Sunday, December 26, 2021

 

KESAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) KEPADA PENIAGA DI WAKAF CHE YEH, KELANTAN

Disediakan oleh: Nur Anis Amira binti Zawawi

No matrik.: D20191087890

 Kumpulan : B

Pasar malam Wakaf Che Yeh sering dijadikan perhatian oleh pelancong sama ada di luar negara mahupun di dalam negara. Kampung Wakaf Che Yeh terletak di Kota Bharu, Kelantan dan jaraknya daripada bandar Kota Bharu ialah lebih kurang 7km. Pasar Malam Wakaf Che Yeh merupakan satu destinasi tempat membeli belah yang sangat terkenal di Kelantan. Pasar Wakaf Che Yeh beroperasi pada pukul 6 pagi hingga 2 petang sebagai pasar pagi. Pasar pagi Wakaf Che Yeh menjual pelbagai barangan basah seperti ikan, ayam, udang, ketam, daging dan sebagainya. Tidak lupa juga barang keperluan dapur dan juga kuih muih. Setelah itu, lebih kurang pkul 5 petang, pasar Wakaf Che Yeh mula beroperasi sebagai pasar malam hingga subuh.

Terdapat pelbagai jualan yang dijual di pasar malam ini seperti pakaian wanita, pakaian lelaki, beg wanita dan juga lelaki, tudung dan pelbagai lagi aksesori yang lain. Gerai-gerai makanan juga dibuka kepada pelancong dan pelbagai makanan yang dijual, termasuk juga makanan tradisi Kelantan seperti nasi kerabu. Selepas subuh, pasar pagi pula akan beroperasi. Dengan kata lain, pasar Wakaf Che Yeh “hidup” selama 24 jam. Hal ini dikatakan demikian kerana, pasar Wakaf Che Yeh tidak putus menerima kunjungan dari pelancong terutamanya pada hujung minggu dan juga pada hari perayaan. Jalan raya menjadi sesak disebabkan kenderaan yang berpusu-pusu masuk ke dalam pasar Wakaf Che Yeh.

Rajah 1: Kawasan meletak kenderaan di Pasar Malam Wakaf Che Yeh


Rajah 2: Pasar pagi Wakaf Che Yeh


Namun demikian, ianya berubah sekelip mata apabila negara kita dilanda wabak Corona Virus atau lebih dikenali sebagai COVID-19. COVID-19 merupakan penyakit berjangkit yang berpunca daripada virus yang baru muncul dan ditemui. Pesakit COVID-19 terutamanya golongan warga emas dan mempunyai masalah penyakit lain mudah dijangkiti virus ini. Mereka sering mengalami gejala demam, sukar bernafas dan hilang selera makan sehingga memerlukan rawatan di hospital. Virus COVID-19 telah menyebabkan ramai kematian di negara kita. Hari demi hari, bilangan masyarakat yang dijangkiti Virus COVID-19 semakin meningkat dan bilangan kematian juga semakin bertambah. Demi mengelakkan perebakan virus ini, pihak kerajaan telah mengambil langkah untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada semua negeri di Malaysia. PKP merupakan sekatan yang dilakukan secara menyeluruh oleh kerajaan, di mana kerajaan menyekat sebarang aktiviti yang melibatkan perhimpunan orang ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan juga budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan juga premis perniagaan diarahkan tutup kecuali pasar raya, pasar awam dan kedai runcit yang menjual keperluan harian. Bukan itu sahaja, kerajaan juga telah menutup semua taska, sekolah kerajaan, sekolah swasta dan juga larangan daripada keluar negeri.  

