Friday, December 24, 2021

KEMUDAHAN SOSIAL MEMBERI MANFAAT KEPADA MASYARAKAT JENGKA 10, PAHANG

Felda Jengka 10 terletak di daerah Maran di bawah negeri Pahang. Apabila menyebut Jengka sudah diketahui sebagai sebuah tanah rancangan yang telah mengusahakan tanaman kelapa sawit atau turut dikenali sebagai Felda. Felda Jengka 10 dikelilingi dengan pelbagai tanah rancangan yang lain dan turut dikenali sebagai segi tiga jengka. Majoriti penduduk Jengka 10 merupakan bangsa melayu. Penduduk yang berada di dalam Felda Jengka 10 mempunyai banyak generasi berperingkat bermula daripada peneroka sehingga generasi ke empat. Kemudahan sosial merupakan kepentingan yang diperlukan dalam satu kawasan bagi membentuk komuniti yang menarik. Begitu juga, dalam kehidupan bermasyarakat sangat penting untuk memastikan keperluan dapat dipenuhi. Di semua tanah rancangan Felda Jengka akan memiliki kemudahan-kemudahan sosial terhadap penduduk supaya mudah untuk menjalankan pelbagai aktiviti-aktiviti. Oleh itu, Jengka 10 turut tidak ketinggalan disamping sangat mementingkan keharmonian dalam komuniti tidak kira bermula umur kanak-kanak sehingga warga emas.




Rajah 1: Papan nama 

Jengka 10 memiliki penduduk yang menetap mengikut kawasan dikategorikan mengikut blok iaitu blok A, B, C dan D serta di dalam blok-blok tersebut memiliki blok satu sehingga 20 daripada pelbagai negeri. Pada setiap blok akan memiliki papan nama peneroka mengikut alamat rumah. Oleh itu, papan nama tersebut telah menjadi sebagai simbol mengikut blok tersebut. Bagi mengekalkan keceriaan dan permuafakatan, pelbagai program yang telah disuarakan oleh pengurus Felda Jengka 10. Pelbagai aktiviti yang dilaksanakan antaranya pada musim kemerdekaan. Tidak kira usia bersama-sama akan turun padang menghias untuk menceriakan papan nama mengikut tema dan kreativiti. Aktiviti yang dilakukan bersama-sama seperti mengecat, menggantungkan bendera Malaysia dan negeri Pahang serta banyak lagi. Kerjasama yang di pamerkan menjadikan masyarakat lebih akrab dan membentuk hubungan silaratulrahim yang lebih erat. Begitu juga, kerjasama dilakukan bersama ini memainkan peranan yang penting untuk membentuk suasana harmoni (Zaleha Embong & Noor Hisham, 2019). Tidak dinafikan, aktiviti gotong-royong bersama-sama menceriakan papan nama ini telah melibatkan semua lapisan umur. Selain itu, dapat dilihat individu yang sebelum ini tidak terlibat dalam mana-mana program turut bersama-sama bekerjasama diantara satu sama lain dalam mengungguli pertandingan yang dianjurkan ini.

 

Rajah 2: Masjid

Felda Jengka 10 memiliki kemudahan sosial seperti masjid sebagai keperluan ibadat kepada yang beragama islam. Tambahan pula, kesemua masyarakat di Felda Jengka 10 majoritinya beragama islam. Masjid di Felda Jengka 10 diberi nama sebagai Masjid Ubudiah Felda Jengka 10. Masjid Ubudiah Felda Jengka 10 sangat aktif dalam melaksanakan pelbagai program-program keagamaan dan sangat menggalak kehadiran semua masyarakat di Felda Jengka 10. Selain dijadikan tempat melaksankan solat, sering kali Masjid Ubudiah Felda Jengka 10 menganjurkan program seperti Maulidur Rasul disamping perarakan Maulidur Rasul membawa sepanduk mengikut blok-blok, ceramah keagamaan selepas solat isyak dan subuh, tidak ketinggalan juga dijadikan tempat menganjurkan program amali solat kepada murid-murid dari sekolah agama.

 

Rajah 3: Dewan Semai Bakti            

Rajah 4: Dewan Semai Bakti digunakan belia bermain badminton

Seterusnya, pada rajah ketiga dan keempat menunjukkan dewan orang ramai atau Dewan Semai Bakti. Dewan Semai Bakti merupakan dewan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya mesyuarat, majlis perkahwinan, sukaneka, badminton dan pelbagai lagi kegunaanya. Dewan ini cukup untuk menampung jumlah komuniti yang hadir pada satu masa. Kemudahan sosial ini sangat penting untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara penduduk. Peluang pelbagai program yang dilaksanakan di Dewan Semai Bakti ini dapat beramah mesra dan bersua di antara penduduk Felda Jengka 10.


