Sunday, December 26, 2021

KELEBIHAN DAN KEKURANGAN MENJADI PELAJAR UKLK DI TAMAN BAHTERA, HULU SELANGOR, SELANGOR. - Disediakan Oleh Muhammad Zarif Aidil Bin Zaini (D20182086681)

Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) ditubuhkan pada tahun 2002 bagi menjaga kebajikan pelajar yang tinggal di kawasan perumahan sekitar UPSI yang kini sedang rancak melancarkan pelbagai aktiviti khususnya untuk memberi manfaat kepada pelajar dan seluruh masyarakat. Idea penubuhan unit ini adalah dengan mengambil kira hampir 60% bilangan pelajar yang tinggal di kawasan perumahan sekitar Tanjong Malim. Justeru, UPSI melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni percaya bahawa langkah paling strategik untuk memantau keselamatan dan kebajikan pelajar luar kampus adalah dengan mewujudkan satu unit yang boleh berinteraksi dengan pelajar, seterusnya menjadi penghubung luar kampus- pelajar kampus.

 

Terdapat enam zon yang digariskan dalam UKLK dan Zon F meliputi kawasan di sempadan Selangor Perak yang terletak di kawasan Hulu Bernam dan Hulu Selangor. Taman Bahtera yang merupakan Zon F terdapat empat kawasan kecil iaitu Seri Bestari, Seri Harmoni, KHAR lama dan Bahtera Terrace. Kawasan Seri Bestari merupakan di kawasan rumah di atas kedai, empat tingkat, Seri Harmoni pula merupakan pangsapuri lima tingkat, Bahtera Terrace, kawasan perumahan teres dan yang terakhir ialah bangunan lama Kolej Harun Aminurashid 9 tingkat yang kini telah pun berada di bawah pantauan UKLK.

 

 

Berdasarkan tinjauan yang dibuat sebanyak 66.7% penghuni di sini merupakan pelajar universiti yang tidak dapat kolej, seperti kita tahu tiap semester UPSI mengambil pengambilan pelajar baru, dari semua peringkat pendidikan. Jadi kolej tidak mampu menampung kesemua pelajar untuk duduk di kolej. Lambakan pelajar ini menyebabkan pelajar yang berada di semester kedua dan keatas kebanyakannya terpaksa mengambil keputusan untuk duduk di rumah sewa.

 

Meskipun begitu, keputusan untuk menetap di Taman Bahtera ini bukanlah satu pilihan yang buruk. Ini kerana seperti di kebanyakan kawasan penempatan pelajar, Taman Bahtera juga ada kelebihannya yang tersendiri, namun ianya juga turut ada kekurangannya. Untuk maklumat Taman Bahtera merupakan antara kawasan yang terkenal dan sering kali disebut-sebut dalam kalangan pelajar UPSI. Ini adalah disebabkan kelebihannya dari segi pelbagai aspek yang akan di bahaskan nanti. Antaranya kelebihannya termasuklah berkaitan dengan kemudahan yang disediakan. Kemudahan asas yang paling penting di Taman Bahtera ini ialah disediakan bas. Tidak seperti Zon UKLK yang lain, hanya Zon F sahaja yang ada perkhidmatan bas UPSI.

 

Kelebihan yang seterusnya ialah keadaan persekitaran di Taman Bahtera ini, dimana responden menyatakan suasana nyaman pada waktu pagi.  Selain itu, kelebihan yang ada di Taman Bahtera ini ialah berkaitan dengan pergerakan penghuni yang bebas, jika dipandang dari sudut positif, menjadi penghuni di sini membolehkan pelajar menjalankan perbincangan tanpa perlu risau adanya peraturan berkaitan. Penghuni juga bebas untuk balik lewat dan tidak terkejar menunggu bas untuk balik ke kolej. Sehubungan dengan itu, kelebihan lain ialah penghuni juga bebas membawa peralatan elektrik di sini, dan tiada peraturan yang mengekat mereka daripada berbuat demikian. Pelajar juga dapat jimat perbelanjaan dari segi makanan, kerana mereka boleh masak di rumah. Perkara ini menjadi kelebihan di sini kerana di kolej kediaman pelajar terhad untuk beberapa aspek dan terikat dengan peraturan di kolej.

