Sunday, December 26, 2021

BUDAYA MASYARAKAT KAMPAR DI KAMPUNG BATU KAPOR, MENTAKAB, PAHANG

Pengenalan kepada Masyarakat Kampar di Kampung Batu Kapor

 

Masyarakat kampar atau lebih dikenali sebagai ughang Ocu ini adalah suku yang terdapat di Kabupaten Kampar, Riau, Indonesia. Orang kampar terkenal sebagai sebagai suku pedagang dan perantau. Mereka boleh dijumpai di sebahagian besar daerah Riau seperti Siak, Bengkalis, Pelalawan dan Selat Panjang. Walau bagaimanapun, terdapat banyak daripada masyarakat ini yang bermukim di Malaysia seperti di Pahang, Selangor dan Perak. Masyarakat ini membina penempatan di beberapa kawasan di Pahang yang bermula dari Pekan- Chenor- Temerloh- Jerantut dan tersebar juga di Kuantan- Mentakab- Kerdau- Kuala Krau dan Kuala Lipis. Di Pahang, khususnya di bandar Mentakab, fenomena masyarakat kampar ini bukanlah sesuatu yang baharu. Justeru, masyarakat ini telah menjadi sebahagian dari warga sekitar dan meletakkan masyarakat ini dalam sejarah negeri ini sendiri. Melihat kepada penampilan luaran mereka, tiada yang berbeza dari rupa paras anak jati kelahiran Pahang. Namun, melalui bahasa pertuturan mereka, kita dapat mengetahui bahawa mereka adalah masyarakat kampar yang bermastautin di Mentakab. 

Rajah 1.0: Peta Kampung Batu Kapor, Mentakab


Di Mentakab, majoriti masyarakat kampar ini menetap di beberapa kawasan seperti Kampung Batu Kapor dan Kampung Tanjung Kerayong. Generasi pertama dari masyarakat kampar yang berhijrah di sini memiliki banyak tanah-tanah strategik seperti di bandar dan di tepi jalan utama. Hal ini disebabkan mereka mengamalkan sifat berjimat-cermat sehingga dapat memiliki aset berharga di Pahang ini. Masyarakat ini juga memiliki pecahan suku tetapi tidak sebanyak suku Melayu dan setiap suku ini mempunyai seorang ketua. Antara suku masyarakat Kampar termasuklah:

      i.        Suku Domo Bagindo Bosau

     ii.        Suku Tok Said

    iii.        Suku Piliang

   iv.        Suku Melayu

    v.        Suku Pitopang

   vi.        Suku Bendang

  vii.        Suku Kampai




Rajah 2.0: Masyarakat kampar di Kampung Batu Kapor, Mentakab


ADAT DAN BUDAYA MASYARAKAT KAMPAR DI KAMPUNG BATU KAPOR

Hukum Adat: Matrilineal

Masyarakat Kampar di Kampung Batu Kapor menggunakan sistem matrilineal iaitu berkait rapat dengan sistem pewarisan yang digunakan oleh mereka. Terdapat dua kategori harta warisan bagi masyarakat ini iaitu harta pusaka tinggi dan harta pusaka rendah. "Harato kembalikan ka agamo, pusako kembalikan ka adat" ayat ini melambangkan bahawa pembahagian harta warisan ini mengikut sistem pewarisan Islam. Mengikut masyarakat Kampar, pewarisan harta pusaka tinggi adalah mengikut sistem matrilineal iaitu mengikut pola pewarisan melalui garis keturunan ibu. Hal ini menunjukkan pihak perempuan bertindak sebagai pewaris harta pusaka.

 

Bolek Godang

Bolek Godang adalah satu acara yang diadakan oleh masyarakat Kampar di Kampung Batu Kapor. Bolek godang adalah perkataan yang berasal dari bahasa Kampar yang jika diartikan dalam bahasa Melayu membawa maksud kenduri secara besar-besaran. Acara ini diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat Kampar di sini. Namun, sejak penularan wabak covid-19, acara Bolek Godang tidak lagi diadakan demi menjaga prosedur operasi standard bagi membendung meningkatan angka kes covid-19. Majlis bolek godang ini dilaksanakan dengan meriah dan melibatkan semua peringkat usia. Seekor lembu dan beberapa kambing disembelih bagi menyediakan beberapa menu makanan untuk mereka yang hadir. Majlis ini kelihatan seperti majlis kenduri perkahwinan biasa, tetapi lebih meriah kerana melibatkan semua penduduk Kampung Batu Kapor. Majlis ini juga memberi ruang kepada atlit-atlit kampung untuk menunjukkan keahlian masing-masing kerana terdapat banyak acara sukan yang berlangsung sepanjang majlis ini diadakan seperti sepak takraw, bola sepak dan bola jaring. Kanak-kanak juga turut memeriahkan bolek godang ini dengan menyertai acara sukaneka seperti mencari gula-gula dalam tepung, membawa bola dengan sudu dan lari dalam guni. Aktiviti utama majlis ini ialah pertandingan memanjat pinang. 

