Sunday, December 26, 2021

LAMBAKAN SAMPAH DI TEMPAT PEMBUANGAN SAMPAH HARAM DI KAMPUNG BUKIT GEDOMBAK, PASIR PUTEH, KELANTAN

 

1.0 Pengenalan

Secara umumnya, sampah sarap ialah sejenis bahan yang dibuang apabila tidak lagi diperlukan. Sampah sarap dianggap sebagai bahan yang tidak berguna dan tidak mendatangkan sebarang faedah dan boleh mendatangkan mudarat jika disimpan. Dengan itu, selalunya sisa-sisa tersebut dibuang dan dilonggokkan di tempat-tempat pembuangan sampah sama ada menggunakan teknik pembuangan pelupusan atau lain-lain (Muhamad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri, 2015). Sampah terdiri daripada dua jenis, iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik. Sampah domestik ialah bahan yang dibuang dari rumah dan dapur, manakala sampah bukan domestik ialah bahan yang dibuang dari pasar, kedai, kilang dan sebagainya. Contoh sampah domestik ialah tin minuman, botol, plastik, kertas, kaca dan sisa-sisa makanan. Manakala sampah bukan domestik pula terdiri daripada sisa jualan, sisa pembuangan kilang dan lain-lain.

Seperti yang kita ketahui, isu pembuangan sampah sarap di negara Malaysia bukanlah satu isu baharu yang perlu di ulaskan. Hal ini kerana rakyat di negara ini sememangnya terkenal dengan tabiat yang suka membuang sampah sarap di tempat pembuangan sampah haram. Lebih kurang 37, 890 tan sisa dihasilkan setiap hari di Malaysia iaitu setiap individu menghasilkan sekurang-kurangnya 1.17 kilogram sisa (Ethel Sebastian Daraup et al., 2020). Sikap mereka yang suka membuang sampah di merata tempat ini telah membawa kepada lambakan sampah pada sesuatu kawasan. Sememangya Malaysia jauh berbeza dengan Jepun, di mana rakyat Jepun amat terkenal dengan sikap yang mementingkan kebersihan. Mereka akan memastikan sampah sarap dibuang di tempat yang telah disediakan. Oleh sebab itu, negara Jepun dikenali sebagai negara yang terbersih di dunia.

            Sejak kebelakangan ini, kawasan kediaman Kampung Bukit Gedombak dilihat semakin tercemar dengan sisa-sisa pembuangan sampah sarap yang terlalu banyak oleh penduduk kawasan sekitar. Mereka membuang sampah sarap sesuka hati mereka di merata-rata tempat sehingga berlakunya lambakan sampah yang tidak terkawal di kawasan kampung tersebut. Malah, keadaan ini juga telah mengundang rasa tidak senang dalam kalangan penduduk kampung yang lain. Antara tempat yang sering menjadi tumpuan penduduk kampung untuk membuang sampah ialah di tempat pembuangan haram sampah sarap seperti di sekitar bahu-bahu jalan dan juga semak samun. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Kampung Bukit Gedombak ini tercemar dengan lambakan sampah sarap di merata tempat dan perkara ini juga telah mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada penduduk setempat. Oleh itu, pelbagai langkah perlu diambil bagi mengatasi masalah ini. 


Peta 1: Kedudukan Kampung Bukit Gedombak, Pasir Puteh, Kelantan

 

2.0 Faktor-Faktor yang Menyebabkan Berlakunya Lambakan Sampah di Tempat Pembuangan Sampah Haram di Kampung Bukit Gedombak