 

Kelengkapan rumah disini juga tidak ada bezanya dia kolej kediaman, bahkan lebih selesa dan luas jika dibandingkan. Di tambah pula dengan kemudahan lif,yang memudahkan penghuni di sini. Kelebihan yang lain ialah kedudukannya yang strategik dimana dekat dengan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, sesuai untuk pelajar daripada fakulti yang bertempat di kampus tersebut. Kedudukannya yang strategik juga disebabkan kemudahan asas mudah diakses dengan hanya berjalan, menjadikan kawasan Taman Bahtera ini banyak kelebihannya

 

Tinjauan mendapati banyak kekurangan yang dinyatakan oleh responden, dan saya telah susun kepada 3 kategori utama iaitu kekurangan berkaitan dengan kemudahan, diikuti dengan pengurusan dan isu lain-lain. Tinjauan menunjukkan penghuni di sini mengalami masalah berkaitan dengan kemudahan, meskipun ada disediakan tetapi ada isu berbangkit. Misalnya berkaitan dengan kawasan riadah yang tidak kondusif dan selamat. Penghuni disini juga kerap kali mengalami masalah lif yang tidak beroperasi. Ini menjadi masalah pada penghuni di tingkat paling atas, dimana menyukarkan pergerakan mereka. Selain itu, kekurangan dari segi kemudahan ATM, penghuni disini terpaksa pergi ke ATM berhadapan dengan pintu timur KSAJS. Penghuni juga ada menyatakan ketidakpuasan mereka terhadap kedai makan yang tidak pelbagai dan tidak banyak dan barangan runcit yang agak mahal. Turut dinyatakan sekali berkaitan dengan perkhidmatan kedai fotostat yang perlu bayar barangan pos. Kemudahan tempat letak kereta yang terhad juga menjadi kekurangan di Taman Bahtera ini.

 

Pengurusan bas yang lemah juga, merupakan antara kekurangan yang banyak diutarakan. Perjalanan bas yang terhad dan tidak tepat waktu menjadi isu, kerana kebanyakan pelajar di sini tidak mempunyai kenderaan sendiri dan bergantung sepenuhnya pada perkhidmatan bas yang UPSI sediakan. Selain itu pengurusan kebersihan yang kurang memuaskan, laluan dipenuhi dengan najis haiwan, dan tong sampah kurang disediakan. Seterusnya adalah berkaitan dengan pengurusan pejabat lemah, dimana perkhidmatan pelanggan berat sebelah. Sebagai contoh jika terdapat kerosakan berlaku, pihak pengurusan lambat untuk memberikan respon sehingga kerosakan tersebut tidak dibaiki dan pelajar sendiri yang menguruskannya.

 

Kekurangan juga dapat dilihat dari segi kadar sewaan yang berlainan, mengikut tuan rumah yang berlainan. Selain itu, pergerakan pelajar juga terbatas kerana berada di sempadan Selangor sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas semasa PKP dahulu. Masalah rangkaian internet yang tidak stabil juga antara kekurangan di Taman Bahtera ini sehingga menyukarkan pelajar dalam banyak hal.

 

 

Di samping itu, tinjauan juga ada mengambil pandangan penghuni terhadap kepuasan mereka di Taman Bahtera untuk beberapa aspek. Hasil tinjauan mendapati aspek yang paling mendapat ketidakpuasan penghuni yang tinggi di Taman Bahtera ialah pada aspek kewangan diikuti keselamatan, kedudukan lokasi dan persekitaran. Berdasarkan tinjauan di atas, seramai 84% responden bersetuju dengan tahap kepuasan untuk aspek kemudahan asas di Taman Bahtera di tahap yang sangat baik. Berbeza dengan aspek kewangan dimana seramai 46% responden tidak bersetuju bahawa aspek kewangan berada pada tahap yang baik. Jika dilihat pada faktor kedudukan lokasi dan persekitaran, keduanya mendapat penilaian yang sama, iaitu hanya 23% responden tidak bersetuju ianya pada tahap yang baik. Keselamatan 67% bersetuju dengan penyataan bahawa Taman Bahtera ini selamat untuk didiami.

