Sunday, December 26, 2021

MASALAH HAIWAN BERKELIARAN DI DAERAH MUALLIM

Pengenalan

Seringkali kita dengar banyak haiwan berkeliaran di tempat awam terutamanya di kawasan-kawasan perumahan sekitar tempat kita. Haiwan ini juga dikatakan selalu mengganggu gugat keadaan penduduk yang membawa kepada masalah yang serius. Haiwan liar mendatangkan banyak kesan yang buruk kepada penduduk terutamanya di Tanjung Malim. Ekoran daripada itu, terdapat banyak aduan daripada penduduk setempat yang melaporkan ancaman haiwan liar ini terhadap diri mereka. Bahkan bukan itu sahaja, penduduk juga berada dalam ketakutan disebabkan oleh ancaman haiwan liar.

            Haiwan liar ini didefinisikan sebagai haiwan yang berkeliaran tanpa tuan dan milik persendirian atau mereka yang mempunyai lesen untuk memelihara haiwan ternakan. Dalam konteks ini, haiwan liar ini juga dikenalpasti sebagai haiwan yang tidak jinak jika dipelihara oleh individu sekaligus ianya terpaksa dibuang daripada rumah milik individu kepada tempat awam. Tempat awam yang biasanya kita lihat banyak haiwan liar berkeliaran seperti pasar basah, kedai makan, tempat pembuangan sampah dan sebagainya. Seterusnya, haiwan liar boleh membahayakan dan memberi ancaman keselamatan serta kesejahteraan awam terhadap penduduk di sekitar Tanjung Malim.

Gambar kucing tidur di merata tempat


Jenis-jenis Haiwan Liar

Haiwan liar yang ada di sekitar Tanjung Malim terbahagi kepada beberapa jenis haiwan. Antaranya ialah anjing, kucing, tikus dan lain-lain. Haiwan ini selalunya boleh dilihat di kawasan perumahan, pasar basah, jalan raya dan sebagainya. Kita juga seringkali melihat banyak bangkai haiwan yang mati di jalanan disebabkan oleh dilanggar seterusnya dipijak oleh kereta lalu lalang. Hal ini sering meniti dari bibir ke bibir penduduk setempat kerana keadaan bangkai yang lunyai itu menimbulkan rasa belas kasihan terhadap haiwan yang mati. Selain itu, banyak juga haiwan ditemui dalam keadaan yang menyayat hati, yang sentiasa berada dalam keadaan kebuluran dan terpaksa menjalankan kehidupan yang kurang menyenangkan.




Gambar menunjukkan tiga jenis haiwan yang berkeliaran di Tanjung Malim

Masalah Haiwan Berkeliaran

Boleh dikatakan masalah haiwan liar berkeliaran ini mampu mengundang kepada kecelakaan kepada penduduk sekitar khususnya kepada penunggang motosikal. Hal ini demikian kerana, haiwan liar melintas jalan tanpa melihat keadaan sebenar jalan raya sekaligus membuatkan penunggang motosikal terkejut dan melanggar haiwan tersebut. Dalam erti kata lain, ianya boleh menyebabkan kemalangan jalan raya yang turut disebabkan oleh keadaan penunggang motosikal terbabas tanpa disengajakan, terpaksa melanggar haiwan yang melintas dan menekan brek secara mengejut. Sehubungan dengan itu, insiden ini tular dengan kejadian yang menimpa dua individu di Slim River yang dihebahkan ke laman sosial Facebook baru-baru ini. Salah seorang daripada individu tersebut mengalami kecelakaan seperti patah tulang rusuk ketika mengelak anjing liar melintas.

            Di samping itu, haiwan liar yang berkeliaran ini juga mengundang kepada masalah penyakit yang boleh membawa kepada kematian. Menurut Portal Rasmi MyHEALTH yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) (2021), penyakit rabies atau ditakrifkan sebagai penyakit sistem saraf oleh jangkitan virus. Ianya boleh merebak melalui gigitan haiwan yang berkeliaran dan mengejar mangsa. Pesakit hanya menunjukkan tanda-tanda selepas 20 hingga 60 hari selepas gigitan haiwan. Biasanya kita dengar di media massa yang menunjukkan bahawa anjing liar mencari mangsa untuk menggigit selepas sahaja mangsa ketakutan dan meninggalkan kesan yang buruk terhadap mangsa. Peningkatan kes ini sering sahaja kita dapat lihat di akhbar harian yang menunjukkan penyakit rabies ini mengundang kematian.

