Thursday, December 16, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI KAMPUNG TANJUNG BATU LAUT TAWAU, SABAH

1.0       Pengenalan

Masalah pembuangan sampah merupakan satu isu yang tidak asing lagi bagi kita dan hal ini telah dijadikan sebagai budaya dalam kalangan segelintir masyarakat yang tidak bertanggugjawab dan kurang prihatin terhadap persekitaran mereka dengan membuang sampah di merata tempat. Seperti yang diketahui, sampah sarap merupakan bahan buangan yang tidak berguna dan sememangnya tidak mendatangkan sebararang faedah malah dapat memberi kesan yang negatif kepada penduduk di sesuatu kawasan jika tidak diuruskan dengan baik. Oleh itu, pengurusan sampah sarap yang baik adalah amat penting dan perlulah ditekankan bagi memastikan kesejahteraan hidup masyarakat setempat. Lazimnya, terdapat dua kategori bahan buangan iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik (Muhamad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri, 2015). Di mana, sampah domestik merujuk kepada bahan buangan keperluan harian dari rumah seperti sisa makanan, beg plastik, kertas, botol, tin aluminium dan kain buruk. Manakala, sampah bukan domestik merujuk kepada bahan buangan dari aktiviti industri seperti kedai dan tapak pembinaan. Berdasarkan kepada tajuk yang dipilih, masalah pembuangan sampah di kampung Tanjung Batu Laut Tawau, Sabah dilihat lebih kepada pembuangan sampah domestik daripada penduduk yang tinggal di kampung tersebut.

            Kampung Tanjung Batu Laut merupakan sebuah perkampungan yang terletak di atas air iaitu di pinggir laut. Ia terletak kira-kira 8km dari bandar Tawau dan mengambil masa kira-kira 10 minit ataupun sebanyak 27km dari Lapangan Terbang Tawau yang mana mengambil masa sekitar 1 jam. Penduduk di kampung Tanjung Batu Laut terdiri daripada pelbagai bangsa namun, majoriti penduduknya adalah berbangsa bugis iaitu salah satu suku kaum yang terdapat di daerah Tawau. Jika dilihat dari segi kelas ekonomi pula, kebanyakan penduduk di kampung tersebut adalah bekerja dalam sektor swasta ataupun bekerja sendiri. Masalah pembuangan sampah di kampung Tanjung Batu Laut ini sememangnya telah hangat diperkatakan dan sehingga kini, isu ini dilihat masih berlaku dalam kalangan penduduk di situ. Seperti yang telah dinyatakan pada Portal Berita Online Negeri Sabah (2019), kampung Tanjung Batu Laut dikatakan penuh dengan lautan sampah di mana sampah dibuang di merata-rata tempat sehingga menjejaskan kebersihan kawasan kampung tersebut. Oleh yang demikian, perkara ini sememangnya menjadi satu isu yang penting dan perlu diketengahkan dengan melihat daripada pelbagai aspek bagi memastikan keberkesanan dalam mengatasinya seperti mengenal pasti punca berlakunya masalah    pembuangan sampah yang mana dapat menimbulkan beberapa kesan negatif kepada penduduk serta merancang tindakan yang lebih efisien dalam menangani permasalahan ini.


2.0       Isi Kandungan

Masalah pembuangan sampah di kampung Tanjung Batu Laut Tawau, Sabah dibincangkan dengan melihat daripada hasil tinjauan soal selidik yang terdiri daripada 50 orang responden iaitu penduduk di kampung Tanjung Batu Laut menggunakan platform Google Form. Di mana, ia mengandungi 3 bahagian utama iaitu faktor, kesan dan cadangan dalam mengatasi masalah pembuangan sampah di kampung Tanjung Batu Laut Tawau, Sabah. Berikut merupakan pautan Google Form yang digunakan dalam menyoal selidik penduduk kampung https://docs.google.com/forms/d/12g16V8zl6qXjsTzocUPU356a7PG1lxJn0Ni1p1o0Dx0/prefill

2.1 Faktor Berlakunya Masalah Pembuangan Sampah di Kampung Tanjung Batu Laut Tawau, Sabah

Jadual 1: Faktor Berlakunya Masalah Pembuangan Sampah di Kampung Tanjung Batu Laut

