Saturday, December 25, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: MASALAH PENCEMARAN AIR SUNGAI DI KAMPUNG SERI SENTOSA, BACHOK KELANTAN

1.0    PENGENALAN

Sungai merupakan sumber alam yang sangat penting untuk kehidupan manusia. Gasim (2013) menyatakan bahawa secara keseluruhannya, bumi mengandungi isipadu air yang terdiri daripada 93 peratus air laut, 2.5 peratus air bawah tanah, dua peratus sebagai litupan ais dan kurang daripada satu peratus merupakan air kepada sumber alam semula jadi yang wujud sebagai sungai, tasik, kolam dan air lembapan. Menurut Ismail (2010), sungai merupakan sumber alam yang penting dari segi sumbangannya kepada kehidupan manusia dan pembangunan negara. Hal ini kerana sungai adalah nadi sumber semula jadi yang membekalkan air bagi keperluan domestik, bekalan air pertanian, industri, pengairan, dan penjanaan tenaga hidro elektrik.

    Isu alam sekitar seperti pencemaran sungai bukan menjadi perkara yang asing lagi di Malaysia. Wahab dan Yaacob (2012) mentafsirkan pencemaran sungai sebagai perubahan yang berlaku terhadap air sama ada dari segi kualiti, rasa, bau dan lain-lain yang menjejaskan fungsinya sebagai sumber utama kehidupan seperti minuman kerana akan membahayakan kesihatan jika digunakan. Isu pencemaran sungai semakin mendapat perhatian di peringkat global dan juga tempatan.

    Pencemaran air ialah perubahan yang berlaku kepada air dari segi kandungan atau warna serta sifat-sifat kimia yang disebabkan oleh pelbagai bahan pencemar dalam pelbagai bentuk seperti pepejal, cecair dan gas. Ia merujuk kepada pencemaran jasad air seperti tasik, sungai, lautan, akuifer dan air bawah tanah, biasanya akibat kegiatan manusia. Dalam banyak kes, pencemaran air disebabkan oleh pembuangan air kumbahan kepada jasad air tanpa rawatan mencukupi. Pencemaran air boleh menyebabkan kemusnahan ekosistem akuatik. Sebaliknya, ini boleh membawa kepada masalah kesihatan awam, contohnya jika orang di hilir menggunakan air sungai yang tercemar yang sama untuk minum atau mandi. Ia juga boleh menjejaskan penggunaan air yang lain, seperti aktiviti pengairan.

    Pembangunan pesat dan tidak terkawal sering menimbulkan masalah kepada sungai-sungai terutamanya dari segi kuantiti dan kualiti air. Bilangan sungai yang tercemar semakin bertambah dengan status kualiti air yang semakin merosot. Kejadian banjir, pencemaran sungai, hakisan dan pemendapan sungai adalah antara beberapa masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan sungai-sungai. Isu-isu ini sering mendapat perhatian pihak media terutama akhbar dan media elektronik.

2.0    LOKASI KAJIAN (KAMPUNG SERI SENTOSA, BACHOK KELANTAN)

Kajian ini telah dijalankan di Kampung Seri Sentosa, Bachok Kelantan. Kampung Seri Sentosa ini berada di dalam daerah Tanjong Pauh. Daerah Tanjong Pauh ialah salah satu daerah yang terletak di dalam Jajahan Bachok. Di sebelah utara bersempadan dengan Daerah Tawang, disebelah selatannya Bekelam, disebelah timur Repek dan Perupok dan sebelah barat Jajahan Kota Bharu. Jarak daerah ini dengan bandar Bachok lebih kurang 6km dengan Bandar Kota Bharu pusat pentadbiran negeri ialah 18km. Luas Daerah Tanjung Pauh ialah 11.82 km persegi dan penduduknya ialah 11,000 orang sahaja. Majoriti penduduk di kampung ini adalah bangsa Melayu.

Rajah 1 : Peta Kampung Seri Sentosa

Nama Tanjong Pauh ialah sempena bagi nama sebuah kampung yang diduduki oleh Penggawa pada zaman pemerintahan British. Pada waktu itu kampung yang terpencil ini yang hanya didiami beberapa buah keluarga sahaja. Sebelum merdeka daerah ini sangat mundur dan terpencil kerana tiada jalan-jalan penghubung serta apa-apa kemudahan asas. Sungai adalah salah satu daripada jalan penghubung daerah ini dengan dunia luar. Lokasi ini telah dipilih untuk mengkaji masalah pencemaran air sungai yang terdapat di kampung ini. Terdapat beberapa maklumat yang telah dikumpul oleh pengkaji untuk dianalisis.

