya meninggalkan telur dan najisnya pada makanan di gerai-gerai jualan makanan dan makanan di restoran yang dibiarkan terdedah.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN DI SUNGAI JERTEH

Rentetan daripada kesan daripada pencemaran yang berlaku, pelbagai tindakan dan usaha yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat atau komuniti bagi mengatasi isu pencemaran sungai ini. Antara tindakan yang dilakukan oleh penduduk yang bertindak sebagai responden dalam kajian ini ialah memastikan sampah sarap di kawasan rumah diuruskan dengan baik. Para pengusaha premis perniagaan juga seharusnya mengelola sampah sarap dan bahan buangan mereka dengan lebih sistematik agar tidak menjadi penyumbang kepada pencemaran sungai. Sampah sarap haruslah dibuang pada tong sampah yang telah disediakan oleh pihak penguasa daerah iaitu Majlis Daerah Besut. Sampah yang menjadi bahan buangan daripada peniaga pasar seperti sayuran rosak dan sisa bahan mentah pula boleh diuruskan untuk diproses menjadi baja organik dan makanan haiwan.

Terdapat juga segelintir penduduk di Bandar Jerteh yang memasang jaring atau pagar besi di luar rumah sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan haiwan seperti ular berbisa masuk ke rumah mereka. K6 telah mengulas perkara ini sambil menunjukkan ke arah rumah berdekatan. Hal ini mampu memastikan keselamatan anak-anak mereka terpelihara dan mengelakkan anak-anak mereka bermain di kawasan sungai tersebut. Tindakan yang dilakukan oleh penduduk iaitu sentiasa menutup pintu dan tingkap rumah mereka juga merupakan salah satu cara untuk menghalang bau busuk daripada masuk terus dan terperangkap di dalam rumah mereka.


Gambar 5 : Penduduk bergotong-royong

            Di samping itu, tindakan lain yang telah diambil oleh penduduk bagi menangani pencemaran sungai ini ialah menyertai aktiviti gotong royong membersihkan kawasan sekitar sungai. Memandangkan Sungai Jerteh ini berada dalam kawasan bandar, banyak program dan kempen yang boleh dianjurkan oleh pihak penguasa yang melibatkan komuniti setempat, murid sekolah dan juga penduduk dari desa yang lain. Penganjuran program seperti program gotong royong bertemakan “Cintailah Sungai Kita” ini dapat memastikan komuniti untuk bersama-sama memelihara dan menjaga kebersihan kawasan rumah mereka. Tanggungjawab bersama sangat penting bagi memastikan sampah sarap hasil daripada kegunaan semua pihak dapat dibersihkan dan diuruskan dengan selamat untuk memastikan persekitaran Bandar Jerteh dan sungainya sentiasa terjaga dan bersih

            Langkah yang terakhir dalam mengatasi masalah pencemaran Sungai Jerteh ini ialah pihak berkuasa tempatan perlulah bertindak untuk mengenakan dan meningkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap pesalah. Individu yang melakukan kesalahan membuang sampah dengan sewenang-wenangnya sangat wajar untuk dikenakan denda yang setimpal dengan perbuatan mereka. Undang-undang berkenaan dengan larangan membuang sampah ke sungai sememangnya telah diperkenalkan sejak dahulu lagi. Namun masih terdapat segelintir pihak yang kurang cakna terhadap isu ini sehingga sanggup mengulangi perbuatan yang sama. Oleh itu, pihak penguasa harus lebih tegas untuk berkuat kuasa dalam hal ini khususnya pihak Majlis Daerah Besut, mereka boleh mengenakan saman dengan menggandakan denda terhadap individu dan pihak yang masih ingkar untuk menguruskan sampah dan sisa dengan baik. Perlaksanaan langkah ini diharapkan mampu menimbulkan kesedaran terhadap individu tersebut dan seterusnya mampu menjadi pengajaran untuk individu yang lain juga.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, kajian ini ternyata mampu membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab komuniti supaya lebih peka dengan keadaan dan pencemaran sungai yang berlaku di sekeliling mereka. Menurut Jabatan Alam Sekitar (2017), setiap kegiatan manusia yang dilaksanakan dengan tidak bertanggungjawab sehingga mengakibatkan air sungai tercemar telah menjejaskan sumber semulajadi akuatik (Poon et al., 2016). Secara umumnya, komuniti di sekitar Sungai Jerteh telah menyedari pencemaran yang berlaku di sungai tersebut, namun mereka mengabaikannya kerana kurangnya sikap prihatin dan rendahnya tahap kecintaan terhadap alam sekitar. Oleh itu, dengan adanya rasa prihatin dan tanggungjawab dalam diri setiap penduduk, mereka akan lebih cakna dan menjaga kebersihan serta berganding bahu dalam usaha mereka untuk mengatasi masalah pencemaran sungai di Sungai Pinang ini agar tindak berlarutan. Usaha ini amatlah penting bagi menjaga kesejahteraan alam sekitar bagi dinikmati oleh generasi akan datang.

 

RUJUKAN

Hashim, M., Ismail, R., & Khalid, K. (2011). Isu dan pengurusan sisa pepejal di Pulau Pangkor,    Perak. Jurnal Perspektif, 3(1), 78-94.

Jabatan Alam Sekitar. (2013). Hentikan pencemaran sungai. Diperoleh daripada   http://www.doe.gov.my

Jabatan Alam Sekitar. (2017). Insiden pencemaran di Sungai Langat. Retrieved from       https://www.doe.gov.my

Mahadi, Z. & Yusof, N. (2003). Kesedaran alam sekitar: Tinjauan awal di kalangan pelajar            Universiti Kebangsaan Malaysia. Prosiding Seminar Kebangsaan Pengurusan           Persekitaran 2003. Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia

Poon, W.C., Herath, G., Sarker, A., Masuda, T., & Kada, R. (2016). River and fish pollution in      Malaysia: A green ergonomics perspective. Applied Ergonomics, 57, 80-93.

Wahab, A.H., & Yaacob, N. (2012). Pencemaran sungai: Analisis peruntukan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Kanun (Jurnal Undang-Undang Malaysia),    24(1), 77-93.

 Nama : Anis binti Zakaria

No Matrik : DXXXX1088238

Kumpulan : A

No comments:

Post a Comment