Sunday, December 26, 2021

PENGURUSAN SAMPAH YANG TIDAK SISTEMATIK DI KAMPUNG WAKAF BERANGAN, PASIR PUTEH, KELANTAN

 1.0    Pengenalan

Secara umumnya, sampah merupakan suatu bahan atau sisa yang tidak diingini atau tidak berguna lagi. Jika disimpan, ia dapat mendatangkan mudarat pada manusia. Oleh sebab itu, kebanyakan sampah akan dibuang dan dikumpulkan pada sesuatu tempat atau akan dilupuskan terus. Pengurusan sampah sarap pula ditakrifkan sebagai suatu disiplin ilmu yang berkaitan dengan kawalan penjanaan, penyimpanan, pengumpulan, pemindahan, pengangkutan, pemprosesan dan pelupusan sampah di tapak pelupusan sampah dengan suatu kaedah yang sesuai dengan asas kesihatan orang ramai, ekonomi, kejuruteraan, pemuliharaan, estetik dan pertimbangan kepada alam sekitar (Nur Ain Abd Muin, 2018). Pengurusan sampah yang tidak dilaksanakan dengan teratur dan sistematik akan mendatangkan pelbagai masalah.

Sememangnya masalah pencemaran sampah sudah lama wujud dan tidak asing lagi di Malaysia. Kebanyakan rakyat Malaysia mengurus sampah sarap mereka dengan tidak sistematik, di mana mereka lebih gemar membuang sampah di merata tempat. Tindakan mereka ini telah mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada alam sekitar dan juga masyarakat. Berdasarkan kajian, rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 37,890 tan sisa setiap hari dengan sekurang-kurangnya 1.17 kilogram (kg) dijana bagi setiap individu (Berita Harian, 2019). Angka ini semakin hari semakin meningkat seiring dengan pertambahan populasi penduduk dan tahap kehidupan rakyat yang semakin meningkat.

 

 

Rajah1: Jumlah penghasilan sampah di Malaysia

Sumber: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam

Kampung Wakaf Berangan merupakan sebuah kampung yang mengalami masalah pengurusan sampah yang tidak sistematik. Terdapat banyak sampah sarap yang telah dibuang di merata tempat oleh penduduk Kampung Wakaf Berangan. Kawasan bahu jalan dan semak samun menjadi salah satu tempat yang sangat terkenal dalam kalangan penduduk tersebut untuk membuang sampah secara haram. Pelbagai jenis sampah telah dibuang oleh mereka di merata tempat seperti tin minuman, plastik, sisa makanan, kaca dan sebagainya. Terdapat pelbagai faktor yang telah menyumbang kepada berlakunya masalah pengurusan sampah yang tidak sistematik di Kampung Wakaf Berangan. Sememangnya pembuangan sampah sarap secara tidak terkawal di kawasan pembuangan haram ini telah memberi banyak kesan negatif terhadap penduduk sekitar dan juga alam sekitar. Oleh itu, pelbagai pihak haruslah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa.

 

 

Peta 1: Kedudukan Kampung Wakaf Berangan, 16800 Pasir Puteh, Kelantan

 

2.0   Punca Pengurusan Sampah yang Tidak Sistematik di Kampung Wakaf Berangan

Terdapat beberapa punca berlakunya pengurusan sampah yang tidak sistematik di Kampung Wakaf Berangan. Antaranya ialah tempat pembuangan sampah jauh dari tempat kediaman penduduk. Keadaan ini sebenarnya telah menyebabkan sesetengah penduduk Kampung Wakaf Berangan terpaksa membuang sampah sarap di merata tempat, terutamanya di kawasan bahu jalan, di dalam longkang dan parit serta di semak samun. Kebanyakan penduduk kampung tersebut melakukan perbuatan sedemikian kerana mereka menganggap dengan membuang sampah sarap di tempat pembuangan sampah yang jauh dari kediaman mereka hanya membazir masa mereka sahaja. Malah, mereka juga berasa malas untuk bergerak jauh hanya semata-mata untuk membuang sampah sarap sahaja. Di samping itu, terdapat juga sebilangan penduduk Kampung Wakaf Berangan yang mengangkut sampah sarap mereka di atas bonet kereta untuk dibawa ke tempat pembuangan sampah yang jauh dari kediaman mereka. Tindakan penduduk kampung ini berkemungkinan boleh menyebabkan sampah sarap yang berada di atas bonet kereta terjatuh di atas jalan semasa kereta bergerak. Jika berlaku, penduduk kampung tersebut mungkin tidak perasan sampah sarap yang dibawanya telah jatuh dari bonet kereta. Namun, ada juga sesetengah penduduk membiarkan sahaja sampah yang terjatuh di atas jalan itu berada di situ. Keadaan ini sebenarnya telah menyebabkan jalan raya menjadi kotor kerana dipenuhi dengan sisa-sisa sampah yang bertaburan.


