Sunday, December 26, 2021

KESAN COVID-19 TERHADAP SOSIOEKONOMI PENDUDUK DI TAMAN KANOWIT, SARAWAK

KESAN COVID-19 TERHADAP SOSIOEKONOMI PENDUDUK DI TAMAN KANOWIT, SARAWAK

 

Nama : Alan Veronessa Anak Albat

No. Matrik : D20192091288

 

1.0 PENGENALAN

Dunia kini telah digemparkan dengan Pandemik Covid-19. Pandemik Covid-19 juga dikenali sebagai wabak koronavirus yang telah meragut beribu-ribu nyawa manusia tanpa mengira latar belakang dan keturunan. Kes pertama Covid-19 yang dilaporkan berlaku di Wuhan, China pada Disember 2019. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), coronavirus (CoV) adalah virus yang menyebabkan jangkitan pernafasan. Virus yang berbahaya ini merebak melalui titisan pernafasan yang dihasilkan oleh batuk atau bersin, dan ia juga mudah merebak. Jangkitan virus ini boleh menyebabkan pelbagai simptom daripada selesema hingga radang paru-paru yang teruk. Terdapat beberapa simptom-simptom yang dijangkiti oleh Covid-19. Antaranya adalah demam, batuk, sakit dada, kesukaran bernafas, dan sebagainya. Covid-19 ini terus merebak ke seluruh dunia sehingga kini. Malaysia juga tidak dikecualikan diserang oleh wabak ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyatakan langkah-langkah pencegahan Covid-19. Antaranya ialah sentiasa memakai pelitup muka, membasuh tangan, menutup mulut apabila batuk, penjarakkan sosial dan kuarantin diri selama 14 hari bagi mereka yang dijangkiti oleh Covid-19. Namun, pandemik Covid-19 ini telah menyebabkan banyak kesan terhadap penduduk di Malaysia, terutamanya sosioekonomi penduduk.

        Sosioekonomi pula merujuk kepada kajian yang melibatkan unsur-unsur dan faktor-faktor kemasyarakatan dan ekonomi menurut Kamus Dewan. Ia juga merupakan satu kajian yang mengkaji hubungan kegiatan ekonomi dengan aktiviti kemasyarakatan. Sosioekonomi terbahagi kepada dua aspek, iaitu aspek sosial dan juga aspek ekonomi. Aspek sosial termasuk pendidikan, kesihatan, telekomunikasi dan aktiviti-aktiviti sosial yang lain. Bagi aspek ekonomi pula, ia termasuk pekerjaan, pedapatan, pemilik harta benda dan sebagainya. Wabak Covid-19 telah memberi impak yang besar terhadap sistem politik, ekonomi, sosial, kesihatan, dan pendidikan di Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa sosioekonomi penduduk di Malaysia memainkan peranan yang amat penting dalam membangunkan ekonomi negara.

Sesuatu kajian telah dijalankan untuk mengenalpasti kesan Covid-19 terhadap sosoioekonomi penduduk di sesuatu kawasan. Kawasan kajian yang dipilih ialah Taman Kanowit. Taman Kanowit terletak di pekan Kanowit, Sarawak. Kanowit merupakan satu daerah kecil yang terletak di dalam Bahagian Sibu, Sarawak dan memiliki keluasan 2,253.5 km persegi.Perjalanan dari bandar Sibu ke pekan Kanowit mengambil masa lebih kurang 45 minit sehinnga 60 minit, Taman Kanowit mempumyai jarak lebih kurang 36KM dari Lapangan Terbang Sibu, Sarawak. Taman Kanowit didiami oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Sebagai contoh, terdapat penduduk yang berbangsa Cina, Iban dan Melayu. Terdapat 36 unit rumah yang terletak dalam Taman Kanowit, Sarawak. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini adalah kaedah pemerhatian terhadap perubahan aktiviti sosioekonomi penduduk di Taman Kanowit, Sarawak sejak pandemik Covid-19. Bagi tujuan melengkapi kajian ini, pelbagai sumber telah dibaca bagi mendapatkan data dan maklumat yang berguna dalam kajian ini. Antara sumber-suber tersebut adalah buku, internet dan sebagainya. 