Faktor Berlakunya Masalah Pembuangan Sampah

Bilangan Responden (orang)

Kekurangan tempat pembuangan sampah

20

Pemungutan sampah tidak mengikut jadual

14

Kurangnya kesedaran tentang kesan terhadap alam sekitar

7

Sikap pentingkan diri sendiri

9

 

Berdasarkan kaji selidik yang telah dilakukan, seramai 20 orang responden menandakan kekurangan tempat pembuangan sampah merupakan faktor berlakunya masalah pembuangan sampah. Manakala faktor pemungutan sampah tidak mengikut jadual seramai 14 orang, sikap pentingkan diri sendiri adlaah 9 orang dan yang paling rendah adalah kurangnya kesdaran tentang kesan terhadap alam sekitar iaitu 7 orang.

Oleh itu, faktor yang menyumbang kepada berlakunya masalah pembuangan sampah di kampung Tanjung Batu Laut adalah disebabkan oleh kekurangan tempat pembuangan sampah. Hal ini menyebabkan penduduk di kampung tersebut membuang sampah di merata-rata tempat kerana tong sampah yang disediakan adalah tidak mencukupi dalam menampung kuantiti bahan buangan penduduk. Akibat daripada tindakan ini, wujudnya longgokan sampah dan bahan buangan juga dapat dilihat bertaburan di kawasan kampung dan kebanyakan bahan buangan akan dibuang terus ke luar rumah di mana sampah akan jatuh secara langsung  terus ke dalam laut. Bukan itu sahaja, kekurangan tempat pembuangan sampah juga mengakibatkan bahan buangan akan bertimbun di satu tempat pembuangan sahaja sehingga sampah sarap akan melimpah keluar dan ini akan menggalakkan lagi penduduk untuk membuang sampah mereka di luar tong sampah yang disediakan sehingga berlakunya perebakan kawasan pembuangan sampah  yang dipenuhi dengan lambakan bahan buangan.

Masalah pembuangan sampah di kampung Tanjung Batu Laut juga disebabkan oleh pemungutan sampah dan pengendalian yang tidak mengikut jadual seperti yang telah ditetapkan. Hal ini adalah disebabkan oleh pihak berkuasa yang telah dipertanggungajwabkan dalam menguruskan perkara ini tidak menjalankan tugas mereka mengikut seperti apa yang telah diarahkan. Akibatnya, sampah sarap akan tekumpul lama dan akan melimpah keluar dari tempat pembuangan sampah dan secara tidak langsung, ia mendorong penduduk untuk tidak membuang di tempat pembuangan yang disediakan malahan mereka cenderung untuk membuat longgokan sampah yang baharu di merata-rata tempat untuk membuang bahan buangan mereka seperti wujudnya timbunan sampah-sarap di hadapan dan di tepi rumah. Ini menunjukkan bahawa pengurusan daripada pihak berkuasa yang kurang sistematik kerana tidak peka terhadap tugas yang telah diamanahkan.

Kurangnya kesedaran tentang kesan terhadap alam sekitar juga sememangnya menjadi faktor berlakunya masalah pembuangan sampah di kampung Tanjung Batu Laut. Hal ini kerana, penduduk kurang didedahkan dengan ilmu-ilmu berkaitan dengan alam sekitar sehingga mereka tidak mahir dalam mengatasi masalah ini. Kurangnya kesedaran tentang alam sekitar dalam kalangan penduduk ini adalah disebabkan pendedahan berkaitan dengan cara-cara mengatasinya dan kepentingan alam sekitar kepada manusia adalah kurang. Akibat daripada perkara ini, penduduk memandang enteng terhadap isu pembuangan sampah yang sedang berlaku di kampung tersebut sehingga mereka tidak ragu-ragu untuk membuang sampah di merata-rata tempat. Bahkan, mereka juga tidak memikirkan tentang kesan-kesan negatif yang akan berlaku akibat daripada tindakan mereka yang mana ia dapat menjejaskan penduduk serta persekitaran kampung tersebut.