Rajah 5: Padang Futsal

Pada rajah kelima, Felda Jengka 10 memiliki padang futsal. Padang futsal ini akan digunakan pada setiap petang oleh belia-belia muda untuk bersukan dan juga beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh pihak felda. Padang futsal ini dapat menyediakan tempat sebagai aktiviti kepada anak muda dalam bermasyarakat disamping membantu menjaga kesihatan. Selain itu, kebiasaannya belia-belia muda lelaki yang berada di sekolah menengah akan menggunakan padang futsal ini. Oleh itu, ia dapat membantu mereka melakukan aktiviti setelah seharian belajar di sekolah. Disamping itu, dapat juga mengekalkan otak yang cerdas serta badan yang cergas. Mereka dapat mengekalkan tubuh badan sentiasa sihat dan dapat belajar dengan bersemangat (Syahrul Nazri & Wan Hanim Nadrah, 2018). Bukan itu sahaja, padang futsal juga digunakan secara bergilir-gilir kerana golongan wanita juga turut menggunakannya untuk bermain bola jaring.

 

Rajah 6: Padang Awam

Felda Jengka 10 memiliki padang awam yang sangat luas. Pelbagai aktiviti yang dianjurkan antaranya sukan mengikut blok, pertandingan pelbagai sukan di antara jengka-jengka yang lain, sambutan tahun baru, sambutan kemerdekaan, forum perdana serta banyak lagi. Bukan sahaja membentuk hubungan yang baik di antara penduduk Felda Jengka 10 malahan dengan masyarakat jengka-jengka yang lain. Sukan seperti pertandingan bola sepak, tarik tali, bola jaring dan banyak lagi yang dianjurkan. Kemudahan sosial ini sangat memberi manfaat kepada mereka disamping mengeratkan hubungan bermasyarakat di antara satu sama lain.


Rajah 7: Padang bola tampar

Padang bola tampar sering digunakan oleh belia muda pada waktu petang. Ia dapat menghalang anak-anak muda ini menghabiskan masa melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat. Begitu juga, ia dapat memupuk silaturahim diantara rakan-rakan yang lain disamping mencetuskan amalan gaya hidup yang sihat (Mohamad Nizam Nazarudin & Hawana Lompuin, 2021).

 

Rajah 8: Sekolah Kebangsaan Jengka 10

Rajah 9: Sekolah Agama

Rajah 10: Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 10

Felda Jengka 10 mempunyai kemudahan sosial seperti sekolah yang bermula daripada Sekolah Pasti Jengka 10, Tadika Kemas Jengka 10, Pra Sekolah Jengka 10, Sekolah Rendah Kebangsaan Jengka 10 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 10. Kemudahan sekolah ini membantu memudahkan pendidikan dapat diberikan kepada anak-anak dan cucu-cucu peneroka dengan mudah. Dengan kepakaran guru-guru memberi pendidikan yang berkesan telah membantu ramai pelajar dari Felda Jengka 10 mendapat pendidikan seterusnya ke peringkat universiti-universiti tempatan dan juga universiti luar negara walaupun berada dalam sekolah luar bandar. Sekolah menengah di Felda Jengka 10 dijadikan sebagai sekolah utama terhadap kawasan jengka sekitarnya seperti Felda Anggerik Jengka Satu dan Felda Sungai Tekam Getah kerana di kedua-dua tanah rancangan tersebut tidak memiliki sekolah menengah. Oleh itu, kemudahan sosial ini sangat memberi manfaat serta membentuk hubungan di antara jengka-jengka berhampiran ini. Selain itu, kemudahan sekolah ini dapat mengeratkan hubungan di antara ibu bapa di Felda Jengka 10 bersama guru-guru melalui pelbagai aktiviti seperti sukan, mesyuarat dan gotong-royong.

Dapat dilihat sepanjang kewujudan kemudahan sosial di Felda Jengka 10 sangat memberi kesan yang positif kepada masyarakat Felda Jengka 10. Dapat disimpulkan, kemudahan sosial memberi banyak manfaat kepada masyarakat tetapi perlu menggunakannya dengan bermanfaat. Kemudahan-kemudahan ini akan terus kekal membentuk hubungan kemasyarakatan tidak kira pelbagai lapisan umur penduduk di Felda Jengka 10. Namun baru-baru ini, kemudahan sosial tidak dapat digunakan semasa perintah kawalan pergerakan sehingga menghalang aktiviti majlis keramaian, perkahwinan, aktiviti sukan seperti bola sepak dan masjid serta surau juga ditutup atau dihadkan jumlah bilangan (Norhazirah Mustaffa, 2020). Diharapkan penularan Covid-19 ini terus berakhir supaya dapat menghidupkan semula keharmonian masyarakat Felda Jengka 10 dengan melaksanakan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan menarik.


Rujukan

Embong, Z., & Nawi, N. H. M. (2019). Hubungan Kerjasama Masyarakat Dalam Projek Makmal Sosial Di Kg. Takang, Bachok, Kelantan. International Online Journal of Language, Communication, and Humanities, 2(2), 51-63.

Mustaffa, N. B. (2020). Mengatasi Kebimbangan Semasa Pandemik Covid-19 Dengan Pendekatan Teori Rational Emotive Behaviour Theraphy (REBT). Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5(11), 10-16.

Nazarudin, M. N., & Lompuin, H. (2021). KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR SUKAN: INISIATIF BAHARU DALAM MELAKUKAN AKTIVITI SUKAN DAN REKREASI.

Rosli, S. N., & Muda, W. H. N. W. (2018). AMALAN GAYA HIDUP SIHAT PELAJAR UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA. Online Journal for TVET Practitioners.


Nama: Nurin Nazifa binti Muhammad

Nombor Matrik: DXXXXXX83483

Kumpulan: A

No comments:

Post a Comment