Wednesday, December 29, 2021

Pencemaran air menggangu kehidupan seharian penduduk di Beaufort, Sabah.

 

Disediakan oleh Nursyazlin Binti Azlizan

No. matriks: D2020109539

 

Pada tanggal 20 hingga 21 disember 2021, pengkaji telah menjalankan satu kajian lapangan mengenai pencemaran yang berlaku di sebuah daerah yang dinamakan sebagai Beaufort dimana daerah ini terletak di Sabah, Malaysia. Beaufort merupakan salah sebuah bandar dan juga daerah di Bahagian Pedalaman, Sabah, Malaysia. Uniknya Pekan Beaufort, walaupun semakin berkembang pekan tersebut masih mempunyai bangunan-bangunan yang dibina sejak zaman British lagi. Asal-usul nama Beaufort dihasilkan sempena memperingati seorang gabenor bernama Leicester P. Beaufort yang pernah mentadbir negeri Sabah pada tahun 1896 sehingga 1900. Sebelum ini, daerah ini dinamakan Padas bersempena dengan nama sungai Padas yang mengalir di Daerah ini. Sungai padas merupakan sumber utama air untuk warga Beaufort tetapi bukan itu sahaja disebabkan keluasan dan panjangnya sungai padas ianya menampung keperluan air banyak daerah termasuklah Beaufort. Sungai Padas terletak di kawasan Tenom, kawasan Beaufort dan ulu sungainya berasal dari kawasan Long Pasia yang berada di selatan Kota Kinabalu, negeri Sabah, Malaysia Timur.

Rajah 1: Gambar sungai Padas

 

Mengikut sejarah sungai Padas, ianya merupakan satu sungai yang amat panjang dan mampu menghubungkan satu kawasan ke kawasan yang lain. Sebelum adanya kereta api dan landasan jalan raya penduduk Beaufort menggunakan sungai sebagai kemudahan perhubungan, satu satunya sungai yang terpenting pada waktu itu ialah sungai Padas dan Sungai Klias. Keistimewaan pada sungai tersebut ialah boleh menghubungkan beberapa buah daerah Sungai Padas contohnya menghubungkan Daerah Tenom, Sipitang, dan Weston, sementara Sungai Klias Menghubungkan Menumbok. Segala hasil pengeluaran penduduk diangkut menggunakan perahu untuk dibawa ke pekan. Sungai Padas merupakan sungai ketiga panjang di Malaysia yang mempunyai jarak 200 kilometer.Oleh itu, sungai padas mempunyai keluasan yang luas dan mampu menampung belakan air bersih bagi penduduk setempat.Namun didapati sejak beberapa tahun ini, masalah air kerap berlaku di Kawasan daerah Beaufort.

 

Terdapat beberapa pencemaran yang dapat dikenalpasti semasa menjalankan kajian. Pencemaran utama yang kerap berlaku di Beaufort,Sabah ialah pencemaran air dan kekerapan ketiadaan bekalan air bersih yang kerap terputus bagi penduduk Beaufort. Hal ini berlaku disebabkan beberapa faktor. Pada penghujung tahun 2010, projek saluran paip bawah laut RM365 juta dari Sungai Padas, Beaufort ke pulau Labuan siap. Penduduk Labuah seramai 85,000 orang kerap keputusan bekalan air berikutan dua daripada tiga empangan di Sungai Pagar dan Sungai Kerupang telah kering. Oleh itu, inisiatif seperti membuat saluran paip bawah laut daripada Beaufort ke Labuan

Rajah 2 : Saluran paip bawah laut

 

Loji rawatan air Beaufort bukan sahaja perlu menampung bekalan air bagi penduduk Beaufort malah turut bertanggungjawab dalam memastikan penduduk di Labuan menerima bekalan air bersih yang mencukupi.Hal ini telah membuat kapasiti air bersih untuk semua sering tidak mencukupi kerana jumlah yang sedikit dan perlu dibahagi sama rata untuk semua.

