Saturday, December 25, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: IMPAK KEMUDAHAN SOSIAL KEPADA PENDUDUK DI KUALA BERANG, TERENGGANU


Pengenalan

Kemudahan sosial merupakan suatu penyediaan perkhidmatan dan rangkaian yang digunakan untuk memenuhi keperluan asas penduduk di sesuatu tempat. Kemudahan-kemudahan yang disediakan adalah untuk memberikan kepuasan kepada penduduk supaya dapat menjalani kehidupan seharian dengan baik dan lancar. Antara contoh kemudahan sosial ialah balai polis, jaringan pengangkutan dan banyak lagi. Dalam konteks ini, kemudahan sosial sangat penting kerana ia merupakan salah satu nadi kehidupan manusia pada masa ini untuk melakukan aktiviti harian. Hal ini dikatakan demikian kerana kualiti hidup manusia lebih banyak bergantung kepada kemudahan sosial dan kemudahan insfrastuktur apabila negara telah mengalami perubahan terutamanya dari segi penggunaan teknologi. Oleh itu, terdapat banyak kemudahan sosial yang disediakan bagi memudahkan kerja penduduk di suatu kawasan.
    Penduduk ialah bilangan manusia yang mendiami sesuatu kawasan atau ruang bumi dalam masa tertentu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2021), penduduk ialah orang yang menduduki sesuatu daerah (tempat, negeri, dan lain-lain). Secara umumnya, penduduk ialah mereka yang membentuk kumpulan atau kelompok manusia yang menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial di sesuatu kawasan. Dengan demikian, apabila mereka mendiami sesuatu kawasan tersebut, maka terbentuklah suatu petempatan.
    Kuala Berang sememangnya merupakan tempat yang mempunyai pelbagai peristiwa yang bersejarah dan menarik. Kuala Berang adalah sebuah pekan di daerah Hulu Terengganu berjarak kira-kira 39.7 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu. Tambahan pula Kuala Berang merupakan pekan terbesar di Hulu Terengganu dan berfungsi sebagai gerbang ke Tasik kenyir. Sedikit sejarah tentang Kuala Berang iaitu terdapat penemuan Batu Bersurat Terengganu yang ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat pada tahun 1899. Hal ini telah membuktikan agama suci, iaitu agama Islam telah sampai ke negeri Terengganu Darul Iman sebelum tahun 1326 atau tahun 1386 lagi.


Gambar 1: Peta Kuala Berang


Gambar 2: Kuala Berang

Penyediaan kemudahan sosial sudah semestinya memberikan manfaat dan impak kepada penduduk. Sejurus dengan pembangunan yang pesat di negara Malaysia, terdapat pelbagai kemudahan sosial yang disediakan oleh pihak yang berwajib bagi membantu dan memberikan keselesaan kepada penduduk. Terdapat beberapa kemudahan sosial di Kuala Berang yang telah disediakan oleh pihak kerajaan dan pihak swasta, antaranya ialah jaringan jalan raya, hospital, klinik, pengangkutan awam dan banyak lagi. Kemudahan ini sememangnya disediakan adalah untuk kegunaan orang ramai. Hal ini dikatakan demikian kerana ia diwujudkan adalah bertujuan untuk memastikan supaya penduduk tidak ketinggalan khususnya dalam pembangunan negara. Pembangunan negara adalah penting kerana ia dilihat dari pelbagai sudut dan seiring dengan perkembangan pembangunan di bandar.

Jaringan Jalan Raya


Gambar 3: Jambatan Kampung Dusun, Kuala Berang

Kemudahan jaringan jalan raya di Kuala Berang telah berubah seiring dengan kemajuan teknologi. Jaringan kemudahan jalan raya yang baik dapat meningkatkan darjah ketersampaian penduduk dengan adanya kemudahan pengangkutan berikutan dengan perhubungan. Terdapat jalan baharu yang telah dibina bermula pada tahun 2014 hingga 2015 dan siap sepenuhnya pada tahun 2016. Jalan tersebut menghubungkan antara Kampung Dusun dan Kampung Kuala Pueh di Kuala Berang. Dengan adanya kemudahan tersebut penduduk dapat memendekkan jarak perjalanan daripada 18 kilometer kepada 1.8 kilometer untuk ke pekan Kuala Berang. Berdasarkan kajian separuh penggal, Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000), mendapati bahawa tahap pencapaian kemudahan di Malaysia adalah amat memuaskan. Hal ini jelas bahawa jaringan jalan raya sangat penting dari pelbagai aspek. Contohnya untuk menghubungkan penduduk ke tempat kerja, sekolah, institusi pengajian dan lain-lain. Oleh itu, perhubungan jaringan jalan raya sangat penting pada masa ini kerana mampu memberikan manfaat kepada penduduk di samping dapat mengatasi masalah ketidakseimbangan yang nyata dalam pembangunan sosio.