 

2.0 KESAN COVID-19 TERHADAP SOSIOEKONOMI PENDUDUK DI TAMAN KANOWIT, SARAWAK.

2.1 Pembelajaran Penduduk Terganggu

Terdapat banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupan sejak berlakunya pandemik Covid-19 di dunia ini. Perubahan tersebut termasuklan aktiviti sosioekomoni iaitu sektor pendidikan mulai daripada sekolah rendah hinggalah ke universiti. Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan telah melaporkan seramai 21,316 pelajar yang telah berhenti sekolah sejak Mac 2020. Perkara ini amat membimbangkan. Sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) iaitu bermula pada 18 Mac 2020, pelajar tidak dibenarkan untuk menghadiri ke sekolah untuk menjalankan proses PdP. Hal ini merupakan salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia untuk mengawal pandemik Covid-19 yang amat bahaya hingga mampu memugut nyawa. Semua pelajar dinasihatkan untuk meneruskan pembelajaran mereka secara atas talian iaitu Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPr).

          Berdasarkan pemerhatian, terdapat majoriti penduduk di Taman Kanowit, Sarawak yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah hingga universiti telah kehilangan minat mereka dalam pembelajaran mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak dapat fokus semasa sesi PdPr. Tidak dapat dinafikan terdapat beberapa orang antara pelajar-pelajar tersebut tidak mempunyai gajet dan akses internet. Hal ini turut menyusahkan keadaan mereka untuk mengikut sesi PdPr.  

      Keadaan di rumah juga merupakan salah satu sebab pelajar tidak dapat fokus dalam pembelajaran mereka secara PdPr. Oleh sebab pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat ahli keluarga yang terpaksa bekerja dari rumah. Penduduk yang mempunyai ramai adik beradik akan menimbulkan keadaan yang bising semasa PdPr dijalankan. Kadang kala peranti seperti laptop, telefon pintar atau tablet terpaksa berkongsi dengan adik beradik juga menyebabkan pembelajaran mereka terganggu (Arwansyah Kirin et al., 2021). Hal ini turut menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelajaran. Mahathir Yahaya dan Wardatul Hayat Adnan (2021) menjelaskan bahawa :

Setelah kerajaan melaksanakan PKP, bukan sahaja institusi pengajian tinggi yang tidak beroperasi, malah institusi pendidikan lain juga ditutup seperti sekolah rendah dan sekolah menengah. Perkara ini akan menimbulkan cabaran kepada pelajar yang mempunyai adik-beradik yang ramai dan masih bersekolah. Ini kerana, mereka terpaksa berkongsi kemudahan tersebut bersama adik beradik mereka yang juga harus menjalani proses pembelajaran atas talian kerana ibu bapa tidak mampu membeli kemudahan tersebut untuk kesemua anak-anak mereka (ms. 13).

          Dengan ini, motivasi dan minat penduduk tersebut akan semakin berkurangan dan akhirnya pembelajaran mereka akan terjejas. Oleh itu, pandemik Covid-19 telah membawa kesan terhadap sosioekonomi penduduk di Taman Kanowit, Sarawak terutamanya dalam sektor pendidikan.

 

2.2 Kualiti Kesihatan Penduduk Terjejas

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan dua kluster baharu yang melibatkan dua buah rumah panjang di daerah Kanowit pada bulan April yang lalu iaitu Kluster Sungai Tuah dan Kluster Sungai Ngungun. Namun, Covid-19 telah terus merebak ke penduduk di daerah Kanowit, termasuklah penduduk di Taman Kanowit, Sarawak. Penduduk di Taman Kanowit, Sarawak yang dijangkiti oleh Covid-19 dihantar ke pusat kuarantin untuk menjalankan kuarantin selama 14 hari. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Covid-19 akan memberikan risiko kesan jangka panjang kepada sebilangan individu termasuk golongan muda. Antara kesan-kesan jangka panjang yang akan dihadapi oleh individu yang sembuh dari Covid-19 adalah seperti keletihan dan lemah otot,kesukaran untuk tidur dan sebagainya. Hal ini terbukti bahawa pesakit Covid-19 yang telah berkuarantin selama empat belas hari bukan bermakna mereka sudah sembuh sepenuhnya tetapi perlu mengalami proses penyembuhan masing-masing yang mengambil memerlukan tempoh yang berlainan berdasarkan sistem imuniti seseorang tersebut.