Selain itu, memang tidak dinafikan bahawa masalah pembuangan sampah juga berpunca daripada sikap penduduk di kawasan itu sendiri. Begitu juga yang berlaku di kampung Tanjung Batu Laut di mana, terdapat segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri dengan membuang bahan buangan mereka di merata tempat. Sikap segelintir penduduk yang pentingkan diri sendiri ini sememangnya tidak kisah terhadap persekitaran mereka kerana hanya mementingkan kebersihan dalam rumah mereka sendiri sahaja. Oleh yang demikian, mereka sewenang-wenangnya membuang sampah mereka ke luar kawasan rumah mereka menyebabkan lambakan sampah dapat dilihat di merata kawasan dalam kampung tersebut. Penduduk yang bersikap pentingkan diri sememangnya tidak endah tentang kebersihan dan sentiasa memberikan alasan yang tidak munasabah seperti tempat pembuangan sampah yang jauh.

2.2 Kesan yang Timbul Akibat Masalah Pembuangan Sampah di Kampung Tanjung Batu Laut, Sabah

Jadual 2: Kesan yang Timbul Akibat Masalah Pembuangan Sampah di Kampung Tanjung Batu Laut

Kesan yang Timbul Masalah Pembuangan Sampah

Bilangan Responden (orang)

Menjejaskan imej kawasan kampung

18

Mengganggu hidupan akuatik di laut

14

Menjejaskan kesihatan penduduk

9

Pencemaran bau

9

 

Berdasarkan kaji selidik yang telah dilakukan, seramai 18 orang responden menandakan menjejaskan imej kawasan kampung merupakan kesan yang timbul akibat masalah pembuangan sampah. Manakala mengganggu hidupan akuatik di laut ditandakan oleh 14 orang responden dan sebanyak 9 orang responden. Menjejaskan kesihatan penduduk dan pencemaran bau mempunyai bilangan responden yang sama iaitu 9 orang. 


Pembuangan sampah di merata-rata tempat sememangnya dapat menjejaskan imej sesebuah kawasan seperti yang dapat dilihat di kampung Tanjung Batu Laut. Ini dapat dilihat apabila persekitaran di kampung tersebut yang dipenuhi dengan sampah sarap terlebih lagi plastik yang mana sukar untuk dilupuskan dan akan kekal lama berada di kawasan kampung. Kawasan kampung yang penuh dengan samoah sarap ini secara tidak langsung telah mencacatkan pemandangan alam sekitar di kawasan tersebut bahkan juga dapat memberi gambaran yang buruk terhadap orang luar. Bukan itu sahaja, imej kawasan kampung yang terjejas juga dapat mempengaruhi kestabilan emosi penduduk di mana persekitaran yang kotor akan mewujudkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk sehingga dapat menjejaskan aktiviti harian mereka .

    
 

Selain itu, masalah pembuangan sampah di kampung Tanjung Batu Laut juga turut menimbulkan kesan terhadap hidupan akuatik di laut kerana sampah yang dibuang dipersekitaran rumah akan dibawa ke dalam laut dan menggangu hidupan akuatik. Hal ini kerana hidupan laut seperti penyu dan ikan akan mati jika tertelan barangan plastik yang dibuang oleh penduduk di kampung tersebut. Bukan itu sahaja, sampah sarap yang dibuang ke dalam laut juga akan mengakibatkan air laut menjadi kotor dan dapat memberikan kesan kepada organisma akuatik kerana tidak dapat hidup dalam keadaan air yang kotor dan terjejas. Secara tidak langsung, pembuangan sampah di merata tempat di kampung Tanjung Batu Laut dikatakan dapat mengganggu keseimbangan ekosistem akuatik.

     

Sampah sarap yang dibuang di merata-rata tempat juga sememangnya dapat memberi kesan yang buruk terhadap kesihatan penduduk di kampung Tanjung Batu Laut. Hal ini kerana persekitaran yang kotor akan manjadi satu habitat kepada haiwan perosak seperti lalat, tikus dan lipas yang mana haiwan ini dapat mendatangkan penyakit kepada penduduk kampung seperti Taun. Bukan itu sahaja, longgokan sampah sarap juga dapat membentuk takungan air di mana ia akan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Akibat daripada perkara ini, ia akan mendorong kepada berlakunya penyebaran penyakit Demam Denggi yang mana sangat membahayakan kesihatan penduduk bahkan boleh membawa maut. Ekoran daripada kesihatan penduduk terjejas, ia juga secara tidak langsung dapat mengganggu aktiviti harian penduduk kerana sukar menjalankan aktiviti harian dengan persekitaran yang bersih dan sihat.