Rajah 2: Tempat pembuangan sampah yang disediakan oleh PBT


    Punca yang kedua ialah pihak PBT hanya menyediakan tong sampah pada sesetengah penduduk sahaja. Penduduk yang tidak disediakan tong sampah terpaksa membuang sampah sarap mereka di tempat pembuangan sampah yang agak jauh daripada rumah mereka. Malah, keadaan ini juga telah menyebabkan sesetengah penduduk yang tidak disediakan tong sampah di kediaman mereka memilih untuk membakar dan membuang sampah sarap di kawasan pembuangan haram. Keadaan ini berlaku kerana mereka berasa tidak berbaloi untuk membuang sampah di tempat pembuangan sampah yang jauh dari kediaman mereka. Ekoran itu, semakin hari semakin banyak longgokon sampah yang dibuang secara berleluasa di merata tempat. Sememangnya penyediaan tong sampah pada sesetengah penduduk sahaja bukanlah satu tindakan yang wajar dan ia juga tidak adil bagi sesetengah penduduk yang terpaksa membuang sampah sarap di tempat pembuangan yang agak jauh dari tempat tinggal mereka. Malah, keadaan ini juga telah menyusahkan mereka, dimana mereka terpaksa bergerak menggunakan kenderaan hampir 3 kali seminggu hanya semata-mata untuk membuang sampah sarap.

Rajah 3: Kawasan perumahan di Kampung Wakaf Berangan yang tidak disediakan tong sampah

Punca yang seterusnya ialah pengutipan sampah yang tidak teratur oleh pihak PBT.  Penduduk Kampung Wakaf Berangan yang disediakan tong sampah oleh pihak PBT juga mengalami masalah dalam mengurus sampah. Keadaan ini berlaku apabila lori sampah kurang memasuki ke kawasan kediaman mereka untuk mengutip sampah. Biasanya, pihak PBT menghantar lori sampah untuk mengutip sampah hanya 1 kali seminggu sahaja. Sememangnya jadual pengutipan sampah yang disusun oleh pihak PBT ini sangat tidak relevan kerana setiap penduduk akan menghasilkan banyak sampah setiap hari. Jika proses kutipan tidak dilakukan dengan baik, hal ini akan menggalakkan penduduk melupuskan sisa pepejal mereka dengan menggunakan kaedah lain. Penduduk di luar bandar akan mengambil jalan mudah dengan melakukan aktiviti pembakaran untuk melupuskan sisa pepejal mereka (Musfirah Abd Jalil, 2017). Malah, sampah sarap juga akan dibuang di luar tong sampah yang disediakan kerana kapasiti tong sampah sudah tidak mencukupi. Bukan itu sahaja, keadaan ini juga akan menyebabkan sesetengah penduduk mengambil insiatif dengan membuang sampah yang masih tidak dikutip oleh pihak PBT di kawasan pembuangan sampah haram.

 

 

Rajah 4: Aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh penduduk Kampung Wakaf Berangan di hadapan rumah

Sikap masyarakat juga telah menjadi salah satu punca berlakunya pengurusan sampah yang tidak sistematik. Kebanyakan penduduk Kampung Wakaf Berangan mempunyai sikap yang tidak mementingkan kebersihan. Mereka sanggup membuang sisa-sisa sampah di merata tempat. Kawasan bahu jalan dan semak samun menjadi salah satu tempat yang terkenal dalam kalangan penduduk tersebut untuk membuang sampah sarap. Malah ada segelintir pembuang sampah itu mengambil jalan mudah dengan hanya melontar atau membuang sampah di tepi tong dan bukannya ke dalam tong yang telah disediakan (Borneo Post Online, 2011). Kegiatan membuang sampah ini selalunya berlaku pada waktu malam. Hal ini kerana mereka tidak mahu ditangkap oleh penguatkuasa atau dimarahi oleh penduduk kampung kerana membuang sampah di tempat pembuangan haram. Jika masalah ini terus berlanjutan, pastinya akan memberikan kesan negatif terhadap alam sekitar terutamanya akan berlaku longgokan sampah akibat daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab dalam menguruskan sisa pepejal mereka dengan baik (Musfirah Abd Jalil, 2017).