Faktor pertama yang menyebabkan berlakunya lambakan sampah sarap di tempat pembuangan sampah haram di Kampung Bukit Gedombak ialah sikap masyarakat. Sesetengah penduduk Kampung Bukit Gedombak terkenal dengan sikap yang tidak mementingkan kebersihan. Mereka gemar membuang sampah sarap di merata-rata tempat tanpa memikirkan sebarang akibat daripada perbuatan mereka itu. Kebiasaan mereka terhadap sikap sebegitu telah menyebabkan mereka tidak mempunyai sebarang rasa bersalah untuk membuang sampah di merata tempat, terutamanya di kawasan semak samun dan bahu jalan. Sememangnya tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar masih pada tahap begitu rendah dan hampir mengecewakan (Berita Harian, 2015). Malah, mereka juga mempunyai sikap pentingkan diri sendiri. Sikap ini dapat dilihat apabila mereka lebih sanggup membuang sampah sarap di tempat pembuangan sampah haram berbanding membuang sampah di kawasan yang telah disediakan khas oleh PBT. Hanya disebabkan rasa malas, mereka rela merosakkan alam sekitar dan sanggup melihat penduduk sekitar menanggung rasa ketidakselesaan secara berterusan disebabkan sampah sarap yang dibuang merata tempat oleh mereka. Jika masalah ini terus berlanjutan, pastinya akan memberikan kesan negatif terhadap alam sekitar terutamanya akan berlaku longgokan sampah akibat daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab dalam menguruskan sisa pepejal mereka dengan baik (Musfirah Abd Jalil, 2017). Oleh itu, jelaslah bahawa sikap masyarakat itu sendiri telah menyebabkan berlakunya lambakan sampah sarap di tempat pembuangan sampah haram di Kampung Bukit Gedombak.

        Faktor yang kedua ialah penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah ini menjadikan penduduk di kawasan Kampung Bukit Gedombak ini sering membuang sampah sarap di merata tempat secara berleluasa. Hal ini dikatakan demikian kerana tiada sebarang pemantauan yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam kawasan kampung tersebut. Bukan itu sahaja, hukuman dan denda juga turut tidak dikenakan kepada mana-mana penduduk kampung yang sering membuang sampah di merata tempat. Keadaan ini telah menyebabkan penduduk kampung semakin berani untuk membuang sampah secara terbuka di tempat pembuangan sampah haram, terutamanya di kawasan semak samun dan juga di bahu jalan. Sememangnya perbuatan mereka ini telah membawa kepada lambakan sampah secara tidak terkawal di sesuatu kawasan.

            Faktor yang seterusnya ialah tempat pembuangan sampah yang disediakan oleh PBT jauh daripada kawasan kampung. Tindakan PBT yang menyediakan tempat pembuangan sampah yang jauh dari kediaman penduduk Kampung Bukit Gedombak ini telah menyebabkan penduduk mengambil keputusan untuk membuang sampah sarap di hadapan rumah mereka sahaja secara bertaburan. Malah, ada juga segelintir daripada mereka mengambil jalan mudah dengan membuang sampah di kawasan semak samun dan bahu jalan yang berdekatan dengan kediaman mereka. Mereka menganggap membuang sampah di tempat yang disediakan oleh PBT hanya membuang masa dan membazir minyak kenderaan mereka sahaja untuk berulang-alik ke tempat pembuangan sampah. Malah, mereka juga tidak mahu mengotorkan kenderaan mereka hanya semata-mata untuk mengangkut sisa-sisa sampah dari rumah mereka ke tempat pembuangan sampah yang telah disediakan oleh PBT. Oleh itu, jelaslah bahawa tempat pembuangan sampah yang jauh disediakan oleh PBT juga menjadi punca berlakunya lambakan sampah di Kampung Bukit Gedombak.