 

 

Ada yang mencadangkan supaya UKLK Taman Bahtera ini perlu berada dalam kelolaan UPSI 100% bagi memastikan kesejahteraan pelajar sepanjang menjadi penghuni di sini. Ini kerana disebabkan tiada penyelarasan menyebabkan sewa rumah di kawasan ini berbeza-beza meskipun berada di unit yang sama. Terkadang ada pelajar yang teraniaya oleh tuan rumah yang bertindak menaikkan harga sewa rumah secara tiba-tiba. Hak pengurusan rumah juga dinafikan sehingga penghuni sendiri perlu bertanggungjawab terhadap kerosakan yang berlaku. Dalam erti kata lain, pihak tuan rumah hanya kutip sewa tanpa memikirkan penyewa yang kebanyakkannya dalam kalangan pelajar di sini. Ini antara beberapa isu yang berlaku di kawasan Taman bahtera ini.

 

Responden mencadangkan supaya menyediakan tempat menunggu bas yang baik. Di samping itu, waktu perjalanan bas juga perlu dipanjangkan hingga jam 10 malam, bagi memudahkan pelajar yang ada urusan lama di kampus tidak perlu tergesa-gesa dan terpaksa mengeluarkan duit untuk menaiki prebet untuk pulang.  Saling berkait dengan itu, perkhidmatan bas perlu ada pengurusan masa yang baik, dengan menepati waktu perjalanan yang telah dijadualkan. Ini kerana kebanyakkan pelajar disini dari fakulti yang bertempat di Kampus Sultan Azlan Shah. Ketidaktepatan waktu ini akan menyebabkan pelajar ini terkadang lewat ke kelas.

 

Selain itu antara penambahbaikkan yang diimpikan penghuni di sini adalah mesin ATM bagi memudahkan urusan penghuni disini tanpa perlu sesak-sesak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Sehubungan dengan itu, pelajar di sini juga mengharapkan supaya disediakan tempat belajar 'student lounge' yang kondusif lengkap dengan rangkaian internet yang stabil. Responden juga berhasrat agar Taman Bahtera dikembalikan dibawah pengurusan UPSI semula supaya kawasan ini dikhaskan untuk pelajar sahaja. Perkara ini menjadi cita-cita penghuni disini kerana pengurusan di sini akan jadi lebih baik berbanding sekarang sekiranya dikelola dan diselenggara oleh pihak UPSI.

 

Seterusnya kawasan Taman Bahtera ini dapat ditambahbaik dengan memperbaiki infrastruktur yang ada, terutamanya penyelengaraan lif secara berkala. Pihak yang bertanggungjawab juga perlu menyediakan tempat buang sampah yang lebih dekat dan mudah diakses penghuni di sini. Responden juga mencadangkan supaya pihak berkaitan menyediakan fasiliti sukan dan kawasan riadah yang selamat, seperti dewan tertutup supaya penghuni disini dapat bersenam dengan keadaan yang selesa dan selamat. Sehubungan dengan itu sangat penting untuk pihak pengurusan menyediakan peti aduan, supaya ketidakpuasan pelanggan dapat disampaikan melalui medium yang betul. Ini sedikit sebanyak memberi hak bersuara penghuni disini yang kebanyakkannya pelajar untuk dapat keadilan yang selayaknya.

