Sunday, December 26, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: MASALAH PEMBUANGAN SISA PEPEJAL DI TAMAN SEJAHTERA JAYA, LUNAS, KEDAH

 Pengenalan

Baru-baru ini, satu kajian telah dijalankan di kawasan Taman Sejahtera Jaya, Kulim, Kedah dan kajian ini dilakukan bagi memenuhi kursus HGM3033 Geografi Penduduk. Taman Sejahtera Jaya adalah merupakan sebuah penempatan penduduk berbilang bangsa yang terletak di daerah Kulim, Kedah. Walaupun penduduk di sekitar kawasan ini mempunyai kaum yang pelbagai namun, penduduk di Taman Sejahtera Jaya ini mempunyai sikap bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain menjadikan penempatan ini suatu penempatan yang selamat untuk didiami. Jarak diantara Bandar Kulim dengan Taman Sejahtera Jaya ini pula hanya memakan masa kira-kira 10 hingga 15 minit sahaja. Jadi, tidak ada masalah untuk penduduk Taman Sejahtera Jaya pergi ke Bandar Kulim bagi menyelesaikan urusan peribadi masing-masing. Kawasan penempatan ini juga mempunyai pelbagai kemudahan yang boleh penduduk di kawasan ini gunakan. Kemudahan-kemudahan yang terdapat di sekitar kawasan ini, sedikit sebanyak mengurangkan beban penduduk setempat untuk pergi ke Bandar Kulim bagi menguruskan perkara-perkara yang penduduk perlukan.Antara kemudahan-kemudahan yang terdapat di sekitar kawasan Taman Sejahtera Jaya adalah kemudahan perbankan, peruncitan barangan kering dan basah, restoran dan banyak lagi.

Gambar 1: Peta Kawasan Taman Sejahtera Jaya

Gambar 2: Kawasan Perumahan Taman Sejahtera Jaya

Walaupun, kawasan ini mempunyai persekitaran yang selamat untuk didiami namun, kawasan ini juga mempunyai masalah dalam aspek lain terutamanya dari segi pengurusan sisa. Antara masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan Taman Sejahtera Jaya adalah masalah sisa pepejal yang telah dihadapi oleh penduduk sekitar sini sejak dahulu lagi. Menurut Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, sisa pepejal dapat ditakrifkan sebagai apa-apa bahan sekerap atau benda lebihan lain yang tidak dikehendaki atau keluaran yang ditolak yang timbul daripada penggunaan apa-apa proses atau apa-apa benda yang dikehendaki dilupuskan kerana sudah pecah, lusuh, tercemar atau selainnya rosak. Masalah pengurusan sampah ini bukan sahaja menjadikan persekitaran di kawasan tersebut kurang selesa malah ia juga turut menyebabkan alam sekitar tercemar. Oleh itu, satu kajian telah dilakukan berdasarkan pemerhatian bagi mengenal pasti punca-punca masalah ini berlaku hingga memberi kesan kepada penduduk setempat dan alam sekitar.

 

Punca-Punca Masalah Sisa Pepejal

 Masalah lambakan sisa pepejal bertebaran di sekitar Taman Sejahtera Jaya ini semestinya berpunca daripada sikap tidak peduli penduduk sekitar sini. Antara punca-punca yang menyebabkan sisa pepejal tidak dapat diurus dengan baik adalah pihak pengurusan sisa pepejal itu sendiri bersikap sambalewa berkenaan masalah ini. Walaupun, Kerajaan Persekutuan telah menggubal akta di mana menyerahkan tanggungjawab ini kepada Kerajaan Pusat yang mana Kerajaan Persekutuan telahpun mewartakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672). Namun begitu, isu pengurusan sisa pepejal di kawasan ini masih lagi berada di tahap yang kurang memuaskan kerana petugas-petugas yang menjalankan tugas ini tidak menjalankan tugasan tersebut dengan baik. Ada kalanya, mereka seolah-olah menutup mata apabila melihat sisa pepejal yang berada di sebelah mereka hingga menyebabkan sisa pepejal tersebut semakin lama semakin bertambah dan berselerakan di sekitar taman ini hingga memberi kesan yang negatif kepada alam sekitar sekeliling dan imej kawasan tersebut. Mungkin mereka merasakan sukar untuk membawa sisa pepejal yang besar hingga terpaksa mengabaikan sisa pepejal tersebut namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menjalankan tugas mereka dengan baik.

 Bukan itu sahaja, sikap penduduk di sekitar kawasan ini juga turut dipersalahkan yang mana punca inilah yang paling perlu dititikberatkan yang tidak prihatin terhadap imej kawasan ini. Perkara ini tidak boleh diambil ringan kerana sikap penduduk ini tidak kisah terhadap imej kawasan dan alam sekitar menyebabkan mereka membuang sisa pepejal tersebut tanpa rasa bersalah. Mereka sanggup berbuat demikian kerana mereka merasakan pihak pengurusan akan menguruskannya tanpa memikirkan keburukan yang akan dihadapi oleh pihak-pihak tertentu. Sikap mementingkan diri sendiri ini wajar dihindarkan bagi setiap manusia kerana sikap ini akan membuatkan alam sekitar berada dalam keadaan yang tidak selamat serta sikap inilah adalah punca utama bagi pertambahan masalah sisa pepejal isi rumah di kawasan ini.