            Faktor yang keempat ialah PBT tidak menyediakan tong sampah dalam kawasan kampung. Tindakan PBT yang tidak menyediakan tong sampah dalam kawasan Kampung Bukit Gedombak ini telah menyebabkan penduduk kampung memilih untuk membuang sampah di tempat pembuangan sampah haram. Ekoran itu, pembuangan sampah di merata tempat yang berlaku hampir setiap hari oleh penduduk kampung ini telah menyebabkan berlakunya lambakan sampah yang berleluasa di sesuatu kawasan. Kebanyakan mereka memilih untuk membuang sampah di kawasan semak samun dan di bahu jalan berdekatan dengan rumah mereka. Keadaan ini berlaku kerana tiadanya tong sampah khas yang disediakan oleh PBT bagi memudahkan mereka untuk mengurus sampah dengan sistematik. Sememangnya ketiadaan tong sampah inilah menyebabkan penduduk kampung tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk membuang sisa sampah mereka.


3.0 Kesan-Kesan Lambakan Sampah di Tempat Pembuangan Sampah Haram di Kampung Bukit Gedombak.


Kesan pertama ekoran daripada lambakan sampah sarap ialah berlakunya pencemaran udara. Pencemaran udara ini berlaku di sekitar kawasan kampung bukit gedombak kerana penduduk kampung telah mengambil inisiatif untuk melupuskan lambakan sampah sarap yang bertimbun di kawasan kampung tersebut. Inisiatif yang dipilih oleh mereka adalah dengan membakar sampah sarap secara terbuka hampir setiap hari pada waktu petang. Pembakaran sampah sarap ini sudah pasti akan menyebabkan udara menjadi tercemar dengan asap yang dibebaskan dari tempat pembakaran sampah. Bukan itu sahaja, gas karbon dioksida dan karbon monoksida juga turut dibebaskan daripada hasil pembakaran sampah sarap secara terbuka. Pembakaran terbuka merupakan penyumbang utama terhadap kemerosotan kualiti udara yang boleh memudaratkan kesihatan awam dan menjejaskan ekonomi (Astro Awani, 2021). Oleh itu, jelaslah bahawa kesan lambakan sampah sarap yang berlaku di kawasan Kampung Bukit Gedombak ini telah menyebabkan berlakunya pencemaran udara.

Rajah 1: Aktiviti pembakaran terbuka oleh penduduk Kampung Bukit Gedombak

Kesan yang kedua ialah berlakunya pencemaran bau. Pencemaran bau merupakan satu kacau-ganggu yang menyebabkan seseorang individu berada dalam keadaan yang tidak selesa, memudaratkan dan kejatuhan nilai harta tanah (Zaini Sakawi, 2018). Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan di Kampung Bukit Gedombak, pencemaran bau ini berlaku disebabkan adanya lambakan sampah yang tidak terurus di kampung tersebut. Biasanya, bau yang busuk ini berpunca daripada sisa-sisa makanan yang dibuang di merata tempat oleh penduduk kampung. Sememangnya kegiatan tersebut telah menyebabkan laluan dan jalan ke kawasan kediaman ini dicemari dengan bau yang sangat busuk dan tidak menyenangkan sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk sekitar. Walaupun mereka hidup dalam suasana bau yang busuk, ada sesetengah daripada penduduk kampung tersebut tetap melakukan perkara dan kesalahan yang sama iaitu dengan membuang sampah sarap secara berleluasa di kawasan semak samun dan bahu jalan.


Rajah 2: Antara tempat pembuangan sampah haram di Kampung Bukit Gedombak yang mengundang bau yang busuk


            Selain itu, kesan daripada lambakan sampah sarap di Kampung Bukit Gedombak juga ialah dapat menjejaskan kesihatan. Punca kesihatan penduduk kampung terjejas adalah ekoran daripada lambakan sampah di tempat pembuangan sampah haram yang terdapat di kawasan kediaman mereka. Sememangnya longgokan sampah sarap yang terdiri daripada sisa-sisa makanan dapat mengundang kehadiran haiwan-haiwan perosak seperti lalat, tikus dan ulat. Kemudian, haiwan-haiwan tersebut akan menjadi sebagai agen penyebaran penyakit kepada penduduk sekitar. Malah, tin minuman, tayar dan sampah sarap yang dapat menakung air juga menjadi punca kehadiran nyamuk untuk membiak di kawasan tersebut. Bekas makanan jenis polisteren adalah antara bekas yang paling kerap pembiakan nyamuk Aedes dijumpai (Mazrura Sahani et al., 2012). Memang tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran haiwan-haiwan perosak ini menjadi punca berlakunya penularan pelbagai wabak penyakit dalam kalangan penduduk kampung seperti demam denggi, malaria, keracunan makanan, taun dan lain-lain penyakit lagi.

