Monday, December 27, 2021

Masalah buruh warga asing di Pusat Bandar Sandakan, Sabah

 Pengenalan

Isu atau masalah warga buruh asing telah menarik minat perbincangan pelbagai pihak daripada pelbagai sudut pandang di Sabah kerana daripada insiden pencerobohan warga asing pada tahun 2013 di Lahad Datu, Sabah. Walaubagaimanapun, masalah warga buruh asing ini bukan hanya terbatas kepada aspek keselamatan konvensional dan pertahanan sahaja tetapi melibatkan elemen – elemen sejagat iaitu memberi impak kepada sesuatu kawasan sekitar dan masyarakat. Menurut Ruhanas Harun (2009), menyatakan bahawa selepas era perang dingin isu-isu sosial, ekonomi dan politik telah menggantikan dominasi isu ketenteraan sebagai elemen keselamatan global. Hal ini menerangkan bahawa perjalanan manusia menerusi sempadan yang melibatkan urusan ekonomi dan politik akan memberi kesan terhadap keselamatan sesuatu kawasan.

            Di Malaysia, turut mengalami hal – hal yang berbangkit seperti hal ehwal ekonomi, politik, kehadiran pendatang tanpa izin, jenayah rentas sempadan dan keselamatan pelaburan. Hal ini kerana, masalah pergolakan di kawasan negara jiran seperti di Selatan Filipina memberi impak kepada kestabilan ekonomi dan politik yang bersempadan dengan negara Malaysia. Hal ini juga menimbulkan banyak persoalan mengenai perkembangan sosio-ekonomi masyarakat di kawasan persempadanan dan juga masalah keselamatan di Pantai Timur Sabah yang terjejas akibat pencerobohan pengganas dari Selatan Filipina pada tahun 2013.

            Pusat Bandar Sandakan, Sabah juga terletak di Pantai Timur Sabah yang menjadi tumpuan warga buruh asing datang untuk mendapatkan pendapatan. Hal ini kerana, menurut kajian Wan Sawaluddin Wan Hassan & Ramli Dollah, (2008) menyatakan bahawa penduduk tempatan sendiri  tidak berminat melibatkan diri dengan kerja-kerja yang berkaitan 3 ‘D’iaitu dirty (kotor), dangerous (bahaya) dan difficult (sukar), menyebabkan kerja-kerja ini terpaksa dilakukan oleh pendatang Filipina dan Indonesia. Dalam kajian ini, mendapat seramai 500, 000 hingga 700, 000 pendatang tanpa izin yang tinggal di Sabah berbanding jumlah penduduk Sabah iaitu 2.45 juta.

            Banyak perkara yang boleh mendatangkan masalah oleh warga dan buruh asing ini terutamanya perkara yang memberi kesan buruk terhadap penduduk tetap di Sabah. Akibat Pusat Bandar Sandakan, Sabah terletak di Pantar Timur Sabah yang menghadap Laut Sulu menyebabkan banyak warga asing dari Filipina yang datang menetap kerana masalah pergolakan negara. Persoalannya apakah masalah warga dan buruh asing di Pusat Bandar Sandakan, Sabah terutamanya yang melibatkan penduduk tetap Sabah sama ada dari keselamatan atau sosio-ekonomi?

Masalah – masalah warga dan buruh asing di Pusat Bandar, Sandakan.

Rajah 1: Lokasi Kajian Pusat Bandar Sandakan, Sabah.

Pelbagai masalah yang timbul di Pusat Bandar Sandakan, Sabah antaranya ialah masalah penyeludupan barang berbahaya seperti barangan dadah iaitu syabu. Menurut kajian Wan Sawaluddin Wan Hassan & Ramli Dollah, (2008) menyatakan dadah ini telah disebarkan ke seluruh bandar-bandar di seluruh Sabah terutamanya di Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Kota Kinabalu. Hal ini menerangkan bahawa penyeludupan barang – barang berbahaya ini memberi impak keselamatan penduduk tempatan terutamanya melibatkan anak – anak tempat yang terlibat dengan jenayah najis dadah.