Pembuangan sampah di merata-rata tempat di kampung Tanjung Batu Laut juga dapat menyebabkan berlakunya pencemaran bau. Pencemaran bau ini berpunca daripada sampah sarap yang dibuang di persekitaran kampung tersebut. Di mana, sampah sarap yang dilonggokkan dan dibuang di merata tempat di kawasan kampung tersebut akan mendatangkan rasa ketidakselesaan kepada penduduk kampung yang tinggal di situ. Tambahan pula, bau busuk akibat daripada bakteria-bakteria sampah sarap yang dibuang ke dalam laut yang menjijikkan itu dapat mengganggu dan menyukarkan pernafasan penduduk. Kesan daripada udara yang tercemar, ianya sudah pasti akan mengganggu dan mengehadkan aktiviti harian penduduk di kampung itu.

2.3 Cadangan Bagi Mengatasi Masalah Pembuangan Sampah di Kampung Tanjung Batu Laut Tawau, Sabah

Jadual 3: Cadangan Bagi Mengatasi Masalah Pembuangan Sampah di Kampung Tanjung Batu Laut

Cadangan Bagi Mengatasi Masalah Pembuangan Sampah

Bilangan Responden (orang)

Pemantauan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

17

Membudayakan amalan kitar semula

12

Kempen pengurusan sampah

9

Jadual pengurusan sampah yang lebih sistematik

12

 

Berdasarkan kaji selidik yang telah dilakukan, seramai 17 orang responden menandakan Pemantauan oleh Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan cadangan bagi masalah pembuangan sampah. Manakala membudayakan amalan kitar semula dan jadula pengurusan sampah yang lebih sistematik mempunyai bilangan responden yang sama iaitu 12 orang.  Kempen pengurusan sampah boleh mencatatkan bilangan responden yang terendah iaitu sebanyak 9 orang.

Dapatlah dilihat baahwa ntara cadangan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di Kampung Tanjung Batu Laut adalah melalui pemantauan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Di mana, JAS dan PBT perlulah sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan kampung tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada sesiapa yang didapati membuang bahan buangan mereka di merata tempat. Oleh itu, PBT perlulah merancang strategi contohnya dengan menjalankan pemantauan berkala pada setiap bulan bagi melihat keadaan penduduk dalam menguruskan bahan buangan mereka. Dengan cara ini, penduduk akan lebih peka terhadap pengurusan sampah mereka dan memandang serius berkaitan masalah pembuangan sampah dan tidak membuang sampah sarap di merata-rata tempat.

Membudayakan amalan kitar semula juga merupakan salah satu cara bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di kampung Tanjung Batu Laut. Dengan mengamalkan kitar semula, penghasilan bahan buangan dapat diminimumkan dan ini sekaligus dapat mengurangkan kuantiti sampah dan persekitaran kawasan kampung menjadi lebih bersih. Oleh itu, penduduk kampung perlulah mengasingkan terlebih dahulu barang-barang yang boleh dikitar semula dengan barang yang hendak dibuang untuk dijadikan sampah. Sebagai contoh, bahan yang boleh dikitar semula adalah seperti kaca, kertas, logam plastik, tekstil dan elektronik. Dengan demikian, masalah pembuangan sampah seperti wujudnya longgokan sampah di merata tempat dan tempat pembuang sampah yang sentiasa penuh dapat dikawal dan diatasi dengan lebih berkesan kerana ia melibatkan peranan daripada setiap penduduk di kampung itu.

