Monday, December 27, 2021

Kesan Pembangunan Sektor Perindustrian Terhadap Penduduk Di Kampung Bumbok, Kuching, Sarawak

 1.0 PENGENALAN 

Kampung Bumbok terletak di barat daya negeri Sarawak dan berada di dalam daerah Padawan. Kampung ini juga tidak terletak jauh dari bandar Kuching kerana hanya mengambil masa 20 hingga 30 minit tempoh perjalanan untuk sampai ke bandar dengan jarak 15.4 kilometer. Kampung Bumbok telah ditubuhkan pada sekitar tahun 1900 dan pada ketika itu belum banyak penempatan didirikan.  Kampung tersebut juga banyak didiami oleh suku kaum Bidayuh, juga terdapat kaum Melayu namun penduduknya tidak ramai berbanding pada masa kini. Hal ini menjadikan majoriti penduduk kampung adalah kaum Bidayuh. Walau bagaimanapun, seiring dengan perkembangan masa dan zaman, penduduk kampung kini mencatatkan kepelbagaian kaum dalam satu kampung seperti kaum Cina dan Iban. 


Kampung Bumbok adalah sebuah kampung yang luas, lebar dan panjang. Dengan adanya kawasan tanah yang luas dan tersendiri, penduduk kampung semakin ramai telah mendirikan sebuah rumah dalam setiap satu keluarga, malah dalam satu keluarga juga terdapat diantara mereka telah mendirikan sebanyak dua buah rumah. Ini menjadikan ramai penempatan telah didirikan pada masa kini seiring dengan pendapatan penduduk kampung yang semakin berkemampuan membina rumah berbanding membeli dan menyewa diluar. Ramai dalam kalangan penduduk kampung semakin memanfaatkan tanah hak milik untuk mendirikan sekurang-kurangnya sebuah rumah berbanding memilih untuk bercucuk tanam. Hal ini demikian kerana, rumah merupakan suatu keperluan pada masa kini. 


Oleh kerana penempatan semakin banyak didirikan disebabkan bilangan penduduk kampung yang semakin bertambah, kawasan Kampung Bumbok dilihat semakin padat. Kepadatan boleh dilihat dari segi penduduk, rumah dan bilangan kenderaan setiap keluarga. Penduduk kampung semakin bertambah dari tahun ke tahun yang mendorong kepada perkembangan pertumbuhan penduduk kampung sehingga menyebabkan rumah-rumah yang didirikan adalah berdekatan di antara satu rumah dengan rumah yang lain. Berbanding pada masa dahulu, kawasan tepi-tepi rumah masih mempunyai ruang yang belum diterokai atau didirikan penempatan. Semak belukar dan hutan-hutan juga masih terjaga.


Tidak ketinggalan juga, Kampung Bumbok mempunyai banyak kemudahan yang telah ditubuhkan. Antaranya ialah perpustakaan desa, dewan kampung, balai raya, kedai-kedai runcit yang didapati hampir seluruh kampung ditubuhkan. Juga terdapat gereja bagi umat-umat Kristian yang telah ditubuhkan sejak tahun 1980. Bukan itu sahaja, Kampung Bumbok turut mempunyai tabika dan sekolah rendah. Kelas Tabika Perpaduan Bumbok ini telah mula beroperasi pada tahun 1984 manakala sekolah rendah telah ditubuhkan bermula pada tahun 1950. Selain daripada kemudahan-kemudahan yang dinyatakan diatas, Kampung Bumbok mempunyai Pusat Penjaja Komuniti untuk penduduk kampung bagi mereka yang sudah mendaftar dan mempunyai lesen sahaja yang dibenarkan untuk berniaga.   


Seperti yang dapat dilihat di peta tersebut, kampung Bumbok dikelilingi dengan kawasan perhutanan. Namun demikian, kampung ini turut banyak dikelilingi dengan kawasan perindustrian dan juga terdapat kawasan perumahan telah dibina di dalam kawasan kampung. Kewujudan sektor-sektor perindustrian ini telah mengubah tahap sosioekonomi penduduk sekitar. Tidak dinafikan juga bahawa pembangunan sektor perindustrian tersebut telah memberi kesan positif terhadap sosioekonomi penduduk kampung. Pembangunan sektor perindustrian di sekitar kawasan Kampung Bumbok semakin berkembag pesat secara tidak langsung telah mengubah suasana persekitaran penduduk setempat dari segi sosial, ekonomi, alam sekitar serta akses kepada kemudahan infrastruktur. Tahun demi tahun, kampung ini akan menjadi sebuah kampung dalam bandar kerana kawasan sekelilingnya sudah mula dibangunkan dengan pelbagai pembinaan seperti perindustrian dan perumahan. 