            Menurut temu bual bersama penduduk tempatan di Pusat Bandar Sandakan iaitu Rohani menyatakan bahawa adik kandung terlibat dengan jenayah kes dadah hingga menyebabkan dipenjara. Walaubagaimanapun, hasil perbincangan daripada Mahkamah Sandakan telah memindahkan adik kandungnya di penjara Kota Kinabalu pada tahun 2019. Begitu juga dengan soal selidik di mana ibu bapa ramai yang berpindah dari kawasan tempat tinggal Sandakan atas sebab jenayah kes dadah. Hasil temu bual dan soal selidik menerangkan bahawa akibat masalah warga buruh asing yang membawa kes jenayah dadah menyebabkan migrasi penduduk keluar dan masuk semula ke Pusat Bandar Sandakan.

             Pada tahun 2001 telah banyak kes tangkapan berlaku iaitu sebanyak 522 kes dan  457 kes pada tahun 2002 di pantai timur Sabah yang membabitkan kes jenayah dadah. Berdasarkan rajah 2 turut menunjukkan bahawa penagih dadah rakyat Sabah di Malaysia turut meningkat secara mendadak iaitu penagih dadah 898 pada tahun 2015, 1,044 pada tahun 2016 dan 1,047 pada tahun 2017 daripada dapatan kajian Agensi Anti Dadah Kebangsaan. Hal ini menunjukkan kesan yang negatif dari segi keselamatan penduduk hingga ada yang mencari jalan untuk berpindah daripada kawasan Pusat Bandar, Sandakan.

  



Rajah 2: Menunjukkan penagih dadah mengikut negeri di Malaysia pada tahun 2015 – 2017.

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, 2018     

              Bukan itu sahaja, masalah warga buruh asing juga turut memberi impak yang negatif terhadap penduduk Pusat Bandar Sandakan, Sabah dari segi kebersihan. Kebanyakan warga buruh asing yang datang ke Pusat Bandar Sandakan telah mempengaruhi penduduk tempatan untuk membuang sampah merata – rata tempat berdasarkan rajah 3 dan 4 di bawah. Jika kita lihat banyak sampah yang dibuang di longkang – longkang, tempat menunggu bas dan pembuangan sampah ke dalam tong sampah yang tidak betul.

Rajah 3: Menunjukkan pembuangan sampah merata – rata di Pusat Bandar Sandakan, Sabah.

Rajah 4: Pembuangan sampah yang tidak betul di tong sampah Pusat Bandar Sandakan Sabah.

Menurut temu bual yang dijalankan bersama Encik Ezlan mengatakan bahawa warga buruh asing yang datang daripada perkampungan seperti kampung air dan kampung BDC ke Pusat Bandar selalu membuang sampah merata – rata di  kawasan Pusat Bandar Sandakan, Sabah. Penerangan temu bual ini disokong oleh kajian Wan Sawaluddin Wan Hassan & Ramli Dollah, (2008) yang menyatakan bahawa penduduk keturunan Filipina yang mendiami kampung air di mana asalnya sebagai pusat penempatan pelarian mempunyai tabiat penduduk yang suka membuang sampah ke dalam air termasuk najis.

            Hal ini memberikan kesan yang buruk bukan sahaja terhadap penduduk tempatan tetapi mengurangkan kedatangan pelancong ke Pusat Bandar Sandakan, Sabah. Kesan buruk terhadap penduduk tempatan ialah akibat pembuangan sampah dan najis akan menyebabkan penduduk di Pusat Bandar terjangkit dengan penyakit warga asing ini. Malahan akibat pembuangan sampah merata – rata tempat menjadikan Pusat Bandar Sandakan sebagai pusat yang kotor dan tidak menarik perhatian pelancong untuk datang.

            Hasil daripada temu bual Encik Ezlan juga menyatakan bahawa sampah merata-rata tempat hanya menyakitkan mata memandang.  Penerangan ini disokong oleh Rasid Mail, Baszley Bee, Saat Damit, & AB Nasir Roslan. (2015) yang menyatakan bahawa para pelancong yang datang ke kawasan Pantai Timur Sabah hanya menjadikan pusat Bandar seperti Kudat, Sandakan, Tawau, Semporna dan Lahad Datu sebagai persinggahan. Pusat-pusat Bandar ini tidak memberikan mereka sebarang daya tarikan unik yang mampu menjadi tumpuan pelancong, terutamanya para pelancong dari luar negara. Oleh yang demikian, kita dapat mengetahui bahawa kemasukan warga dan buruh asing lagi banyak melakukan hal – hal yang negatif ketika memasuki kawasan Pusat Bandar Sandakan berbanding penduduk tempatan dan pelancong.