Kes COVID-19 di negara kita semakin hari semakin runcing, maka Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan. Kes semakin bertambah dan Kementerian Kesihatan (KKM) mendakwa terpaksa menambah kapasiti di hospital. Jumlah katil dan mesin pernafasan juga tidak mencukupi dengan jumlah pesakit waktu kini. Walaupun perintah ini berat dilakukan kerana memberi impak bukan sahaja kepada ekonomi tetapi kepada politik dan sosial, tetapi PKP perlu dilaksanakan demi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

Sememangnya PKP memberi kesan yang positif kepada perebakan COVID-19. Dengan perintah ini, virus COVID-19 dapat dikurangkan. Hal ini kerana masyarakat hanya duduk di rumah sekiranya tiada urusan di luar. Mereka juga dilarang untuk keluar melainkan mempunyai urusan yang penting. Namun begitu, di Malaysia, sektor perniagaan kecil adalah salah satu sektor yang sangat terkesan disebabkan oleh PKP. Hal ini dikatakan sedemikian kerana ianya akan menjejaskan pendapatan yang diperoleh oleh peniaga kecil terutamanya di luar bandar. Perintah Kawalan Pergerakan yang dilakukan oleh kerajaan ini sangat memberi impak kepada peniaga-peniaga. Contohnya peniaga-peniaga di pasar Wakaf Che Yeh. PKP telah menyebabkan mereka kehilangan pendapatan.







Langkah yang diambil oleh kerajaan untuk penutupan dan penyekatan sosial telah memberi ancaman ke atas pekerjaan terutamanya kepada peniaga-peniaga kecil. Semasa PKP, peniaga-peniaga di Wakaf Che Yeh di Kota Bharu, Kelantan tidak dapat menjalankan perniagaan mereka seperti biasa terutamanya peniaga pasar malam. Peniaga pasar malam di Wakaf Che Yeh sepanjang PKP sudah kehilangan sumber pendapatan. Keadaan tersebut menyebabkan kehidupan mereka tersimpit dengan adanya hutang-hutang seperti sewa rumah, ansuran kerea, bil air, bil elektrik dan tidak lupa juga keperluan seharian keluarga mereka. Kehidupan mereka sepanjang PKP telah menyebabkan kehidupan mereka semakin lama semakin terhimpit dengan bebanan hutang dan juga keperluan seharian. Contohnya, jika sebelum PKP pendapatan mereka dalam RM2000-4000 sebulan, namun kini mereka telah hilang pendapatan sejak mereka tidak dibenarkan untuk beroperasi. Tidak lupa juga dengan peniaga yang dibuang kerja kerana majikan tidak mampu membayar gaji disebabkan oleh keadaan PKP buat masa itu.

Disebabkan oleh keadaan PKP yang semakin hari membuatkan peniaga-peniaga di Wakaf Che Yeh semakin hilang punca pendapatan, ada sesetengah peniaga mengambil inisiatif lain untuk mencari rezeki. Antaranya ialah menjalankan perniagaan secara atas talian ataupun dikenali sebagai berrniaga ‘online’. Ramai peniaga di Pasar Malam Wakaf Che Yeh meneruskan perniagaan mereka dengan mempromosikan produk jualan mereka menerusi platform media sosial seperti Facebook, Tiktok, Shopee, Lazada dan sebagainya. Merela juga tampil dengan cara baharu. Peniaga-peniaga sekarang menghadapi cabaran bagi memastikan produk jualan mereka laku dan kekal relevan. Oleh itu, kebanyakan peniaga sering menggunakan pelbagai strategi jualan termasuk cara pengiklanan yang lebih kreatif dan memanfaatkan media sosial terutamanya Tiktok dan Instagram. Masyarakat mula tertarik dengan kepelbagaian mereka menggunakan pelbagai strategi dan teknik penjualan sehingga menyebabkan ramai yang mula membeli secara atas talian. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, pada waktu PKP, masyarakat lebih kerap meluangkan masa dengan media sosial memandangkan mereka tidak dibenarkan untuk bekerja dan keluar daripada rumah sekiranya tiada keperluan dan alasan. Ini merupakan cara yang terbaik untuk memaparkan perniagaan mereka di media sosial. Selain itu juga, peniaga di Wakaf Che Yeh juga diberi kesempatan untuk berniaga di salah satu premis perniagaan secara percuma iaitu Platinum Mall di Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan. Peluang ini sangat besar kepada peniaga-peniaga Wakaf Che Yeh untuk direbut bagi membuka lembaran baharu selepas tidak dapat berniaga di pasar Wakaf Che Yeh. Mereka ingin menarik taraf perniagaan bagi memberikan lebih banyak motivasi dan semangat untuk berjaya pada masa yang akan datang.