Selain itu, pencerman air yang berlaku disebabkan hakisan sungai. Dahulunya keluasan sungai Padas adalah lebih kecil berbanding dengan saiznya yang sekarang.Hakisan sungai yang kerap berlaku disebabkan oleh dua faktor iaitu hakisan berlaku secara semula jadi dan pembuangan sisa domestik manusia. Faktor semula jadi berlaku apabila hujan turun dengan lebat, air akan mengalir deras and menghakis tebing-tebing sungai. Akhirnya tanah tebing akan runtuh dan membentuk satu mendapan di dasar sungai. Seterusnya sungai akan menjadi cetek. Begitu juga dengan aktiviti manusia yang suka membuang sisa-sisa domestik seperti sampah-sarap dan sisa-sisa industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai yang telah menjadi cetek akibat hakisan semula jadi atau pencemaran tidak dapat menampung atau megalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan dengan ini banjir akan berlaku.

 

Seterusnya, masalah air di daerah itu sering berlaku ketika banjir besar berlaku di daerah Beaufort. Bekalan air bersih terputus adalah disebabkan oleh tahap kekeruhan air tinggi di Sungai Padas yang menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air Beaufort. Loji berkenaan hanya boleh beroperasi apabila tahap kekeruhan air mengurang dan pembersihan yang dilakukan akan mengambil masa beberapa hari sebelum air bersih dipam kepada penduduk. Bentuk permukaan Beaufort seperti kawah merupakan punca kenapa daerah ini sering dilanda banjir. Banjir di daerah Beaufort merupakan satu tradisi dan semua penduduk telah maklum dengan fenomena tersebut. Banjir di daerah Beaufort berlaku sejak tahun 1903 sebelum jajahan British. Banjir telah berlaku di daerah Beaufort disebabkan limpahan air Sungai Padas berikutan hujan di bahagian Hulu Sungai Padas iaitu di Daerah Keningau dan Tenom. Keadaaan ini telah menyebabkan banjir di kawasan empangan Hidroelektrik Pangi, di Daerah Tenom. Ini telah menyebabkan banjir di Daerah Beaufort walaupun hujan hanya sedikit dicatatkan di Daerah Beaufort kerana kedudukan geografik Beaufort yang seperti kawah telah menyebabkan sukar untuk mengelak banjir sekiranya Kawasan daerah Tenom menghadapi hujan lebat semasa  musim tengkujuh atau dikenali sebagai musim monsoon dimana perkara ini menyebabkan empangan di dearah Tenom terpaksa dilepaskan dan air limpahan ini akan menghala ke Beaufort disebabkan kedudukan geografik serta berkongsi sungai yang sama.

Rajah 3: Banjir Tahun 1956 di Pekan Beaufort

 

Tidak dinafikan walaupun tidak berlaku banjir, masalah air sering berlaku di Beaufort, Sabah. Perkara ini berlaku disebabkan air sungai yang surut ketika musim kemarau.Kerosakan peralatan mekanikal (pum), filter dan sebagainya disebabkan oleh kekerapan insiden kekeruhan air yang tinggi menyebabkan tanah dan pasir terkumpul dimuka sauk ekoran kekerapan kejadian banjir di Sungai Padas.Perkara ini seharusnya diambil serius akan tetapi terdapat pihak yang melambat-lambatkan proses pembaikan pam air dan menyebabkan Beaufort terputus bekalan air bersih dalam tempoh masa yang lama.

 

Selain itu, dahulunya air sungai Padas begitu bersih dan airnya jernih namun semua itu tinggal hanya kenangan kerana semakin hari air sungai Padas menjadi kabut dan tidak bersih disebabkan pencemaran air yang berlaku disebabkan pembangunan dan pembukaan tanah serta akai a hutan, keadaan sungai berubah kerana tercemar. Krisis air ini akan menyebabkan tanah menjadi kontang dan berlakunya hakisan Tanah. Bahkan, air yang tercemar akan turut menjejaskan kualiti tanah dan ini sekali gus akan turut menjejaskan aktiviti pertanian. Apabila aktiviti pertanian terjejas, akai a secara langsung akan memberi kesan ke atas bekalan makanan daripada hasil pertanian yang seterusnya juga akan turut memberi kesan yang besar ke atas kadar pertumbuhan ekonomi bagi penduduk di daerah Beaufort.