Peta 1 : Kampung Bumbok

Gambar 1: Sektor perindustrian berhadapan simpang Kampung Bumbok


2.0 FAKTOR PEMBANGUNAN SEKTOR PERINDUSTRIAN 


Secara umumnya, pembangunan sektor perindustrian di kawasan Kampung Bumbok dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Faktor-faktor berikut telah mendorong kepada berlakunya kepesatan dalm sektor perindustrian. Antaranya ialah faktor kedudukan tapak yang strategik.  Kawasan sekitar kampung ini telah memberi manfaat kepada pengusaha kilang kerana pemilihan tapak yang jauh dari pusat bandar. Walaupun pelbagai sektor perindustrian dijalankan di kawasan yang  tidak tertumpu di pusat bandar, kawasan ini memudahkan perjalanan aktiviti barangan keluar masuk. Hal ini demikian kerana kawasan tersebut tidak mempunyai masalah jaringan pengangkutan dan jalan raya yang baik serta tidak sesak dengan kenderaan yang keluar masuk. Perkara ini menjadikan ianya salah satu peluang kepada sektor perindustian seperti perkhidmatan penghantaran barangan iaitu GDex dan J&T, kilang pemprosesan makanan dan minuman seperti Taka Cake House, pemprosesan kayu dan banyak lagi untuk bertapak di kawasan sekitar Kampung Bumbok. 

Gambar 1: Taka Cake House

Gambar 2: GDex


Bukan itu sahaja, pembangunan sektor perindustrian di sekitar kawasan Kampung Bumbok juga adalah disebabkan oleh faktor buruh. Pemilihan kawasan pembinaan sektor perindustrian ini juga dipengaruhi oleh penduduk. Hal ini kerana, penumpuan pembinaan di kawasan ramai penduduk akan menarik dan meningkatkan tenaga pekerja untuk bekerja di dalam sektor tersebut. Melihat pada masa kini, ramai dalam kalangan penduduk muda dan suri rumah mula bekerja dalam sektor perindustrian yang ditawarkan oleh pengusaha-pengusaha kilang tersebut. Malah ada dalam kalangan penduduk hanya berjalan kaki untuk sampai ke tempat kerja iaitu ke kawasan sektor perindustrian ini. Misalnya kilang pemprosesan makanan seperti Taka Cake House, minuman berkarbonat dan kilang pemprosesan kayu. Hal ini justeru kerana kedudukan sektor perkerjaan mereka hanya di sekitar kawasan kampung sahaja secara tidak langsung menjimatkan kos pengangkutan. Dengan tenaga buruh yang ramai ini justeru menjadikan salah satu faktor pembinaan sektor perindustrian semakin pesat dijalankan 

Gambar 3: Kilang minuman berkarbonat

Gambar 4: Kilang pemprosesan kayu

3.0 KESAN PEMBANGUNAN SEKTOR PERINDUSTRIAN 


Pembinaan sektor perindustrian yang dibangunkan di sekitar kawasan Kampung Bumbok justeru telah meninggalkan kesan terhadap penduduk malah juga di kawasan sekitarnya. Terdapat beberapa kesan yang jelas memberi impak dan perubahan hasil daripada pembangunan sektor tersebut. Antaranya ialah peningkatan peluang pekerjaan. Peningkatan bilangan sektor perindustrian yang dibangunkan di kawasan sekitar kampung telah memberi dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk Kampung Bumbok. Ramai dalam kalangan penduduk muda telah mengambil peluang untuk bekerja dalam sektor perindustrian di sekitar kawasan kampung terutamanya mereka yang baru sahaja tamat persekolahan. Penawaran tenaga kerja dalam pelbagai bidang seperti pengurusan industri, teknikal dan operator pengeluaran telah menarik lebih ramai penduduk untuk memohon pekerjaan. Hal ini turut membantu mengurangkan berlakunya lambakan pengganguran dalam kalangan penduduk setempat Dengan pembinaan sektor perindustrian yang tertumpu di kawasan ramai penduduk ini justeru telah mendatangkan manfaat kepada dua pihak iaitu pengusaha kilang serta penduduk kampung itu sendiri.  


