Pengenalan
Port Dickson merupakan salah satu daerah di Negeri Sembilan. Nama Port Dickson ini adalah bersempena dengan nama seorang pegawai tinggi British iaitu Sir John Frederick Dickson yang bertugas ni Negeri-negeri Selat pada akhir abad ke-19. Sebelum bandar ini berkembang, masyarakat tempatan mengenali tempat ini dengan nama Tanjung kerana kedudukannya yang teretak di teluk kecil. Nama Alang atau Arang pula dinamakan oleh orang cina dan india kerana terdapat sebuah pulau yang terkenal dengan pengeluaran arang dan menjadi pembekal arang utama kepada kawasan-kawasan yang berhampiran. Menyedari akan kepesatan dan kemajuan Tanjung, Sir John Frederick Dickson membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai sebuah pelabuhan dan menjadikannya sebagai tempat istirehat pegawai dan peladang British.
Gambar 1 menunjukkan Sir John Frederick Dickson.
Sumber : Laman web rasmi Port Dickson Municipal Council
Kini, daerah Port Dickson dikenali sebagai bandar peranginan kerana mempunyai pantai yang landai dan sesuai untuk bermandi-manda. Antara pantai yang terkenal dalam kalangan pelancong ialah Pantai Tanjung Biru atau Blue Lagoon, Pantai Tanjung Tuan, Pantai Saujana, Pantai Cahaya Negeri dan Pantai Telok Kemang. Kesemua pantai ini pasti dibanjiri oleh pelancong tempatan dan dari luar negeri setiap kali cuti persekolahan dan hari minggu. Kedatangan pelancong ini secara langsung memberi impak kepada kegiatan ekonomi masyarakat setempat terutama sekali dalam perniagaan dan perusahaan hotel-hotel.
Wabak baharu yang membawa maut dan tiada penawar iaitu Covid-19 yang menerobos masuk ke negara Malaysia pada akhir tahun 2019, telah menyebabkan ekonomi negara terganggu. Perkara ini terjadi disebabkan oleh perlaksanaan total lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada bulan Mac 2020. Langkah yang diambil oleh kerajaan ini adalah bertujuan untuk memutuskan rangkaian wabak Covid-19. Kesemua rakyat Malaysia haruslah kuarantin di rumah selama beberapa bulan kerana ianya bergantung kepada perkembangan kes Covid-19.
Kesannya, aktiviti-aktiviti ekonomi seperti perniagaan dan perhotelan terjejas dengan sangat teruk. Kesan terhadap ekonomi di Port Dickson dapat dilihat dengan sangat jelas kerana ekonomi utama bandar ini adalah dari segi pelancongan. Kedai-kedai makan yang dahulunya sentiasa penuh dengan orang, kini sudah tidak meneruskan pengoperasiannya kerana tidak mampu untuk bertahan. Pantai-pantai peranginan yang sentiasa penuh dengan pengunjung dilihat telah menyepi tanpa keriuhan kanak-kanak bermain di tepi pantai dan khemah-khemah.
Kini, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah ditamatkan dan aktiviti rentas negeri adalah dibenarkan terutamanya kepada penerima vaksinasi lengkap. Tambahan pula, lebih 90% penduduk dewasa Malaysia telah pun lengkap divaksinasi (Kementerian Kesihatan Malaysia). Berikutan daripada perkara tersebut, dapat dilihat dengan jelas bahawa ramai pengunjung luar terutama sekali dari negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berpusu-pusu datang bercuti ke Port Dickson. Tempahan penginapan hotel-hotel dan rumah rehat juga sentiasa penuh. Perkara ini adalah berkemungkinan terjadi disebabkan oleh kerinduan untuk berkelah di tepi pantai dan bagi menghilangkan tekanan sepanjang berkurung di rumah akibat PKP.
Akhirnya, Port Dickson kembali bernafas dengan kehadiran para pengunjung. Ekonomi juga semakin pulih. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang sedikit menyakitkan mata lantaran daripada kehadiran pengunjung-pengunjung luar ke pantai-pantai peranginan di Port Dickson ini. Antara masalah yang paling jelas ialah pembuangan sampah merata-rata oleh pengunjung. Sepanjang perlaksanaan PKP, pantai-pantai peranginan di Port Dickson dilihat sangat bersih dan teratur ketika ketiadaan pengunjung.
Kesan Pembuangan Sampah Di Pantai
Peninggalan sampah sarap daripada pengunjung jelas menunjukkan bahawa tiadanya sikap bertanggungjawab dalam diri mereka dan nilai moral. Menurut Koo dan Tang (1990) dalam Abdullah Zhidi Omar, Mahdi Shuid, Mazlan Aris, mohd Fu’ad Sam dan Roslina Suratnu (2016), pertimbangan atau tindakan seseorang tidak boleh dikategorikan sebagai bermoral jika individu tersebut melaksanakan sesuatu perkara yang disebabkan oleh paksaan dari luaran atau kepatuhan kepada autoriti secara membuta tuli. Perkara ini demikian kerana individu berkenaan tidak berupaya untuk bertingkah laku secara rasional dan adil. Individu itu tidak melaksanakan tanggungjawab moral tetapi hanya mematuhi perintah daripada kuasa luar.
