Sunday, December 12, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: KESAN AKTIVITI PELANCONGAN TERHADAP EKONOMI PENDUDUK KAMPUNG SABANDAR, TUARAN.

 

 

Gambar 1: Kawasan Pinggir Pantai Kampung Sabandar, Tuaran.

 

Kampung Sabandar merupakan salah satu kampung yang terdapat di daerah Tuaran yang terkenal dengan pelbagai tempat pelancongan yang menarik. Kedudukan geografi Kampung Sabandar yang terdiri daripada tanah pamah dan bentuk muka bumi pinggir pantai telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar. Kampung yang terkenal dengan keindahan alam dan keunikan tradisi suku kaum Bajau Samah itu telah menarik masyarakat tempatan mahupun luar negara untuk berkunjung ke kawasan ini. Selain itu, kawasan tanah pamah yang luas telah menarik pelabur luar untuk membangunkan kawasan perumahan dan pelancongan di kawasan ini, di mana secara tidak langsung membantu aspek pembangunan dan ekonomi di kawasan tersebut.

 

Gambar 2: Gerai makanan di sekitar Pantai Sabandar.

 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pelancongan boleh didefinisikan sebagai perihal orang melancong dan perkhidmatan yang berkaitan dengannya. Pelancongan juga merujuk kepada aktiviti melancong, melawat atau mengembara ke sesuatu tempat yang lain yang melebihi lima puluh batu dari tempat kediaman dan tidak lebih satu tahun untuk tujuan rekreasi atau mengisi masa lapang. Aktiviti perlancongan boleh dikatakan nadi utama yang menggerakkan ekonomi penduduk Kampung Sabandar. Antara kegiatan ekonomi yang didorong oleh aktiviti perlancongan di kampung tersebut adalah gerai perniagaan, rumah sewa atau “homestay” dan pusat pelancongan Sabandar Cowboy Town. Kegiatan ekonomi tersebut menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan membantu dalam meningkatkan ekonomi negara.

Menurut responden pertama Siti, 37 tahun, yang merupakan salah seorang pemilik kedai runcit di Kampung Sabandar, Tuaran, kegiatan pelancongan di kampung tersebut berkembang dengan pesat disebabkan kewujudan Pantai Sabandar yang menjadi kawasan beriadah dan tumpuan pelancong. Tarikan semula jadi tersebut mendorong kepada pembukaan banyak gerai-gerai makanan oleh penduduk kampung di sekitar Pantai Sabandar.

 

Gambar 3: Kawasan Pantai Sabandar.

 

Menurutnya, pelancong atau pengunjung yang datang ke pantai tersebut biasanya terdiri daripada mereka yang tinggal di daerah Tuaran dan ada juga pelancong dari luar negara. Berdasarkan temu bual yang dijalankan, antara cabaran utama yang dihadapi oleh responden sepanjang menjalankan perniagaan termasuklah keadaan cuaca hujan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Keadaan tersebut menyebabkan bilangan pengunjung yang datang ke Kampung Sabandar berkurang sekali gus menjejaskan perniagaan penduduk sekitar.

 

Gambar 4: Perniagaan kedai runcit yang dijalankan oleh penduduk Kampung Sabandar.

 

Penulis kemudiannya menemubual seorang lagi responden yang merupakan penduduk Kampung Sabandar dan bekerja di Sabandar Cowboy Town. Sabandar Cowboy Town merupakan salah satu tarikan pelancong di Tuaran kerana terkenal dengan aktiviti-aktiviti yang menarik dengan keunikan tersendiri. Bukan itu sahaja, Sabandar Cowboy Town juga menyediakan kemudahan penginapan dan restoran dengan makanan yang pelbagai untuk pengunjung yang ingin menginap di sana. Menurut Kamal, 24 tahun, aktiviti pelancongan yang semakin berkembang di kampung tersebut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung. Sabandar Cowboy Town menjadi tumpuan utama penduduk sekitar bagi mendapatkan pekerjaan kerana lokasinya yang dekat dengan tempat tinggal dapat menjimatkan kos pengangkutan.

 

Gambar 5: Sabandar Cowboy Town.

 

Gambar 6: Perumahan yang baru dibina di sekitar Kampung Sabandar.

 

Kesimpulannya, aktiviti pelancongan semakin pesat di Kampung Sabandar berpotensi menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan ekopelancongan yang terkenal di Sabah. Peningkatan jumlah pelancong mahupun pelabur telah menyumbang kepada peningkatan kegiatan ekonomi penduduk di Kampung Sabandar. Banyak peluang pekerjaan yang tersedia hasil daripada kegiatan ekonomi dikawasan ini. Kawasan yang terletak di pinggir bandar dan mempunyai darjah ketersampaian yang tinggi telah meningkatkan migrasi ke kawasan ini. Selain itu, kawasan perumahan yang banyak disediakan oleh pihak pemaju di kawasan ini menarik penduduk yang tinggal di kawasan bandar dan pedalaman untuk tinggal di kawasan ini. Hal ini kerana kedudukan Kampung Sabandar yang jauh dari kesibukan kota menjanjikan ketenangan dan keselamatan. Sungguhpun begitu, kawasan ini masih mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik yang mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

 

Rujukan.

1.      Kamus Dewan, 2010, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Edisi Keempat, Kuala Lumpur.

 

Penulis: Nor Naziha binti Madnin

No. Matrik: xxxxxx89183

Kumpulan: C

No comments:

Post a Comment