Selain itu juga, mereka juga mula mencari rezeki dengan melakukan pekerjaan lain seperti rider GrabFood, FoodPanda dan lain-lain lagi. Perkhidmatan ini sememangnya mendapat sambutan yang hangat semasa musim PKP berlangsung. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, masyarakat hanya memesan makanan, minuman dan bermacam-macam lagi hanya melalui aplikasi dan hanya menunggu rider untuk menghantar barang tersebut ke rumah. Masyarakat banyak menggunakan perkhidmatan ini kerana mengelakkan untuk keluar dari rumah dan dapat mengelakkan jangkitan virus COVID-19. Perkidmatan ini majoritinya dilakukan oleh anak-anak muda yang asalnya berniaga dan perlu mencari lubuk rezeki yang lain disebabkan oleh PKP.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan juga turut memberikan ‘sinar’ kepada peniaga-peniaga dengan memberikan pelbagai bantuan kepada mereka. Pelbagai bantuan dan juga insentif kewangan yang dihulurkan oleh kerajaan sejak PKP untuk membantu mereka dari segi kewangan setelah dihimpit akibat pandemic COVID-19. Contohnya, kerajaan pada 28 Jun mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan menambah peruntukkan RM2 bilion sebagai dana untuk PKS dan usahawan mikro. Selain itu, kerajaan telah memberikan bantuan tunai secara one-off dan program skim pembiayaan bersasar memberi peluang untuk mereka meneruskan perniagaan masing-masing. Penjaja kecil seperti di Wakaf Che Yeh khususnya sangat terkesan disebabkan pelaksanaan PKP bagi mencegah perebakan COVID-19. Perniagaan mereka kebanyakannya tertumpu kepada pembelian orang ramai secara fizikal.

Secara kesimpulannya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan sememangnya memberi kesan yang buruk kepada peniaga-peniaga tidak terkecuali peniaga-peniaga di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan. Impak-impak negatif seperti sumber pendapatan terjejas, kehilangan pekerjaan dan pelbagai lagi. Walaupun begitu, peniaga-peniaga di Wakaf Che Yeh turut mencari inisiatif lain untuk menyara hidup sama ada yang bujang mahupun yang sudah berumah tangga. Inisiatif seperti mula berniaga online dan melakukan servis perkhidmatan dan lain-lain lagi. Tidak lupa juga bantuan oleh pihak kerajaan yang sangat membantu mereka yang dalam kesusahan akibat pandemik COVID-19 yang sedang melanda dan merebak di negara kita.

 

 

 

 

 

Rujukan

Rima Abdul Rahman, Harifah Mohd Noor & Adilah Md Ramli. (2021). Cabaran dan Kelangsungan Pengusaha Makanan Kecil dalam Pandemik Covid-19. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH). 6(12), (13 - 23). Diperoleh daripada https://www.msocialsciences.com/index.php/mjssh/article/view/1206

Sinar Harian. (2020,16 Jun). Kelantan belum izin pasar malam dibuka: MB. Portal Rasmi Kerajaan Negeri Kelantan. https://www.kelantan.gov.my/index.php/component/content/article/105-blog/keratan-akhbar-online/362-kelantan-belum-izin-pasar-malam-dibuka-mb?Itemid=707

Sinar Harian. (2021, Disember 12). Berniaga Secara Percuma di Platinum Mall. https://www.sinarharian.com.my/article/177441/EDISI/Berniaga-secara-percuma-di-Platinum-Mall

Siti Masayu Rosliah Abdul Hassan & Fatimah Hassan. (2020), Amalan dan Penglibatan Peniaga Kecil melalui Perniagaan Digital Semasa Pandemik COVID-19 di Malaysia. Diakses pada 12/12/2021 dari https://ojs.upsi.edu.my/index.php/GEOG/article/view/4197







No comments:

Post a Comment