Sunday, December 12, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: Faktor Yang Mempengaruhi Pertumbuhan Penduduk Di Kampung Mesilou, Kundasang.

 

Pertumbuhan penduduk merupakan penambahan atau pengurangan jumlah penduduk yang dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti kadar kelahiran, kematian dan migrasi. Pertumbuhan penduduk juga boleh dirujuk kepada perubahan saiz populasi penduduk di sesebuah kawasan atau tempat. Perubahan pertumbuhan penduduk ini boleh menjadi positif, negatif dan tidak berubah langsung atau sifar. Apabila tiada perubahan saiz berlaku maka ia dirujuk sebagai pertumbuhan penduduk sifar. Pertumbuhan penduduk positif adalah merujuk kepada negara yang mengalami kadar kelahiran melebihi kadar kematian. Manakala, pertumbuhan penduduk negatif pula merujuk kepada negara-negara yang memiliki jumlah kematian yang lebih tinggi atau lebih banyak daripada jumlah kadar kelahiran bahkan lebih banyak daripada jumlah kadar kematian dan kelahiran. Angka ini tidak termasuk kesan imigrasi atau emigrasi di negara tersebut. Pertumbuhan penduduk juga berlaku di Kampung Mesilou, Kundasang Ranau yang mana dilihat mengalami pertambahan jumlah penduduk yang disebabkan oleh beberapa faktor. Oleh hal yang demikian, sebuah kajian telah dilakukan oleh pengkaji untuk mengkaji faktor pertumbuhan penduduk di Kampung Mesilou, Kundasang Ranau.

KAMPUNG MESILOU KUNDASANG, SABAH

Kampung Mesilou merupakan sebuah kawasan perkampungan yang terletak di Kundasang, Ranau Sabah. Kampung Mesilou terletak kira-kira 100 kilometer daripada Kota Kinabalu. Kampung Mesilou juga terkenal dengan kepelbagaian aktiviti ekonomi terutamanya kegiatan pelancongan yang dijalankan oleh penduduk setempat. Selain daripada aktiviti pelancongan, aktiviti pertanian Tanah Tinggi, Pusat Peranginan serta perniagaan gerai sayur dan bunga juga turut menjadi perhatian para pelancong yang datang. Perkembangan industri pelancongan di Kampung Mesilou, Kundasang ini berpotensi untuk dimajukan kerana dilihat dapat menyumbang kepada pelbagai impak positif terhadap penduduk terutamanya peningkatan taraf hidup penduduk. Kampung Mesilou, Kundasang juga memiliki suasana yang tenang dan cantik yang mana dapat menarik ramai pelancong daripada dalam mahupun luar negara. Tambahan pula, orang ramai dapat melihat keindahan Gunung Kinabalu daripada Kampung Mesilou. Kewujudan Gunung Kinabalu di Kundasang merupakan antara tarikan utama pelancong yang datang ke Kundasang, Ranau kerana ia merupakan sebuah gunung pluton yang tertinggi di Malaysia malah juga tersenarai dalam senarai gunung tertinggi di Rantau Nusantara selain Pulau Papua.

Peta 1: Kedudukan Kampung Mesilou, Kundasang

 

Rajah 1: Kawasan Perkampungan Kampung Mesilou, Kundasang

 

Rajah 2: Pemandangan Gunung Kinabalu

Kepesatan industri pelancongan di Kampung Mesilau, Kundasang merupakan faktor utama pertumbuhan penduduk berlaku. Kampung Mesilou, Kundasang merupakan sebuah kawasan perkampungan terletak di Kundasang, Ranau yang terkenal dengan kawasan pelancongan kerana memiliki pemandangan yang indah, kawasan hiking, laluan mendaki Gunung Kinabalu, kawasan penternakan lembu (Desa Cattle Dairy Farm), kawasan pertanian, kawasan pembangunan inap desa dan banyak lagi. Menurut Rosmin & Katiman (2014), kegiatan ekonomi seperti aktiviti perniagaan, perindustrian, pengangkutan dan perkhidmatan boleh mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan sesebuah bandar. Kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh penduduk setempat dilihat menjadi pendorong kepada pertumbuhan di kampung tersebut. Kegiatan pelancongan yang dijalankan oleh penduduk setempat ini telah menyebabkan ramai pelancong datang untuk menikmati keindahan pemandangan serta merasai udara sejuk di Kundasang. Kepesatan aktiviti pelancongan ini sekaligus telah membuka banyak peluang pekerjaan terutamanya dalam industri pelancongan khususnya sektor perkhidmatan. Oleh hal yang demikian, keadaan ini telah menyebabkan berlaku migrasi penduduk sama ada daripada bandar mahupun luar bandar yang berhijrah atau berpindah ke Kampung Mesilou, Kundasang untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang ditawarkan. Hal ini demikian telah mengakibatkan jumlah pertumbuhan penduduk juga meningkat di kawasan tersebut. 

