Sunday, December 12, 2021

Masalah Pengurusan Sistem Perparitan Yang Membawa Kepada Banjir di Kg Pedas, Rembau, Negeri Sembilan.

Fenomena banjir memang tidak dapat dipisahkan daripada menjadi isu hangat di negara kita dari tahun ke tahun. Ianya merupakan salah satu bencana yang kerap melanda negara kita selain daripada tanah runtuh, tumpahan minyak, gempa dan sebagainya. Banjir kebiasaannya berlaku sewaktu puncak musim monsoon timur laut iaitu pada bulan November hingga Januari. Berdasarkan laporan statistik kekerapan banjir Malaysia, Negeri Sembilan mempunyai bilangan kekerapan banjir sebanyak 16 kali sepanjang tahun 2019 manakala pada tahun 2020, kekerapan banjir ini meningkat sebanyak 42 kali sepanjang tahun (Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia (JPS), 2019). Berdasarkan peningkatan angka kekerapan banjir ini, ianya menimbulkan tanda tanya mengapakah angka tersebut meningkat dari tahun ke tahun. 

Pada 30 Oktober 2021, pengkaji di bawah kursus HGM3033 Geografi Penduduk, telah menjalankan satu kajian lapangan di Kg.Pedas, Rembau, Negeri Sembilan untuk menyiasat dan mengkaji tentang masalah sistem perparitan yang telah mengakibatkan masalah banjir kepada penduduk setempat baru-baru ini. Kajian yang dijalankan menggunakan kaedah temubual bersama penduduk setempat dan tinjauan ke tempat punca berlakunya permasalahan ini.

Kg. Pedas adalah salah satu perkampungan yang terletak di Rembau. Rembau merupakan sebuah daerah atau bandar terletak lebih kurang 25 km ke selatan dari Seremban, yang merupakan ibu negeri bagi Negeri Sembilan. Kg. Pedas dilengkapi dengan pelbagai akses kepada kemudahan awam seperti stesen keretapi, bus awam, sekolah, perumahan dan sebagainya yang menjadikan kawasan kg. Pedas kawasan yang strategik untuk menetap. Kg. Pedas juga berhampiran dengan Sungai Sg. Beringin yang merupakan punca bekalan air untuk loji Pedas lama.

Gambar 1: Monumen Mercu Tanda Rembau

Isu banjir kilat merupakan isu yang seringkali menjadi permasalahan di beberapa buah kawasan di Rembau, termasuk Kg. Pedas. Berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan, masalah ini tidak akan ada pengakhirannya jika punca utama permasalahan ini iaitu pengurusan sistem perparitan yang lebih sistematik dan efektif tidak diberikan keutamaan. Seperti yang dinyatakan oleh Munirah Che Hassan, Sharifah Meryam Shareh Musa, Rozlin Zainal, dan Narimah Kasim (2020), Kejadian banjir boleh disebabkan oleh isu-isu seperti sistem saliran tersumbat oleh pembuangan sampah sarap, tidak melakukan proses penyelenggaraan sistem saliran dan sebagainya. Sistem perparitan yang lebih efektif dan sistematik bukan sahaja membolehkan air untuk mengalir keluar dengan lebih cekap bahkan mengelakkan takungan air di kawasan yang sering kali dilanda banjir kilat. Sistem saliran yang tidak dibina dengan betul akan mengakibatkan sistem saliran tersebut tidak dapat menampung jumlah kuantiti air yang banyak (Munirah Che Hassan et al, 2020). Antara masalah berkenaan pengurusan sistem perparitan yang dapat dikesan adalah seperti berikut.

Gambar 2: Salah sebuah rumah yang dilanda banjir

Kekurangan sistem saliran yang baik, efektif dan tidak diselenggara.

Daripada temubual bersama penduduk tempatan, mereka menyatakan bahawa punca masalah ini datang daripada sistem saliran yang kurang baik dan kekurangan sistem saliran di beberapa kawasan yang sering kali berlakunya banjir. Daripada hasil tinjauan ke beberapa kawasan kejadian, pengkaji mendapati bahawa kebanyakkan sistem saliran terhadang dan tersangkut oleh benda asing seperti sampah sarap dan keadaan saliran yang semak samun yang menjadi punca utama ianya tersumbat sehingga menyebabkan air bertakung dan melimpah apabila hujan lebat. Penduduk setempat di kawasan itu menyatakan bahawa mereka telah membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan akan masalah sistem saliran yang tersumbat itu untuk tujuan penyelenggaraan, namun respon atau tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa amatlah lambat sehingga masalah tersebut semakin membimbangkan. Hal ini menyebabkan air bertakung dengan lebih cepat dan menjurus kepada berlakunya banjir.

