Tuesday, December 28, 2021

MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI BANDAR SERI BANDI, KEMAMAN, TERENGGANU.

Pembuangan sampah merupakan salah satu isu yang menganggu penduduk setempat dimana menganggu keselesaan penduduk. Menurut Muhamad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri (2015) mentakrifkan pembuangan sampah sebagai pembuangan sisa benda-benda atau hasil daripada aktiviti manusia kepada persekitaran sehingga menggangu keselesaan dan kemandirian kehidupan. Masalah pembuangan sampah yang berlaku di kawasan pengkaji iaitu di Seri Bandi merupakan masalah yang memberikan ketidakselesaan kepada penduduk kerana terdapat banyak longgokan sampah di merata-rata tempat. Sampah boleh dikategorikan kepada dua, iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik (Ridwan, 1994). Antara contoh sampah domestik adalah bahan buangan yang dibuang dari kawasan perumahan seperti daripada sisa-sisa makanan, plastik, botol kaca, tin aluminium dan kertas manakala sampah domestik ialah bahan buangan yang terhasil daripada tapak perindustrian, pembinaan dan juga pasar. Pertambahan penduduk, peningkatan taraf sosioekonomi dan perubahan gaya hidupyang menjadi semakin canggih dan diikuti oleh peningkatan bahan buangan domestik , perniagaan dan kilang, merupakan faktor utama dalam peningkatan pembuangan sampah (Hasnah Ali, Dody Dermawan, Noraziah Ali, Maznah Ibrahim & Sarifah Yaacob, 2017) . 

    Lokasi kajian masalah pembuangan sampah iailah di Bandar Seri Bandi, Kemaman, Terengganu. Bandar Seri merupakan kawasan luar bandar yang terletak di daerah Kemaman. Bandar Seri Bandi terletak di tengah-tengah Feeder 2 yang menghubungi Lebuhraya Jerangau-Jabur dan bandar sedia ada di kawasan Coastal Corridor. 



Rajah 1: Peta Bandar Seri Bandi

    Aktiviti pembuangan sampah boleh berlaku di mana-mana tempat seperti di sungai dan pantai. Masalah pembuangan sampah yang berlaku di Seri Bandi ialah sampah di buang di kawasan sungai dan tepi-tepi tong sampah sehingga sampah-sampah yang terkumpul terlalu banyak di kawasan tersebut sehingga menjejaskan kualiti kehidupan penduduk setempat. Pembuangan sampah yang berlaku di kawasan pengkaji merupakan isu yang sudah lama berlarutan oleh penduduk tempatan. Hal ini juga mengakibatkan tahap kebersihan persekitaran di Seri Bandi adalah berada tahap yang rendah. Masalah ini terjadi disebabkan oleh kesedaran masyarakat yang rendah terhadap kebersihan persekitaran sehingga masalah ini masih berlaku sehingga sekarang. Justeru itu, masalah pembuangan sampah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab perlu dipandang serius kerana boleh mendatangkan kesan kepada penduduk dan masyarakat.

 

 


                          Rajah 2: Kawasan Seri Bandi

     Hasil pemerhatian mendapati bahawa, penduduk sering membuang sampah di kawasan seperti sungai dan sering melonggokkan sampah di tong sampah yang telah padat.  Hal ini menyebabkan kawasan persekitaran Bandar Seri Bandi kelihatan seperti kawasan yang agak kotor dan berbau. Antara punca berlakunya masalah pembuangan sampah ialah sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri. Hal ini kerana banyak sampah dibuang di merata-rata tempat walaupun tong sampah telah dibekalkan dan mereka memandang perkara ini sesuatu yang biasa. Sesetengah masyarakat tidak kisah jika kawasan seperti sungai kotor dan bersepah asalkan kawasan rumah bersih dan terjaga. Ada juga yang memberi alasan mengatakan tempat pembuangan jauh daripada rumah mereka sehinggakan mereka membuang sampah di tong sampah yang sama walaupun tong sampah sudah penuh.