Peningkatan jumlah pertumbuhan penduduk ini juga dipengaruhi oleh kadar kelahiran yang semakin meningkat disebabkan oleh kos sara hidup yang rendah dan kualiti taraf hidup yang baik. Penduduk setempat juga tidak mengalami masalah atau kesukaran untuk menampung kos hidup kerana terdapat banyak peluang pekerjaan khususnya dalam industri pelancongan sebagai sumber pendapatan. Tambahan pula, sebagai kawasan pelancongan yang terkenal, sudah semestinya terdapat perkhidmatan perubatan seperti klinik dan farmasi yang berhampiran untuk memudahkan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan perubatan atau rawatan secara tidak langsung meningkatkan tahap kesihatan dan kualiti taraf hidup.

 

Rajah 3: Desa Cattle Dairy Farm

 


Rajah 4: Mesilou Highland  Strawberry Garden


Rajah 5: The Sulap Homestay, Mesilou Kundasang

 

Rajah 6: Maragang Hill, Kampung Mesilou, Kundasang (hiking)


Seterusnya, perkembangan aktiviti pertanian juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi pertumbuhan penduduk di Kampung Mesilou, Kundasang. Kepesatan aktiviti pertanian di Kampung Mesilou ini telah membuka banyak peluang pekerjaan yang mana juga telah mengundang ramai pendatang asing sebagai tenaga buruh ke Kampung tersebut. Hal ini disebabkan oleh peluang pekerjaan yang luas serta keperluan tenaga buruh yang banyak diperlukan dalam aktiviti pertanian untuk menguruskan tanaman sekaligus telah mengakibatkan berlaku migrasi penduduk ke Kampung Mesilou, Kundasang. Migrasi penduduk ini telah menyebabkan peningkatan jumlah penduduk di Kampung Mesilou, Kundasang. Tambahan lagi, taraf hidup penduduk yang semakin baik juga telah meningkatkan kadar kelahiran di kawasan tersebut. Kos sara hidup yang rendah menyebabkan mereka tidak menghadapi kesukaran atau halangan untuk melahirkan anak atau mempunyai ramai anak. Tambahan pula, penduduk setempat juga menerima pekerja daripada negara asing untuk menguruskan kebun atau ladang mereka. Kebanyakkan pekerja asing yang bekerja di kawasan pertanian mengamalkan perkhawinan di usia yang muda terutamanya dalam golongan wanita yang mana memiliki tahap kesuburan yang tinggi mengakibatkan kadar kelahiran juga tinggi di kawasan tersebut. Selain itu, pekerja asing yang menguruskan kebun atau ladang sayur dan buah-buahan turut menerima manfaat dengan mendapatkan khasiat sayur atau buah dalam pemakanan mereka. Hal ini demikian telah mengakibatkan tahap kesihatan mereka juga turut meningkat.

 

Rajah 7: Aquafarm Kundasang


Selain itu, faktor sosial juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi pertumbuhan penduduk di Kampung Mesilou, Kundasang. Faktor sosial yang dimaksudkan adalah kemudahan kesihatan. Kemudahan perubatan yang tersedia seperti hospital, klinik dan farmasi yang berhampiran dengan Kampung Mesilou sememangnya memudahkan penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan seterusnya meningkatkan tahap kesihatan penduduk setempat. Pertumbuhan penduduk yang semakin meningkat di Kampung Mesilou secara tidak langsung meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan perubatan. Hal ini demikian akan menyebabkan peningkatan kadar kelahiran dan penurunan kadar kematian dengan kewujudan fasiliti-fasiliti kesihatan tersebut. Kewujudan kemudahan perubatan ini turut menggalakkan penduduk migrasi ke Kampung Mesilou, Kundasang. Tambahan pula, perkembangan pengetahuan tentang perubatan dan amalan menjaga kesihatan dalam kalangan penduduk menyebabkan banyak wabak penyakit berbahaya dapat dikawal. Keadaan ini menyebabkan kadar kematian penduduk turut menurun. 

Amalan perkhawinan muda di kalangan tenaga buruh yang bekerja sebagai petani juga menyumbang kepada pertumbuhan penduduk di Kampung Mesilou, Kundasang. Kebanyakkan tenaga buruh bukan warganegara ini telah memiliki keluarga sendiri di usia yang muda. Kebanyakkan golongan wanita berkhawin muda iaitu dalam lingkungan umur 18 tahun ke bawah malah ada yang tidak menamatkan persekolahan. Menurut Abdul Aziz Jemain & Puzziawati Ab Ghani (2003), persekolahan memberi kesan kepada umur perkahwinan dan seterusnya memberi kesan ke atas kadar kesuburan. Tahap pendidikan yang dicapai boleh mengubah umur perkahwinan dan menyebabkan purata umur wanita berkahwin semakin meningkat. Tambahan pula, golongan wanita yang berkhawin di usia muda memiliki tahap kesuburan yang tinggi yang mana mendorong mereka melahirkan ramai anak sekiranya tidak mengamalkan perancang keluarga. Tahap kesuburan mereka juga dipengaruhi oleh pemakanan yang sihat seperti sayur, buah dan sumber protein yang cukup di kawasan Kundasang, Ranau. Seperti yang kita sedia maklum, kundasang merupakan salah sebuah kawasan yang kaya dengan sayur-sayuran yang segar seperti sayur kubis, sayur bunga, tomato, timun dan banyak lagi. Tenaga buruh yang bekerja di kawasan pertanian sememangnya tidak mengalami masalah untuk mendapatkan sumber makanan yang sihat berbanding di negara asal mereka.