 

Sumber bekalan air paip bersih merupakan benda yang penting dalam menjalani kehidupan seharian yang selesa. Krisis air yang berlaku akan memberi kemudaratan kepada penduduk setempat.Seperti  yang kita tahu,air merupakan keperluan untuk manusia terus hidup.Jika krisis air ini tidak  dapat di atasi dengan segera,kita akan kekurangan bekalan air dan seterusnya manusia akan ditimpa penyakit seperti kekurangan air dan rutin seharian tidak dapat dilaksanakan seperti membersihkan diri dan pakaian, memasak serta sukar untuk mendapatkan belakan air bersih untuk diminum

 

Berharap agar masalah air bukan sahaja di Kawasan Beaufort malah satu Malaysia dapat diselesaikan dan kerajaan perlulah mengambil berat mengenai masalah ini kerana keselesaan masyarakat merupakan tanggungjawab mereka serta rakyat yang selesa dapat melahirkan penduduk yang harmoni serta berkualiti.Kehidupan yang tenang dapat membantu penduduk dalam menjalankan tugas dengan berkesan.

Rajah 4: Gambaran pekan daerah Beaufort dari permukaan atas

Rajah 5: Gambaran pekan daerah Beaufort dari permukaan atas

Rujukan

 

Abdullah.I. (September 2, 2021). 60 kampung terjejas banjir di Beaufort, Membakut. Diambil daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/858905/60-kampung-terjejas-banjir-di-beaufort-membakut

Daineh.N. (Jun 17, 2018). Hampir 20 tahun tiada bekalan air bersih. Diambil daripada https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/06/438640/hampir-20-tahun-tiada-bekalan-air-bersih

Shabri.R. (June 4, 2021). PENDUDUK BEAUFORT MAHU MASALAH BEKALAN AIR BERLARUTAN SEJAK 80-AN DISELESAIKAN. Diambil daripada https://www.borneotoday.net/penduduk-beaufort-mahu-masalah-bekalan-air-berlarutan-sejak-80-an-diselesaikan/

 

 

 

 

 

 

 


Virus-free. www.avast.com

FAKTOR BANJIR SEMASA MUSIM TENGKUJUH DI KAMPUNG KOTA, KOTA BHARU

Disediakan oleh: Nik Afiq Nik Mohd Zaib

No. Matrik: D20191088294

 

1.0  Pengenalan

Musim tengkujuh adalah satu musim yang sering menjadi mimpi ngeri bagi penduduk di kawasan sekitar Kampung Kota, Kota Bharu, Kelantan atas sebab risiko berlakunya bencana banjir yang kebiasaannya akan melanda di sekitar kawasan tersebut. Tambahan lagi, fenomena banjir ini juga boleh berlaku beberapa kali dalam setahun dan bukan hanya sekali sahaja setiap kali musim tengkujuh melanda yang menambahkan lagi kebimbangan penduduk setempat.  Bukan itu sahaja, keadaan rumah penduduk sekitar yang dahulunya berkonsepkan reka bentuk rumah tradisional telah pun berubah menjadi rumah yang menggunakan reka bentuk moden iaitu tidak lagi mempunyai ruang yang tinggi di bawah rumah. Jadi, perkara ini akan mengakibatkan risiko untuk air banjir memasuki rumah menjadi lebih tinggi dan seterusnya akan merosakkan harta benda di dalam rumah tersebut.

            Di negara Malaysia yang berada di kawasan Khatulistiwa ini, musim tengkujuh adalah disebabkan oleh Angin Monsun Timur Laut yang kebiasaannya akan melanda sekitar bulan November hingga bulan Mac. Hal ini demikian kerana angin monsun ini akan membawa hujan lebat bersama-sama terutamanya bagi negeri-negeri di bahagian pantai timur. Jadi, menurut data daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan minimum yang bakal diterima di negeri-negeri tersebut adalah sekitar 100 hingga 150mm. Oleh sebab yang demikian, musim tersebut juga disebut sebagai musim tengkujuh kerana ianya merupakan musim hujan utama di Malaysia. Dapat disimpulkan bahawa, apabila mendekati penghujung tahun, penduduk di kawasan Kampung Kota ini akan sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia sekiranya sebarang bencana banjir melanda.

