Monday, December 27, 2021

ISU BANJIR KILAT DI TAMAN BENDAHARA, PENGKALAN CHEPA KELANTAN.

ISU BANJIR KILAT DI TAMAN BENDAHARA, PENGKALAN CHEPA, KELANTAN.

Oleh : Aini Alia Binti Mohd Yusoff

Universiti Pendidikan Sultan Idris

 

Taman Bendahara terletak berdekatan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Mukim Pengkalan Chepa iaitu pecahan kawasan pentadbiran bagi negeri Kelantan. Pembinaan salah sebuah kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) iaitu Kampus Kota pada tahun 2007 telah mempengaruhi pembangunan di Taman Bendahara. Perbezaan ketara dapat dilihat dengan pembinaan bangunan kedai, McDonald, kedai-kedai makan dan Pasaraya Pantai Timur. Sementara itu, taman ini juga dijadikan tapak bagi pasar tani pada setiap hari khamis dan pasar malam setiap hari rabu. Kemudahan ini memudahkan penduduk di taman ini dan di kawasan sekitar terutamanya pelajar UMK kerana tidak perlu ke bandar Kota Bharu untuk membeli barang keperluan.

Rajah 1: Lokasi Taman Bendahara daripada Gooogle Maps


  

Rajah 2. Kampus Universiti malaysia Kelantan di Taman Bendahara

Sumber : emedia.umk.edu.my

 

Kedudukan taman ini yang begitu hampir dengan Jajahan Kota Bharu dan juga turut berdekatan dengan kawasan perindustrian di Pengkalan Chepa telah menjadikan ia sebagai salah satu laluan yang sering dilalui penduduk sekitar untuk ke tempat kerja. Antara kilang yang terletak berhampiran taman ini termasuklah kilang Rohm-Wako, Sawit Raya Oil (Kelantan) Sdn. Bhd., BioNutriMax Sdn. Bhd. dan HFI maju Enterprise. Oleh yang demikian, taman ini dijadikan sebagai jalan pintas bagi penduduk setempat ke tempat kerja kerana tidak mempunyai lampu isyarat sekaligus dapat menjimatkan masa untuk ke tempat kerja. Namun, situasi ini telah menyebabkan kesesakan terutamanya pada waktu puncak bahkan kesesakan ini lebih teruk pada hari adanya pasar tani dan pasar malam.


Dengan pembangunan yang berlaku di taman ini, sudah pasti terdapat isu atau masalah yang timbul sehingga mengganggu aktiviti seharian penduduk. Antaranya adalah isu banjir kilat yang kerap kali berlaku di Taman Bendahara terutamanya pada musim tengkujuh. Negeri-negeri  di pantai timur seperti Kelantan menerima peningkatan jumlah taburan hujan ketika Monsun Timur laut yang biasanya berlaku pada awal bulan November hingga Mac (Sinar Harian, 2021). Ini selari dengan data taburan hujan data yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, di mana negeri ini menerima peningkatan jumlah hujan bermula bulan November hingga Mac. Jadual 1 menunjukkan Kota Bharu merupakan antara daerah yang menerima taburan hujan tertinggi pada bulan November iaitu, 30.9, 15.93, 620.5, dan 937 untuk empat tahun berturut bermula dari tahun 2017 hingga 2020.

 

Purata taburan Jajahan Kota Bharu / mm

     Bulan

Tahun

Jan

Feb

mac

Apr

Mei

Jun

Julai

Ogos

Sep

Okt

Nov

Dis

 

2017

22.5

2.1

2.5

4.6

3.6

3.8

9.9

3.8

4.5

5.6

30.9

12.7

 

2018

13.5

2.06

2

3.7

2.74

2.9

3.06

3.65

7.52

6.42

15.93

24.69

 

2019

229.5

34

3.5

8.5

91.5

311

19.5

149.5

153.5

76

620.5

231

 

2020

46

83

8

216

59

301

173

169

142

305

937

260

 

 

Sumber : data.gov.my

 

            Banjir kilat yang terbaru berlaku di taman ini adalah pada 10  dan 11 November 2021 selepas jajahan Kota Bharu menerima hujan lebat tanpa henti selama dua hari berturut-turut.  Pada hari tersebut juga, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat berpanjangan di kawasan jajahan Kota Bharu Rajah 3. Kejadian banjir kilat di Taman Bendahara juga mendapat liputan Sinar Harian di mana ia dikategorikan sebagai kawasan yang sering mengalami banjir kilat (Sinar Harian, 2021). Rajah 4, 5, dan 6 menunjukkan kejadian banjir kilat yang pernah berlaku di Taman Bendahara.