 

 

Rajah 8: Farmacy, Kundasang

 

Rajah 9: Klinik Kundasang


Disamping itu, kewujudan kemudahan infrastruktur di Kundasang juga mempengaruhi pertumbuhan penduduk. Kemudahan infrastruktur yang dimaksudkan adalah seperti jalan raya, Jambatan, pusat kesihatan, air, elektrik, sekolah dan sebagainya. Kemudahan seperti jalan raya dan jambatan sememangnya memudahkan penduduk untuk mendapatkan keperluan dan memudahkan pergerakan mereka. Kemudahan infrastruktur seperti ini juga menggalakkan migrasi penduduk ke Kampung Mesilou, Kundasang yang mana selain mendapatkan peluang pekerjaan atau sumber pendapatan, mereka juga dapat menikmati kemudahan-kemudahan yang ada seperti sekolah dan pusat kesihatan. Kemudahan jalan raya yang terdapat di Kampung Mesilou amat penting kerana ia menjadi jalan perhubungan kepada penduduk dan pelancong yang datang untuk ke tempat yang ingin dituju. Kemudahan jalan raya dan jambatan juga penting kepada penduduk membangunkan kawasan baharu untuk tujuan kegiatan ekonomi. Hal ini demikian akan memudahkan penduduk untuk sampai ke suatu tempat ke tempat yang lain melalui jalan raya dan jambatan untuk membangunkan kawasan untuk tujuan kegiatan pertanian dan pelancongan. Oleh hal yang demikian, semakin banyak kawasan pertanian atau pelancongan yang dibangunkan maka semakin luas peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada penduduk secara tidak langsung turut menggalakkan migrasi penduduk daripada bandar atau luar bandar.

 

Rajah 10: Kemudahan jalan raya, Kampung Mesilou, Kundasang


Rajah 11: Jambatan Bailey, Kampung Mesilou, Kundasang


Kesimpulannya, kajian ini dilakukan bagi mengkaji faktor yang mempengaruhi pertumbuhan penduduk di Kampung Mesilou, Kundasang. Hasil kajian mendapati bahawa faktor pertumbuhan penduduk di Kampung Mesilou disebabkan oleh faktor pertumbuhan industri pelancongan, kemajuan kegiatan pertanian, faktor sosial dan kemudahan infrastruktur. Faktor kemajuan ekonomi yang telah membawa kepada peningkatan pendapatan perkapita telah meningkatkan kualiti hidup rakyat. Pada masa yang sama program intervensi kesihatan perlu diwujudkan kepada pasangan yang mempunyai masalah kesihatan khususnya bagi mereka yang mempunyai masalah kesuburan. Pihak kerajaan haruslah meneliti dengan lebih mendalam mengenai potensi Kundasang khususnya Kampung Mesilou sebagai sebuah kawasan kegiatan ekonomi yang penting dengan memberikan peruntukkan yang sewajarnya untuk dibangunkan. Pembinaan jalan raya dan kemudahan asas yang lain diperbanyakkan untuk memudahkan pergerakan serta memenuhi keperluan penduduk.

 

RUJUKAN

Mokhtar, N. A., Poo, B. T., & Salleh, N. H. M. (2012). Analisis keperluan tenaga manusia                dalam industri pelancongan di Malaysia. PERKEM Proceedings7, 4-6.

        Diperoleh daripada: https://www.ukm.my/fep/perkem/pdf/perkemVII/PKEM2012_2E5.pdf

 

Rose, R. A. C., Jusoh, N. F., Zainol, R. M., Lyndon, N., & Jaafar, M. (2017). Perkembangan            dan cabaran sektor perniagaan sebagai pemangkin pembangunan bandar kecil: Kajian         empirikal di Daerah Besut, Terengganu (Development challenges of the business sector         as a catalyst for the development of small towns: An empirical study of Besut,                         Terengganu). Geografia-Malaysian Journal of Society and Space11(8).

        Diperoleh daripada: https://ejournal.ukm.my/gmjss/article/download/18814/6028

 

Ripin, N. H. M., Nor, N. N. F. M., & Hassan, F. (2020). Kajian kualiti hidup dan fertiliti dalam           kalangan kakitangan awam di Kota Bharu (Quality of life and fertility study among civil            servants in Kota Bharu). Geografia-Malaysian Journal of Society and Space16(3).

           Diperoleh daripada: https://ejournal.ukm.my/gmjss/article/viewFile/37683/10951


Nama: Mimi Kartika Binti Jusimin

No.Matrik: D20191088864

Kumpulan: A

No comments:

Post a Comment