Rajah 3: Antara tempat pembuangan sampah haram di Kampung Bukit Gedombak yang mengundang kehadiran haiwan-haiwan perosak


            Kesan yang terakhir ialah dapat menjejaskan imej penduduk kampung. Sememangnya lambakan sampah sarap yang tidak terkawal di sekitar kawasan Kampung Bukit Gedombak telah menjejaskan imej penduduk tersebut. Pembuangan sisa pepejal yang tidak sistematik boleh menyebabkan nilai estetika kawasan persekitaran terganggu atau buruk pada pandangan mata (Aslina Ismail & Haliza Abdul Rahman, 2015). Sekiranya, terdapat pihak luar ataupun penduduk dari kampung lain memasuki Kampung Bukit Gedombak, sudah pasti mereka memandang penduduk kampung tersebut sebagai manusia yang pengotor dan tidak mementingkan kebersihan. Hal ini dikatakan demikian kerana longgokan sampah sarap yang bertimbun cukup membuktikan bahawa mereka ini sebenarnya tidak mementingkan amalan kebersihan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya keadaan ini telah mengundang pelbagai persepsi negatif ke atas penduduk di kawasan kampung tersebut.

Rajah 4: Pemandangan di kawasan Kampung Bukit Gedombak


4.0 Langkah-Langkah Mengatasi Masalah Lambakan Sampah Sarap di Tempat Pembuangan Sampah Haram di Kampung Bukit Gedombak

Terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah lambakan sampah sarap di tempat pembuangan sampah haram di Kampung Bukit Gedombak. Antaranya ialah dengan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang. Penguatkuasaan undang-undang ini boleh dilaksanakan melalui PBT, dimana PBT boleh mengenakan tindakan undang-undang seperti denda dan juga penjara kepada mana-mana penduduk kampung yang masih lagi berdegil untuk membuang sampah sarap di merata tempat. Hukuman seperti ini sudah pasti akan memberikan pengajaran kepada kesemua penduduk Kampung Bukit Gedombak supaya tidak membuang sampah sarap sewenang-wenangnya mengikut kehendak mereka. Malah, pihak PBT juga boleh melakukan pemantauan secara berkala, iaitu sekurang-kurangnya 3 kali seminggu di kawasan Kampung Bukit Gedombak bagi mengawasi aktivti-aktiviti pembuangan sampah secara haram oleh penduduk kampung tersebut. Dengan penglibatan daripada Pihak Berkuasa Tempatan ini, maka aspek alam sekitar di negara ini akan lebih teratur dan terjaga kerana pemantauan yang ketat dapat dilakukan oleh mereka (Musfirah Abd Jalil, 2017). Oleh itu jelaslah bahawa tindakan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang dilihat dapat mengatasi masalah lambakan sampah sarap di tempat pembuangan sampah haram di Kampung Bukit Gedombak.