Selain daripada kesihatan tubuh badan penduduk terjejas, tetapi kesihatan mental penduduk di Taman Kanowit juga terjejas disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang sedang melanda di dunia ini. World Health Organization (WHO) mentakrifkan kesihatan sebagai keadaan fizikal, mental  dan  emosi  yang  sejahtera  dan  bukan  hanya  sekadar  bebas  dari  penyakit. Namun, kemunculan wabak Covid-19 telah menyebabkan masyarakat Malaysia semakin kerap menghadapi ketidakseimbangan emosi, psikologi, dan kognitif. Penduduk Taman Kanowit, Saraewak juga tidak terkecuali daripada mengalami ketidakseimbangan emosi, psikologi, dan kognitif tanpa mengira peringkat umur. Selain daripada penduduk sentiasa bimbang akan kesihatan sendiri tetapi juga bimbang dengan keadaan pendapatan mereka yang tidak seimbang sejak pandemik Covid-19 ini. Segelintir penduduk di Taman Kanowit, Sarawak mengalami tekanan mental yang disebabkan oleh keadaan Covid-19 yang terus merebak di dunia. Menurut Izyan Izzati Kamsani dan Aishah Mahat (2021), kesihatan pelajar juga terjejas akibat Covid-19. Hal ini disebabkan pelajar tidak bersedia untuk menjalankan proses pembelajaran secara atas talian dan sentiasa risau dengan masalah pencapaian internet yang akan mengganggu proses pembelajaran mereka secara atas talian.

Jelas bahawa, kesan Covid-19 membawa kesan yang serius terhadap sosioekonomi penduduk termasuk kesihatan tubuh badan dan kesihatan mental penduduk di Taman Kanowit, Sarawak.

 

2.3 Aktiviti Sosial Penduduk Terganggu

Aktiviti sosial merujuk kepada  aktiviti yang mempunyai hubungan yang rapat dengan sebilangan konsep dalam bidang sains sosial dan falsafah. Aktiviti sosial termasuklah percutian keluarga, acara komuniti dan meluangkan masa bersama dengan rakan, dan banyak lagi. Namun, bagi mengelakkan Covid-19 terus merebak, kerajaan Malaysia telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pada 18 Mac 2020. Aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan semasa tempoh PKP termasuklah merentas negeri, pergerakan keluar dan masuk kawasan PKP, keluar melebihi 10 kilometer dari kediaman dan sebagainya. Rakyat hanya dibenarkan keluar dari rumah untuk tujuan membeli bekalan makanan, ubat dan keperluan asas sahaja. Aktiviti sosial yang dilarang termasuk kenduri-kendara, majlis berbuka puasa, majlis perkahwinan, majlis sambutan ulang tahun, rumah terbuka dan sebagainya.

      Aktiviti sosial penduduk di Taman Kanowit telah terganggu disebabkan oleh wabak Covid-19 ini. Penduduk yang berbilang bangsa dan kaum tidak dapat menyambut perayaan seperti perayaan Tahun Baru Cina, Hari Gawai, Hari Aidilfitri, Hari Krismas dan sebagainya bagi mengelakkan virus tersebut merebak dan turut membahayakan kesihatan penduduk di Taman Kanowit. Terdapat penduduk di Taman Kanowit, Sarawak terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan mereka walaupun sudah awal bersedia.

Dengan itu, aktiviti sosioekonomi penduduk di Taman Kanowit, Sarawak telah terbukti diganggu oleh wabak Covid-19. Covid-19 boleh berjangkit hanya melalui titisan dari hidung atau mulut apabila seseorang itu telah dijangkiti COVID-19 batuk atau bersin. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), titisan ini boleh merentasi objek. Oleh sebab itu, aktiviti sosioekonomi seperti yang disenaraikan adalah dilarang semasa Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) bagi menjamin kesihatan.

 


Gambar 1 : Penduduk menjalankan meraikan sambutan Hari Krismas sebelum pandemik Covid-19.

 

2.4 Penduduk Kehilangan Pekerjaan

Pandemik Covid-19 telah memberi impak yang amat besar terhadap sosioekonomi manusia di seluruh dunia. Sektor ekonomi merupaka salah satu sektor yang mengalami impak yang besar akibat Covid-19 ini.  Krisis Covid-19 telah memberi kesan yang negatif kepada golongan pekerja di seluruh dunia. Aktiviti-aktiviti ekonomi terpaksa dihentikan dalam tempoh yang ditetapkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hal ini telah menyebabkan kehilangan pekerjaan. Penduduk di Taman Kanowit, Sarawak juga mengalami perkara sebegini.

