Saturday, December 25, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: KESAN PERLOMBONGAN TERHADAP PENDUDUK DI KAMPUNG KECHAU, KUALA LIPIS PAHANG

 Berdasarkan kajian yang telah dijalankan di Kampung Kechau Kuala Lipis, aktiviti perlombongan mendatangkan pelbagai kesan terhadap penduduk di sekitar kampung tersebut sama ada kesan positif mahupun kesan negatif. Jenis perlombongan yang dijalankan ialah perlombongan emas. Kegiatan perlombongan ini mula giat dijalankan pada awal tahun 2020 sehingga kini. Namun, pada musim penularan pandemik Covid-19 pada awal perintah kawalan pergerakan (PKP) dijalankan, kegiatan ini terpaksa dihentikan sementara waktu. Walau bagaimanapun, terdapat individu yang tidak bertanggungjawab masih menjalankan kegiatan tersebut pada ketika itu sehingga tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa ke atas sikap sambil lewa mereka dan melanggar Prosedur Operasi (SOP) yang telah ditetapkan.


GAMBAR 1 
KAWASAN PERLOMBONGAN DI KAMPUNG KECHAU


GAMBAR 2 
KAWASAN PERLOMBONGAN DI KAMPUNG KECHAU

  Justeru, kesan utama kegiatan perlombongan emas dijalankan di Kampung Kechau ialah berkaitan dengan kesan positif iaitu mewujudkan peluang pekerjaan. Ini kerana, sektor pekerjaan di kawasan Kampung Kechau amatlah terhad iaitu terhad kepada aktiviti pertanian seperti berkebun, menoreh getah, menjual sawit serta berniaga secara kecil-kecilan. Oleh itu, dengan wujudnya aktiviti perlombongan di kawasan kampung tersebut, penduduk yang tidak mempunyai kerja iaitu penganggur atau golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat bekerja dengan gaji yang tinggi serta cukup untuk menanggung kos sara hidup mereka. Peluang pekerjaan ini menyebabkan kurangnya migrasi luar bandar ke bandar berlaku kerana  penduduk kampung telah memperoleh kerja dengan gaji yang berpatutan. Taraf hidup penduduk kampung juga semakin meningkat.

            Selain itu, kegiatan perlombongan turut menggalakkan perkembangan kemudahan sosial di kawasan Kampung Kechau. Ini kerana kemudahan untuk perhubungan seperti jalan raya, rangkaian telefon bimbit dan internet dipertingkatkan di kawasan tersebut bagi memudahkan urusan pekerja bergerak ke kawasan tersebut serta memudahkan pelombong dan pihak atasan berhubung berkaitan maklumat dan proses kerja yang telah mereka jalankan. Penduduk-penduduk di sekitar kawasan perlombongan dapat merasai dan menikmati kemudahan yang telah dinaik taraf. Kemudahan kesihatan juga semakin dipertingkatkan di kawasan kampung Kechau bagi memudahkan urusan pekerja lombong untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Perniagaan kecil yang di usahakan di kampung tersebut seperti kedai makan dan kedai runcit  mendapat sambutan yang baik disebabkan pertambahan buruh untuk kegiatan perlombongan di kawasan Kampung Kechau. Oleh itu, pelbagai perniagaan kecil giat diusahakan terutama kedai makan bagi mewujudkan lebih banyak variasi makanan kepada penduduk kampung dan buruh lombong yang secara langsung dapat menambahkan pendapatan penduduk kampung.

            Namun demikian, disebabkan pengurusan yang tidak cekap, aktiviti perlombongan telah menimbulkan pelbgai kesan negatif kepada penduduk di Kampung Kechau, Kuala Lipis, Pahang. Kesan utama akibat aktiviti perlombongan ialah pencemaran air. Hal ini kerana perlombongan emas banyak melibatkan pencarian di kawasan sungai. Air sungai menjadi keruh dan kotor akibat penggalian yang dilakukan terhadap sungai. Banyak sungai telah tercemar akibat aktiviti ini. Oleh yang demikian penduduk kampung tidak dapat menjalankan aktiviti riadah di sungai yang kebiasaannya menjadi tarikan kepada mereka untuk meluangkan masa bersama keluarga. Disebabkan pencemaran air yang berlaku, kawasan kampung tersebut sering mengalami ketiadaan air. Hal ini membebankan penduduk kampung kerana terpaksa mencari air untuk kegunaan harian dan ia menjadi lebih teruk akibat sungai tidak dapat digunakan kerana air yang kotor. Ini kerana pemendapan bahan kelodak ke dalam sungai akan menjadikan sungai semakin cetek dan keruh. Asid yang digunakan dalam perlombongan emas akan menyebabkan pencemaran sungai dan mempengaruhi hidupan akuatik. 

