Kota
Malim Prima merupakan sebuah kawasan yang terdapat di Tanjung Malim, Perak. Ia
merupakan sebuah kawasan yang terletak di tengah antara Kampus Sultan Abdul
Jalil Shah iaitu kampus lama dan Kampus Sultan Azlan Shah iaitu kampus baru.
Apa yang menariknya, perjalanan dari Kota Malim Prima ke pekan Tanjung Malim
hanya mengambil masa kira-kira 10 minit dimana jarak adalah 7 kilometer sahaja.
Oleh demikian, Kota Malim Prima merupakan suatu tempat tumpuan bagi pelajar
Unit Kediaman Luar Kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UKLK UPSI) untuk
menetap dan menyewa rumah di kawasan ini. Menurut Kamus Dewan (2002:18),
istilah pelajar bermaksud orang yang belajar atau orang yang mengaji. Ia juga
membawa maksud orang yang menyelidiki ilmu. Oleh sebab itu, terdapat ramai
bilangan pelajar yang berada di kawasan ini kerana Tanjung Malim terkenal di
negeri Perak sebagai sebuah bandar yang melahirkan ramai cendekiawan dan para
guru. Namun demikian, pelajar tidak boleh lari daripada menghadapi kelebihan
mahupun kekurangan apabila tinggal di Kota Malim Prima, Perak ini.
Satu
tinjauan awal telah dibuat menggunakan kaedah soal selidik bagi mengambil data
berkenaan kelebihan dan kekurangan yang dihadapi oleh pelajar UKLK yang tinggal
di sini. Menurut pelajar, antara kelebihan yang mereka kecapi ialah harga bagi
sewa rumah adalah murah dan berpatutan disamping jarak yang lebih dekat untuk
ke kampus UPSI. Bagi harga sewa rumah, anggaran bayaran bagi sebulan adalah
serendah RM150-RM200 bagi tempoh sebulan termasuk bil utiliti. Semua sedia
maklum, pelajar merupakan seseorang yang masih tidak ada pendapatan tetap dan
ditanggung sepenuhnya oleh ibubapa mereka mahupun pinjaman wang seperti PTPTN
dan biasiswa. Oleh faktor ini, sewa rumah yang berkos rendah sangat diharapkan
oleh pelajar memandangkan pihak kolej tidak dapat menampung sepenuhnya pelajar
untuk menetap di kolej universiti atas faktor kapasiti yang terhad.
Rajah 2 : Soal selidik berkaitan kelebihan
Rajah 3 : Flat Kota Malim Prima
Seterusnya, pelajar juga bebas keluar dan masuk tidak kira masa apabila tinggal di rumah sewa ini dibandingkan jika menetap di kolej universiti. Seperti sedia maklum, pergerakan pelajar menjadi tidak terhad apabila tinggal di rumah sewa dan pelajar juga berpeluang tinggal bersama rakan-rakan kenalan mereka sendiri. Pelajar juga menyuarakan bahawa mereka suka tinggal di Kota Malim Prima kerana berdekatan dengan kampus baru dimana terdapat pintu belakang kampus untuk pelajar gunakan. Bagi pelajar juga, suasana di sekitar kawasan ini sejuk dan aman memandangkan kawasan ini berada jauh ke dalam dan berdekatan dengan Banjaran Titiwangsa serta dikelilingi dengan bukit-bukau. Selain itu, pelajar juga dapat kemudahan yang selesa dan cukup dimana terdapatnya kedai-kedai runcit yang berdekatan, kedai-kedai makan, dobi, surau, kedai menjahit pakaian dan juga tempat pembuangan sampah yang besar. Hal ini secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada pelajar sebagai contoh pelajar boleh membeli nasi budget yang dijual di kedai dan secara tidak langsung pelajar dapat menjimatkan kewangan dari segi makanan, minuman mahupun kos kenderaan seperti minyak dan sebagainya.
Rajah
4 : Kemudahan di Kota Malim Prima
Bagi aspek kelemahan yang dihadapi oleh pelajar pula, pelajar mengatakan bahawa tiada kemudahan lift disediakan. Hal ini terjadi kerana terdapat 5 tingkat di flat Kota Malim Prima yang menyebabkan pelajar tinggal di tingkat 5 terpaksa menggunakan tangga. Pelajar yang membeli barangan dapur seperti beras terpaksa mengangkat berat menggunakan kudrat yang banyak dan sekaligus hal ini akan memberikan impak negatif kepada kesihatan pelajar di kemudian hari seperti sakit pinggang. Seterusnya, pelajar juga meluahkan kesalan dimana garaj bagi kenderaan seperti motosikal tidak berbumbung. Keadaan ini membuatkan kenderaan bagi pelajar mengalami masalah apabila berlakunya musim tengkujuh mahupun musim kemarau. Hal ini juga menyebabkan kawasan meletak kenderaan menjadi terhad dan menyukarkan pelajar untuk meletakkan kenderaan mereka. Pelajar juga mengatakan bahawa mereka memerlukan kos yang tinggi dimana mereka perlu memiliki kenderaan sendiri apabila tinggal di rumah sewa memandangkan tiada pengangkutan disediakan oleh pihak universiti di kawasan Kota Malim prima ini serta pelajar juga mengatakan kos pembelanjaan di kedai runcit sekitar Kota Malim Prima yang agak tinggi kerana keadaan kawasan ini yang jauh kedalam menyukarkan peruncit mendapatkan barangan jualan lalu meningkatkan harga jualan.