 

2.0  Peristiwa Banjir Yang Lepas

Terdapat banyak peristiwa banjir yang telah melanda di sekitar Kampung Kota ini tetapi antara peristiwa yang tidak mungkin pudar daripada ingatan para penduduk setempat ialah peristiwa banjir besar 2014 yang lepas (Rajah 1) (Rajah 2). Hal ini demikian kerana, banyak dalam kalangan penduduk yang terpaksa berpindah keluar daripada rumah mereka dan tinggal di pusat-pusat pemindahan banjir yang dibuka terutamanya di sekolah-sekolah yang berhampiran. Tambahan lagi, rata-rata yang berpindah adalah disebabkan oleh air banjir yang bukan sahaja telah memasuki ke dalam kediaman mereka, malah ketinggian air banjir tersebut adalah berada pada peringkat yang amat berbahaya di sesetengah kawasan. Oleh sebab itu, adalah lebih selamat untuk mereka mengambil barang-barang yang berharga sahaja dan segera berpindah ke tempat pemindahan mangsa banjir. 

Rajah 1: Sekitar kawasan pemindahan mangsa banjir, 2014

Rajah 2: Keadaan di dalam rumah selepas air telah surut, 2014

Seterusnya, jika dilihat pada peristiwa banjir yang paling terkini adalah berlaku pada tahun 2020. Kejadian banjir yang berlaku tersebut adalah disebabkan oleh proses kerpasan dalam bentuk hujan yang turun dengan lebat dan ianya juga berlarutan sehingga beberapa hari lamanya sehinggakan air telah mula bertakung dan membawa kepada fenomena banjir. Namun, dapat dilihat daripada Rajah 3, phenomena banjir yang berlaku hanyalah merupakan bencana banjir yang kecil sahaja dan tidak serius seperti yang berlaku pada tahun 2014 yang lalu. Tambahan lagi, air banjir tersebut juga adalah air yang jernih, hasil daripada takungan air hujan dan keadaan tanah yang tidak dapat menyerap air dengan efisien akibat daripada jumlah air yang banyak sahaja. Oleh sebab yang demikian, walaupun para penduduk masih lagi berada dalam keadaan berjaga-jaga, namun penduduk di sekitar juga tekah menyuarakan perasaan syukur dan dapat menarik nafas lega buat seketika.

Rajah 3: Keadaan semasa banjir kecil, 2020

1.0  Faktor Banjir

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menjurus kepada berlakunya masalah banjir di sekitar kawasan Kampung Kota, antaranya ialah:

a)     Kadar guna tanah yang meningkat

Jika dibandingkan dengan tempoh masa 15 tahun yang lepas, kawasan Kampung Kota tidak mempunyai kadar guna tanah yang tinggi. Hal ini dapat dibuktikan dengan kaedah pemerhatian bahawa kawasan yang dahulunya merupakan kawasan bercucuk tanah seperti tanaman padi dan juga pokok-pokok getah telah bertukar dan dibangunkan untuk menjadi kawasan perumahan dan juga kawasan perniagaan. Bukan itu sahaja, perkara ini juga telah mendorong berlakunya pembinaan jalan-jalan tar untuk memudahkan urusan perhubungan dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Perkara ini berlaku dengan rancak oleh sebab kawasan ini juga merupakan salah satu kawasan yang terkenal dengan tempat yang berbelanja terutamanya di Pasar Malam Wakaf Che Yeh yang terletak tidak jauh daripada Kampung Kota, kira-kira dalam jarak 5 kilometer sahaja. Oleh sebab itu, dapat dilihat bahawa terdapatnya peningkatan dalam penggunaan kadar guna tanah yang menyebabkan tanah-tanah telah tertutup dengan bahan konkrit ataupun tar jalan.

