Monday, December 27, 2021

KESAN LAMBAKAN WARGA ASING KEPADA PENDUDUK DI KAMPUNG AIR KOTA KINABALU, SABAH

 

Kota Kinabalu merupakan ibu kota negeri Sabah yang menyumbang kepada  ekonomi atau tidak dinafikan menjadi nadi utama kepada segala aktiviti di negeri Sabah yang juga merupakan pintu  masuk utama bagi pendatang asing. Pada awalnya, petempatan pertama di Bandar Kota Kinabalu adalah terletak di pulau Gaya. Pada tahun 1885, terdapat beberapa kedai Cina, pusat-pusat Kesihatan dan pentadbiran yang dibina di Kawasan tersebut. Walau bagaimanapun , Kawasan tersebut dibakar oleh Mat Salleh namun dibangunkan semula selepas berakhirnya pemberontakan yang berlaku. Tidak lama selepas berlakunya pemberontakan, pihak berpiagam telah menemui kawasan pertengahan Tanjung Lipat dan Kampung Air (Api-api) yang bertentangan dengan pulau Gaya ( Ramli Dollah, Fazli Hamid & Rizal Idris, 2021). Oleh itu, sangat jelas bahawa kampung Air telahpun wujud sejak kedatangan penjajah di Sabah. Proses pembandaran di Kota Kinabalu telahpun berlaku sehingga pada harini termasuklah Kawasan kampung Air. Oleh itu, proses pembandaran di Kawasan kota Kinabalu ini sangat pesat sehinggalah menjadi bandar yang besar. Bandar Kota Kinabalu berkembang dengan maju dan banyak menyediakan peluang pekerjaan.

Kampung Air merupakan sebuah kampung yang terletak di pusat bandar Kota Kinabalu Sabah. Kampung Air ini hanya berhampiran dengan pusat membeli belah yang terkenal di Sabah iaitu Center Point, Kota Kinabalu Sabah. Oleh sebap kampung ini berada di pusat bandar kota Kinabalu  yang mana mempunyai banyak peluang pekerjaan, banyak kemudahan awam dan sebagainya  menyebabkan ramai warga asing yang menetap di kampung tersebut. Warga asing atau pendatang asing merupakan kedatangan seseorang atau sekumpulan manusia dari satu negara ke negara yang lain dengan tujuan khusus dan warga asing ini juga dapat dikategorikan kepada dua iaitu pendatang asing yang sah dan pendatang asing tanpa izin  sama ada dalam waktu yang singkat atau lama( Amar, 2018). Hampir 1/3 penduduk Sabah merupakan warga asing tetapi hanya 30% daripadanya masuk secara sah manakala majoriti dikelaskan sebagai pendatang tanpa izin (Tracey Patrick, 2018). Oleh itu, jelaslah disini bahawa kebanyakan warga asing di kampung Air ini kebanyakannya masuk secara tidak sah. Kemasukan warga asing di kampung Air ini  sememangnya banyak memberikan impak negatif kepada penduduk di Kawasan tersebut.

                                 

                                   Gambar 1 : Lokasi kampung Air, Kota Kinabalu


            

                                           

                                                     Gambar 2 : Pasar Malam Kampung, Air


Kesan negatif Lambakan warga asing kepada penduduk di Kampung Air, Kota Kinabalu

Warga asing merujuk kepada rakyat atau penduduk yang bukan berasal daripada Malaysia yang mana bermigrasi ke Malaysia ( Firdaus, 2021). Terdapat banyak kesan negatif lambakan warga asing di Kampung Air, Kota Kinabalu. Antaranya ,

Peningkatan kadar Jenayah

         Jenayah dapat didefinisikan sebagai fenomena negatif yang bertentangan dengan norma, etika dan nilai yang terdapat dalam sebuah masyarakat yang ditetapkan  dalam undang-undang sebagai satu perbuatan jenayah (Ramli Dollah, Fazli Hamid & Rizal Idris, 2021). Sabah sememangnya negeri yang dikenali sebagai penyumbang kepada peningkatan jenayah terutamanya di Kota Kinabalu Sabah. Antara jenis jenayah yang sering berlaku di Kampung Air, Kota Kinabalu adalah Samun, pecah rumah, ragut, dadah dan sebagainya. Buktinya, Seramai 19 individu yang ditahan selepas didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Kampung Labou dan Kampung Air  dan pihak polis  telah merampas 43.27 gram syabu ( Norasikin Daineh, 2019). Oleh itu, jelaslah disini bahawa lambakan warga asing di kampung Air ini menyebabkan berlakunya kes jenayah. Pengambilan dadah atau syabu ini sudah semestinya memberikan kesan buruk kepada penduduk seperti kerugian dan kerosakan akibat perlakuan jenayah, penyebaran penyakit berjangkit seperti HIV,Hepatitis dan tuberculosis. Kes ragut , samun dan pecah rumah pula banyak mendatangkan kerugian kepada penduduk di kawasan tersebut.



