Monday, December 27, 2021

KESAN-KESAN LAMBAKAN WARGA ASING DI PASAR BORONG SELAYANG KUALA LUMPUR (ARTIKEL)

KESAN-KESAN LAMBAKAN WARGA ASING DI

PASAR BORONG SELAYANG KUALA LUMPUR

 

                       Oleh: Muhammad Aiman Zamani bin Mohamad Zamri (D20182085759) Kumpulan B

 

         Pasar Borong Selayang merupakan sebuah kawasan yang terletak di Kuala Lumpur dan berada di sempadan kawasan negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kawasan ini merupakan sebuah tempat tumpuan bagi rakyat dan peniaga di sekitar kawasan tersebut bagi mendapatkan barangan keperluan harian seperti makanan, peralatan dapur dan lain-lain. Hal ini kerana, Pasar Borong Selayang ini merupakan sebuah tempat di mana semua barangan dijual secara pukal kepada peruncit, industri, perdagangan, institusi ataupun kepada sebarang pengguna professional dan juga kepada pemborong yang lain. Kawasan ini juga menjadi tumpuan kepada segenap pelusuk masyarakat kerana kawasan ini dilihat sebagai sebuah kawasan yang dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada individu yang memerlukan. Pasar Borong Selayang merupakan sebuah pasar yang boleh dikategorikan sebagai kawasan yang besar dimana bagi menggerakkan ekonomi di kawasan ini, tenaga kerja yang besar amatlah diperlukan dalam memastikan kelancaran proses perniagaan di kawasan ini. Akan tetapi, kawasan ini dilihat menjadi tumpuan kepada warga asing bagi mencari peluang pekerjaan. Shamsuddin (2019) menyatakan bahawa, masalah kebanjiran warga asing di pasar borong bukanlah satu isu yang baharu, akan tetapi ramai daripada kita yang tidak menyedari golongan warga asing ini sudah mulai menguasai kawasan ini. Hal ini menunjukkan bahawa kawasan Pasar Borong Selayang ini semakin dimonopoli oleh golongan warga asing dan isu ini dilihat akan mendatangkan impak yang negatif kepada masyarakat dan negara.

Rajah 1 menunjukkan pendatang asing yang ditahan di Pasar Borong Selayang oleh Jabatan Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen yang sah.

              Laporan daripada Bernama (2020) menyatakan bahawa hanya 6000 orang rakyat tempatan berbanding 16,000 warga asing yang mendiami kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Selayang, menurut Menteri Wilayah Perseutuan Tan Sri Annuar Musa. Bancian yang terbaharu ini menunjukkan bahawa keseluruhan penduduk adalah seramai 22,000 orang dan daripada 16,000 orang warga asing merupakan golongan pelarian Rohingya yang memegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR). Daripada statistik yang ditunjukkan, bilangan warga asing di Pasar Borong Selayang dilihat meningkat dan semakin membimbangkan rakyat tempatan. Terdapat dua faktor utama yang menjadi punca kepada meningkatnya golongan warga asing di kawasan Pasar Borong Selayang ini. Pertambahan bilangan warga asing dilihat berpunca daripada kebanyakan pekerja asing yang sudah tamat tempoh bekerja tidak pulang ke negara asal, (Nizam, 2021). Warga asing yang sudah tamat tempoh bekerja ini dilihat enggan pulang ke negara asal mereka kerana mereka ingin terus bekerja di kawasan Pasar Borong Selayang ini. Golongan ini enggan pulang ke negara asal mereka dan lebih memilih untuk menetap secara haram di Malaysia demi kepentingan masing-masing. Terdapat juga segelintir golongan majikan yang dilihat menggaji golongan warga asing yang sudah tamat tempoh bekerja ini. Golongan pendatang warga asing yang sudah tamat tempoh bekerja ini juga dilihat semakin berani sehingga ada segelintir daripada mereka yang membuka kedai runcit, gerai tepi jalan dan berniaga di pasar tanpa dokumen yang sah.