Gambar 3: Keadaan Longkang Tersumbat di salah satu kawasan penempatan

Hasil kajian juga mendapati terdapat penempatan yang masih tidak memiliki sistem saliran yang efektif.  Kebanyakkan rumah kampung ini masih lagi tidak dilengkapi dengan kemudahan asas seperti sistem saliran dan perparitan yang baru. Mereka masih menggunakan longkang buatan sendiri yang bertujuan mengalirkan air basuhan harian mereka, namun longkang buatan tersebut tidak berfungsi untuk mengalirkan air dalam kuantiti yang banyak. Apabila hujan lebat berlaku, kebanyakkan rumah yang mempunyai saliran buatan ini akan mengalami kenaikkan air yang lebih cepat berbanding kawasan lain disebabkan air bertakung dan tidak dapat disalirkan. Justeru mengakibatkan berlakunya banjir di kawasan perumahan mereka.

Gambar 4: Sistem Saliran yang terdapat di salah sebuah perumahan di Kg. Pedas

Keadaan saliran Sungai Beringin yang semak samun dan berlumpur.

Selain itu, hasil kajian juga mendapati bahawa keadaan saliran di Sungai Beringin merupakan salah satu punca berlakunya banjir kilat di Kg. Pedas. Keadaan Sungai Beringin yang dipenuhi dengan semak samun, dan berlumpur menyebabkan kedalaman sungai semakin cetak. Kesannya, paras atau kadar takungan air akan melebihi had takungan yang sepatutnya (over limit), justeru mengakibatkan limpahan air. Limpahan air sungai yang disebabkan oleh hujan berterusan dan menyeluruh serta kesan pelepasan air dari empangan (Jabatan Perparitan dan Saliran, 2020) Hal ini akan menyebabkan air cepat naik di kebanyakkan kawasan perumahan di Kg. Pedas sekiranya berlaku hujan lebat akibat daripada sistem perparitan yang tidak sempurna. 


Gambar 3: Keadaan Sungai Beringin

Pengurusan Pembuangan sisa domestik ke saliran sungai

Sepanjang kajian lapangan dijalankan, pengkaji telah membuat tinjauan ke beberapa lokasi dimana kerapnya berlaku banjir kilat ini, pengkaji mendapati bahawa terdapat beberapa kolam ternakan ikan dan kolam memancing berhampiran dengan kawasan penempatan. Antaranya ialah Kolam Pancing Pedas, Kolam Pancing Warisan Solok, Kolam Pancing Panchor, Kolam Ikan Keli Rembau, dan banyak lagi. Aktiviti perikanan ini tidak disangkal menyumbang kepada punca berlakunya banjir kilat di Kg. Pedas. Hal ini demikian kerana perniagaan akuakultur perlu berhampiran dengan sumber air untuk kegunaan harian dan menyalurkan sisa buangan dengan cepat dan efektif. Namun hasil pembuangan sisa-sisa kumbahan ini menjurus kepada berlakunya pencemaran yang tidak diinginkan. Sebagai contoh, terdapat beberapa parit saliran yang digunakan sebagai tempat pembuangan sisa kumbahan ternakan kolam akuakultur. Kesan daripada pembuangan sisa kumbahan ini menyumbang kepada berlakunya peningkatan lumpur dan pencemaran di sungai. Akibat daripada perkara ini sistem saliran dan perparitan yang telah sedia ada tidak mampu menampung lagi jumlah air yang mengalir disebabkan pencemaran yang berlaku. 

Kesimpulannya, kajian ini bertujuan untuk mengkaji tentang Masalah Pengurusan Sistem Perparitan Yang Menyebabkan Banjir di Kg. Pedas, Rembau, Negeri Sembilan. Pengurusan sistem perparitan dan saluran yang tidak sempurna bukan sahaja mendatangkan kesan ke atas penduduk setempat malahan kepada haiwan, dan alam sekitar. Justeru itu, saya menyeru bahawa Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang lebih serius berkenaan isu sistem perparitan ini bagi memastikan fenomena banjir dapat dielakkan.


Rujukan

JABATAN PERPARITAN DAN SALIRAN MALAYSIA. (2020). LAPORAN BANJIR TAHUNAN 2020. KEMENTERIAN ALAM SEKITAR DAN AIR, 1-170.

JABATAN PERPARITAN DAN SALIRAN MALAYSIA. (2019). LAPORAN BANJIR TAHUNAN 2019. KEMENTERIAN ALAM SEKITAR DAN AIR, 1-170.

Munirah Che Hassan, Sharifah Meryam Shareh Musa, Rozlin Zainal, & Narimah Kasim. (2020). Kajian Permasalahan Pembinaan Sistem Saliran Yang Menjadi Punca Kepada Masalah Banjir Di Kawasan Perumahan. Research in Management of Technology and Business, Vol. 1 No. 1, 588–605. Retrieved from http://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/rmtb

Norhanizan Hamdan. (2019). Kesan Pembuangan Sampah Merata. Open University Malaysia. Retrieved from https://www.academia.edu/36578079/KESAN_PEMBUANGAN_SAMPAH_MERAT

Nama: MUHAMMAD AZZIM BIN RAMLI
Matrik: D*****88269
Kumpulan: C

1 comment: