Friday, December 10, 2021

ISU KUCING DAN KESANNYA PADA PENDUDUK DI FLAT KOTA MALIM PRIMA, TANJUNG MALIM, PERAK

Syariefudin Abdullah, Mahadee Ismail & Mansor (2016) menyatakan bahawa jiran dapat didefinisikan sebagai orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita sendiri atau orang sebelah. Dalam erti kata lain, jiran merujuk kepada orang atau individu yang tinggal bersempadan antara satu sama lain yang berkemungkinan tinggal di kawasan yang kecil seperti kampung, mukim atau daerah dan juga bandar-bandar besar. Hubungan kekeluargaan dan semangat kejiranan yang baik boleh menjamin kesejahteraan hidup masyarakat (Mohd Yusof Hussain, 2011). Perpaduan dalam suatu komuniti boleh dibentuk apabila masyarakat bersatu lalu menjamin kesejahteraan hidup. Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan hidup penduduk dengan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Dalam penulisan ini, beberapa isu berkaitan dengan kucing dan kesannya pada penduduk di flat Kota Malim Prima, Tanjung Malim, Perak akan dibahaskan.  

Rajah 1: Peratus masyarakat yang tinggal di flat Kota Malim Prima

Melalui soal selidik yang telah dijalankan, sejumlah 77.8% menyatakan bahawa mereka sememangnya tinggal di flat Kota Malim Prima,Tanjung Malim, Perak manakala selebihnya iaitu 22.2% adalah jumlah yang pernah tinggal di kediaman tersebut. Soal selidik ini diteruskan lagi dengan menanyakan bahawa adakah mereka mempunyai sebarang isu berkaitan dengan kucing yang wujud di persekitaran flat tersebut. Hasil menunjukkan bahawa kesemua penduduk yang mengisi borang kaji selidik ini mempunyai isu yang tersendiri berkaitan dengan kucing yang berkeliaran di sekitar flat KMP ini.  



Rajah 2: Flat Kota Malim Prima, Tanjung Malim, Perak


Antara contoh-contoh isu yang telah dinyatakan oleh penduduk sekitar adalah kucing berak merata-rata seperti di dalam kasut atau selipar (61.2%), seterusnya kucing kencing merata-rata (66.7%), kucing yang ditinggalkan tidak bertuan kerana tuan asalnya telah pun berpindah (27.8%), kucing bergaduh di hadapan rumah (5.6%), kucing masuk ke dalam rumah dan mencuri makanan (5.6%), serta kucing merosakkan tanaman di hadapan rumah (5.6%). Kesemua isu yang disenaraikan oleh penduduk dalam rajah 3 ini sangat kerap berlaku dan menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk di sekitar flat Kota Malim Prima, Tanjung Malim, Perak.  

Rajah 3: Peratusan bagi setiap kategori isu yang disenaraikan penduduk


Setelah beberapa isu disenaraikan oleh para penduduk sekitar, sudah pastinya akan ada kesan negatif yang muncul lalu menimbulkan ketidaknyamanan pada mereka. Antara kesan isu kucing ini kepada para penduduk adalah menimbulkan pemandangan dan bau yang tidak baik, penduduk menjadi terganggu apabila berada di rumah kediaman sendiri akibat daripada bau yang datang dari najis kucing serta menyebabkan pemilik rumah tidak selesa apabila adanya tetamu yang bertandang ke rumah.

 Selain itu, ada juga penduduk yang membuat keputusan untuk pindah ke rumah lain kerana sudah tidak tahan dengan ketidakselesaan yang wujud di sekitar tempat tinggalnya. Mereka sering terpijak najis atau kencing kucing yang berada di laluan koridor rumah dan ini boleh menimbulkan kemarahan penduduk. Terdapat juga penduduk yang menyatakan bahawa kedainya sering dimasuki kucing dan tanpa dia sedari, kucing tersebut telah pun kencing di dalam kedainya dan dia perlu mengemop keseluruhan ruangan kedainya agar bau tersebut hilang.

Di samping itu, ada juga situasi di mana penghuni flat itu sendiri yang mengambil tindakan dan bersusah-payah untuk membersihkan kawasan najis itu kerana terlalu tidak selesa. Ianya sangat mengganggu sehingga boleh membuatkan perasaan dan jiwa seseorang itu berubah secara drastik. Menurut Hasniza Hussain (2019), isu kucing berkeliaran dan membuang najis merata-rata bukan perkara biasa, malah menjadi antara perkara yang boleh mendatangkan permusuhan sesama jiran tetangga. Kadangkala, akibat daripada sikap kurang cakna tuan punya kucing yang menganggap perkara itu remeh, ia akhirnya meletakkan nyawa haiwan peliharaan mereka dalam bahaya sekaligus menjadi mangsa keadaan.