Rajah 3 : Amaran hujan berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia

Sumber : Jabatan Meteorologi Malaysia

 

Rajah 4 : Keadaan banjir kilat di taman Bendahara.


                                                                  Rajah 5. Situasi banjir kilat yang mengganggu aktiviti penduduk setempat.

 


Rajah 6. Banjir kilat di sekitar kolej kediaman pelajar Universiti Malaysia Kelantan.

Sumber : missyaniabdullah.blogspot.com


Terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan ini dan salah satu daripadanya termasuklah disebabkan oleh masalah perparitan (Sinar harian, 2021). Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, kawasan yang paling dalam di tengelami air banjir kilat ini tidak mempunyai longkang di tepi jalan. Situasi ini mengakibatkan air tidak dapat mengalir ke sungai atau parit yang berdekatan sekali gus mengakibatkan banjir kilat. Namun begitu terdapat juga kawasan yang mempunyai parit iaitu di belakang kedai-kedai di sekitar taman ini, namun parit yang dibina terlalu kecil dan tidak mampu menampung air dalam jumlah yang banyak apabila berlakunya hujan lebat tanpa henti. Lebih memburukkan keadaan apabila ada longkang yang dipenuhi sampah kerana sikap tidak bertanggungjawab manusia itu sendiri. Aktiviti pasar malam pada setiap minggu menjadi penyumbang utama kepada kehadiran sampah di dalam longkang di sekitar taman ini. Dengan longkang yang sempit ditambah dengan longgokan sampah yang dibuang oleh manusia, maka tidak hairanlah taman ini sering mengalami banjir kilat pada setiap kali hujan lebat yang berterusan berlaku.

 

Faktor yang turut mempengaruhi kejadian banjir kilat di taman ini termasuklah pembangunan yang tidak dirancang dengan baik. Jika diperhatikan, kawasan Taman Bendahara lebih rendah daripada kawasan sekitarnya dan jauh daripada parit yang besar atau sungai. Oleh yang demikian, pihak yang melaksanakan pembinaan projek rumah dan bangunan kedai sepatutnya sudah mengetahui kesan-kesan yang akan berlaku contohnya seperti banjir kilat. Namun, pembinaan ini dilihat tidak dirancang dengan baik terutamanya longkang yang dibina tidak menepati piawaian apabila tidak mampu menampung jumlah air yang banyak di kawasan tersebut. Seterusnya, dengan mengetahui kawasan di Taman Bendahara adalah rendah, pihak pemaju sepatutnya menambak tanah dengan secukupnya bagi memastikan air tidak akan bertakung di kawasan tersebut sekaligus dapat mengelakkan daripada terjadinya banjir kilat. Sehubungan dengan itu, pembinaan yang tidak terancang ini perlu diambil iktibar oleh pihak bertanggungjawab agar masalah yang sama tidak akan berulang di tempat-tempat yang lain.

 

Seperti yang telah dinyatakan, kejadian banjir kilat di Taman Bendahara bukanlah sesuatu yang baharu. Berikutan itu, pihak bertanggungjawab perlu menangani masalah ini dengan serius dan segera kerana ianya telah banyak menjejaskan aktiviti seharian penduduk tempatan. Antara yang terjejas adalah para peniaga dan pemilik kedai yang meniaga di kawasan tersebut. Banjir kilat yang berlaku ini telah menyebabkan kedai-kedai di kawasan tersebut dinaikki air. Paras air tertinggi yang pernah memasuki kedai adalah pada paras lutut sehingga menyebabkan peniaga terpaksa mengemas barang-barang yang terdapat di dalam kedai bagi mengelakkan kerosakan. Perkara yang sama juga turut menimpa peniaga-peniaga kecil yang menjual di tepi jalan. Situasi ini telah memberi kerugian kepada semua peniaga ini kerana perniagaan mereka tidak dapat beroperasi seperti biasa. Oleh itu, isu banjir kilat yang berlaku di Taman Bendahara perlu diselesaikan agar pendapatan peniaga di kawasan ini tidak terjejas terutamanya pada musim Covid-19 di mana ramai peniaga yang baru memulakan semula perniagaan selepas perintah kawalan pergerakan dilonggarkan.