 

 

Rajah 5: Pembakaran terbuka di Kampung Wakaf Berangan

Punca yang terakhir ialah penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Sememangnya penguatkuasaan undang-undang yang lemah ini telah menyebabkan penduduk kampung terus mengulangi kesalahan yang sama iaitu membuang sampah merata tempat. Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah tidak mengambil sebarang tindakan tegas terhadap mana-mana penduduk Kampung Wakaf Berangan yang membuang sampah di tempat pembuangan haram. Mereka langsung tidak dikenakan apa-apa hukuman atau denda yang berat. Jika tidak dibendung, keadaan ini akan menyebabkan penduduk kampung menjadi semakin berani untuk membuang sampah sarap di kawasan terbuka, apatah lagi di kawasan yang tertutup.

Rajah 6: Sampah sarap yang terdapat di kawasan bahu jalan di Kampung Wakaf Berangan

 

3.0    Kesan Pengurusan Sampah yang Tidak Sistematik di Kampung Wakaf Berangan  

Antara kesan pengurusan sampah yang tidak sistematik ialah dapat menyebabkan pencemaran udara. Pembuangan sampah yang tidak terurus oleh penduduk Kampung Wakaf Berangan dan penyelenggaraan sampah yang lemah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menyebabkan kawasan persekitaran berbau busuk. Penjanaan bau yang terhasil daripada gas  yang  dilepaskan  melalui  proses  semula  jadi  dan  sifat  sisa  buangan  itu  sendiri  telah meninggalkan  pelbagai  masalah  seperti  ketidakselesaan,  kacau-ganggu,  kesejahteraan  dan kesihatan  kepada  penduduk  setempat (Zaini Sakawi et al., 2012). Biasanya, pencemaran bau ini berpunca daripada pembuangan sisa-sisa makanan yang berleluasa di tempat pembuangan haram. Sememangnya bau yang tidak menyenangkan ini telah mengganggu keselesaan hidup penduduk sekitar. Malah, ada juga sesetengah penduduk mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap yang tidak dikutip oleh PBT bagi menghapuskan sampah tersebut. Keadaan ini sememangnya dapat menyebabkan kawasan persekitaran kampung tersebut dipenuhi dengan asap. Perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan penduduk terpaksa menghidu asap sekali gus menjejaskan kualiti udara di kawasan berkenaan (Kosmo, 2021).

Rajah 7: Aktiviti pembakaran terbuka dan tempat pembuangan sampah haram di Kampung Wakaf Berangan yang mengundang bau yang busuk

Selain itu, pengurusan sampah yang tidak sistematik juga boleh mengakibatkan berlakunya pencemaran air. Terdapat sesetengah penduduk Kampung Wakaf Berangan selalu mengambil jalan mudah dengan membuang sampah sarap ke dalam parit atau longkang sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran air sungai Wakaf Berangan, dimana kandungan BOD dalam sungai meningkat, air menjadi keruh, air berubah warna dan berbau busuk. Sememangnya sumber air ini sering digunakan oleh penduduk untuk tujuan pertanian dan minuman ternakan mereka. Namun, selepas berlakunya pencemaran sungai, ada sebilangan hasil tanaman yang diusahakan oleh penduduk Kampung Wakaf Berangan telah terjejas teruk dan mereka mengalami sedikit kerugian. Malah ada juga sebilangan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau menghidap penyakit bawaan air yang boleh membawa kepada kematian. 