Di samping itu, mengadakan kempen berkaitan pengurusan sampah juga merupakan salah satu cara yang dapat diambil bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di kampung Tanjung Batu Laut. Dengan adanya kempen, penduduk akan lebih terdedah dengan cara-cara serta kepentingan pengurusan sampah kepada manusia bahkan juga kepada alam sekitar. Oleh yang demikian, penduduk dapat menerapkan cara pengurusan sampah dengan betul dalam kehidupan seharian mereka dan secara tidak langsung juga dapat mengurangkan masalah pembuangan sampah di kampung mereka. Kempen pengurusan sampah dapat dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga pihak NGO dan kempen yang dijalankan perlulah lebih kerap serta berterusan agar ia terlaksana dengan lebih berkesan dalam jangka masa panjang.Bahkan, peranan media massa juga tidak dinafikan dalam menyalurkan mesej-mesej yang bermanfaat kepada penduduk kampung agar sentiasa memastikan persekitaran kawasan tempat tinggal mereka sentiasa selamat dan bersih.

Dengan adanya satu pengurusan sampah yang lebih sistematik, masalah pembuangan sampah di Kampung Tanjung Batu Laut juga dapat diatasi. Hal ini kerana, jika sampah dikutip daripada tempat pembungan pada masa yang telah dijadualkan, maka longgokan sampah di merata kawasan kampung tidak akan berleluasa kerana penduduk dapat membuang sampah pada tempat yang telah disediakan bahkan sampah sarap juga tidak akan melimpah keluar sehingga dapat menjejaskan imej kawasan kampung. Oleh yang demikian, peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) amat signifikan dalam memastikan agensi pengurusan sampah menjalanakn tigas mereka seperti yang telah ditetapkan dan mampu menyediakan tong sampah mengikut keperluan penduduk contoh semasa musim perayaan, tong sampah besar ataupun lebih daripada kebiasaannya perlulah disediakan agar masalah pembuangan sampah di kampung dapat diatasi dengan lebih berkesan.


3.0       Penutup

Kesimpulannya, masalah pembuangan sampah di kampung tanjung Batu Laut dilihat bukan sahaja dapat mendatangkan kesan yang buruk kepada penduduk kampung malah turut memberi kesan kepada persekitaran fizikal kampung tersebut.  Hal ini dapat dilihat pada seperti yang telah dibincangkan di mana pembuangan sampah di merata tempat sememangnya dapat menjejaskan kesejahteraan hidup penduduk kampung akibat hidup dalam satu peersekitaran yang kurang bersih. Oleh yang demikian, peranan daripada pelbagai pihak amatlah penting dalam menjamin pembuangan sampah di kampung tersebut dapat diurus dengan baik. Setiap penduduk dan pihak yang berwajib perlulah saling bekerjasama antara satu sama lain dan tidak saling bergantung harap kepada satu pihak sahaja tetapi masing-masing mempunyai sikap yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap kebersihan kawasan kampung.

             Dengan adanya pengurusan yang lebih sistematik, masalah pembuangan sampah di kampung Tanjung Batu Laut dapat diatasi dan persekitaran kampung yang bersih dan sihat dapat diwujudkan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan penduduk kampung. Secara tidak langsung, kualiti hidup penduduk kampung dapat ditingkatkan dan lebih terjamin kerana kurangnya masalah-masalah seperti rebakan penyakit akibat persekitaran yang tercemar. Persekitaran kampung yang bersih juga amat penting bagi memberi gambaran kepada generasi akan datang agar mereka lebih peka dan prihatin terhadap alam sekitar dan dengan demikian, negara dapat melahirkan satu persekitaran yang bersih dan bebas daripada pencemaran.

 

Rujukan

Muhamad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri. (2015). Masalah longgokan Sampah Kawasan Perumahan Berteres Kajian Kes: Taman Universiti, Skudai , Johor ( Tesis Sarjana). Diperoleh daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/53778/25/MuhamadFiqruraziAhmadShamsuriMFGHT2015.pdf

Portal Berita Online Negeri Sabah. (2019). Netizen Jijik Lihat Keadaan Kampung Di Tawau Ni Yang PenuhDengan Lautan Sampah. Diperoleh daripada https://www.sabahpost.net/2019/05/08/netizen-jijik-lihat-keadaan-kampung-di-tawau-ni-yang-penuh-dengan-lautan-sampah/


NAMA: JUREEN BINTI JULIUS

NO. MATRIK: DXXXXX091296

KUMPULAN KULIAH: C

No comments:

Post a Comment