                                            Gambar 3 : Petikan Akhbar BH Online


Pelacuran

Seterusnya adalah wujudnya pusat pelacuran oleh warga asing di Kampung Air. Menurut Hidayah Razali (2019), Pelacuran dianggap sebagai penjualan khidmat seksual seperti seks oral atau hubungan seks yang biasanya untuk mendapatkan wang. Berikutan kebanjiran pekerja seks dari negara jiran, pelacuran di Malaysia dikenali sebagai industri seks komersial biarpun pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa (Akhbar Satar, 2019). ,Pelacuran ini sudah kerap berlaku di kampung Air Kota Kinabalu dan boleh dilihat pada setiap malam terdapat ramai wanita warga asing yang berkeliaran secara berkelompok pada beberapa Kawasan di Kampung Air. Antara faktor berlakunya pelacuran ini termasuklah warga asing mempunyai masalah kewangan atau desakan hidup, kurang didikan agama dan sebagainya. Wanita-wanita yang rata-ratanya berumur 20-an menjadikan ruang kaki lima berdekatan dengan Maybank untuk dijadikan tempat menunggu pelanggan dan ramai lelaki tempatan yang telah menjadi mangsa mereka di kawasan Kampung Air (Gary Louis, 2019).

 Aktiviti pelacuran ini sememangnya tidak dapat dinafikan banyak memberi  kesan negatif seperti menyebabkan penularan wabak penyakit akibat daripada hubungan seks bebas kepada penduduk. Hal ini kerana terdapat juga warga tempatan yang terjerumus dalam aktiviti pelacuran ini. Selain itu, aktiviti pelacuran juga menyebabkan penduduk asli di Kampung Air tersebut kurang selesa kerana kebanyakan penduduk di kawasan tersebut adalah orang yang  beragama Islam dan sebagainya.

                       


                                          Gambar 4 : Kegiatan pelacuran di Kampung Air



Penularan wabak  penyakit berjangkit

Penularan wabak penyakit kepada penduduk juga merupakan salah satu kesan daripada  lambakan warga asing di Kampung Air. Punca utama penularan kembali penyakit berjangkit adalah kebanjiran tanpa kawalan pekerja asing (Alzahrin Alias & Nasaruddin Parzi, 2015). Warga asing di kampung Air ini terdiri daripada mereka yang memasuki negara Malaysia secara sah dan pendatang tanpa izin. Oleh itu, penularan wabak penyakit berlaku akibat daripada  ramai warga asing yang tidak melakukan ujian kesihatan sebelum memasuki negara Malaysia. Begitu juga halnya di Kampung Air Kota Kinabalu di mana lambakan warga asing menyebabkan peningkatan penyakit. Contohnya,  pembukaan restoran, kafe dan gerai yang didominasi oleh pekerja warga asing di kampung Air menyebabkan penularan penyakit seperti tibi dan kebersihan yang kurang dititikberatkan menyebabkan  ramai pelanggan yang mengalami sakit seperti cirit-birit dan sebagainya. Menurut Ainul Ahsan (2021), Kenaikan kes positif covid di Malaysia ini adalah juga bertitik tolak daripada isu pekerja asing dan majikan.  Oleh itu, jelaslah disini bahawa lambakan warga asing di kampung Air ini memberikan impak negatif kepada kesihatan penduduk di kawasan tersebut.


                  
Gambar 5 : Warga asing yang menjalankan perniagaan
 di Pasar Kampung, Air



                                             Gambar 6 : Pekerja warga asing dalam pembinaan


Kadar Pengganguran dalam kalangan warga tempatan meningkat

 Kadar pengganguran dalam kalangan warga tempatan yang meningkat juga merupakan salah satu kesan daripada lambakan warga asing di Kampung Air, Kota Kinabalu. Menurut Chin (2021), kadar pengganguran di Sabah telah meningkat sejak tiga Tahun lalu dari 5.8 peratus pada 2019, 8 peratus pada 2020 kepada 11 peratus tahun ini. Terdapat banyak faktor peningkatan kadar pengganguran di negeri Sabah ini salah satunya disebabkan lambakan warga asing.  Hal ini adalah disebabkan oleh sikap sesetengah majikan yang lebih suka menggunakan tenaga kerja warga asing hanya kerana kadar upah bagi buruh warga asing adalah lebih murah berbanding dengan upah buruh warga tempatan di Kota Kinabalu. Dengan menggunakan tenaga buruh asing ini majikan sudah semestinya dapat menjimatkan kos pengeluaran bagi pekerja asing. Hal ini sangat memberikan impak yang kurang baik kepada warga tempatan kerana menimbulkan persaingan dalam mencari pekerjaan sehingga menyukarkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan.Tambahan pula, bandar Kota Kinabalu merupakan salah satu pusat ekonomi terbesar di Sabah yang sudah semestinya menjadi tumpuan penduduk di Sabah untuk mencari pekerjaan bagi menyara hidup lebih-lebih lagi kawasan Kota Kinabalu yang strategik. Namun demikian , jika sektor pekerjaan seperti perdagangan atau pembangunan dimonopoli oleh warga asing maka hal ini menyebabkan pengganguran yang tinggi di Sabah terutamanya penduduk di Kampung Air.