Gambar gigitan penyakit rabies

            Antara gejala berlakunya penyakit rabies ini apabila virus telah menyerang sistem saraf manusia yang menyebabkan individu tersebut mengalami keresahan dan kegelisahan. Gejala ini biasanya dapat dilihat apabila berlakunya perubahan sikap individu secara tiba-tiba. Tamsilannya, individu tersebut awalnya adalah seorang periang menjadi pendiam, seorang yang rajin membuat tugasan bertukar kepada malas, soerang yang aktif bergerak menjadi seorang yang kaku tidak berbuat apa-apa dan lain-lain. Tambahan lagi, kajian mendapati individu yang terkena jangkitan rabies ini mempunyai tanda-tanda seperti demam, sakit dan lenguh pada tempat yang digigit, otot badan menjadi lesu dan sakit kepala yang berpanjangan. Jika kita telusuri, jangkitan ini sukar dirawat dan pesakit tidak dapat pulih dengan kadar yang segera disebabkan oleh jangkitan rabies yang serius.

            Bahkan bukan itu sahaja malah haiwan liar berkeliaran ini terdedah dengan persekitaran yang kotor. Hal ini boleh menyebabkan banyak lagi penyakit berjangkit yang boleh mengurangkan kesejahteraan penduduk terutamanya di Tanjung Malim. Kita dapat lihat banyak kedai yang terdapat tikus berkeliaran di ruang legar dan menyorok di bahagian almari penjuru setiap kedai. Dalam konteks ini, ianya disebabkan oleh keadaan makanan yang terdedah kepada persekitaran yang membuatkan tikus mencari makanan di sesebuah kedai. Ancaman tikus berkeliaran ini boleh menyebabkan kawasan kedai tersebut berbau busuk dan mempunyai lantai yang berlendir kerana lantai dipenuhi kencing tikus. Hal ini mengakibatkan penyakit kencing tikus atau lebih dikenali sebagai leptospirosis.

            Menurut Fuad Hashim (2012), leptospirosis adalah penyakit yang jarang berlaku, satu penyakit yang tenat/teruk dan boleh berjangkit. Jangkitan berlaku disebabkan oleh beberapa spesies dari keturunan leptospira berbentuk lingkaran (spiral shape). Hal ini wujud akibat daripada pendedahan kepada kuman yang terbebas pada permukaan yang luas dan tercemar dengan kencing binatang di merata tempat. Lain daripada itu, penyakit ini juga terdedah dengan peralatan di kedai yang digigit oleh haiwan seperti tikus yang mengeluarkan kuman yang tidak baik.

Gambar infografik leptospirosis

            Setiap penyakit mempunyai gejala-gejala sebelum membawa kepada kemudaratan. Oleh itu, antara gejala penyakit leptospirosis ialah anggaran masa selama 10 hari dalam tempoh pengeraman. Masa yang lama membuatkan pesakit mengalami tahap penyakit yang bermula dengan demam, seluruh badan akan menggigil, sakit anggota tubuh atau sistem saraf dan sakit kepala. Pesakit juga akan mengalami batuk tidak berkahak, sentiasa loya, muntah dan cirit-birit. Penyakit ini juga memberikan kesan buruk terhadap kesihatan yang lain yang mungkin juga jarang berlaku iaitu dengan kehadiran sakit sendi, sakit tulang, sakit tekak dan sakit perut. Mengikut statistik, 7% hingga 40% pesakit berkemungkinan mengalami sakit otot, pertumbuhan pada limpa atau hati, salur kelenjar bengkak, kekerasan otot dan ruam.