Rajah 2 menunjukkan golongan warga asing yang berani untuk membuka kedai runcit di kawasan Pasar Borong Selayang

         Selain itu, faktor yang menjadi punca kepada peningkatan bilangan warga asing di Pasar Borong Selayang adalah sikap rakyat Malaysia yang terlalu memilih dalam mencari pekerjaan. Ismail dan Mutalib (2019) menyatakan bahawa sikap rakyat yang tidak mahu membuat kerja tertentu walaupun mereka sebenarnya mampu melakukannya sendiri menjadi punca kepada lambakan warga asing di kawasan ini. Oleh itu, peluang pekerjaan ini direbut oleh warga asing. Hal ini berlaku kerana terdapat rakyat Malaysia yang terlalu memilih pekerjaan dan beranggapan bahawa bekerja di pasar borong itu memenatkan, kotor dan hanya untuk golongan kelas bawahan. Justeru, peluang pekerjaan di kawasan Pasar Borong Selayang ini direbut oleh warga asing dan menjadikan bilangan mereka bertambah daripada masa ke semasa. Peningkatan golongan warga asing di kawasan Pasar Borong Selayang semakin hari semakin membimbangkan kerana terdapat segelintir daripada mereka tidak mempunyai dokumen yang sah didapati bekerja di kawasan ini. Hal ini dilihat memberikan impak yang negatif bukan sahaja kepada rakyat malah kepada negara Malaysia kita sendiri. Kesan-kesan negatif ini dilihat akan menjadi barah yang meruncing sekiranya perkara ini tidak diatasi dengan segera. Oleh itu, pihak yang berwajib perlulah peka dan cakna dalam mengatasi masalah lambakan warga asing di kawasan Pasar Borong Selayang ini.

Rajah  3 menunjukkan kawasan Pasar Borong Selayang yang kotor menjadi faktor golongan muda mengelak untuk mencari peluang pekerjaan disini.

          Antara kesan-kesan negatif yang berpunca daripada lambakan warga asing di Pasar Borong Selayang adalah golongan ini dilihat mampu mengancam keselamatan, kesihatan dan sosial masyarakat dalam negara. Golongan pendatang asing ini bebas bergerak di dalam negara kita kerana terdapat segelintir majikan yang acuh tak acuh dalam mengawasi pekerja mereka. Hal ini sedikit sebanyak akan meningkatkan kadar jenayah di dalam negara kita. Kehadiran warga asing di Pasar Borong Selayang juga telah menimbulkan rasa yang kurang selesa di dalam golongan wanita kerana ada daripada golongan pendatang ini bertindak berani melakukan gangguan seksual di tempat-tempat awam seperti di kawasan stesen bas di Pasar Borong Selayang. Tular di media sosial bahawa seorang lelaki warga asing bertindak melampau apabila rakaman kamera litar tertutup merakamkan gangguan seksual lelaki tersebut terhadap seorang wanita di Shah Alam, Selangor. Yakkub (2020) melaporkan di dalam akhbar Kosmo bahawa rakaman video yang berdurasi 29 saat itu menunjukkan bahawa lelaki berkenaan yang lengkap berpakaian bertindak 'menghulur' alat sulitnya terhadap seorang wanita yang sedang melakukan kerja-kerja menyedut hampagas sebuah kereta. Walaupun kejadian ini tidak berlaku di kawasan Pasar Borong Selayang, perkara ini telah mendatangkan kegusaran di dalam warga tempatan terutamanya di dalam golongan wanita yang tinggal berhampiran kawasan ini.

Rajah 4 menunjukkan golongan PATI ditahan kerana bekerja tanpa dokumen yang sah menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di Malaysia.