Selain itu, kesan pembangunan sektor perindustrian tersebut turut membantu meningkatkan pendapatan perkapita penduduk. Peluang pekerjaan yang wujud dalam sektor-sektor tersebut justeru mendorong kepada peningkatan pendapatan penduduk melalui penawaran tenaga kerja. Walaupun hanya sekadar bekerja sebagai buruh, tetapi ramai penduduk kampung mengambil peluang ini agar dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Dengan jarak tempat kerja yang dekat dan menjimatkan kos pengangkutan, penduduk setempat juga dapat menerima pekerjaan yang bekerja dalam  bentuk syif dan juga bekerja lebih masa. Hal ini demikian telah membantu meningkatkan pendapatan penduduk kerana sanggup bekerja lebih masa. Melihat kepada kemajuan hidup penduduk kampung tahun demi tahun, ramai dalam kalangan mereka yang bekerja dalam sektor-sektor perindustrian di sekitar kawasan kampung tersebut telah mampu membeli kenderaan masing-masing. Malah, ada juga dalam kalangan mereka mampu mendirikan sebuah rumah hasil pendapatan bekerja sebagai buruh. Hal ini membuktikan bahawa pembangunan sektor perindustrian di sekitar kawasan Kampung Bumbok membantu meningkatkan pendapatan perkapita penduduk. Pembukaan sektor-sektor perindustrian yang pelbagai dan banyak di sekitar kawasan kampung telah menarik ramai penduduk setempat untuk memohon pekerjaan mengikut bidang kepakaran masing-masing.  


Walau bagaimanapun, pembangunan sektor-sektor perindustrian tersebut juga menimbulkan kesan pencemaran bunyi. Hal ini dikatakan demikian kerana, pembinaan tapak perindustrian ini telah mendatangkan pelbagai jenis bunyi dari kenderaan berat seperti lori muatan besar dan berat, jentera yang digunakan dan banyak lagi. Pencemaran bunyi ini jelas kedengaran apabila pembinaan bangunan untuk sektor ini mula beroperasi untuk mendirikan bangunan. Bukan sahaja pencemaran bunyi yang berlaku terhadap penduduk kampung tetapi juga terhadap murid sekolah. Pembinaan tapak perindustrian yang beroperasi ini adalah berhadapan dengan sekolah rendah. Hal ini justeru telah mengundang gangguan bunyi kepada murid-murid sekolah kerana sekitar kawasan kampung hampir dikelilingi dengan pembangunan sektor tersebut. Selain gangguan  bunyi daripada pengoperasian pembinaan tapak, kilang-kilang pembuatan kayu juga mengundang pencemaran bunyi. Terdapat beberapa kilang pembuatan kayu yang didirikkan sekitar kawasan kampung dan ianya terletak berhadapan seberang simpang Kampung Bumbok. Oleh itu, pembangunan sektor perindustrian yang dibina di sekitar kawasan kampung secara tidak langsung telah mengundang pencemaran bunyi terhadap penduduk setempat. 





4.0 RUMUSAN 


Pembangunan sektor-sektor perindustrian di sekitar kawasan Kampung Bumbok adalah didorong oleh beberapa faktor yang menjadikan ianya semakin berkembang pesat sehingga ke hari ini. Dengan kawasan dan kedudukan kawasan yang strategik telah mendatangkan kesan terhadap penduduk setempat. Penduduk justeru mendapat manfaat hasil dari pembangunan sektor perindustrian begitu juga terhadap kawasan sekitar tersebut. Kawasan sekitar kampung yang dahulunya dikelilingi dengan hutan kini hampir dikelilingi dengan pembinaan kilang-kilang perindustrian yang semakin bertambah setiap tahun. Dengan pembinaan sektor-sektor perindustrian ini justeru menggalakkan pembangunan kawasan yang berupaya menukarkan struktur ekonomi setempat yang bersifat tradisional kepada ekonomi moden. Melalui pembangunan sektor-sektor tersebut juga adalah salah satu langkah bagi membangunkan kawasan dan pembangunan infrastruktur yang akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk secara tidak langsung meningkatkan taraf hidup mereka. 


Nama: Martina Risap Anak Betar 

No. Matrik: D2019***1321

Kumpulan: C













No comments:

Post a Comment