            Kecuaian peniaga di premis perniagaan menjual barang-barang basah seperti sayur-sayuran, ikan-ikan, daging ayam segar, santan dan sebagainya dikesan apabila mereka mengabaikan tanggungjawab mereka untuk menjaga kebersihan di pasar pagi setiap hari. Menurut kajian tinjauan oleh sekumpulan pelajar Geografi, terdapat 10 soalan dalam tinjauan kajian tersebut. Hal ini bertujuan untuk memudahkan mereka mengumpul maklumat dengan meminta penduduk sekitar Tanjung Malim membuat tinjauan berdasarkan soalan yang diberikan. Hal ini dijelaskan lagi dengan banyak tikus lalu lalang di premis perniagaan dan ini memungkinkan haiwan liar seperti anjing dan kucing mencari makanan di premis tersebut. Seperti yang kita biasa lihat, banyak longgokan sampah di setiap tempat premis perniagaan akibat daripada pengabaian kebersihan peniaga yang hanya berniaga tanpa membuang sampah ke tempat yang betul. Hal ini sekaligus membawa kepada kawasan tersebut menjadi tempat tumpuan haiwan mencari makanan dan menyelongkar sampah yang terbiar sehingga ianya bertaburan.

             Berdasarkan kajian pelajar Geografi lagi, mereka mengkaji keselamatan penduduk yang sentiasa terancam sekiranya mereka terserempak dengan haiwan liar berkeliaran di kawasan perumahan mereka. Sesetengah penduduk juga didapati berasa keselamatan mereka kian terancam kerana gusar dengan anjing liar akan mengejar mereka lalu menggigit semasa mereka melalui kawasan yang terdapat anjing. Menurut satu kenyataan MDTM, anjing-anjing liar yang berkeliaran ini mendatangkan gangguan kepada penduduk setempat. Hal ini diperjelaskan dengan bukti bahawa lebih 10 ekor anjing liar dikesan berkeliaran mencari mangsa di kawasan perumahan. Bilangan tersebut semakin meningkat sejak ada penduduk yang memberi makan kepada anjing-anjing setempat. Penduduk juga menyatakan aduan mereka bahawa mereka takut untuk keluar rumah kerana bimbang diserang anjing liar yang garang dan seringkali menyergah manusia jika terserempak. Menurut seorang peniaga kedai makan, kedua-dua anaknya pernah terjatuh sehingga luka akibat cuba mengelak dikacau anjing-anjing liar berkenaan. 


Gambar haiwan yang mencari makanan di tong sampah

Langkah-langkah Membendung Masalah Haiwan Berkeliaran

Banyak pihak perlu berganding bahu dalam membendung masalah ini daripada kerap berlaku di tempat awam. Dalam pada itu, banyak juga aduan yang diterima oleh pihak yang berkaitan untuk memastikan keselematan penduduk terjamin. Antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh pihak Berkuasa adalah dengan mengambil tindakan awal untuk memastikan haiwan liar tidak berkembang biak di sesebuah kawasan bagi mengawal perkembangan habitat baru bagi haiwan liar seperti anjing. Anjing liar juga perlu segera ditangkap dari membiarkan ianya membiak. Penduduk juga perlu melaporkan segera sebarang aduan bagi memastikan kawasan perumahan mereka selamat dan bebas daripada anjing liar yang boleh menambahkan ketakutan mereka. Sebarang aduan perlulah diterima dengan baik oleh pihak Berkuasa supaya pihak tersebut dapat membendung masalah ini agar tidak berlanjutan. Pihak Berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) yang berkuasa untuk memastikan keselamatan penduduk di bawah jagaan mereka haruslah membuat pemantauan dari masa ke masa di kawasan perumahan Tanjung Malim. Hal ini boleh menjadikan sesebuah kawasan tersebut berada dalam keadaan tenteram dan sejahtera tanpa gangguan.

            Di samping itu, hal-hal yang berkaitan dengan kebersihan ini juga perlulah dipantau oleh MDTM dalam memastikan setiap premis perniagaan sentiasa berada dalam keadaan bersih. Gred yang biasanya dinyatakan di setiap kedai makan juga haruslah dipantau dengan baik untuk memastikan kedai tersebut bukanlah tempat tumpuan kepada haiwan seperti tikus yang berkeliaran dari penjuru kedai ke penjuru yang lain. Sehubungan dengan itu, tempat awam seperti pasar pagi juga haruslah dipantau sebaiknya oleh MDTM untuk menjamin kebersihan tanpa ada longgokan sampah yang dibuang oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. Dalam pada itu, MDTM perlu meletakkan saman kepada individu yang berkaitan dalam usaha membendung haiwan berkeliaran di tempat awam. Usaha ini perlulah diketatkan supaya mereka berwaspada dan berhati-hati dalam menjaga kebersihan.