Banjir kilat yang berlaku ini juga turut menjejaskan aktiviti harian penduduk yang melalui kawasan tersebut pada setiap hari untuk ke tempat kerja. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, jalan di Taman Bendahara digunakan sebagai jalan pintas kerana tiadanya lampu isyarat namun, dengan kejadian banjir kilat yang berlaku, kenderaan yang rendah dan motosikal tidak dapat melalui kawasan ini. Keadaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk sehingga mengganggu aktiviti harian penduduk untuk ke tempat kerja. Selain menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk, banjir kilat juga turut mengganggu pelajar UMK yang tinggal di kolej dan yang menyewa di taman berkenaan. Mereka biasanya berjalan kaki ke kampus untuk mengikuti kelas pada setiap hari. Walaubagaimanapun dengan kejadian banjir kilat yang berlaku, mereka terpaksa ke kampus dengan mengharungi air banjir. Menurut Harakahdaily (2021) lebih 1,000 pelajar Universiti Malaysia Kelantan kampus Pengkalan Chepa terpaksa mengharungi banjir kilat ekoran hujan lebat pada 11 November 2021. Keadaan ini sudah pasti memberi ketidakselesaan kepada pelajar semasa berada di dalam kelas selepas mereka terpaksa mengharungi air banjir. Oleh yang demikian, ini jelas menunjukkan kejadian banjir kilat yang berlaku di taman bendahara telah banyak memberi kesan kepada penduduk di kawasan tersebut dan di kawasan sekitarnya juga.


Rajah 7. Pelajar UMK yang terpaksa mengharungi banjir kilat

Sumber : Harakahdaily

 

Dengan kesukaran yang dihadapi oleh penduduk akibat daripada banjir kilat yang saban tahun berulang, pihak bertanggungjawab seharusnya mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan kejadian ini tidak tidak akan berlaku lagi. Antara tindakan yang boleh diambil adalah membuat pengawasan berkala terutama semasa pasar malam dan pasar tani dibuka. Tindakan boleh terus diambil jika terdapat mana-mana individu yang membuang sampah terutamanya yang membuang sampah ke dalam longkang. Tindakan ini boleh menghalang longkang di sekitar taman ini daripada tersumbat sekali gus dapat mengurangkan kesan banjir kilat di taman ini. Seterusnya, pihak bertanggungjawab juga boleh melakukan kerja-kerja membina longkang di kawasan yang masih tiada longkang dan membesarkan longkang-longkang kecil yang telah dibina di taman ini. Seperti yang kita ketahui, negeri Kelantan menerima peningkatan taburan hujan pada setiap musim tengkujuh. Oleh yang demikian longkang yang besar amat diperlukan untuk menampung jumlah air hujan yang banyak ketika musim tengkujuh. Dalam pada masa yang sama, laluan air masuk ke sungai atau laut juga perlu ditambah baik agar aliran air dapat berjalan dengan lancar.

 

            Kesimpulannya, adalah diharapkan agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera. Pihak bertanggungjawab khususnya, perlu mengambil serius tentang perkara ini kerana ianya adalah isu yang besar sehingga telah mendapat liputan daripada akhbar sinar harian dan turut tular di laman sosial seperti facebook dan tik-tok. Dalam pada itu, kesedaran penduduk untuk menjaga taman ini dengan tidak membuang sampah merata-rata juga perlu ditingkatkan kerana sikap tidak bertanggungjawab itu turut menyumbang kepada berlakunya kejadian banjir kilat yang lebih teruk. Dengan kerjasama daripada semua pihak, diharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera supaya dapat memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

 

 

RUJUKAN

 

Sinar Harian. (2021). Monsun Timur Laut bermula 3 November hingga Mac 2022. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/170067/BERITA/Nasional/Monsun-Timur-Laut-bermula-3-November-hingga-Mac-2022

Sinar Harian. (2021). Kelantan ambil serius isu banjir kilat. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/172945/EDISI?page=2

Harakahdaily. (2021). Pelajar UMK harungi banjir kilat ke kelas. Diperoleh daripada https://harakahdaily.net/index.php/2021/11/11/pelajar-umk-harungi-banjir-kilat-ke-kelas/

 

NAMA : AINI ALIA BINTI MOHD YUSOFF

NO MATRIK : D20182085747

KUMPULAN : B

No comments:

Post a Comment