            Selain itu, kedatangan warga dan buruh asing mendatangkan masalah terhadap pendapatan penduduk tempatan di Pusat Bandar Sandakan. Akibat masalah pergolakan dari negara pendatang tanpa izin seperti Filipina serta ketiadaan tempat kerja telah menarik ramai buruh asing untuk datang bekerja kerana pertumbuhan ekonomi yang pesat di Sabah. Menurut Ramli Dollah & Kamarulnizam Abdullah (2017), yang menyatakan bahawa sejumlah  besar  tenaga  kerja  asing  terutamanya dari Indonesia dan Filipina, majoritinya bekerja secara tidak sah di negeri ini untuk memenuhi keperluan tenaga kerja ini kerana pembangunan ekonomi yang pesat pada awal kemerdekaan.

            Tenaga kerja yang bekerja secara tidak sah ini pada awal kemerdekaan telah meningkat dari semasa ke semasa pada hari ini di Pusat Bandar Sandakan, Sabah. Hasil daripada temu bual penduduk menyatakan bahawa pekerja asing yang bekerja secara tidak sah ini telah mempunyai keluarga masing – masing dan mengaut keuntungan yang banyak dengan aktiviti menjual yang tidak sah. Warga buruh asing banyak menjual barang – barang makanan seperti sayur – sayuran dan ikan. Perkara ini memberi impak peningkatan saingan jualan buruh asing dengan jualan penduduk tempatan yang sah di Pusat Bandar Sandakan. Menurut hasil temu bual juga menceritakan bahawa terdapat warga asing yang melibatkan diri untuk bersama – sama dengan penduduk setempat dalam aktiviti jual beli ini. Mereka akan lari apabila pihak polis meronda kawasan dan datang semula ke tempat asal jualan apabila pihak polis sudah habis meronda.



Rajah 5: Menunjukkan terdapat warga asing yang menyamar sebagai penduduk Sandakan yang berjual beli secara tidak sah di kawasan Pusat Bandar.

        Hal ini menyebabkan ramai penduduk Sandakan untuk berpindah – randah dalam memilih tempat yang tiada warga asing kerana mereka lebih banyak mengeksploitasi pendapatan penduduk di Pusat Bandar Sandakan, Sabah. Disamping itu, akibat aktiviti jual beli ini boleh menyebabkan penduduk di Pusat Bandar terjangkit dengan bakteria dan menjejaskan kesihatan penduduk Sandakan. Hal ini kerana Wan Shawaluddin Wan Hassan & Ramli Dollah, (2008) juga menyatakan terdapat penduduk warga asing di Kampung air Sandakan yang berdekatan dengan Pusat Bandar turut membuang najis.

Jika najis ini buang ke dalam air yang akhirnya diguna pakai untuk membasuh sayur – sayuran untuk dijual boleh menyebabkan penduduk terkena dengan penyakit berjangkit seperti demam yang panas kerana bakteria E.coli. Bukan itu sahaja, dikatakan menurut Wan Shawaluddin Wan Hassan & Ramli Dollah (2008) bahawa kedatangan warga buruh asing boleh menyebabkan kegiatan pelacuran berlaku. Jadi ianya boleh memberi kesan penyakit berjangkit yang lain seperti HIV melalui darah, air mani dan liur terhadap penduduk tempatan yang terjebak dengan kegiatan pelacuran. Oleh itu, pihak berkuasa harus mengambil langkah yang drastik dari segi keselamatan dalam menyekat aktiviti jual beli yang tidak sah, pembuangan najis dan kegiatan pelacuran yang berlaku di Pusat Bandar Sandakan, Sabah.

