Wednesday, December 29, 2021

PERKEMBANGAN PENDUDUK DI PUTRAJAYA TAHUN 2015 - 2020

Disediakan oleh : Muhammad Fakhruddin Bin Ahmad yani

No. Matrik : D20182086682

 

Putrajaya merupakan sebuah bandar dan Wilayah Persekutuan Malaysia yang terletak di barat tengah semenanjung Malaysia. Wilayah Persekutuan Putrajaya terletak kira - kira 25 km di selatan ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Fungsi bandar ini adalah sebagai pusat pentadbiran bagi Negara Malaysia. Sebelum pembinaan Putrajaya, pejabat kerajaan Malaysia ditempatkan di serata Kuala Lumpur yang menyebabkan Bandaraya Kuala Lumpur semakin sesak. Kesesakan lalu lintas Bandaraya Kuala Lumpur yang kian bertambah telah memaksa untuk pihak kerajaan mewujudkan sebuah bandar yang baharu di mana pejabat yang berselerak boleh dipindahkan dan dipasang semula untuk membentuk hab pentadbiran yang lebih cekap serta efektif.



    Pada tahun 1999, Pejabat Perdana Menteri telah dipindahkan ke Putrajaya dan menggantikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran negara. Sementara itu, Kuala Lumpur masih lagi kekal dengan fungsi sebagai Ibu Negara Malaysia. Putrajaya secara beransur - ansur berkembang dengan pembinaan Mahkamah Persekutuan, istana kedua dan banyak lagi bangunan pentadbiran. Bandar terancang ini telah diisytiharkan sebagai wilayah persekutuan pada 1 Februari 2001. sebuah badan koporat telah ditubuhkan bagi mengurus pembangunan serta perkembangan di Putrajaya. Melalui sejarah, Putrajaya merupakan sebuah bandar yang dibina di atas tapak bekas ladang getah dan kelapa sawit. Putrajaya juga dikenali sebagai “Bandar Taman” kerana di sini terdapat tasik buatan manusia yang luas dan berliku - liku, taman - taman seperti Taman Botani dan Taman Wetland, Putrajaya.

    Dari konsepnya, bandar ini dibayangkan sebagai sebahagian daripada koridor penyelidikan dan pembangunan komunikasi teknologi tinggi yang semakin berkembang merentang ke selatan dari Kuala Lumpur. Putrajaya boleh diakses melalui pelbagai laluan termasuklah kereta api dan lebuh raya serta berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pada 29 Ogos 2020, Putrajaya telah mencapai 25 tahun sebagai sebuah bandar yang banyak mencapai perkembangan dari sejak ia dibina. Menurut keratan akhbar Berita Harian pada 28 Ogos 2020, dalam tempoh 25 tahun sejak dilancarkan pada 29 Ogos 1995, Putrajaya telah melalui pembangunan yang pesat sehingga menjadi bandar ikon negara dan contoh kepada pusat pentadbiran kerajaan di negara lain.

    Keluasan Putrajaya dianggarkan kira - kira seluas 45.8km2. Menurut bancian penduduk dan perumahan Malaysia tahun 2020 telah menganggarkan jumlah penduduk di Putrajaya adalah seramai 110 ribu orang dengan kepadatan penduduk sebanyak 2, 246 orang / km2 . Menurut bancian yang telah dilakukan, jumlah isi rumah yang terdapat di Putrajaya ialah 32.7 ribu dan jumlah bagi tempat kediaman adalah sebanyak 37.8 ribu. Daripada jumlah penduduk yang menetap di Putrajaya (110 ribu orang), 107.2 ribu orang merupakan warganera Malaysia. Manakala, baki daripadanya, 2.9 ribu orang merupakan bukan warganegara. Seterusnya, 51.4 ribu orang daripada jumlah penduduk Putrajaya merupakan lelaki dan 58.6 ribu orang merupakan wanita. Ini menjadikan nisbah bagi lelaki dan wanita di Putrajaya adalah 88 orang nisbah lelaki per 100 orang wanita.  

Seramai 95.7% daripada jumlah penduduk bandar ini merupakan bumiputera. Manakala, 2.4% daripadanya adalah kaum cina, 1.7% adalah kaum india dan baki sebanyak 0.2% diwakili oleh lain - lain bangsa. Setiap bandar akan mengalami pertumbuhan penduduknya yang mengikut pelbagai corak sama ada cepat, perlahan atau negatif. Ini disebabkan oleh beberapa faktor yang mempengaruhi corak pertumbuhan penduduk di sesuatu kawasan termasuklah di Putrajaya. Melihat kepada graf 1.0, kadar kelahiran di Putarajaya pada tahun 2015 hingga 2018 menunjukkan tren menurun. Manakala, kadar kematian di Putrajaya menunjukkan tren tidak tetap dari tahun 2015 hingga 2018. Ini menyebabkan kadar pertumbuhan penduduk semula jadi secara kasar di Putrajaya menunjukkan penurunan dari tahun 2015 hingga 2018.