Oleh sebab yang demikian, isu ini telah membawa kepada masalah larian air yang serius kerana kuantiti air hujan melalui proses kerpasan yang berlaku pada musim tengkujuh adalah berlaku dalam jumlah yang besar. Kawasan yang dahulunya dipenuhi dengan pokok-pokok kini tidak lagi dan perkara ini telah mengubah corak resapan air ke dalam tanah. Air hujan yang turun tidak dapat diserap dan mengakibatkan mudah untuk berlakunya sebarang bencana banjir di kawasan sekitar Kampung Kota ini. Jadi, hasil daripada permasalahan berikut, air hujan tersebut akan bertakung dan jumlahnya yang besar hasil daripada kejadian hujan yang tidak berhenti untuk beberapa hari telah mampu untuk mengakibatkan berlakunya banjir di sekitar kawasan kampung. Oleh itu, jelas bahawa kadar guna tanah yang semakin meningkat telah menjadi satu faktor kepada berlakunya masalah banjir di Kampung Kota.

b)     Kawasan yang rendah & berhampiran dengan Sungai Kelantan

Seterusnya, kawasan Kampung Kota ini juga amat dikenali dengan kawasan tanah yang rendah. Jika hujan turun dengan lebat walaupun dalam tempoh dua hari sahaja, para penduduk telah disuntik dengan rasa bimbang kerana air dapat dilihat bahawa air telah mula bertakung di sekitar kawasan kampung. Tambahan lagi, dapat diperhatikan air akan mula bertakung di dalam kawasan kampung terlebih dahulu berbanding dengan kawasan jalan raya utama dan berbanding kawasan lain. Bukan itu sahaja, perkara ini bertambah buruk dengan kedudukan geografi kampung ini yang berada berhampiran dengan Sungai Kelantan (Rajah 4). Sekiranya jumlah hujan yang turun dalam jumlah yang besar, perkara ini akan mengakibatkan berlakunya limpahan sungai. Oleh sebab itu, air sungai tersebut akan mengalir ke kawasan kampung atas faktor kawasannya yang rendah dan juga berada dekat dengan kawasan sungai. Akhirnya, perkara ini juga telah memaksa penduduk untuk meninggalkan kenderaan mereka seperti kereta di bahu-bahu jalan sahaja untuk mengelakkan daripada kenderaan mereka dimasuki air dan ianya telah membuktikan bahawa kawasan kampung yang rendah serta berada hampir dengan Sungai Kelantan telah menjadi faktor berlakunya banjir.

Rajah 4: Kawasan Kampung Kota

Rajah 4: Kawasan Kampung Kota

c)     Masalah perparitan yang lemah & masalah pembuangan sampah merata tempat

Akhirnya, antara faktor yang kurang diberi penekanan oleh pihak masyarakat dan juga pentadbir kawasan adalah berkaitan dengan masalah perparitan yang lemah. Hal ini dapat diperhatikan dengan jumlah sistem perparitan yang berada dalam keadaan yang amat tidak memuaskan terutamanya bagi para penduduk kampung. Hal ini demikian kerana, penduduk kampung tidak terdedah dengan konsep sistem perparitan yang menyebabkan mereka menggali lubang untuk dijadikan sebagai tangki septik bagi setiap rumah para penduduk. Perkara ini telah menjadi satu norma bagi penduduk untuk mempunyai sistem tangki septik air kumbahan mereka yang sendiri tanpa bergantung kepada sistem perparitan untuk tujuan menguruskan perkara tersebut. Hal ini telah menyebabkan jumlah longkang yang tersedia adalah kurang dan ianya hanya akan digunakan bagi bangunan-bangunan yang dibina berdekatan dengan jalan raya sahaja yang sekaligus menjadi longkang utama bagi kawasan tersebut.

            Jadi, sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab seperti sikap membuang sampah merata tempat telah menambahkan lagi masalah perparitan di sekitar kawasan kampung kerana longkang menjadi salah satu medium yang sering kali mereka gunakan untuk membuang sampah. Sampah-sampah kecil yang dibuang mungkin dianggap tidak memberi kesan kepada longkang yang besar namun, apabila sikap ini telah menjadi satu kebiasaan, maka longkang telah mula dipenuhi dengan sampah. Jadi, apabila tibanya musim tengkujuh, longkang gagal untuk menampung dan mengalirkan air kerana masalah longkang tersumbat hasil mendakan sampah yang dibuang ke dalam longkang tersebut. Bahana daripada perbuatan tersebut, air akan lebih cepat untuk naik dan membanjiri kawasan sekitar yang seterusnya membawa kepada masalah banjir. Tambahan lagi, setiap kali berlakunya banjir, penduduk dapat memperhatikan bahawa semasa gelombang pertama banjir semasa air sedang naik, terdapat banyak sampah yang dibawa bersama air tersebut dan perkara ini telah membuktikan bahawa masalah perparitan dan juga sikap suka membuang sampah merata tempat merupakan faktor berlakunya banjir di Kampung Kota.