Gambar 3: Sikap  penduduk yang tidak bertanggungjawab membuang sisa pepejal sesuka hati mereka

Kesan-Kesan Masalah Sisa Pepejal Terhadap Penduduk dan Persekitaran

Berikut adalah kesan-kesan masalah sisa pepejal kepada penduduk dan alam sekitar:-

i.                 Kesan Terhadap Penduduk

 Jika masalah ini masih tidak dapat diselesaikan dengan baik, maka ia akan memberi kemudaratan terutamanya kepada penduduk disekitarnya. Hal ini disebabkan masalah pembuangan sisa pepejal yang tidak berkesudahan ini akan dapat menarik perhatian serangga atau vektor yang memberi masalah kepada masalah dari segi kesihatan seperti nyamuk aedes, tikus, lipas dan banyak lagi. Kesannya, persekitaran bagi Taman Sejahtera Jaya akan menjadi tidak sihat kerana ia dilihat satu kawasan yang kotor dan lebih bertambah buruk lagi, ia akan memberi ancaman nyawa kepada manusia. Hal ini kerana, sisa pepejal yang tidak terurus dalam satu tempoh yang begitu lama akan menyebabkan jumlah binatang yang membawa penyakit akan membiak dan akan membuatkan habitatnya semakin bertambah. Apabila habitat vektor ini semakin bertambah, maka wabak penyakit berjangkit seperti Demam denggi, Chikugunya, Kencing tikus dan lain-lain yang berkaitan turut bertambah disebabkan vektor inilah yang akan membawa penyakit ke sekitar kawasan yang mempunyai persekitaran yang tidak bersih. Sebagai contoh, terdapat takungan air yang berada di kawasan Taman Sejahtera Jaya ini akan cenderung kepada pembiakan nyamuk aedes yang akan meningkatkan kadar penyakit demam denggi di sekitar kawasan tersebut. Bukan itu sahaja, pengurusan sisa pepejal yang tidak baik boleh menyumbangkan kepada peningkatan kes denggi di kawasan perumahan di sekitar kawasan tersebut di mana, terdapat dua kes yang telah tercatat pada 9 Mac 2019. Jelas, disini lambakan sisa pepejal di kawasan ini boleh mendatangkan wabak penyakit dan jika tidak dibendung ia akan menjadi satu ancaman kepada penduduk sekitar kawasan tersebut.


Gambar 4: Sisa pepejal yang tidak diuruskan dalam tempoh masa yang lama berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes

 

ii.               Kesan Terhadap Alam Sekitar

Selain itu, sistem pengurusan sisa pepejal yang tidak lancar juga akan memberi kesan yang negatif kepada alam sekitar di mana ia akan berlakunya pencemaran. Hal ini berlaku apabila sisa pepejal ini akan mula mengalir ke dalam sungai yang berpunca daripada logi air Taman Sejahtera Jaya yang telahpun dipenuhi dengan sisa pepejal hingga memberi kemudratan kepada sungai hingga berlakunya pencemaran air. Pencemaran air ini semestinya memberi kesan yang negatif kepada ekosistem serta turut tidak terkecuali kepada hidupan akuatik yang terdapat di sungai tersebut. Masalah ini berpunca semestinya daripada penduduk di kawasan tersebut kerana tidak mempunyai sikap tanggungjawab hingga sanggup membuang sampah ke dalam longkang dan sampah tersebut akan dibawa oleh air ke logi air di taman tersebut seterusnya, sampah itu akan bergerak ke sungai yang berhampiran.

Gambar 5: Sisa Pepejal yang terdapat di logi air Taman Sejahtera Jaya

Gambar 6: Persekitaran sungai berdekatan yang dipenuhi dengan sisa pepejal

Kesimpulan

Walaupun kawasan Taman Sejahtera Jaya ini merupakan satu kawasan yang selamat untuk didiami namun, kawasan ini mempunyai masalah lain terutamanya dari aspek kebersihan di sekitar kawasan. Terdapat beberapa faktor-faktor berlakunya lambakan sisa pepejal di kawasan ini di mana, sikap ambil mudah bagi sesetengah pihak terhadap sisa pepejal ini memberi kesan yang negatif terhadap penduduk di sekitar dan alam sekitar juga turut terlibat dalam masalah ini. Hal ini menyebabkan penduduk di sekitar kawasan ini akan terdedah dengan wabak penyakit disebabkan sisa pepejal ini telah menjadi sarang kepada vektor bawaan penyakit ini tidak terkecuali, alam sekitar turut menerima kesannya di mana, lambakan sisa pepejal ini akan menyebabkan berlakunya pencemaran air di sungai sekitar kawasan taman perumahan tersebut. Diharapkan semua pihak harus bekerjasama bagi menangani masalah ini bagi memastikan penduduk di sekitar Taman Sejahtera Jaya mempunyai satu persekitaran yang bersih dan sihat.


 

Rujukan

Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. (2015). Definisi Pengurusan Sisa Pepejal. Diakses daripada https://jpspn.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/106

Media Sosial Rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Kedah. (2019). Kes Terkini Denggi. Diakses daripada https://www.facebook.com/OfficialJKNKedah/photos/situasi-semasa-wabak-denggi-di-negeri-kedahberlaku-wabak-baru-di-daerah-kulim-ia/10156570784190892/ 

 

Muhamad Fiqrurazi & Ahmad Shamsuri. (2015). Masalah Longgokan Sampah Kawasan Perumahan Berteres. Diakses daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/53778/25/ Muhamad FiqruraziAhmadShamsuriMFGHT2015.pdf

 

Nama Penulis: Suhayl Azmin BinYaakob

No. Matriks: D091323

Kumpulan: C

No comments:

Post a Comment