Kesan yang seterusnya ialah dapat menjejaskan kesihatan. Sememangnya, sampah sarap yang dibuang di merata tempat oleh penduduk Kampung Wakaf Berangan telah memberi kesan buruk terhadap kesihatan masyarakat di kawasan perkampungan tersebut. Sisa-sisa makanan yang dibuang merata tempat menjadi salah satu punca kehadiran haiwan-haiwan perosak seperti tikus, lipas, burung gagak, lalat dan sebagainya. Malah, botol plastik, pasu bunga, tin minuman dan tayar yang dibuang merata tempat juga dapat menarik kehadiran nyamuk untuk membiak di bahagian sampah yang dapat menakung air. Sememangnya kehadiran haiwan-haiwan perosak sangat berbahaya kerana ia dapat menyebarkan pelbagai penyakit melalui kuman-kuman yang dibawanya daripada sampah. Jika tidak dibendung, keadaan ini akan membawa kepada penularan pelbagai wabak penyakit yang berbahaya terhadap penduduk kampung tersebut seperti demam denggi, Taun, malaria, keracunan makanan dan sebagainya. Perbuatan membuang sampah sembarangan bukan sahaja akan mencemarkan pemandangan dan menghasilkan bau busuk malah mewujudkan tempat pembiakan nyamuk aedes, lalat serta tikus sekali gus membahayakan kesihatan dan nyawa penduduk setempat (Utusan Borneo, 2017).  Malah, aktiviti pembakaran sampah oleh penduduk juga dapat mendatangkan banyak masalah kesihatan kerana aktiviti tersebut menghasilkan asap. Pencemaran asap akibat kebakaran terbuka ini dapat menjejaskan kesihatan penduduk terutama kanak-kanak dan warga emas (Harian Metro, 2021)

Rajah 8: Antara kawasan pembuangan sampah haram di Kampung Wakaf Berangan yang mengundang kehadiran haiwan-haiwan perosak

Selain itu, masalah pengurusan sampah yang tidak sistematik juga dapat menjejaskan imej penduduk Kampung Wakaf Berangan. Longgokan sampah yang penuh, terutamanya di kawasan pembuangan haram ini telah menyebabkan kawasan perkampungan tersebut kelihatan sangat kotor dan menjijikkan. Ekoran daripada itu, pemandangan alam sekitar menjadi kurang menarik apabila sisa-sisa makanan, plastik, tin minuman dan sebagainya berada di merata tempat, terutamanya di kawasan bahu jalan. Sememangnya keadaan kawasan kampung yang kotor ini akan mengundang persepsi negatif ke atas penduduk di kawasan perkampungan tersebut, di mana pihak luar akan menganggap penduduk Kampung Wakaf Berangan sebagai masyarakat yang pengotor dan kurang kesedaran akan kepentingan menjaga kebersihan.

Rajah 9: Pemandangan di kawasan Kampung Wakaf Berangan

 

4.0  Langkah Mengatasi Masalah Pengurusan Sampah yang Tidak Sistematik di Kampung Wakaf Berangan

Terdapat beberapa langkah dalam mengatasi masalah pengurusan sampah yang tidak sistematik di Kampung Wakaf Berangan. Antaranya ialah dengan memperketatkan penguatkuasaan undang-undang. Penguatkuasaan tegas perlu diambil oleh semua agensi yang berkaitan bagi melindungi alam sekitar dalam negara kita (Astro Awani, 2019). Oleh itu, pihak kerajaan haruslah memperkasakan lagi penguatkuasaan undang-undang terhadap mana-mana pesalah atau individu yang giat membuang sampah sarap di merata-rata tempat seperti ke dalam sungai, di kawasan bahu jalan, semak samun dan sebagainya. Contohnya, pihak kerajaan bolehlah mengenakan hukuman dan denda yang setimpal kepada pesalah seperti yang diperuntukkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Malah, pihak kerajaan juga perlulah membuat pemantauan secara berkala, iaitu 3 kali seminggu di Kampung Wakaf Berangan agar penduduk kampung tidak berani untuk membuang sampah sarap di merata tempat. Selain itu, penduduk kampung yang melakukan aktiviti pembakaran sampah secara terbuka juga perlu diambil tindakan tegas. Larangan pembakaran terbuka tidak boleh dilakukan hanya dengan arahan semata-mata tetapi perlu disertai dengan tindakan penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan tegas iaitu merujuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang berkaitan (Sinar Harian, 2019).

Langkah yang seterusnya ialah PBT perlulah menyediakan tong sampah kepada semua penduduk Kampung Wakaf Berangan. Pada masa ini, PBT hanya menyediakan tong sampah pada sesetengah penduduk sahaja. Keadaan ini telah menyebabkan penduduk yang tidak disediakan tong sampah terpaksa membuang sampah di tempat pembuangan haram kerana tempat pembuangan sampah yang disediakan jauh dari kediaman mereka. Oleh sebab itu, Penyediaan tong sampah pada semua penduduk merupakan salah satu tindakan yang sangat wajar dilakukan. Apabila PBT menyediakan tong sampah kepada setiap penduduk, ia dapat memudahkan urusan penduduk untuk mengurus sampah dengan sistematik. Malah, masalah pembuangan sampah sarap di kawasan yang dilarang juga dapat dikurangkan kerana penduduk kampung tidak perlu lagi bersusah payah untuk ke tempat pembuangan haram bagi menghapuskan sampah mereka.