3.0    PENCEMARAN AIR SUNGAI DI KAMPUNG SERI SENTOSA

Secara umumnya, pencemaran alam sekitar meliputi pelbagai aspek seperti pencemaran udara, pencemaran bunyi, pencemaran laut, pencemaran tanah, pencemaran bau, pencemaran sungai dan lain-lain lagi. Pencemaran alam sekitar yang berlaku sudah semestinya akan memberi pelbagai kesan kepada kehidupan manusia termasuk dari segi kesihatan, ekonomi, keselamatan dan sebagainya. Dalam kajian ini, istilah pencemaran alam sekitar dan pencemaran sungai akan digunakan secara bergantian tetapi masih membawa maksud yang sama.

Rajah 2 : Sungai di Kampung Seri Sentosa

Jabatan Alam Sekitar (2013) menyatakan bahawa punca pencemaran sungai terdiri daripada punca tetap seperti pelepasan dari kawasan perindustrian dan dari loji pengolahan kumbahan serta punca tidak tetap seperti air larian dari gunatanah pertanian, kediaman, perdagangan perniagaan, industri, dan sebagainya. Chun et al. (2012) pula menyatakan bahawa pencemaran sungai adalah berpunca daripada pelepasan sumber pencemaran bukan titik (non-point sources) seperti pembuangan daripada sisa industri ke dalam sungai tanpa dirawat, pembuangan sampah sarap, pemendapan tanah yang berlaku kesan daripada pembangunan, perlombongan pasir sungai, penternakan haiwan dan aktiviti pertanian. Hal ini telah mengubah fungsi sungai sebagai keperluan air dan tebatan banjir (Chun et al., 2012; Weng et al., 2003). Kesan pencemaran sungai juga akan menyebabkan peningkatan kos ke loji rawatan air minum, peningkatan kos untuk memulihkan sungai, kepupusan hidupan akuatik, kemusnahan tempat rekreasi semula jadi, banjir kilat, terjejasnya aktiviti pelancongan dan kesihatan manusia (Chun et al., 2012)

Rajah 3 : Sungai di Kampung Seri Sentosa

Rashid dan Ghani (2007) menyatakan bahawa migrasi ke bandar akan mewujudkan penempatan setinggan yang akan memberi kesan kepada peningkatan kes jenayah dan masalah sosial, kedaifan hidup, taraf kesihatan yang lemah, kemiskinan dan tekanan hidup dan pencemaran alam sekitar. Amir (2006) pula menyatakan bahawa masyarakat setinggan yang tinggal di kawasan metropolitan akan mendatangkan pelbagai masalah terutama dalam peningkatan pencemaran alam sekitar dan memburukkan imej bandar. Mereka dipercayai membuang sisa domestik ke dalam sungai sehingga mengganggu ekosistem di kawasan sekitarnya (Amir, 2006). Adnan dan Demiyah (2017) pula menyatakan bahawa pembakaran terbuka, penebangan pokok secara besar-besaran dan pembuangan sampah atau sisa merata-rata telah mengakibatkan pelbagai jenis pencemaran termasuklah pencemaran sungai.

4.0    FAKTOR-FAKTOR PENCEMARAN AIR SUNGAI DI KAMPUNG SERI SENTOSA

Berdasarkan kepada pemerhatian oleh pengkaji mendapati bahawa terdapat beberapa faktor yang menjadi punca kepada pencemaran air sungai di Kampung Seri Sentosa. Faktor utama yang jelas dapat dilihat melalui sikap penduduk sendiri yang membuang sampah sarap ke dalam sungai. Pembuangan sisa pepejal ke dalam sungai di mana sesetengah penduduk kampung yang mengambil jalan mudah dengan cara membuang sampah ke dalam sungai. Mereka menganggap sungai sebagai tong sampah dan akhirnya sungai menjadi kotor dan banyak hidupan akuatik yang pupus. Pelepasan sampah ke dalam sungai akan menjejaskan penembusan sinaran matahari dan kadar kandungan oksigen yang terlarut dalam air. Alga dan lelumut yang menjadi sumber makanan hidupan akuatik juga akan terjejas. Akibatnya kelangsungan rantaian makanan hidupan sungai musnah.