Sekolah


Gambar 4: Sekolah Kebangsaan Padang Setengge

Sekolah merupakan institusi formal yang diwujudkan bertujuan untuk menyerapkan fungsi-fungsi sosialisasi dan budaya dalam kalangan pelajar. Anjakan ketiga dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah untuk melahirkan rakyat yang menghayati nilai (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2012). Dianggarkan sebanyak 34 buah sekolah telah dibina di Kuala Berang termasuklah sekolah rendah dan sekolah menengah. Pembinaan sekolah yang semakin meningkat adalah untuk menampung peningkatan penduduk yang semakin ramai. Pada Januari 2014, Sekolah Kebangsaan Padang Setengge telah beroperasi sepenuhnya. Jika diperhatikan pada tahun-tahun sebelumnya, penduduk di kawasan sekitar yang terlibat akan menghantar anak-anak bersekolah di SK Pauh, di mana akan mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke destinasi. Oleh itu, terdapat inisiatif yang dilakukan oleh pihak kerajaan dengan membangunkan sekolah baharu bagi membendung masalah tersebut.

Pengangkutan Awam

Di Kuala Berang juga mempunyai kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan teksi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan pengangkutan awam dapat menjimatkan kos berbanding menggunakan kenderaan sendiri. Contohnya tiket bas dari Kuala Berang ke Tanjung Malim hanya memakan kos sebanyak RM55 sahaja, manakala jika menggunakan kenderaan sendiri akan memakan kos lebih daripada RM55. Kewujudan kemudahan pengangkutan awam ini telah banyak memberikan manfaat kepada penduduk terutamanya dalam merancang perjalanan. Selain itu, kemudahan ini juga diwujudkan adalah untuk mempopularkan lagi pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat di samping dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas jalan raya dan pembebasan gas karbon dioksida di udara. Menurut Abd Rahim dan Nor Ghani (2006), pengurangan pergantungan kepada kenderaan bermotor adalah satu elemen penting dalam pengurusan alam sekitar bandar. Oleh itu, pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas menyediakan fleksibiliti yang begitu besar dalam memenuhi permintaan penduduk di Kuala Berang. Hal ini kerana majoriti penggunaan pengangkutan awam seperti bas merupakan salah satu pengangkutan awam yang paling aktif bukan sahaja di Kuala Berang bahkan di seluruh Malaysia kerana kos tambang yang sangat murah.


Gambar 5: Stesen bas Kuala Berang

Hospital dan Klinik

Hospital merupakan tempat bagi pesakit diberi jagaan dan rawatan perubatan, pembedahan dan lain-lain. Manakala klinik ialah tempat untuk memberi diagnosis dan merawat pesakit luar (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2021). Hospital dan klinik di Kuala Berang telah dibina sejak dahulu lagi. Hal ini bagi menyediakan perkhidmatan dan kemudahan kepada seluruh penduduk untuk mendapatkan rawatan yang lebih cekap. Berdasarkan temu bual yang dijalankan terhadap seorang penduduk iaitu Puan Zainab, beliau menyatakan bahawa kemudahan hospital dan klinik memudahkan beliau mendapatkan rawatan penyakit yang sedang dihidapinya. Menurutnya lagi pada setiap bulan beliau akan mendapatkan ubat-ubatan di klinik untuk menyembuhkan penyakitnya. Penyediaan kemudahan ini sangat penting kerana ia melibtakan penjagaan kesihatan penduduk. Kadar kesihatan penduduk perlu dijaga dengan baik. Hal ini dikatakan demikian kerana penduduk juga dikenali sebagai sumber. Contohnya dari sudut perspektif ekonomi, penduduk merupakan bahan atau input yang penting kepada seluruh komuniti atau negara kerana mereka mempunyai kelebihan dan kekuatan yang tersendiri terutamanya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Oleh itu, dengan adanya kemudahan hospital dan klinik dapat menjaga dan merawat pesakit.


Gambar 6: Klinik Kesihatan Kuala Berang


Gambar 7: Hospital Hulu Terengganu

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat pelbagai kemudahan sosial yang diwujudkan bagi memberikan manfaat dan memudahkan manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Rata-rata lapisan masyarakat di Kuala Berang kebanyakannya telah menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan mahupun swasta bagi meringankan beban penduduk. Jika dikaji sehingga ke akar umbi, kemudahan sosial telah memberikan impak yang sangat besar kepada penduduk di samping dapat meningkatkan lagi pembangunan negara.


Rujukan

Abd Rahim & Nor Ghani. (2006). Empowering Public Transport for Urban Environmental Management. Malaysian Journal of Environmental Management, 7(2006), 93-111.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2021). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Penulis: Intan Mastura binti Mohd Radzi

No. Matrik: D20191087786

Kumpulan: A

No comments:

Post a Comment