Susulan akibat daripada buruh warga asing yang telah datang pada awal Kemerdekaan telah banyak mendominasi sektor perikanan kerana Sandakan yang terletak di Pantai Timur Sabah. Menurut Ramli Dollah & kamarulnizam Abdullah (2017), menyatakan bahawa dalam sektor perikanan mempunyai pekerja utama dalam sektor ini iaitu kumpulan yang terdiri daripada buruh Indonesia dan Filipina. Buruh Indonesia dikatakan majoritinya adalah daripada keturunan Bugis dan Buton, manakala  buruh-buruh  perikanan  Filipina  pula terdiri daripada keturunan Suluk dan Bajau yang berasal dari Kepulauan  Sulu. Semakin ramai buruh warga asing boleh menyebabkan ramai pengangguran di Pusat Bandar Sandakan yang menyebabkan ramai di antara mereka yang mencari pekerjaan di daerah Kota Kinabalu. Disebabkan majikan mampu memberikan gaji yang murah terhadap warga asing akan menyebabkan majikan tidak menerima penduduk tetap sebagai pekerja.

Jika perkara sebegini terus berlaku akan mengundang kesan yang buruk iaitu sikap pengusaha dan majikan menjadi faktor kedatangan tenaga buruh asing dari negara luar seperti Indonesia, Thailand dan Filipina ke dalam Malaysia. Azizan, Morshidi & Mamat, Willvivne. (2017) menyatakan bahawa majikan memilih warga asing kerana kos upah pekerja asing adalah rendah berbanding penduduk tempatan dan kebiasaannya buruh asing tidak memilih pekerjaan. Hal ini menyebabkan kurangnya aliran pengeluaran kos untuk   membayar  upah pekerja,  bahkan  boleh  meningkatkan  hasil  pendapatan  mereka sebagai majikan atau ahli kontraktor. Oleh sebab itulah, kebanyakan penduduk tempatan ramai yang tidak mendapat pekerjaan di Pusat Bandar Sandakan, Sabah. Hal ini kerana jenis pekerjaan yang diceburi oleh mereka adalah berbeza dengan pekerjaan tempatan(Kanfur & Mustafa 1998).

 

Rajah 6: Pasar ikan Pusat Bandar Sandakan, Sabah.

        Hasil daripada temu bual juga menceritakan bahawa warga buruh asing turut mengundang masalah daripada segi keselamatan iaitu melibatkan pembunuhan. Menurut Wan Shawaluddin Wan Hassan & Ramli Dollah. (2008), menyatakan bahawa ramai pendatang Filipina di Sabah terbabit dengan aktiviti jenayah seperti merompak, merogol dan membunuh berbanding dengan pendatang Indonesia. Contohnya, dari laporan berita Harian yang melaporkan kes dua penculikan  iaitu Wanita warga Malaysia, Thien Nyuk Fun berusia 50 tahun yang diculik oleh kumpulan bersenjata warga asing Filipina di restoran makanan laut di Pusat Bandar Sandakan, Sabah. 

Rajah 7: Restoran Seafood Ocean King Sandakan, Sabah yang terletak di pesisir pantai.

Perkara jenayah pembunuhan ini berlaku kerana pergoralakan yang berlaku di negara mereka.iaitu Filipina yang menjadikan sikap mereka ingin membunuh dari semasa ke semasa dan melakukan hal – hal jenayah. Kenyataan ini disokong oleh kajian Wan Shawaluddin Wan Hassan dan Ramli Dollah et al. (2003), yang menyatakan bahawa perkara ini dikaitkan dengan konsep maratabat, stereotaip dan budaya dan sikap yang dibawa dari negara asal. Oleh yang demikian, perkara remeh temeh seperti penculikan dan pembunuhan ini hanyalah dianggap seperti tempat asal negara mereka. Turut diceritakan oleh penduduk di Pusat Bandar Sandakan bahawa mereka juga turut mencuri harta benda, membunuh, merogol dan merompak yang disabitkan kesalahan yang melanggar undang – undang negara Malaysia.