            Seterusnya ialah menerusi pendidikan alam sekitar. Sememangnya pendidikan alam sekitar merupakan salah satu platform yang berkesan untuk memberikan kesedaran kepada penduduk kampung berkaitan dengan keburukkan aktiviti pembuangan sampah sarap secara haram. Pendidikan ini boleh diselitkan dalam mana-mana mata pelajaran yang bersesuaian seperti mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan serta Pendidikan Moral. Pendidikan alam sekitar ini boleh memberikan kesedaran kepada penduduk kampung menerusi peranan yang dimainkan oleh guru dan juga anak-anak mereka. Contohnya, sewaktu di sekolah, guru yang mengajar mata pelajaran Sivik dan Geografi akan memberikan penerangan kepada pelajar tentang keburukkan membuang sampah sarap secara haram. Kemudian, pelajar inilah yang akan menerangkan kembali perkara tersebut kepada ibu bapa mereka di rumah. Apabila mendengar penjelasan daripada anak-anak, sudah pasti ibu bapa akan berasa malu untuk meneruskan sikap membuang sampah sarap di tempat pembuangan sampah haram. Oleh itu, jelaslah bahawa menerusi pendidikan alam sekitar ini juga dilihat dapat mengatasi masalah lambakan sampah sarap di tempat pembuangan sampah haram di Kampung Bukit Gedombak.

            Selain itu, kempen cintai alam sekitar juga boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini. Pihak kerajaan boleh mengadakan kempen cintai alam sekitar secara besar-besaran melalui media cetak, media elektronik, bengkel pemahaman dan penghayatan alam sekitar, ceramah serta seminar. Dengan adanya kempen ini, ia dapat memberikan kesedaran secara menyeluruh kepada penduduk Kampung Bukit Gedombak tentang betapa pentingnya pengurusan sampah yang sistematik dalam kehidupan harian. Melalui kempen ini juga, mereka akan didedahkan tentang denda dan hukuman yang akan dikenakan ke atas mereka apabila mereka mengamalkan sikap suka membuang sampah di merata tempat. Selain itu, menerusi kempen ini juga mereka turut didedahkan dengan kesan buruk pembuangan sampah sarap di tempat pembuangan sampah haram terhadap alam sekitar dan juga kesihatan manusia. Dalam usaha memulihara alam sekitar, masyarakat seharusnya bergerak bersama dan seiring dengan pihak kerajaan dengan menyertai setiap program pemuliharaan alam sekitar yang dianjurkan sama ada memberi sokongan, bantuan dan yang paling penting turut menjaga kehormanian alam sekitar dengan tidak melakukan pencemaran (Haliza Abdul Rahman, 2009). Oleh itu, jelaslah bahawa kempen cintai alam sekitar juga merupakan salah satu langkah yang berkesan untuk mengatasi masalah lambakan sampah sarap di Kampung Bukit Gedombak.

            Akhir sekali, PBT juga perlu menyediakan tong sampah di setiap kawasan kediaman. Masalah penyediaan infrastruktur seperti tong sampah dalam pengurusan sisa pepejal merupakan perkara yang amat penting untuk diberi perhatian. Hal ini demikian kerana, apabila infrastruktur tong sampah dalam pengurusan sisa pepejal dapat disediakan dengan baik oleh pihak-pihak tertentu seperti Pihak Berkuasa Tempatan atau kontraktor pembersihan sampah yang dilantik, maka ini mampu menggalakkan lagi masyarakat untuk mengurus sisa pepejal yang dijana dengan lebih teratur (Musfirah Abd Jalil, 2017). Oleh itu, apabila PBT menyediakan tong sampah di setiap kawasan kediaman di Kampung Bukit Gedombak, sudah pasti masalah lambakan sampah sarap ini dapat diatasi dengan jayanya. Hal ini dikatakan demikian kerana penduduk kampung tidak perlu lagi bersusah payah untuk membuang sampah di tempat pembuangan sampah haram kerana mereka sudah diberikan kemudahan untuk membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan sahaja. Sememangnya penyediaan tong sampah di setiap kawasan kediaman penduduk Kampung Bukit Gedombak ini dapat membantu meringankan beban penduduk kampung, dimana mereka tidak perlu lagi berulang-alik ke kawasan pembuangan sampah yang jauh dari rumah mereka. Malah, aktiviti pembuangan sampah secara haram juga dapat diatasi dan dikurangkan dan sekaligus dapat mengurangkan lambakan sampah di sesuatu tempat, seperti di semak samun dan juga di kawasan bahu jalan.