      Terdapat beberapa orang penduduk di Taman Kanowit, Sarawak mengalami masalah kehilangan pekerjaan akibat Covid-19. Pekerjaan-pekerjaan tersebut termasuk pekerja kedai kopi, pekerja kedai gunting rambut dan sebagainya. Pemilik kedai-kedai tersebut tidak dibenarkan beroprasi dalam tempoh yang ditetapkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pemilik kedai-kedai tersebut tidak mampu untuk membayar gaji untuk pekerja yang bekerja di kedai mereka atas sebab tiada pendapatan pada tempoh tersebut. Oleh demikian, penduduk-penduduk tersebut terpaksa diberhentikan kerja pada masa tersebut.

Namun, terdapat penduduk di Taman Kanowit, Sarawak sanggup berhentikan kerja semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hal ini dikatakan demikian kerana mereka ingin menjaga anak-anak mereka yang terpaksa menjalankan PdPr pada masa tersebut. Terdapat juga penduduk di Taman Knaowit, Sarawak yang lebih mementingkan kesihatan mereka daripada pendapatan dan memilih untuk berhentikan kerja untuk mengelakkan dijangkiti oleh Covid-19 yang mampu meragut nyawa itu.

      Pada tahun 2020, Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) telah mencatat seramai 99, 696 pekerja diberhentikan antara Januari hingga 27 November 2020 disebabkan oleh pandemik Covid-19 ini. Awang Hashim, Timbalan Menteri Sumber Manusia pernah menyatakan bahawa pemberhentian itu termasuk kakitangan berkemahiran tinggi, masing-masing membabitkan 13,109 pengurus. Perkara ini telah meningkatkan kadar penggangguran negara Malaysia meningkat, terutamanya pada tahun 2020 hingga ke tahun 2021 akibat Covid-19. Terbukti bahawa, Covid-19 bukan sahaja membahayakan kesihatan manusia tetapi juga sektor ekonomi negara.

 


Rajah 1 : Kadar penggangguran negera dari Januari hingga Ogos 2020.

 

2.5 Pendapatan Penduduk Merosot

Pendapatan berhubung kait dengan pekerjaan. Hal ini dikatakan demikian kerana pekerjaan menjana pendapatan amat penting bagi menampung kehidupan masing-masing terutamanya pada musim Covid-19. Pendapatan seseorang boleh menentukan status seseorang itu sama ada kaya atau miskin. Kemiskinan seseorang boleh diukur ketika seseorang tersebut tidak berkemampuan untuk mendapatkan keperluan asas dan tidak berkemampuan ekonomi (Nor Diana et al., 2013). Sejak kemunculan Covid-19, terdapat beberapa orang penduduk di Taman Kanowit, Sarawak telah kehilangan pekerjaan. Pendapatan mereka turut terjejas. Penduduk di Taman Kanowit, Sarawak sesetengah mereka adalah terdiri daripada golongan B40. Golongan B40 merujuk kepada Bottom 40 dan ia merupakan golongan yang memiliki isi rumah yang terendah. Golongan B40 ini berpendapatan seisi rumah dengan purata bulanan RM4850 dan ke bawah.

Antara penduduk di Taman Kanowit, Sarawak yang dikategori sebagai golongan B40, ada yang bekerja sebagai pemandu van. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penduduk tersebut tidak dapat bekerja kerana merentas daerah adalah tidak dibenarkan pada tempoh tertentu. Walaupun telah mendapat kelonggaran untuk merentas daerah pada masa kini, pendapatan pemandu van juga masih lagi kurang jika berbanding dengan pendapatan sebelum pandemik Covid-19. Hal ini dikatakan demikian kerana jumlah penumpang telah dihadkan supaya menjaga SOP yang ditetapkan. Bukan itu sahaja, pelajar sekolah juga tidak dibenarkan pergi ke sekolah untuk menjalankan PdP secara bersemuka. Maka, pendapatan penduduk yang bekerja sebagai pemandu van tersebut terus merosot. Begitu juga dengan beberapa orang penduduk yang kehilangan pekerjaan telah menyebabkan pendapatan keluarga mereka terus berkurang akibat Covid-19.

Namun begitu, kerajaan telah menyediakan program bantuan kewangan yang dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH) pada tahun 2020. Program ini telah banyak membantu golongan B40 yang mengalami masalah kewangan sejak berlakunya pandemik Covid-19. Kerajaan juga menyediakan program bantuan yang lain seperti Skim MySalam, Skim PeKa B40 dan sebagainya. Kerajaan juga menaikkan gaji minumum dari RM1100 kepada RM1200 di bandar-bandar utama dalam Malaysia.