Gambar 2 menunjukkan seorang pengunjung tempatan yang membantu mengutip sampah sarap hasil tinggalan pengunjung yang lain di Pantai Bagan Pinang.
Sumber : Sampah Sarap Cemari Pantai Port Dickson, Akhbar Utusan Malaysia, 18 September 2021
Menurut Pengarah SWCorp Negeri Sembilan Mohd Zahir Shari (Berita Harian, 11 Disember 2021), jumlah sisa pepejal di kawasan peranginan Port Dickson meningkat sebanyak 17% sejak beberapa bulan yang lalu selepas rentas negeri dibenarkan. Tambah beliau, purata sisa pepejal yang dijana di kawasan pelancongan di sekitar Port Dickson bagi bulan Jun, Julai, dan Ogos adalah sebanyak 24.5 tan. Bukti ini jelas menunjukkan bahawa berlakunya peningkatan pembuangan sampah di pantai-pantai Port Dickson sejak kebenaran merentas negeri dijalankan.
Berdasarkan kepada masalah pembuangan sampah ini, kesan yang jelas kelihatan ialah ianya akan mencacatkan pandangan. Kehadiran sampah sarap yang tidak dibuang di tempat yang sepatutnya membuatkan pengunjung-pengunjung pantai merasa jelik dan tidak senang ketika berada di pantai. Perkara ini secara tidak langsung memberikan sesuatu tanggapan yang buruk kepada pengunjung luar terhadap tahap kebersihan pantai peranginan Port Dickson walhal perkara ini dilakukan oleh sesetengah pengunjung yang tidak bertanggungjawab.
Gambar 3 menunjukkan sampah-sampah bertaburan di salah sebuah pantai peranginan di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Sumber : Sakit Mata Sampah Bertaburan Di Pantai PD, Akbar Harian Metro, 11 Julai 2020
Selain itu, pengunjung pantai juga akan berasa tidak selamat dan tidak selesa ketika berkunjung ke pantai tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana sampah sarap yang berada di merata-rata tempat ini dapat menarik perhatian haiwan-haiwan perosak. Sebagai contoh haiwan perosak ialah seperti tikus, lipas, lalat dan kehadiran burung gagak. Haiwan seperti semut juga akan mendatangkan ketidakselesaan kepada pengunjung kerana sengatan semut dapat meninggalkan kegatalan pada kulit.
Akhir sekali, pembuangan sampah di pantai-pantai ini akan meninggalkan bau yang busuk. Bau busuk ini akan menimbulkan ketidakselesaan para pengunjung dan seterusnya memberi kesan kepada perniagaan-perniagaan makanan dan minuman di pantai tersebut. Bau yang busuk ini dapat mempengaruhi kepercayaan pengunjung terhadap tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan oleh para peniaga. Jadi ianya sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan para peniaga dalam jangka masa yang panjang jika masalah sampah ini tiada penyelesaiannya.
Kesimpulan
Jelaslah bahawa pembuangan sampah merata-rata ini juga memberi kesan kepada alam sekitar manusia. Sikap tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan tempat awam atau di mana-mana sahaja ini jelas menunjukkan bahawa masih ramai lagi masyarakat yang kekurangan nilai kemoralan dalam diri mereka. Selain daripada menambahkan lagi jumlah pekerja-pekerja pembersihan pantai, pengunjung juga haruslah bertimbang rasa dan bijak menguruskan sampah dengan betul. Kekurangan tong sampah juga bukanlah satu alasan yang bernas untuk mengiyakan pembuangan sampah merata-rata ini. Kesimpulannya, penjagaan kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan kita tidak seharusnya menetapkan di dalam minda bahawa kerja-kerja pengurusan sampah adalah di bawah tanggunjawab pekerja kebersihan sahaja.
Rujukan
Abdullah Zhidi Omar, Mahdi Shuid, Dr. Mazlan Aris, mohd Fu’ad Sam dan Dr. Roslina Suratnu. (2016). Pengantar Pendidikan Moral. SASBADI SDN.BHD.
Ahmad Hasbi, (2021,Disember). Sampah Di Pantai Port Dickson Meningkat. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2021/12/897757/sampah-di-pantai-p ort-dickson-meningkat
Badrul Hafizan Mat Isa dan Zakkina Wati Ahmad Tarmizi. (2021, September). Sampah Sarap Cemari Pantai Port Dickson. Diperoleh daripada https://www.utusan.com.my/nasional/2021/09/sampah-sarap-cemari-pantai-port-d ickson/
Mohd Khidir Zakaria, (2020, Julai). Sakit Mata Sampah Bertaburan Di Pantai PD. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/598795/sakit-mata-sampah-berta buran-di-pantai-pd
Info Vaksinasi Covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia. Diperoleh daripada https://covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19#
Port Dickson History, Port Dickson Municipal Council. Diperoleh daripada http://www.mppd.gov.my/en/visitors/port-dickson-history
Disediakan oleh Wan Nurul Izzah Binti Wan Zahari
D20192091282
Grup A
No comments:
Post a Comment