            Disebabkan kampung air merupakan kawasan warga asing Filipina sering kali berlaku pencurian elektrik dan air dalam kalangan penduduknya. Apabila bergaduh menurut temu bual sering kali melibatkan barang – barang tajam seperti pisau dan parang serta pistol hingga menyebabkan kematian penduduk tetap. Pihak polis sememangnya akan tidak membuat rondaan di waktu malam dan juga seorang kerana rondaan harus melibatkan kumpulan ramai bagi menghentikan pergaduhan. Oleh yang demikian, menurut Wan Shawaluddin Wan Hassan & Ramli Dollah. (2008) menyatakan bahawa koloni – koloni yang menghiraukan peraturan dan undang – undang ini adalah entiti yang wujud di pinggir – pinggir bandar yang sesuai dengan cara hidup pendatang tanpa izin. Oleh itu, tidak hairanlah wujud masalah penculikan, pergaduhan dan pembunuhan sehingga melibatkan polis di Pusat Bandar Sandakan Sabah.

Kesimpulan

            Kesimpulannya, akibat masalah atau isu pergolakan negara seperti Filipina menyebabkan ramai pendatang tanpa izin yang datang dengan secara tidak sah ke negeri Sabah terutamanya kawasan yang berdekatan dengan pinggir laut dan pantai. Daripada masalah kekurangan tenaga buruh pada awal kemerdekaan yang mendesak kerajaan untuk mengambil buruh asing dari Filipina, Indonesia dan Thailand turut mengundangan terhadap masalah yang negatif yang mengancam keselamatan penduduk di Pusat Bandar, Sandakan ini. Bukan itu sahaja, turut menjejaskan sosio-ekonomi penduduk setempat kerana gangguan penyebaran penyakit, kotoran tempat jual beli, mengganggu aktiviti pelancongan dan penculikan yang menghentikan orang ramai menjalankan jual beli. Oleh itu, kerajaan Malaysia haruslah bertanggungjawab membasmi gejala negatif yang menggugat keselamatan penduduk  dengan bantuan masyarakat di Pusat Bandar Sandakan ini. Walaubagaimanapun, kemasukan buruh warga asing yang masuk bekerja secara sah haruslah dihargai kerana mereka yang memberikan sumbangan kemajuan terhadap Pusat Bandar Sandakan, Sabah.

RUJUKAN

Azizan, Morshidi & Mamat, Willvivne. (2017). Impak kemasukan buruh asing (Malaysia).doi 10.13140/RG.2.2.20902.93768.

Berita Harian. (2021). Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/11/2015/11/95635/pengurus-restoran-diculik-di-sandakan-dibebaskan

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2018) Siaran Akhbar Statistik Jenayah, Malaysia. Diperoleh daripada https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=c2QzbXRSQzY3dlpMM3JoYmtlNmptZz09

Kanfur M.G & R.Mustafa  1998. Japanese experience  in handing migrant worker:  lesson   for Malaysia. Paper in Conference on Migrant Workes and The Malaysian Economy. Kuala Lumpur.

Ramli Dollah, Wan Shawaluddin Wan Hassan, Diana Peters, & Marja Azlima Omar (2003) Pendatang Filipina Di Sabah: Satu Pemerhatian dari Sudut Keselamatan”, Jurnal JATI, Bil 8. 226.

Rasid Mail, Baszley Bee, Saat Damit, & AB Nasir Roslan. (2015). Isu keselamatan di perairan Pantai Timur Sabah: Kelangsungan ekonomi masyarakat pesisir. Conference: SASSREC Seminar 1: Border & Security of SabahAt: Sabah, Malaysia Volume: 1. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/294693878_Isu_keselamatan_di_perairan_Pantai_Timur_Sabah_Kelangsungan_ekonomi_masyarakat_pesisir

Ruhanas Harun. (2009) Peningkatan keselamatan bersama melalui kerjasama dua hala Malaysia dan negara-negara jiran. Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies, 36. 16-40. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/358/

Wan Shawaluddin Wan Hassan & Ramli Dollah. (2008). Isu-isu keselamatan Sabah dan impak kepada Malaysia (Issues in Sabah security and its impact to Malaysia). Jati-Journal Of Southeast Asian Studies, 13, 49-68. Diperoleh daripada file:///E:/3901.pdf

Disediakan oleh: Mohd Herfan Bin Amen Hadara

No.matrik: Dxxxxxxx5774

Kumpulan kuliah: C



No comments:

Post a Comment