 

4.0  Kesan Kepada Penduduk

Bencana banjir sememangnya berupaya untuk memberi satu tamparan yang besar kepada penduduk setempat kerana ianya mampu untuk mendatangkan bukan sahaja kerugian harta benda, malah bencana ini juga mampu untuk meragut nyawa penduduk. Antara kesan yang yang paling besar dapat dilihat ialah daripada segi keselamatan warga tua lantaran kerana ramai antara penduduk kampung yang merupakan individu daripada Generasi Baby Boomer dan juga Generasi X. Perkara ini bertambah buruk apabila melihat kepada sesetengah masyarakat yang tinggal berseorangan atau dengan pasangan mereka sahaja tanpa adanya pemantauan serta bantuan daripada individu lain sekiranya berlaku banjir. Hal ini demikian kerana mereka mungkin tidak berupaya untuk mengemas barang-barang serta dokumen penting di dalam rumah mereka atau berupaya untuk membawa diri ke tempat pemindahan banjir sekiranya arus air serada dalam keadaan yang deras. Jadi, keselamatan warga tua amatlah menjadi salah satu perkara yang perlu dititik beratkan apabila berlakunya banjir.

            Perkara ini juga berkait dengan isu penghijrahan golongan muda di sekitar kawasan Kampung Kota ke bandar untuk memulakan kerjaya mereka ataupun untuk menyambung pelajaran. Oleh sebab yang demikian, perkara ini telah menyumbang kepada berlakunya peningkatan kadar warga tua yang tinggal di kampung tersebut dan begitulah sebaliknya. Jadi, bencana banjir ini akan menyumbang kepada peningkatan tahap tekanan dan juga keresahan bagi semua pihak terutamanya bagi ahli keluarga yang tinggal di perantauan berikut kerana mereka akan risau akan keselamatan ahli keluarga mereka yang lain di kampung. Perkara ini berlaku akibat daripada ketidak upayaan mereka untuk membantu dan hanya bergantung kepada khabar berita daripada ahli keluarga mereka dari semasa ke semasa sahaja tanpa mampu berbuat apa-apa. Bahkan bencana banjir ini juga mampu memberi tekanan dan kerisauan kepada penduduk kampung juga kerana ianya mampu merosakkan harta bende dan mengancam nyawa mereka. Jadi, dapat disimpulkan bahawa, banana banjir ini mampu meningkatkan tahap tekanan dan kerisauan para penduduk kampung dan juga golongan muda yang berhijrah ke bandar.

            Akhirnya, tahap kesihatan para penduduk semasa musim banjir juga amatlah membimbangkan. Hal ini demikian kerana, banjir merupakan satu perkara yang menggembirakan kepada golongan kanak-kanak dan mereka kebiasaannya akan dibiarkan untuk bermain air banjir tersebut. Hal ini mampu mengakibatkan mereka mengalami penyakit demam kerana bermain air tersebut ditambahkan lagi dengan terkena air hujan. Bukan itu sahaja, air banjir itu sendiri juga berupaya mendatangkan penyakit-penyakit lain juga yang berada di dalam kategori penyakit bawaan air seperti boleh mengakibatkan berlakunya demam kepialu (tifoid), hepatitis A, jangkitan usus dan cirit-birit serta muntah akibat keracunan makanan. Jadi, gejala tersebut bukan sahaja boleh berlaku kepada kanak-kanak, namun semua lapisan masyarakat juga berisiko untuk dijangkiti gejala tersebut terutamanya bagi warga tua kerana tahap imunisasi badan mereka adalah sedikit lemah sekiranya dibandingkan dengan golongan muda. Oleh sebab yang demikian, jelas bahawa kejadian banjir mampu untuk mengancam tahap kesihatan para penduduk Kampung Kota.  