Rajah 4 : Pembuangan Sampah Ke Dalam Sungai

Rajah 5 : Pembuangan Sampah di Kawasan Berdekatan dengan Sungai

Selain itu, aktiviti pertanian yang dijalankan oleh penduduk di Kampung Seri Sentosa juga menyebabkan pencemaran sungai. Aktiviti pertanian seperti penanaman padi yang memerlukan penggunaan baja kimia dan kesan daripada aktiviti tersebut menyebabkan lebihan bahan baja kimia tersebut mengalir ke sungai yang berhampiran. Dalam masa yang sama, penggunaan racun serangga yang berlebihan dari aktiviti pertanian itu juga menyebabkan pencemaran serta menjejaskan kualiti air sungai di kampung ini.

Rajah 6 : Penanaman Padi di Kampung Seri Sentosa

Rajah 7 : Kawasan Pertanian Padi di Kampung Seri Sentosa

Akhir sekali, kurangnya pemantauan dan langkah penguatkuasaan yang lemah. Sebagai contohnya, pihak berwajib tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin, pihak berwajib menghadapi masalah kekurangan pegawai dan pihak yang melakukan kesalahan jarang-jarang dikenakan tindakan. Sikap penduduk kampung yang tidak prihatin kerana mereka tidak mempunyai kesedaran betapa pentingnya sungai kepada kehidupan manusia. Mereka juga kurang mengetahui kesan buruk pencemaran sungai. Pencemaran sungai yang dilakukan oleh pihak lain hanya dipandang sebelah mata oleh penduduk Kampung Seri Sentosa.

5.0    KESAN PENCEMARAN AIR SUNGAI DI KAMPUNG SERI SENTOSA

Pencemaran air sungai boleh menjejaskan kehidupan manusia, haiwan dan benda tidak hidup di atas permukaan bumi. Pengetahun tentang impak negatif terhadap benda hidup dan benda tidak hidup wajib diketahui untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian setiap individu manusia. Ini penting bagi mengelakkan pencemaran air daripada terus berlaku. Antara kesan pencemaran air adalah menjejaskan kesihatan, kepupusan hidupan akuatik dan menjejaskan faktor-faktor lain.

    Kesan utama pencemaran air sungai ini kepada penduduk kampung adalah dapat menjejaskan kesihatan mereka. Pencemaran air boleh menyebabkan kuantiti sumber air berkurangan dan menyebabkan penyebaran bakteria, virus dan parasit melalui bahan buangan. Selain itu, pencemaran air juga boleh menyebabkan penyakit bawaan air seperti cirit-birit, sakit perut dan keracunan makanan meningkat. Selain itu, pencemaran air akan menjejaskan binatang akuatik atau marin seperti ikan, udang, batu karang, penyu dan sebagainya serta merosakkan tumbuhan air seperti rumpai, pokok bakau, dan sebagainya. Air yang beracun akan mengurangkan kadar oksigen dalam air dan mengganggu kualiti ekosistem secara keseluruhan. Kepupusan tumbuhan air akan menjejaskan kuantiti spesies ikan dan menjejaskan rantaian makanan yang lain.

    Selain itu, kesan terhadap kepupusan hidupan akuatik. Pencemaran air sungai ini akan menjejaskan binatang akuatik atau marin seperti ikan serta merosakkan tumbuhan air seperti rumpai, pokok bakau, dan sebagainya. Air yang beracun akan mengurangkan kadar oksigen dalam air dan mengganggu kualiti ekosistem secara keseluruhan. Kepupusan tumbuhan air akan menjejaskan kuantiti spesies ikan dan menjejaskan rantaian makanan yang lain. Dalam masa yang sama, pencemaran sungai juga menyebabkan aktiviti rekreasi seperti berenang, memancing, melihat pemandangan sungai dan lain-lain sukar dijalankan.