5.0 Kesimpulan

Secara kesimpulannya, lambakan sampah di tempat pembuangan sampah haram di Kampung Bukit Gedombak telah mendatangkan pelbagai kesan buruk terhadap alam sekitar dan juga penduduk sekitar. Terdapat pelbagai faktor yang telah menyumbang kepada berlakunya lambakan sampah di kampung tersebut. Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini, semua pihak haruslah berganding bahu dalam menangani masalah ini agar Kampung Bukit Gedombak kembali pulih dan bersih.


Rujukan

Aslina Ismail & Haliza Abdul Rahman. (2015). Pengetahuan dan Amalan Pengurusan Sisa Pepejal Dalam Kalangan Masyarakat di Taman Mesra dan Taman Bakti Kota Bharu, Kelantan. Jurnal Geografi, 3(2), 14-27. Diperoleh daripada https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/GEOG/article/view/1853.

Bernama. (Astro Awani, 2021). Jangan Lakukan Pembakaran Terbuka - NREB Sarawak. Diperoleh daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/jangan-lakukan-pembakaran-terbuka-nreb-sarawak-312507.

Ethel Sebastian Daraup, Mohammad Tahir Mapa, Abdul Hair Beddu Asis, George & Molia Sebi Anak Dinggal. (2020). Pengurusan Sisa Pejal Bandar: Penelitian ke Atas Kerjasama Swasta dan Awam di Kuching, Sarawak. Jurnal Kinabalu, 26(2), 63-80. Diperoleh daripada https://jurcon.ums.edu.my/ojums/index.php/ejk/article/view/2761.

Haliza Abdul Rahman. (2009). Penglibatan Masyarakat Awam di Malaysia dalam Isu Berkaitan Persekitaran. Jurnal Sarjana, 24(2), 49-65. Diperoleh daripada https://ejournal.um.edu.my/index.php/SARJANA/article/view/10366/7374.

Mazrura Sahani, Hidayatulfathi Othman, Nadia Atiqah Mohd. Nor, Rozita Hod, Zainudin Mohd. Ali, Mohamad Naim Mohamad Rasidi & Choy. (2012). Kajian Ekologi Nyamuk Aedes di Senawang Negeri Sembilan, Malaysia. Jurnal Sains Malaysiana, 41(2), 261–269. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/3300/1/16%2520Mazrura.pdf.

Muhamad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri. (2015). Masalah Longgokan Sampah yang Berlaku di Kawasan Perumahan Berteres Kajian Kes: Taman Universiti, Skudai, Johor. Ijazah Sarjana Sains. Universiti Teknologi Malaysia. Diperoleh daripada https://core.ac.uk/download/pdf/42921122.pdf.

Musfirah Abdul Jalil. (2017). Persepsi Penduduk Terhadap Kutipan Sisa Pepejal di Kawasan Luar Bandar. Ijazah Sarjana Sains. Universiti Teknologi Malaysia. Diperoleh daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/78887/1/MusfirahAbdJalilMFGHT2017.pdf.

Roslan Muhammad & Mohd Suki Hassan. (2016). Teks efektif STPM geografi penggal 1. Petaling Jaya: Ilmu Bakti Sdn.Bhd.

Shaharudin Idrus. (Berita Harian, 2015). Kesedaran Alam Sekitar Rakyat Kita Masih Rendah. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/kolumnis/2015/06/59273/kesedaran-alam-sekitar-rakyat-kita-masih-rendah.

Zaini Sakawi. (2018). Pencemaran Bau di Malaysia: Keperluan bagi Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Peraturan-Peraturan Pencemaran Kualiti Udara). Malaysian Journal of Society and Space 14(4), 158-173. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/13260/1/28568-89102-1-PB.pdf.


Nama Penulis: Nik Muhammad Hanis Bin Zaid

No. Matriks: Dxxxxx087909

Kumpulan: B

No comments:

Post a Comment