 

 

Rajah 3: Longgokan sampah di tong sampah yang sudah penuh

 

Selain itu, masalah pembuangan sampah turut berlaku kerana masih terdapat masyarakat yang kurang pendidikan tentang kesan pembuangan sampah terhadap alam sekitar. Disebabkan itu mereka kurang mengambil berat tentang kebersihan kawasan persekitaran sehinggakan telah mencacatkan pemandangan kawasan Bandar Seri Bandi serta peningkatan sampah ke dalam sungai sehinggakan air sungai menjadi lebih kotor. Bahan buangan sampah yang terdiri daripada bekas-bekas yang boleh menakung air manjadi tempat pembiakan nyamuk. Sikap masyarakat yang mengambil mudah membuang sampah ke dalam sungai menyebabkan dipenuhi sampah sarap kerana kawasan sungai lebih dekat dengan rumah mereka menyebabkan mereka sewenang-wenangnya membuang sampah sarap ke sungai. Tambahan pula, wujudnya masyarakat yang mengambil jalan mudah dengan membuang sampah di tepi-tepi tong sampah walaupun tong sampah telah disediakan serta membuang sampah di tepi-tepi jalan.

Rajah 4: Pembuangan sampah di sungai

 

Penguatkuasaan yang lemah dari pihak berkuasa juga antara punca penduduk di Seri Bandi sering membuang sampah. Disebabkan tiada tindakan yang diambil keatas mereka yang membuang sampah di merata-rata tempat, maka longgokan sampah di Bandar Seri Bandi masih belum dapat diatasi. Masalah pembuangan sampah semakin menjadi-jadi disebabkan pihak bertanggungjawab tidak datang memantau kawasan persekitaran. Disebabkan oleh kurang pemantauan, penduduk tidak mengambil peduli mengenai pembuangan sampah yang disediakan dan tidak kisah jika kawasan persekitaran menjadi kotor. Pemantauan yang jarang dijalankan memberi kesempatan kepada penduduk terus membuang sampah di merata-rata sehinggakan mencacatkan pemandangan kawasan persekitaran.

Antara faktor lain yang menyumbang kepada pembuangan sampah di Bandar Seri Bandi termasuklah pemungutan dan pengendalian sampah yang tidak mengikut jadual. Disebabkan pihak berkuasa tidak bertanggungjawab mengutip sampah mengikut jadual maka timbunan atau lambakan masih berlaku dan apabila masyarakat lalu lalang di kawasan tersebut menyebabkan berasa tidak selesa kerana masalah pencemaran bau busuk akibat lambakan sampah. Ini juga menyebabkan sampah-sarap di tempat tersebut bertaburan kerana ia sudah lama tidak dikutip. Keadaan tong sampah yang padat memburukkan keadaan lagi apabila masih terdapat penduduk yang masih membuang di tong sampah yang sama kerana pihak bertanggungjawab tidak mengutip sampah seperti yang dijadualkan dan penduduk juga terpaksa membuang sampah di tempat yang sama


.                                Rajah 5: Longgokan sampah yang lama tidak dikutip

Kesan masalah pembuangan sampah di Bandar Seri Bandi ialah telah menyebabkan pencemaran bau. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila hujan turun, aliran air sampah yang busuk akan mengalir dan mengeluarkan bau yang kurang enak dihidu. Masyarakat yang tinggal di kawasan yang berhampiran tong sampah berasa kurang selesa kerana terpaksa berdepan dengan masalah bau yang busuk terutamanya waktu hujan. Bagi penduduk seperti pengguna jalan raya terutamanya pejalan kaki yang sering lalu di kawasan tersebut terpaksa menghadapi masalah yang sama di mana bau busuk memberi rasa kurang senang terhadap mereka. Bukan itu sahaja, pembuangan sampah seperti sisa-sisa makanan dan minuman akan menyebabkan bau busuk seterusnya menyebabkan banyak lalat dan tikus terkumpul di kawasan tersebut. 

Kesan pembuangan sampah merata-rata juga akan menjejaskan kesihatan penduduk. Pembuangan sampah akan mengakibatkan pelbagai penyakit seperti demam denggi. Hal ini kerana kawasan pembuangan sampah yang mempunyai banyak kawasan takungan air menggalakkan pembiakan nyamuk aedes. Penduduk di Bandar Seri Bandi kerap dilaporkan terkena demam denggi dan mendatangkan kerisauan kepada penduduk. Sisa pembuangan sampah sarap boleh mendatangkan penyakit seperti keracunan makanan, malaria, taun dan sebagainya kerana disebarkan oleh haiwan yang membawa penyakit.