 

5.0  Langkah Keselamatan & Kesihatan

Langkah keselamatan adalah satu perkara yang penting dan masyarakat haruslah bijak dalam membuat keputusan dalam hal ini. Antara langkah keselamatan yang paling penting adalah segera berpindah ke tempat yang lebih tinggi atau ke kawasan pemindahan banjir yang telah ditetapkan. Perkara ini kelihatan mudah, namun ramai antara penduduk kawasan gagal untuk membuat keputusan ini pada masa yang tepat sehinggakan mereka tidak mampu lagi untuk keluar daripada kawasan banjir tersebut tanpa ada bantuan daripada pihak luar seperti bantuan bot untuk memindahkan mereka ke tempat yang selamat. Hal ini sering dikaitkan dengan tanggapan segelintir masyarakat bahawa banjir ini adalah perkara biasa dan mereka tidak perlu untuk bersusah payah untuk berpindah oleh kerana air banjir tersebut. Jadi, perkara ini boleh membawa padah kerana paras air adalah tidak dapat dijangka dan ianya berisiko untuk naik lebih daripada paras air banjir yang berlaku pada tahun-tahun yang lepas.

            Seterusnya, daripada segi kesihatan pula, mangsa banjir perlu memastikan bahawa air yang diminum adalah daripada sumber yang bersih dan makanan perlu dimasak dengan sempurna. Dua perkara tersebut adalah sangat penting kerana penjagaan kesihatan tubuh adalah satu perkara yang perlu diberi penekanan kerana kita tidak mahu untuk menambahkan lagi masalah yang sedia ada. Tambahan lagi, langkah tersebut juga adalah salah satu kaedah untuk memastikan tubuh sentiasa dipenuhi dengan tenaga agar penduduk dapat bersedia sekiranya sebarang kejadian yang berada diluar jangkaan berlaku. Makanan yang tinggi dengan sumber glukosa kompleks perlu diberi penekanan kerana sumber makanan tersebut berupaya untuk membekalkan tenaga kepada tubuh dengan tempoh masa yang panjang. Bukan itu sahaja, sudah semestinya langkah ini adalah untuk memastikan bahawa tiada sebarang kejadian keracunan makanan daripada berlaku tatkala semua sedang berdepan dengan sumber komunikasi, air dan ubat-ubatan yang terhad. Oleh itu, dapat dilihat bahawa kaedah ini perlu diberi penekanan kerana ianya adalah salah satu langkah penjagaan kesihatan yang penting.

 

6.0  Penutup

Untuk menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, kejadian banjir adalah satu fenomena yang sangat kerap berlaku di sekitar kawasan Kampung Kota dan ianya bukanlah satu perkara yang baharu bagi kami. Namun, tidak dapat dinafikan juga bahawa kejadian banjir ini juga masih lagi berupaya untuk memberi satu tamparan yang besar kepada penduduk terutamanya daripada segi persiapan mental dan juga fizikal. Isu ini diharapkan untuk diberi perhatian yang khusus daripada pihak pentadbiran kawasan sehinggalah kepada golongan masyarakat juga untuk mengubah sikap-sikap negatif mereka seperti yang telah diperjelaskan di atas supaya isu banjir ini boleh dibendung. Akhirnya, saya berharap agar mangsa yang terlibat dengan gejala banjir untuk sentiasa menjaga keselamatan diri, ahli keluarga dan juga saling prihatin sesame masyarakat agar kita dapat mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.


 

Rujukan

Hua, A. (2019). Keberkesanan Faktor Dalaman Menghadapi Bencana Banjir Monsun di Kota Bharu, Kelantan. Satu Kajian Kes Berasaskan Persepsi Penduduk. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 4(1), 22 - 28. Diperolehi daripada https://www.msocialsciences.com/index.php/mjssh/article/view/158.

Noremy Md Akhir, Azlinda Azman, Nazirah Hassan & Nur Hafizah Akhir. (2017). Kajian penelitian masalah mangsa bencana banjir Disember 2014 di Kelantan. Special Issue, 3(1), 1-19. Diperolehi daripada https://ejournal.ukm.my/ebangi/article/view/22571/7097.

Nur Balqis Anuar & Sulzakimin Mohamed. (2021). Kesan Pembinaan Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu, Kelantan Terhadap Kawasan Petempatan Penduduk (Kesan Banjir Kilat). Research in Management of Technology and Business, 2(1), 668-677. Diperolehi daripada https://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/rmtb/article/view/1711. 