6.0    LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN AIR SUNGAI DI KAMPUNG SERI SENTOSA

Antara usaha yang terbaik yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah pencemaran air ini adalah dengan pihak berwajib, NGO dan pihak swasta mestilah menganjurkan kempen 'Cintailah Sungai Kita' secara berterusan dan secara terbuka kepada orang ramai dan penduduk di sekitar kawasan kampung ini. Hal ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada penduduk kampung tentang kepentingan air bagi kegunaan seharian.

    Seterusnya, kerap mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan sungai yang melibatkan semua penduduk kampung. Aktiviti sebegini sesuai untuk dijalankan di kawasan kampung kerana boleh diketuai oleh ketua kampung supaya dapat membersihkan kawasan sekitar sungai yang tercemar di kampung ini. Hal ini dapat menangani masalah sungai yang kotor. Gotong-royong juga diharapkan dapat memupuk perasaan cinta akan sungai.

    Bagi memastikan air sungai sentiasa bersih, penduduk perlulah menghentikan pembuangan sisa sampah terus ke dalam saliran dan sungai. Penduduk perlu mengambil berat mengenai sistem perparitan yang terdapat di kampung ini dengan menjaganya dengan baik agar tidak tersumbat dengan sampah sarap. Selain itu, penduduk juga boleh membina serta menaik tarat sistem rawatan sisa kumbahan yang lebih efisien. Hal ini bertujuan untuk mengurangkan sisa baja kimia yang terhasil oleh aktiviti pertanian terutamanya aktiviti penanaman padi oleh penduduk kampung. Demi memelihara kebersihan sungai, para penduduk kampung perlulah kerjasama untuk menjaga sungai daripada tercemar.

7.0    KESIMPULAN

Kesimpulannya, sumber air merupakan sumber alam semula jadi yang sangat diperlukan oleh semua organisma dan bukan organisma untuk meneruskan kehidupan seharian. Perkembangan dan kemajuan yang menuju ke arah permodenan telah menyebabkan kualiti dan kuantiti sumber air semakin berkurangan. Pelbagai aktiviti manusia secara langsung atau tidak langsung telah menyebabkan pelbagai kerosakan terhadap sumber air. Pencemaran air di Kampung Seri Sentosa ini terutamanya air sungai boleh dikatakan berada pada tahap yang agak membimbangkan. Aktiviti pertanian dan juga sikap penduduk kampung yang membuang sampah sarap ke dalam air sungai telah menjadi faktor utama kepada pencemaran air sungai di Kampung Seri Sentosa Sikap penduduk yang tamak dan mementingkan diri sendiri menyebabkan pencemaran air sungai terus berlaku. Oleh itu, penduduk di Kampung Seri Sentosa perlu mengambil langkah dan inisiatif yang berkesan untuk mengurangkan faktor penyumbang kepada pencemaran air sungai agar kualiti sumber air di kampung ini dapat dijaga dengan sebaiknya.

RUJUKAN

Ang Kean Hua. (2015). Kualiti sumber air di Malaysia. Malaysia Journal of Society and Space. 11(6), 98-108. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/9195/

Hamidi Ismail, Tuan Pah Rokiah Syed Hussain & Raman Mariyappan. (2011). Sikap komuniti setinggan tebingan sungai: Pencemaran alam sekitar dan pengurusannya. Jurnal Perspektif. 3(1), 1-12. Diperoleh daripada https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/PERS/article/view/1587

Mohd Yusof Abdullah, Latiffah Pawanteh, Sharifah Mastura Abdullah & Normah Mustaffa.(2010). Kesedaran dan sikap komuniti dalam pengurusan persekitaran di Wilayah Iskandar, Johor. Jurnal Melayu. 5, 71-86. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/3019/

Nur Syuhada Mustakim, Muhammad Wafi Ramli & Chan Ngai Weng. (2019). Kesedaran komuniti terhadap isu pencemaran sungai di Sungai Pinang, Pulau Pinang. Malaysia Journal of Society and Space. 15(3), 28-39. Diperoleh daripada http://ejournals.ukm.my/gmjss/article/view/32099

Hentikan Pencemaran Sungai. Diakses pada 20 Disember 2021 melalui https://www.doe.gov.my/portalv1/wp-content/uploads/2018/09/v-Hentikan-Pencemaran-Sungai.pdf


PENULIS: NUR FATIN AINI BINTI AB HALIM

NO. MATRIK: D2018xxx6126

KUMPULAN KULIAH: C


No comments:

Post a Comment