Pembuangan sampah juga akan mengakibatkan sungai dan longkang akan tersumbat. Sampah-sarap yang dibuang akan menyebabkan aliran sungai dan longkang menjadi perlahan akibat tersumbat. Apabila hujan turun, keadaan akan menjadi buruk apabila kerana aliran sungai menjadi perlahan dan air longkang dan sungai akan melimpah keluar dan berlakunya banjir. Hal ini berpunca daripada sikap masyarakat yang sering membuang sampah ke dalam sungai dan longkang setiap hari. Sampah-sarap sering kelihatan terapung di dalam longkang dan sungai dan menjadikan kawasan tersebut sehinggakan mencemarkan kawasan tersebut.

Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini daripada berlarutan ialah masyarakat setempat mestilah bekerjasama bagi memastikan masalah pembuangan sampah diuruskan dengan baik. Ini bagi membendung kawasan persekitaran kediaman supaya tidak tercemar. Penduduk setempat seharusnya mengambil langkah seperti membuang sampah di tempat yang telah disediakan bagi mengelakkan kawasan sekitar menjadi tercemar dan kotor. Oleh itu, kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat amat penting bagi mengelakkan daripada perbuatan sampah di merata-rata tempat. penduduk setempat juga digalakkan membuat aktiviti gotong-royong bagi membersihkan kawasan persekitaran supaya lebih terjaga daripada aktiviti pembuangan sampah. 

Seterusnya, seseorang individu itu perlu memainkan peranan penting dalam mengelakkan pencemaran alam daripada terus berlaku akibat pembuangan sampah di merata-rata tempat. Sebagai contoh, menggunakan semula barang-barang yang diproses semula bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar dan mengamalkan konsep 3R iaitu reuse,reduce dan recycle supaya barang-barang yang hendak dibuang dapat dikitar semula atau digunakan semula dan pembaziran dapat dielakkan. Setiap individu perlulah mempunyai sikap tanggungjawab terhadap alam sekitar supaya alam sekitar tidak tercemar dan memberi keselesaan kepada penduduk.

Penguatkuasaan yang lebih ketat daripada pihak bertanggungjawab mestilah dijalankan. Sebagai contoh pengenaan kompaun kepada penduduk yang didapati membuang sampah selain di dalam tong sampah akan mengurangkan masalah ini. Amaran perlu diberikan kepada mereka yang enggan mematuhi arahan pihak berwajib mesti dilakukan supaya penduduk sedar bahawa kesan pembuangan sampah bukanlah satu perkara biasa. 

Sebagai kesimpulannya, masalah pembuangan sampah di Bandar Seri Bandi perlulah diatasi supaya penduduk berasa lebih selesa dan pencemaran bau dapat dielakkan. Keselesaan penduduk amatlah penting supaya aktiviti harian penduduk tidak terganggu dan dapat meneruskan kehidupan secara sihat. Pihak berkuasa juga perlu membantu bagi mengelakkan masalah ini daripada terus berlarutan dengan memastikan jadual pungutan sampah di kawasan tempat tinggal sentiasa teratur.  Walaubagaimanapun, jika pelbagai tindakan telah diambil untuk mengatasi masalah ini, namun ianya tidak berkesan jika tiada kesedaran dalam kalangan mereka yang membuang sampah di merata-rata tempat. Oleh itu, diharapkan semua penduduk bersama-sama dapat membendung masalah ini

 Rujukan

Ali, H., Dermawan, D., Ali, N., Ibrahim, M., & Yaacob, S. (2017). Masyarakat dan amalan    pengurusan sisa pepejal ke arah kelestarian komuniti: Kes isi rumah wanita di Bandar    Baru Bangi, Malaysia (Society and the practise of solid waste management towards           sustainable community: The case of female households in Bandar Baru Bangi,   Malaysia). Geografia-Malaysian Journal of Society and Space8(5).

Muhamad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri. (2015). Masalah longgokan sampah           kawasan perumahan berteres kajian kes: Taman Universiti, Skudai, Johor (Doctoral        dissertation, Universiti Teknologi Malaysia).

Ridwan Lubis (1994). Peningkatan Peranan Serta Masyarakat dalam Mensukseskan       Program Medan Bestari. Ucapan Sarasehan Hari Lingkungan Hidup Sedunia, Medan.        25 Julai.



NAMA: ALIATON IZZATTI BINTI KASME

NO. MATRIK: Dxxxxx083386

KUMPULAN KULIAH: A

No comments:

Post a Comment