GAMBAR 3 
SUNGAI KECHAU YANG DILOMBONG

GAMBAR 4
SUNGAI KECHAU

Seterusnya kesan perlombongan terhadap penduduk di Kampung Kechau ialah mengalami masalah kesihatan. Hal ini kerana jentera yang telah dibawa dan digunakan semasa menjalankan proses perlombongan menyebabkan pengeluaran habuk dan debu yang sangat banyak sehingga menyebabkan pencemaran udara. Habuk dan debu menjadi semakin tebal apabila jentera melalui kawasan tersebut pada setiap hari dan akan mengakibatkan penduduk kampung menghidap penyakit seperti batuk, asma dan sesak nafas. Lama kelamaan penduduk yang terdedah dengan udara yang kotor ini akan menghidap penyakit dengan lebih kronik sehingga boleh merisikokan nyawa mereka. Sebagai contoh bagi penduduk yang sedia ada menghidap penyakit asma akan kerap ke hospital untuk mengambil bantuan oksigen akibat terdedah dengan kawasan habuk yang disebabkan oleh aktiviti perlombongan. Justeru, aktiviti perlombongan akan menjejaskan kesihatan penduduk terutama warga emas.

            Walau bagaimanapun, kerosakan jalan raya juga adalah disebabkan daripada kegiatan perlombongan emas. Ini kerana kemasukan jentera-jentera perlombongan emas yang besar dan berat telah menyebabkan struktur jalan raya pecah dan rosak. Kerosakan jalan raya tersebut memberi kesan kepada penduduk kampung di mana mereka terpaksa melalui jalan raya tersebut untuk melakukan pergerakan ke sesebuah kawasan. Debu-debu daripada jalan raya tersebut telah menjejaskan kesihatan penduduk kampung. Oleh itu, penduduk di kampung mudah mendapat penyakit seperti batuk khususnya kepada penduduk tua. 


GAMBAR 5 
JALAN RAYA ROSAK AKIBAT PERLOMBONGAN

Akhir sekali, dengan adanya aktiviti perlombongan di Kampung Kechau telah menggalakkan migrasi masuk penduduk luar ke kawasan kampung. Oleh itu, pertambahan penduduk menyebabkan kesesakan kepada penduduk kampung. Hal ini kadang kala menyebabkan penduduk kampung tidak selesa dengan keadaan sekeliling akibat orang asing yang berada di kawasan mereka. Aktiviti mereka juga sedikit terganggu. Kemasukan orang asing ke kampung tersebut bagi tujuan perlombongan akan menjejaskan keselamatan penduduk sekitarnya akibat masalah jenayah seperti kecurian dan penipuan. Keselesaan mereka di kawasan perkampungan sedikit terganggu dan lebih menjaga keselamatan keluarga mereka.

            Kesimpulannya, perlombongan emas di kawasan Kampung Kechau, Kuala Lipis, Pahang memberikan kesan yang baik dan buruk kepada penduduk sekitar. Perlombongan ini dapat dikawal sekiranya di bawah kawalan pihak atasan seperti ketua kampung, majlis daerah dan juga pihak polis. Sekiranya aktiviti perlombongan ini masih giat dijalankan tanpa kawalan yang betul, maka akan memberi kemusnahan kepada hutan dan menjejaskan rutin harian penduduk serta menjejaskan kesihatan penduduk. Namun begitu, aktiviti perlombongan juga merupakan sumber utama pendapatan penduduk di kawasan tersebut dan buruh yang datang dari luar untuk bekerja dalam sektor ini. Justeru, amat penting untuk mengambil langkah pengawalan perlombongan seperti menetapkan masa-masa bagi kerja cari gali untuk mengelakkan pencarian yang terlalu kerap yang akan merisikokan penduduk.

RAKAMAN KAWASAN PERLOMBONGAN DI KAMPUNG KECHAU KUALA LIPIS.


           

 

 






No comments:

Post a Comment