Rajah
5 : Soal selidik berkaitan kelemahan
Amalan tinggal di rumah sewa ini tidak asing lagi bagi golongan pelajar. Apabila pemantauan dibuat di sekitar Kota Malim Prima, terdapat banyak lagi kelebihan mahupun kekurangan yang ada di kawasan ini. Antara kelebihan lain adalah seperti terdapatnya pusat kawalan skim rondaan sukarela dan juga pondok kawasan rukun tetangga. Hal ini suatu perkara yang sangat penting dimana keselamatan pelajar mahupun penduduk sekitar Kota Malim Prima akan terpelihara dan juga terjaga. Kes-kes jenayah kurang didengari di kawasan ini secara tidak langsung pelajar tidak akan terasa terancam mahupun takut apabila tinggal di sini. Seterusnya, terdapat kawasan rekreasi seperti taman permainan dan padang untuk pelajar melakukan aktiviti riadah. Terdapat beberapa fasiliti seperti tiang gol dan laluan berjogging disediakan. Di samping itu, terdapat kawasan perindustrian kecil seperti kilang air batu yang secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar untuk melakukan kerja sambilan untuk menambah pendapatan diri sendiri. Apabila pemantauan dilakukan juga, terdapat satu pencawang yang berada di kawasan Kota Malim Prima yang memberikan kebaikan kepada pelajar dari segi capaian internet. Seperti sedia maklum, fasa pandemik yang sedang melanda Negara ketika ini memerlukan pelajar melalui norma baharu dimana sesi kuliah dan pembelajaran juga diadakan secara maya. Oleh itu, capaian internet yang baik amat diperlukan oleh pelajar dan menjadi keperluan utama bagi mereka.
Rajah
6 : Kemudahan lain di Kota Malim Prima
Semasa pemantauan dilakukan, terdapat juga beberapa kelemahan yang dapat dilihat sekitar kawasan Kota Malim Prima ini. Antaranya, terdapat beberapa kawasan semak-samun berdekatan kawasan tinggal pelajar. Hal ini dikhuatiri akan memberikan kemudaratan terhadap keselamatan pelajar dimana haiwan berbisa seperti ular dan haiwan liar seperti khinzir akan memasuki ruang kediaman pelajar lalu mampu mencetuskan bahaya kepada mereka. Selain itu, apabila dilihat kepada laluan yang ada di Kota Malim Prima, terdapat jalan yang rosak dan dilihat juga terdapat banyak anjing liar berkeliaran di sekitar kawasan ini. Hal ini juga turut mampu memberi impak negatif kepada pelajar dimana jika pelajar melalui kawasan ini pada waktu malam mahupun waktu hujan akan mengundang padah kepada pelajar. Akhirnya, terdapat juga beberapa bangunan lama ditinggalkan berhampiran rumah sewa pelajar. Seperti mana yang diketahui umum, kawasan tinggalan seperti ini menjadi lubuk penagih dadah ataupun manusia melakukan perkara tidak bermoral di samping memberi kesan mistik tempat seram kepada pelajar dimana pelajar akan terasa terancam apabila mereka melalui kawasan ini ataupun tinggal berhampiran kawasan ini.
Kesimpulannya, kelebihan dan
kelemahan pelajar UKLK yang tinggal di Kota Malim Prima, Perak dilihat seimbang
dari aspek keselamatan mahupun kepuasan diri para pelajar. Diharapkan juga,
pihak bertanggungjawab mampu untuk mengatasi masalah kekurangan yang dihadapi
oleh pelajar di hari akan datang. Kajian daripada segi soal selidik dan
pemantauan ini dilakukan bagi memberi pendedahan kepada umum berkaitan
kelebihan dan kelemahan yang ada di sini. Pihak universiti mahupun pihak UKLK
sendiri perlulah menjadi orang yang pertama dalam melihat dan memantau keadaan
pelajar disini di samping pelajar juga perlulah bersikap terbuka dan peramah
terhadap penduduk setempat yang tinggal bersama sebagai jiran mereka. Diharapkan
kehidupan bermasyarakat dapat dipupuk dalam diri setiap pelajar agar pelajar
dapat pendedahan awal mengenai kehidupan sebenar selepas bergraduasi nanti.
RUJUKAN
1.
BORANG SOAL SELIDIK
2.
PEMANTAUN SENDIRI
3.
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
No comments:
Post a Comment