            Seterusnya, lambakan warga asing di Pasar Borong Selayang juga dilihat berpotensi untuk menyebababkan penularan penyakit-penyakit berjangkit dalam kalangan rakyat tempatan. Hal ini kerana menurut pemerhatian di kawasan Pasar Borong Selayang, golongan ini mengabaikan faktor kebersihan ketika berniaga di sekitar kawasan Pasar Borong Selayang dengan membiarkan barang-barang yang didagangkan terdedah dengan kotoran di pinggir-pinggir jalan. Segelintir daripada golongan warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah ini diluhat berniaga di bahu serta di pinggir jalan dan terdapat juga warga tempatan yang membeli barangan dagangan mereka kerana harganya yang murah. Oleh itu, warga tempatan dilihat bersiko untuk terdedeah kepada penyakit seperti keracunan makanan dan sebagainya. Syahmi (2020) juga melaporkan bahawa terdapat warga asing yang mungkin terdiri datipada pendatang tanpa izin (PATI) itu dilihat tidak menghiraukan peraturan dan operasi prosedur standard (SOP) ketika kawasan Pasar Borong Selayang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Tahap pematuhan SOP yang rendah dalam kalangan warga asing juga dilihat menjadi punca kepada berlakunya peningkatan kes COVID 19 di kawasan Pasar Borong Selayang. Mereka dilihat berdegil dan enggan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Rajah 5 menunjukkan pematuhan SOP yang rendah dalam kalangan warga asing dapat menyebabkan penularan wabak COVID 19

      Selain itu, lambakan warga asing di kawasan Pasar Borong Selayang juga dilihat menyebabkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan menjadi terhad. Warga asing dilihat memonopoli peluang pekerjaan di Pasar Borong Selayang apabila majoriti daripada pekerja di kawasan ini dilihat terdiri daripada golongan pendatang. Hal ini berlaku kerana, kos untuk menggaji golongan pekerja warga asing ini adalah lebih murah berbanding dengan pekerja tempatan. Segelintir golongan majikan dilihat lebih sanggup menggaji pekerja warga asing berbanding warga tempatan walaupun mereka tidak mempunyai dokumen untuk bekerja yang sah. Selain itu, terdapat juga segelintir warga tempatan yang tidak sanggup bekerja di Pasar Borong Selayang. Azira (2019) menurut temubual bersama seorang pekerja warga asing menyatakan bahawa Shoaib berasal dari Bangladesh ini menyatakan dirinya sudah banyak menyaksikan pekerja tempatan cabut lari kerana tidak tahan melakukan kerja. Mungkin disebabkan paksaan hidup yang dihadapi oleh golongan pekerja asing menyebabkan mereka tabah menjalani kepayahan dalam mencari rezeki untuk keluarga. Pekerja tempatan akan berhenti kerja apabila mereka mengetahui yang mereka perlu bangun seawal yang mungkin, tidak dibenarkan cuti dan persekitaran pasar yang berbau busuk. Oleh itu majikan lebih sanggup untuk menggaji golongan warga asing berbanding warga tempatan. Impak daripada perkara ini mendatangkan kesan yang negatif kepada pertumbuhan ekonomi tempatan di mana golongan muda atau pekerja separa mahir akan terjejas dan ditindas hanya disebabkan oleh golongan masjikan lebih gemar menggunakan tenaga kerja asing berbanding tenaga kerja tempatan. Bukannya semua warga tempatan yang bersikap sedemikan dan hanya segelintir sahaja, namun golongan majikan dilihat kurang memberikan peluang kepada warga tempatan.

Rajah 6 menunjukkan bahawa peluang pekerjaan di Pasar Borong Selayang dimonopoli oleh golongan warga asing.

         Selain daripada itu, impak negatif yang dilihat akibat daripada lambakan warga asing di Pasar Borong Selayang adalah berlakunya pengaliran wang ke luar negara. Kebanjiran buruh asing di negara kita juga bermakna pengaliran wang ke luar negara turut meningkat. Pekerja asing terutamanya yang berasal dari Indonesia, Filipina, dan Myanmar yang bekerja di negara kita akan mengirimkan sebahagian besar gaji yang diterimanya ke kampung halaman untuk menampung kehidupan keluarga mereka. Hal ini demikian kerana jika mata wang Ringgit Malaysia (RM) ditukarkan kepada mata wang negara mereka, nilainya adalah berlipat ganda. Bernama (2019) melaporkan bahawa Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata hampir RM 5 billion wang Malaysia mengalir ke luar negara. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung, ianya akan merugikan Malaysia. Perkara ini berlaku kerana, sekiranya nilai pendapatan faktor ke luar negara adalah lebih besar berbanding dengan nilai pendapatan faktor dari luar negara akan menyebabkan pendapatan faktor bersih luar negara (PFBLN) bernilai negatif. PFLBN yang negatif akan menyebabkan berlakunya kekurangan dalam imbangan pembayaran serta akan menyebabkan berlakunya kemerosotan dalam tingkat pendapatan negara secara keseluruhan. Pengaliran wang ke luar negara juga akan menyebabkan penyusutan kepada nilai mata wang ringgit yang akan menjejaskan ekonomi negara.