Rajah 3.0: Antara aktiviti semasa Bolek Godang berlangsung


Makanan

Masyarakat kampar disini terkenal dengan masakan seperti sate padang dan bakso. Menu ini menjadi makanan harian bagi masyarakat di sini dan dijadikan menu jualan di warung kecil warga setempat. Jadi tiada masalah jika masyarakat setempat ingin mendapatkan makanan ini pada setiap hari sama ada siang atau malam kerana terdapat banyak warung yang menyajikan hidangan ini. Pada umumnya, sate biasa kita makan adalah berkuahkan kacang, namun, sate padang ini berlainan sedikit kerana kuahnya berwarna kekuningan dan agak pedas. Kuah ini dihasilkan daripada air rebusan daging dan dicampur dengan sedikit tepung beras untuk memekatkan lagi kuah tersebut. Selain itu, kuah ini juga ditambah dengan bawang goreng dan rempah ratus yang ditumis. Bakso juga sangat terkenal di Kampung Batu Kapor ini dan menjadi makanan harian oleh warga setempat. Bakso ini dilengkapi dengan bebola daging yang dibuat sendiri, bihun serta sambal istimewa yang menjadi tarikan orang luar untuk berkunjung di Kampung Batu Kapor. Terdapat juga beberapa makanan lain yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Kampar disini. Antaranya ialah soto, pangek cubadak, ikan ompok dan kapiek tak batulang.


Rajah  4.0: Variasi menu masakan masyarakat kampar di Kampung Batu Kapor


Dialek

Dialek kampar juga dikenali sebagai bahasa ocu. Masyarakat kampar di Kampung Batu Kapor majoritinya bertutur dalam dialek kampar. Bahasa ini dikatakan agak mirip dengan loghat minang.

Panduan Sebutan dan Ucapan

1.    Awalan 'en' pada suku pertama dalam bahasa Melayu diucapkan dengan bunyi 'on' dalam dialek kampar Contoh seperti berikut:

·         Endap – ondap

·         Entah – ontah

·         Enggan – onggan

2.    Huruf 'e' pada suku kata pertama dalam bahasa Melayu diucapkan dengan bunyi 'o' dalam dialek kampar. contoh seperti berikut:

·         Bekas – boke

·         Lemas – lome

·         Cepas – come

·         Nenas – none

3.    Perkataan yang berakhir dengan 'is' dalam bahasa Melayu diucapkan dengan bunyi 'i' dalam dialek kampar. contoh seperti berikut:

·         Betis- boti

·         Kudis – kudi

·         Lapis – lapi

·         Manis – mani

4.    Perkataan yang berakhir dengan dengan 'ik' dalam bahasa Melayu diucapkan dengan bunyi 'iok' dalam dialek Kampar. Contoh seperti berikut:

·         Adik – adiok

·         Bisik – bisiok

·         Itik – itiok

·         Usik – usiok

5.    Perkataan yang berakhir dengan 'ing' dalam bahasa Melayu, diucapkan dengan bunyi 'iong' dalam dialek Kampar. Contoh seperti berikut:

·         Anjing – anjiong

·         Bising – bisiong

·         Gunting – guntiong

·         Kucing – kuciong

Dialek Kampar dan Contoh Ayat

1.    Abok – pukul

Contoh ayat: Paje du diabok deh ayah inyo sobab mancilok.

(Budak itu dipukul oleh ayahnya kerana mencuri.)

2.    Baetu – begitu

Contoh ayat: Baetu riwayat iduiknyo sampai inyo bahasil.

(Begitulah riwayat hidupnya sehingga dia berjaya.)

3.    Cocondo – susah

Contoh ayat: Kaki agak sakit, cocondo nio baselo.

(Kaki sakit, susah untuk bersila.)

4.    Godang – besar

Contoh ayat: Mewah iduiknyo ughang siko, godang-godang umanyo.

(Mewah hidup orang disini, besar-besar rumah mereka.)

5.    Iciu – hiris

Contoh ayat: Baayiu mato den maiciu bawang.

(Berair mata aku menghiris bawang ni.)

 

Rujukan

Nelmawarni Bungo & Nordin Hussin. (2011). Merantau ke Kuala Lumpur: Tradisi merantau dan berdagang masyarakat Minang. Geografia: Malaysian Journal of Society and Space, 7(5), 116-131. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/3207/1/10.geografia-2011-4-sp-nel%26nurdin-uin_padang%26ukm-1-am.doc.pdf


Tajuk: Budaya masyarakat kampar di kampung batu kapor, mentakab, Pahang


Nama:Basirah Binti Nor Azmi


No matrik : D20181083067


Kumpulan: B

No comments:

Post a Comment