                                            Gambar 7: Kadar pengangguran, Sabah, 2010-2019


Masalah penempatan setinggan

Kebanjiran warga asing di Kampung Air juga telah membawa kepada permasalahan penempatan setinggan. Rumah setinggan adalah salah satu  dari jenis rumah yang didiami manusia sebagai tempat berlindung atau diumpamakan perumahan haram disebabkan segala-gala yang berkaitan dengan pendirian rumah setinggan itut idak mendapat kelulusan dari pihak berkuasa termasuklah bentuk rumah tidak mengikut spesifikasi serta bahan dan binaan yang diluluskan ( Mohamed Ismail, 2005). Kehadiran warga asing di Kampung Air,  Kota Kinabalu sememangnya menyebabkan masalah  petempatan setinggan. Kesan daripada petempatan setinggan ini kepada penduduk adalah  menimbulkan banyak masalah seperti masalah pencemaran alam sekitar akibat  pembuangan sampah merata-rata, penyebaran penyakit akibat daripada persekitaran yang tidak bersih, jenayah dan sebagainya. Hal ini sememangnya banyak memberikan impak yang negative kepada penduduk di sekitar Kampung Air Kota Kinabalu. Oleh itu, Pihak kerajaan seharusnya peka atau memainkan peranan dalam mengambil tindakan membendung perluasan petempatan setinggan oleh warga asing di Kampung Air agar penduduknya dapat hidup dengan harmoni.


                                              Gambar 8 : Petempatan setinggan, Kampung Air


KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, kajian ini dijalankan untuk mengkaji kesan lambakan warga asing di Kampung Air Kota Kinabalu, Sabah. Hasil kajian yang dijalankan juga mendapati antara kesan lambakan warga asing di Kota Kinabalu ini memberikan banyak impak negatif seperti peningkatan kadar jenayah, Aktiviti pelacuran giat dilakukan, penularan wabak penyakit berjangkit dan kadar pengganguran dalam kalangan warga tempatan. Lambakan warga asing di Kampung Air, Kota Kinabalu ini sememangnya sudah berlaku pada beberapa tahun yang lalu, namun masalah ini sehingga pada masa ini belum dapat diatasi disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Oleh yang demikian, semua penduduk tempatan  sepatutnya berkerjasama dengan pihak kerajaan dalam menangani hal ini untuk kemakmuran hidup bersama.


 

Rujukan                                        

Alzahrin Alias & Nasaruddin Parzi (2015). Lubuk Penyakit warga Asing . Diperolehi daripada https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/05/52819/lubuk-penyakit-warga-asing

Gary Supi (2011). Pelacuran berleluasa di Kampung Air. Diperolehi daripada https://cj.my/11818/pelacuran-berleluasa-di-kampung-air/

Laporan sosiekonomi Negeri Sabah (2019). Diperolehi daripada ttps://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/1_Articles_By_Themes/National Accounts/GDPbyState/2020/Laporan_Sosioekonomi_Sabah_2019.pdf

Norasikin Daineh ( 2019). Polis Kota Kinabalu terus gempur sarang Dadah. BH online. Bahan diakses pada 29 disember 2019. Diperolehi daripada https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/12/642313/polis-kota-kinabalu-terus-gempur-sarang-dadah

Ramli Dollah, Rizal Idris & Fazli Hamid ( 2004). Jenyah dan pembandaran : Kajian awal keatas Jenayah Di Kalangan pendatang Asing di Kota Kinabalu, Sabah. Diperolehi daripada https://www.researchgate.net/publication/331285032_Jenayah_dan_Perbandaran_Kajian_Awal_Keatas_Jenayah_Di_Kalangan_Pendatang_Asing_di_Kota_Kinabalu_Sabah


NAMA: ERTINA IKOL

NO MATRIKS : D20192091300

KUMPULAN: C


                  

                     

               

No comments:

Post a Comment