Rajah 7 menunjukkan pengaliran wang ke luar negara akan memberikan impak yang negatif kepada negara.

           Konklusinya, lambakan warga asing di Pasar Borong Selayang telah memberikan pelbagai kesan yang negatif kepada rakyat mahupun negara kita. Oleh itu, kerajaan dan pihak yang berwajib haruslah menggembleng tenaga bagi memastikan isu ini dapat dibendung dan dikurangkan. Kedatangan warga asing ke negara kita seharusnya dikawal bagi mengelakkan lambakan warga asing. Sememangnya kedatangan mereka ini sedikit sebanyak memberikan impak yang positif akan tetapi impak negatif itu lebih jelas dilihat berbanding impak yang positif dek kerana sikap warga asing yang degil dan ingin meneruskan kelangsungan hidup di negara kita. Kerajaan dan pihak berwajib juga haruslah memantau kegiatan warga asing terutamanya di kawasan Pasar Borong Selayang ini agar warga asing yang bekerja di kawasan ini mempunyai dokumen yang sah agar keselamatan rakyat dan masyarakat setempat terjamin daripada segala ancaman bahaya.

 

 

RUJUKAN

Ismail, I. S., & Mutalib, Z. A. (2019, May 1). Sikap Rakyat punca Lambakan pekerja asing di Negara Ini - PM. Berita Harian. Dirujuk pada Disember 21, 2021, daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/05/559068/sikap-rakyat-punca-lambakan-pekerja-asing-di-negara-ini-pm

Nizam , M. (2021, March 18). Ali Baba Punca lambakan Pekerja Asing? Utusan Digital. Dirujuk pada Disember 21, 2021, daripada https://www.utusan.com.my/rencana/2021/03/ali-baba-punca-lambakan-pekerja-asing/

Azira. (2020, May 17). Warga asing Tidak Yakin Rakyat malaysia Akan Bertahan Bekerja di Pasar Borong selayang. Beautifulnara. Dirujuk pada Disember 21, 2021, daripada https://beautifulnara.com/warga-asing-tidak-yakin-rakyat-malaysia-akan-bertahan-bekerja-di-pasar-borong-selayang/

Bernama. (2019, September 21). Rm5 bilion Wang Negara mengalir Keluar Dalam Sektor Pembinaan. Sinarharian. Dirujuk pada Disember 21, 2021, daripada https://www.sinarharian.com.my/article/48766/BERITA/Nasional/RM5-bilion-wang-negara-mengalir-keluar-dalam-sektor-pembinaan

Bernama. (2020, April 28). 16,000 warga asing di PKPD sekitar Pasar Borong selayang. Harian Metro. Dirujuk pada Disember 21, 2021, daripada https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/04/572131/16000-warga-asing-di-pkpd-sekitar-pasar-borong-selayang

Shamsuddin, N. (2019, April 5). Dimonopoli warga asing [METROTV]. Harian Metro. Dirujuk pada Disember 21, 2021, daripada https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/04/441170/dimonopoli-warga-asing-metrotv

Syahmi, I. (2020, May 28). Masih Ada Warga Asing Degil di Pasar Borong selayang. MalaysiaGazette. Dirujuk pada Disember 21, 2021, daripada https://malaysiagazette.com/2020/05/28/masih-ada-warga-asing-degil-di-pasar-borong-selayang/

Yakkub, M. Y. (2020, December 8). Tular Lelaki Warga asing berkelakuan tidak senonoh. Kosmo Digital. Dirujuk pada Disember 21, 2021, daripada https://www.kosmo.com.my/2020/12/08/tular-lelaki-warga-asing-berkelakuan-tidak-senonoh/

 

 

Sent from Mail for Windows

 

No comments:

Post a Comment