            Di samping itu, PBT juga perlulah mengutip sampah secara berkala. Sebelum ini, lori sampah memasuki kawasan Kampung Wakaf Berangan hanya 1 kali seminggu sahaja untuk mengutip sampah yang dikumpulkan oleh penduduk kampung. Keadaan ini telah menyebabkan banyak longgokan sampah yang tidak terurus dan ada juga sampah sarap yang dibuang di  luar tong sampah kerana kapasiti tong sampah sudah tidak mampu lagi untuk menampung sampah yang terlalu banyak. Pengurusan sampah sarap yang tidak efektif nyata mengundang kepada kesan pencemaran alam sekitar dan menjejaskan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan hidup masyarakat (Haryati Shafii, 2020). Oleh sebab itu, PBT perlulah menyediakan jadual penyelenggaraan sampah secara berkala agar sampah sarap yang dikumpulkan oleh penduduk dapat diurus dengan sistematik. PBT perlulah mengutip sampah di Kampung Wakaf Berangan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Dengan cara ini, sampah sarap yang dihasilkan oleh penduduk pada setiap hari dapat diurus secepat mungkin sebelum sampah yang baru dihasilkan pada hari yang lain.

Selain itu, pihak kerajaan juga boleh menggiatkan pelbagai kempen kesedaran. Antaranya ialah kempen kitar semula. Pelbagai bahagian, jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar memainkan peranan penting bagi mempromosikan kesedaran awam terhadap kepentingan kitar semula kepada alam sekitar (Nur Ain Abd Muin, 2018). Kempen ini boleh dilaksanakan melalui media cetak, media elektronik, pameran, bengkel pemahaman dan penghayatan alam sekitar, serta menganjurkan ceramah dan seminar. Sememangnya program kitar semula ini dapat membantu penduduk Kampung Wakaf Berangan untuk mengurangkan penghasilan sampah pada setiap hari, dimana sampah akan ditukarkan kepada bahan atau objek yang baharu. Malah, kempen ini juga dapat menyemai kesedaran dalam kalangan penduduk tersebut untuk mengurangkan pencemaran alam dan memelihara sumber alam semula jadi sebaik mungkin. Pendedahan setiap individu dan anggota keluarga ke atas program dan penglibatan berkaitan dengan kitar semula dan pengurusan sisa pepejal adalah amat penting kerana ia boleh memberi kesedaran dan mengubah sikap seseorang individu (Zaini Sakawi, Sofia Ayup & Mohd Fauzi Sukimi, 2017).

Akhir sekali, pendidikan juga merupakan salah satu sektor yang dapat membantu dalam mengatasi masalah pengurusan sampah yang tidak sistematik. Melalui pendidikan, pihak sekolah haruslah memainkan peranan dengan memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada pelajar-pelajar sekolah, tidak kira sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Oleh itu, kurikulum yang khusus perlulah digubal agar pendedahan tentang kepentingan mengurus sampah sarap dengan sistematik dapat disampaikan. Kurikulum ini juga boleh diselitkan dalam mana-mana mata pelajaran yang sesuai seperti mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral. Melalui cara ini, pelajar sekolah dapat mempelajari secara langsung tentang pengurusan sampah dan dalam masa yang sama, dapat menyemai kesedaran secara lebih berkesan. Justeru, pengenalan pendidikan alam sekitar pada peringkat sekolah merupakan salah satu langkah yang efektif untuk mengatasi masalah pengurusan sampah yang tidak sistematik di Kampung Wakaf Berangan.

 

5.0    Kesimpulan

Jelaslah bahawa pengurusan sampah yang tidak sistematik di Kampung Wakaf Berangan telah mendatangkan pelbagai kesan negatif terhadap alam sekitar serta dapat memudaratkan kesihatan penduduk sekitar. Sememangnya aktiviti pembuangan sampah sarap di kawasan pembuangan haram  merupakan tindakan yang sangat tidak wajar dan perlulah dibendung agar tidak berleluasa. Oleh sebab itu, pelbagai pihak haruslah bekerjasama dan berganding bahu dalam menangani masalah ini agar Kampung Wakaf Berangan kembali pulih dari pencemaran sampah yang kronik.