            Tambahan lagi, pihak Berkuasa harus mengambil inisiatif yang lebih baik dalam memastikan haiwan liar ini dipelihara dan terpelihara dengan baik. Misalnya, pihak tersebut mewujukan sebuah pusat pemeliharaan haiwan liar. Dari situlah haiwan ini dijaga dengan rapi dan berada dalam keadaan yang baik. Hal ini demikian kerana kebajikan haiwan perlu dijaga dengan memberi makanan kepada mereka dan tempat yang baik. Haiwan-haiwan ini juga haruslah disuntik terlebih dahulu untuk memastikan kesihatan mereka terjamin dan tiada kuman yang bebas membiak dalam badan meskipun ada juga dalam badan namun dihapus secara perlahan. Suntikan haiwan itu juga perlu disertakan suntikan mandul supaya ianya tidak berkembang biak dan membuatkan pusat tersebut penuh serta tiada ruang di dalamnya. 

    Oleh hal yang demikian, KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain di negeri berkaitan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dan penyakit leptospirosis dapat dilaksanakan secara menyeluruh.


Kesimpulan

Intihannya, gangguan haiwan liar ini bukan sahaja memberikan ancaman kepada manusia, ianya juga memberikan kesan kepada alam sekitar. Sebagai contoh, haiwan yang dilanggar mati akan memberikan kesan kepada pencemaran bau oleh kerana bangkainya yang busuk dibiarkan di tepi atau tengah jalan, longgokan sampah juga dibiarkan bertaburan di tempat yang bukan sepatutnya dan diganggu oleh haiwan liar yang kelaparan mencari makanan. Akibat daripada itu, banyak ulat-ulat sampah dilihat di tempat awam yang boleh mencacatkan pandangan penduduk. Sementara itu, penduduk perlu bertanggungjawab dalam memastikan kebersihan tempat dijaga dengan baik. Bukan itu sahaja, malah mereka harus membuat laporan jika ada sebarang ancaman berlaku di tempat awam yang boleh mengancam keselamatan mereka. Kerjasama yang erat antara penduduk setempat dengan pihak Berkuasa perlulah disegerakan supaya pihak tersebut peka dengan keadaan sekaligus boleh mengelakkan perkara yang tidak diingini bak kata pepatah ‘malang tidak berbau’. 


Rujukan

/* inline tdc_css att *//* portrait */@media (min-width: 768px) and (max-width: 1018px){.tdi_72{margin-top:1px !important;}}/* phone */@media (max-width: 767px){.tdi_72{margin-top:1px !important;}}/* custom css */.tdb-post-meta{ margin-bo, By, & 26, D. (2020, October 13). Jangan Biarkan Anjing liar berkeliaran, Persekitaran Jadi Kotor. Sarawakvoice.com. Retrieved December 26, 2021, from https://sarawakvoice.com/2020/10/13/jangan-biarkan-anjing-liar-berkeliaran-persekitaran-jadi-kotor/

Leptospirosis - portal myhealth. (n.d.). Retrieved December 26, 2021, from http://www.myhealth.gov.my/en/leptospirosis/

Penyakit Anjing Gila (rabies) - portal myhealth. (n.d.). Retrieved December 26, 2021, from http://www.myhealth.gov.my/penyakit-anjing-gila-rabies/

Scribd. (n.d.). Scribd. Retrieved December 26, 2021, from https://www.scribd.com/embeds/96698217/content?start_page=1&view_mode=scroll&access_key=key-fFexxf7r1bzEfWu3HKwf

Shuaib, I. S.-A. (2015, June 3). Majlis daerah Tanjong Malim batal Kempen Kontroversi '1 anjing RM10' - semasa. mStar. Retrieved December 26, 2021, from https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2015/06/03/kempen-anjing

Syam, B., & Fareez. (2017, July 4). Masalah Anjing liar Di Muallim semakin serius. Suara Perak. Retrieved December 26, 2021, from https://www.suaraperak.my/masalah-anjing-liar-di-muallim-semakin-serius/ 


Nama Penulis: Muhammad Afzan Zami bin Amrah @ Amram

No.Matriks: D20182085840

Kumpulan kuliah: HGM3033 Geografi Penduduk A

No comments:

Post a Comment