Rajah 4: Keadaan di mana kucing merosakkan tanaman penduduk


Pelbagai isu kejiranan bakal mencetuskan pertengkaran jika tidak ditangani dengan bijaksana. Antaranya binatang peliharaan yang membuang najis. Isu-isu ini jika tidak ditangani dengan bijaksana boleh mencetuskan tekanan emosi pihak yang menanggungnya. Serba salah dibuatnya, umpama digenggam takut mati, dilepaskan takut terbang. Silap-silap boleh berbunuhan seperti yang berlaku beberapa bulan lalu di Perak. Puncanya kerana ingin menuntut penjelasan sebab anak ditampar oleh jiran. Dalam mendepani isu kejiranan, kita perlu mempunyai sifat empati. Cuba kita bertanyakan pada diri sendiri, jika kucing orang lain berak di kawasan rumah apa yang kita rasa? Sudah tentu berasa tidak selesa, malah menyebabkan tekanan emosi sementelahan masalah itu sudah ditanggung dalam tempoh lama tanpa penyelesaian. Jika hendak membela binatang peliharaan, kurung atau ikatlah. Jangan dibiarkan bebas berak di rumah orang lain. Pemilik perlulah bertanggungjawab menyediakan tempat yang sesuai (Mohd Nizam, 2021).

        Antara cadangan yang telah diberikan oleh penduduk Flat Kota Malim Prima ialah sekiranya berhasrat untuk membela kucing peliharaan, letakkanlah di rumah sahaja, tidak perlu dilepaskan ke luar atau ke rumah jiran. Ada juga yang mencadangkan untuk menangkap kucing-kucing yang berkeliaran di sekitar flat Kota Malim Prima ini dan buang di tempat yang sesuai atau lepaskan sahaja mereka di kawasan kedai makan agar kucing tersebut mudah untuk meneruskan hidup kelak. Selain daripada itu, pihak pengurusan flat seharusnya mengambil inisiatif dengan menyediakan satu tempat Litterbox khas untuk kucing dan menyediakan perkhidmatan tukang pembersih bagi membersihkan najis-najis kucing dengan lebih kerap lagi. Di samping itu, pemilik kucing juga digalakkan untuk menyediakan sangkar kucing serta tempat yang sesuai untuk kucing membuang najisnya agar ianya tidak dibuang ke merata tempat. Setelah itu, tuan kucing atau pemilik kucing ini hendaklah bertanggungjawab bagi membersihkannya agar keselesaan penduduk sekitar tidak terjejas.

       Kesimpulannya, kajian ini dilakukan bagi menunjukkan bahawa isu kucing sememangnya memberi pelbagai bentuk kesan pada penduduk flat Kota Malim Prima, Tanjung Malim, Perak. Oleh itu, pihak bertanggungjawab haruslah melakukan langkah yang seterusnya bagi mengatasi isu ini agar tidak berterusan sehingga ke masa hadapan tanpa sebarang perubahan. Harus kita ingat bahawa memelihara haiwan sememangnya baik, namun pemiliknya hendaklah menjaga hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada haiwan peliharaannya (Hilal Azmi, 2016). 


RUJUKAN

Abdullah, M. S., Ismail, M. M., & Mohd Noor, M. (2016). Kesepaduan Sosial Dan Kejiranan

Di Kawasan Rukun Tetangga. Jurnal Kinabalu, 19. https://jurcon.ums.edu.my/ojums/index.php/ejk/article/view/503

Hasniza Hussain, H. (2019). Apa hukum pemilik biar kucing berak depan rumah jiran?

Sinarharian. https://www.sinarharian.com.my/article/36458/BERITA/Nasional/Apa-hukum-pemilik-biar-kucing-berak-depan-rumah-jiran

Hilal Azmi. (2016). Bau busuk akibat jiran bela 30 ekor kucing di rumah. astroawani.com.

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bau-busuk-akibat-jiran-bela-30-ekor-kucing-di-rumah-118925

Mohd Nizam, M. Y. (2021). Tak salah tangkap, buang kucing jiran. Utusan Digital.

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2021/10/tak-salah-tangkap-buang-kucing-jiran/

Yusof Hussain, M., Shaharudin Samsurijan, M., Suraiya Ishak, & Hair Awang, A. (2011).

Hubungan kejiranan dalam membentuk kesejahteraan hidup masyarakat ‘kampung bandar’: Kes Kampung Berjaya dan Kampung Mempelam, Alor Setar, Malaysia. Malaysia Journal of Society and Space, 7(3), 36–44. https://www.ukm.my/geografia/images/upload/5.2011-3-Yusof%20dkk%20ukm-melayu-ed-katiman-2.pdf


Nama: Nur Emira Binti Ahmad Samsuri

No. Matrik: D20182085765

Kumpulan: A

No comments:

Post a Comment