Akhir kata, pandemik Covid-19 telah menyebabkan banyak rakyat Malaysia mengalami kesusahan terutamanya masalah kewangan. Sektor ekonomi telah banyak terganggu disebabkan oleh Covid-19 ini. Pendapatan penduduk di Taman Kanowit, Sarawak juga merosot akibat Covid-19.

 


 

Rajah 2 : Purata perbelanjaan isi rumah sebelum dan semasa PKP.

 

 

3.0 LANGKAH-LANGKAH BAGI MENGURANGKAN KESAN-KESAN NEGATIF AKIBAT COVID-19.

 

Terdapat beberapa cadangan bagi mengurangkan kesan-kesan negatif akibat Covid-19. Bagi mengatasi kesan isu pembelajaran pelajar terjejas akibat Covid-19, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting. Ibu bapa bertanggungjawab untuk sentiasa memantau anak mereka dalam pembelajaran. Ibu bapa juga perlu sentiasa memastikan anak mereka memiliki gajet yang sesuai untuk menghadiri PdPr. Antara gajet yang bersesuaian bagi pelajar untuk menghadiri PdPr adalah seperti telefon pintar, tablet, komputer, komputer riba dan sebagainya. Bagi membantu pelajar golongan B40, kerajaan Malaysia telah menyediakan Telefon Pintar Percuma B40 kepada pelajar B40. Akses internet juga merupakan perkara yang penting bagi menghadiri Pdpr semasa pandemik Covid-19. Akses internet yang lemah akan menyebabkan pelajar tidak dapat fokus dan tidak mendapat infomasi yang jelas semasa menghadiri PdPr. Bagi memastikan anak-anak daqpat menghadiri sesi PdPr, ibu bapa amat berperanan penting bagi mengurangkan kesan akibat Covid-19 seperti pelajar kehilangan minat dalam pembelajaran dan akhirnya berhenti sekolah.

      Selain itu, pihak berkuasa perlu sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan semua orang mematuhi SOP yang telah ditetapkan. SOP yang ditetapkan adalah seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak iaitu sejauh 1 meter dan sebagainya. Perondaan juga perlu dijalankan dari tempat ke tempat supaya tiada yang tidak mematuhi SOP. Hal ini amat penting bagi mencegah Covid-19. Peranan rakyat juga memainkan peranan yang penting bagi mencegah Covid-19. Rakyat haruslah sentiasa mematuhi SOP dan menerima vaksin Covid-19 untuk menjaga kesihatan sendiri dan juga orang lain bagi menghentikan Covid-19 ini terus berjangkit. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu bagi mengatasi masalah ini.

      Di samping itu, bagi menjamin kualiti kesihatan penduduk, orang ramai telah disarankan untuk menerima vaksin Covid-19. Bagi penduduk di Taman Kanowit, Sarawak, majoriti mereka telah menerima vaksin Covid-19 sebagai salah satu langkah pencegahan Covid-19 ini. Terdapat infomasi yang tidak sah tentang vaksin Covid-19 yang amat membimbangkan rakyat Malaysia sejak pelaksanaan Vaksin Covid-19. Hal ini menyebabkan rakyat masih berasa ragu-ragu untuk menerima vaksin dan adalah segelintir rakyat memilih untuk tidak menerima vaksin Covid-19. Namun, ini akan menyebabkan proses pelaksanaan vaksin Covid-19 diperlahankan dan kes Covid-19 akan terus meningkat. Kerajaan Malaysia telah menyuruh rakyat supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak sah tentang vaksin Covid-19 ini.

      Akhir sekali, sejak kemunculan Covid-19 di dunia ini, pelbagai sektor telah terganggu. Keadaan kehilangan pekerjaan dan pendapatan merosot yang berlaku tidak dapat dielakkan akibat Covid-19. Langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan berlakunya perkara tersebut adalah semua rakyat perlu mengurus kewangan masing-masing dengan bijak. Kecuali mengasingkan sejumlah wang untuk dijadikan simpanan, belanja mengikut kemampuan juga penting dalam pengurusan kewangan. Rakyat juga perlu mengelakkan hutang jahat iaitu kad kredit dan pinjaman peribadi. Ibu bapa juga berperanan penting dalam mendidik anak-anak mereka untuk mengamalkan amalan menabung dan juga pengurusan kewangan yang bijak.