    

Graf 1.0 : Kelahiran hidup, kematian dan kadar pertambahan

semula jadi kasar, W.P. Purajaya, 2015 - 2018


    Oleh itu, purata bagi jangka hayat bagi seorang lelaki di Putrajaya dijangka selama  73.8 tahun manakala bagi seorang wanita pula adalah selama 78.4 tahun. Tren ini menunjukkan purata bagi jangka hayat penduduk wanita di Putrajaya lebih tinggi berbanding lelaki. Tidak dinafikan lagi bahawa ia menjadi salah satu faktor penyumbang kepada jumlah penduduk wanita yang ramai berbanding lelaki di Putrajaya. Kadar kelahiran di Putrajaya juga menjukkan penurunan daripada 28.8 kelahiran per 1000 orang pada tahun 2017 kepada 24.7 kelahiran per 1000 orang. Penurunan ini menunjukkan bahawa ferteliti di kawasan ini adalah semakin rendah dan jika ia tidak di kawal, kemungkinan akan membawa kepada penurunan yang lebih drastik terhadap pertumbuhan penduduk di bandar ini.

    Kadar kematian di Putrajaya pada tahun 2018 ialah sebanyak 2.2 kematian per 1000 orang yang mewakili seramai 218 kematian yang telah direkodkan. Jumlah ini menunjukkan penurunan yang sedikit berbanding kadar kematian pada tahun 2017 iaitu 2.6 kematian per 1000 orang yang mewakili 229 kematian yang telah direkodkan pada tahun tersebut. Menurut jadual 1.0 dan graf 1.2, tren kadar pertumbuhan penduduk di Putrajaya pada tahun 2015 hingga 2016 mengalami penurunan sebanyak 0.9 % iaitu dari 2.6% kepada 1.7%. manakala tren pertumbuhan penduduk di Putrajaya semakin meningkat dari tahun 2016 hingga 2018 iaitu daripada 1.7% kepada 10.5% yang menunjukkan kadar peratusan pertambahan yang sangat ketara. Walaubagaimanapun, tren pertumbuhan penduduk di Putrajaya menunjukkan penurunan semula pada tahun 2019 hingga 2020 yang mencatatkan sebanyak 6.4% pada tahun 2019 dan 6.0% pada tahun 2020.


Graf  1.2 :  Penduduk dan kadar pertumbuhan tahunan W.P. Putrajaya, 2010 - 2020.



Graf 1.3 : Struktur piramid penduduk mengikut jantina dan kumpulan umur, W.P. Putrajaya, 2020.



    Struktur piramid penduduk mengikut jantina dan kumpulan umur bagi penduduk Putrajaya pada tahun 2020 mendapati bahawa struktur piramid tersebut tidak sekata dan tidak seimbang mengikut jantina. Didapati bahawa kumpulan umur 35 - 39 tahun mempunyai bilangan wanita yang lebih ramai berbanding lelaki manakala bagi kelompok umur 5 - 9 tahun, jumlah lelaki adalah lebih tinggi berbanding wanita. Piramid penduduk ini menunjukkan penguncupan pada bahagian pertengahan piramid yang mewakili kelompok had umur 15 -19 tahun. Bilangan warga tua iaitu likungan umur 60 - 64 tahun bagi ke dua - dua jantina adalah seimbang dan had umur maksimum bagi penduduk di putrajaya yang dapat dilihat pada piramid tersebut ialah lingkungan 85 tahun ke atas. Manakala, penduduk yang berada di lingkungan umur 75 - 79 tahun adalah sifar di Putrajaya pada tahun 2020.



    Kesimpulannya, Putrajaya mengalami pertumbuhan penduduk yang semakin perlahan sejak tahun 2018 hingga 2020. Walaubagaimana pun, Putrajaya telah mengalami pertumbuhan yang bertambah sejak tahun 2012 hingga 2017 kerana beberapa faktor termasuklah imigrasi penduduk sama ada di dalam negara mahupun daripada luar negara ke Putrajaya.  Pengurangan pertumbuhan penduduk di Putrajaya boleh dikaitkan dengan kadar kelahiran yang semakin berkurangan akibat daripada faktor kesuburan bagi penduduk di kawasan tersebut menurun. Faktor peningkatan kematian penduduk akibat daripada penyakit dan usia juga turut main peranan terhadap pertumbuhan penduduk di sini. Oleh itu, pihak pengurusan pembandaran di sini telah banyak menyediakan kemudahan kesihatan dalam menjaga kesihatan penduduk di sini agar purata hayat penduduk di sini dapat ditingkatkan dan memberi suasana yang harmoni di dalam kalangan penduduk di Putrajaya.


Rujukan :
https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter%202020/DOSM_DOSM.WILAYAH_1.2020_Siri-91.pdf 


No comments:

Post a Comment