 

Penambahbaikkan untuk faktor persekitaran, menjerumus kepada isu kebersihan. Keadaan yang kotor di sesuatu kawasan menyebabkan timbulnya masalah ini. Responden mencadangkan supaya pengawai kebersihan ditambah. Sehubungan dengan itu, pengurusan di sini juga harus mengawal kewujudan kucing dan anjing liar di kawasan Taman Bahtera dek kerana menjadi antara punca laluan kotor dipenuhi najis haiwan. Selain itu persekitaran yang tidak menyenangkan ini juga kerana tempat pembuangan sisa domestik yang terlalu jauh dari kediaman. Situasi ini akan menyebabkan kemunculan tempat pembuangan yang baru, dimana tidak sesuai dan mencacatkan pemandangan dan akan mengakibatkan berlakunya penyebaran penyakit disebabkan adanya pembiakan tikus dan nyamuk di kawasan tersebut. Justeru penting, pihak pengurusan di Taman Bahtera ini untuk menyediakan tempat pembuangan yang mudah diakses penghuni di setiap blok kediaman.

 

Isu keselamatan juga tidak kurang hebatnya, memerlukan penambahbaikkan dari beberapa aspek. Hasil tinjauan menunjukkan, cadangan untuk menambah pengawal keselamatan. Kediaman yang kondusif bukan sahaja perlu selesa, malah perlu selamat. Kekurangan pegawal keselamatan di sini, sedikit sebanyak akan membuka kepada ruangan jenayah berlaku disini, misalnya isu kecurian dan gangguan pada penghuni yang lain. Dengan menambah pengawal keselamatan, dapatlah pintu-pintu jenayah ini ditutup dari berlaku. Keadaan lampu blok dan jalan yang rosak turut berkait sama, kerana suasana laluan sunyi dan gelap, seram sangat tidak selamat untuk penghuni di sini yang kebanyakkannya adalah perempuan. Diterukkan lagi dengan keadaan tangga yang tiada lampu dan rosak saban tahun. Justeru pihak pengurusan Taman Bahtera digesa untuk bertanggungjawab perbaiki infrastruktur yang ada sebelum timbul isu yang kurang menyenangkan kelak.

 

Akhir sekali, ialah penambahbaikkan dari aspek kewangan. Responden yang merupakan pelajar di UPSI, mencadangkan untuk seragamkan harga sewa rumah di sini. Mereka melihat isu ini sangat serius, dan bentuk penganiayaan terhadap pelajar di sini. Ini kerana wujud isu harga tidak menentu tiap bulan meskipun berada di unit rumah yang sama. Sikap sesetengah tuan rumah yang tidak bertanggungjawab dan hanya kaut untung tanpa memikirkan kebajikan penyewa di sini, perkara ini kerap terjadi disebabkan penyewa di sini hanya pelajar dan mudah untuk dinafikan haknya. Oleh itu, bagi menjadikan Taman Bahtera ini indah sepertinya dikatakan, untuk wujudkan satu pendekatan yang menguntungkan semua pihak bagi menetapkan harga yang sama untuk setiap unit.

 

Secara rumusnya, dalam hidup ini, menetap dimana-mana pun ada kelebihan dan kekurangannya, kita tak boleh lari dari penetapan ini. Namun penting untuk semua pihak, yakni termasuklah pihak pengurusan, tuan rumah dan penyewa itu sendiri untuk saling menghormati hak masing-masing bagi menjadikan dan mengekalkan Taman Bahtera, kawasan yang ideal dan kondusif untuk dihuni. Persekitaran dan pengurusan yang baik, memberikan impak positif dalam banyak hal untuk jangka masa panjang, dan begitu juga sebaliknya.  Ianya juga dapat meningkatkan kesejahteraan mental lebih santai dan senang hati ketika berada di suasana selesa. Akhir kata, diharapkan kawasan Taman Bahtera ini selamanya menjadi kawasan pilihan pelajar UPSI untuk dihuni dalam menjalankan kehidupan sebagai seorang pelajar dengan sejahtera dan makmur tanpa menghadapi sebarang isu berkaitan dengan rumah sewa ini.

 

 

Sent from Mail for Windows

 

No comments:

Post a Comment