 

4.0 PENUTUP

Secara kesimpulan, pandemik Covid-19 telah membawa banyak kesan negatif terhadap sosioekonomi penduduk di Taman Kanowit, Sarawak. Antaranya adalah pembelajaran terganggu, kualiti kesihatan terjejas, aktiviti sosial terganggu, kehilangan pekerjaan dan juga pendapatan merosot dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut. Namun, terdapat beberapa cadangan yang telah dibuat bagi mengurangkan kesan negatif yang diakibatkan oleh Covid-19. Antaranya adalah ibu bapa perlu sentiasa memantau anak-anak mereka dalam pembelajaran mereka bagi mengelakkan anak-anak mengalami masalah pembelajaran terganggu. Cadangan yang seterusnya adalah pihak berkuasa perlu menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan perebakan virus Covid-19 yang bahaya ini. Penerimaan vaksin Covid-19 bagi penduduk di Taman Kanowit, Sarawak juga memainkan peranan yang penting. Cadangan yang terakhir adalah pengurusan kewangan secara bijak bagi mengurangkan pelbagai kesan negatif akibat Covid-19.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RUJUKAN

 

Abdul Aziz, A. R. (2020) "Pengangguran dalam kalangan Tenaga Kerja Semasa Wabak COVID-19", Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5(11), pp. 1-9. doi: https://doi.org/10.47405/mjssh.v5i11.539.

 

AMINI, N. A. (2020, December 31). DAMPAK PANDEMI COVID-19 TERHADAP SEKTOR PENDIDIKAN TERUTAMA BAGI PELAJAR. https://doi.org/10.31234/osf.io/ab6cg

 

Idris, N. D. M., Siwar, C., Talib, B., & Berma, M. (2013). Penentu Sosioekonomi terhadap Pendapatan dan Kemiskinan Luar Bandar: Kajian Kes ProjekPembangunan Pertanian Bersepadu diSamarahan, Sarawak, Malaysia. Perspektif: Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan5(1), 1-18.

 

Hasanah, D. Y., Nauli, S. E., Prima Putri, V. K., Arifianto, H., Suryana, N. M., Suryani, L. D., ... & Probodewi, P. (2020). Gangguan Kardiovaskular pada infeksi COVID 19. Indones J Cardiol41(2), 59-68.

Kamsani, I., & Mahat, A. (2021). Covid 19: Impak E-Pembelajaran Terhadap Kesihatan Pelajar Universiti. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(3), 53-60. Retrieved from https://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd/article/view/15124

 

Kirin, A., Ahmad Sharifuddin, Mohd Hisyam Abdul Rahim, Shakila Ahmad, Sharifah Khadijah, & Abdullah Sulaiman. (2021). - Impak Pengajaran dan Pembelajaran Secara Online: Kajian Kes Terhadap Pelajar Sekolah Rendah, Menengah dan Universiti Semasa Pandemik Covid-19: -. Advances in Humanities and Contemporary Studies2(1), 127-136. Retrieved from https://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/ahcs/article/view/1961

 

Mohd Farique, M. A., & Mohd Fauzi, M. A. . (2021). Implikasi Pandemik COVID-19 terhadap Ekonomi Global dan Ekonomi Malaysia . International Journal of Interdisciplinary and Strategic Studies2(2), 122 - 129. https://doi.org/10.47548/ijistra.2021.32

 

Mustaffa, N. (2020) "Mengatasi Kebimbangan Semasa Pandemik Covid-19 Dengan Pendekatan Teori Rational Emotive Behaviour Theraphy (REBT)", Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5(11), pp. 10 - 16. doi: https://doi.org/10.47405/mjssh.v5i11.553.

 

Sukmana, R. A., Iyansyah, M. I., Wijaya, B. A., & Kurniawati, M. F. (2021). Implementasi Strategi Komunikasi Kesehatan dalam Meyakinkan Masyarakat untuk Pelaksanaan Vaksinasi COVID-19 di Kabupaten Barito Kuala. Jurnal Sains Sosio Humaniora5(1), 409-419.

 

Yahaya, M., & Hayat Adnan, W. (2021). Cabaran pelajar melalui kaedah pembelajaran atas talian: kajian institusi pengajian tinggi awam Malaysia. Journal of Media and Information Warfare (JMIW), 14, 11-20.


Alan veronessa anak Albat 

D20192091288

Kumpulan B


 

 

No comments:

Post a Comment