 

RUJUKAN

(NN). (2011). Sikap masyarakat punca sampah-sarap di tapak pengutipan sampah menjijikkan. Bahan diakses pada 15 Disember 2021, diperoleh daripada https://www.theborneopost.com/2011/08/12/sikap-masyarakat-punca-sampah-sarap-di-tapak-pengutipan-sampah-menjijikkan/.

Farah Shazwani Ali. (Sinar Harian, 2019). Pembakaran Terbuka: Jangan Ambil Ringan. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/17049/EDISI/Terengganu /Pembakaran-terbuka-Jangan-ambil-ringan.

Haryati Shafii. (2020). Kemerosotan kualiti alam sekitar jejaskan keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat bandar. Bahan diakses pada 15 Disember 2021, diperoleh daripada https://news.uthm.edu.my/ms/2020/03/kemerosotan-kualiti-alam-sekitar-jejaskan-keselamatan-dan-kesejahteraan-hidup-masyarakat-bandar/.

Iskandar Shah Mohamed. (Kosmo, 2021). 10,000 Penduduk Terancam Kesihatan Akibat Pembakaran Terbuka. Diperoleh daripada https://www.kosmo.com.my/2021/10/20/10000-penduduk-terancam-kesihatan-akibat-pembakaran-terbuka/.

Mary Victoria Dass. (Harian Metro, 2021). 6 Tahun Hidu Udara Tercemar Setiap Hari. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/12/784669/6-tahun-hidu-udara-tercemar-setiap-hari.

Muhamad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri. (2015). Masalah Longgokan Sampah yang Berlaku di Kawasan Perumahan Berteres Kajian Kes: Taman Universiti, Skudai, Johor. Ijazah Sarjana. Universiti Teknologi Malaysia. Diperoleh daripada https://core.ac.uk/download/pdf/42921122.pdf.

Muzaffar Syah Mallow. (Astro Awani, 2019). Penguatkuasaan Tegas Perlu Diambil Lindungi Alam Sekitar. Diperoleh daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penguatkuasaan-tegas-perlu-diambil-lindungi-alam-sekitar-201101.

Nur Ain Abd Muin. (2018). Pengurusan Sampah di Kuala Lumpur, 1974-2004: Peranan Pihak Kerajaan dan Pihak Awam. Asian Journal of Environment, History and Heritage, 2(1), 123-140. Diperoleh daripada https://spaj.ukm.my/ajehh/index.php/ajehh/article/view/54.

Sandy Mark Luna. (Utusan Borneo, 2017). Pembuangan Sampah Secara Sembarangan Terus Berleluasa. Diperoleh daripada https://www.utusanborneo.com.my/2017/03/02/ pembuangan-sampah-secara-sembarangan-terus-berleluasa.

Suhaila Shahrul Annuar. (Berita Harian, 2019). Rakyat Malaysia Hasil 37,890 Tan Sisa Setiap Hari. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/574909/ rakyat-malaysia-hasil-37890-tan-sisa-setiap-hari.

Zaini Sakawi, Sharifah Mastura Syed Abdullah, Othman Jaafar, Mastura Mahmud, Lukman Ismail & Mohd Rozaimi Ariffin. (2012). Persepsi Penerima Sensitif ke Atas Pencemaran Bau dari Tapak Pelupusan Secara Terbuka. Journal of Social Sciences and Humanities, 7(1), 284-293. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication.

Zaini Sakawi, Sofia Ayup & Mohd Fauzi Sukimi. (2017). Pengetahuan Komuniti dan Amalan Pengurusan Sisa Pepejal di Negeri Sembilan. Journal of Society and Space 13(4), 126-137. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/327296931_ Pengetahuan_komuniti_dan_amalan_pengurusan_sisa_pepejal_di_Negeri_Sembilan.

Musfirah Abdul Jalil. (2017). Persepsi Penduduk Terhadap Kutipan Sisa Pepejal di Kawasan Luar Bandar. Ijazah Sarjana. Universiti Teknologi Malaysia. Diperoleh daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/78887/1/MusfirahAbdJalilMFGHT2017.pdf.


Nama Penulis: Nur Aliya Najihah Binti Amran

No Matriks: D*****087844

Kumpulan: B

No comments:

Post a Comment