PERKEMBANGAN PENDUDUK DI PUTRAJAYA TAHUN 2015 - 2020

Disediakan oleh : Muhammad Fakhruddin Bin Ahmad yani

No. Matrik : D20182086682

 

Putrajaya merupakan sebuah bandar dan Wilayah Persekutuan Malaysia yang terletak di barat tengah semenanjung Malaysia. Wilayah Persekutuan Putrajaya terletak kira - kira 25 km di selatan ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Fungsi bandar ini adalah sebagai pusat pentadbiran bagi Negara Malaysia. Sebelum pembinaan Putrajaya, pejabat kerajaan Malaysia ditempatkan di serata Kuala Lumpur yang menyebabkan Bandaraya Kuala Lumpur semakin sesak. Kesesakan lalu lintas Bandaraya Kuala Lumpur yang kian bertambah telah memaksa untuk pihak kerajaan mewujudkan sebuah bandar yang baharu di mana pejabat yang berselerak boleh dipindahkan dan dipasang semula untuk membentuk hab pentadbiran yang lebih cekap serta efektif.



    Pada tahun 1999, Pejabat Perdana Menteri telah dipindahkan ke Putrajaya dan menggantikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran negara. Sementara itu, Kuala Lumpur masih lagi kekal dengan fungsi sebagai Ibu Negara Malaysia. Putrajaya secara beransur - ansur berkembang dengan pembinaan Mahkamah Persekutuan, istana kedua dan banyak lagi bangunan pentadbiran. Bandar terancang ini telah diisytiharkan sebagai wilayah persekutuan pada 1 Februari 2001. sebuah badan koporat telah ditubuhkan bagi mengurus pembangunan serta perkembangan di Putrajaya. Melalui sejarah, Putrajaya merupakan sebuah bandar yang dibina di atas tapak bekas ladang getah dan kelapa sawit. Putrajaya juga dikenali sebagai “Bandar Taman” kerana di sini terdapat tasik buatan manusia yang luas dan berliku - liku, taman - taman seperti Taman Botani dan Taman Wetland, Putrajaya.

    Dari konsepnya, bandar ini dibayangkan sebagai sebahagian daripada koridor penyelidikan dan pembangunan komunikasi teknologi tinggi yang semakin berkembang merentang ke selatan dari Kuala Lumpur. Putrajaya boleh diakses melalui pelbagai laluan termasuklah kereta api dan lebuh raya serta berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pada 29 Ogos 2020, Putrajaya telah mencapai 25 tahun sebagai sebuah bandar yang banyak mencapai perkembangan dari sejak ia dibina. Menurut keratan akhbar Berita Harian pada 28 Ogos 2020, dalam tempoh 25 tahun sejak dilancarkan pada 29 Ogos 1995, Putrajaya telah melalui pembangunan yang pesat sehingga menjadi bandar ikon negara dan contoh kepada pusat pentadbiran kerajaan di negara lain.

    Keluasan Putrajaya dianggarkan kira - kira seluas 45.8km2. Menurut bancian penduduk dan perumahan Malaysia tahun 2020 telah menganggarkan jumlah penduduk di Putrajaya adalah seramai 110 ribu orang dengan kepadatan penduduk sebanyak 2, 246 orang / km2 . Menurut bancian yang telah dilakukan, jumlah isi rumah yang terdapat di Putrajaya ialah 32.7 ribu dan jumlah bagi tempat kediaman adalah sebanyak 37.8 ribu. Daripada jumlah penduduk yang menetap di Putrajaya (110 ribu orang), 107.2 ribu orang merupakan warganera Malaysia. Manakala, baki daripadanya, 2.9 ribu orang merupakan bukan warganegara. Seterusnya, 51.4 ribu orang daripada jumlah penduduk Putrajaya merupakan lelaki dan 58.6 ribu orang merupakan wanita. Ini menjadikan nisbah bagi lelaki dan wanita di Putrajaya adalah 88 orang nisbah lelaki per 100 orang wanita.  

Seramai 95.7% daripada jumlah penduduk bandar ini merupakan bumiputera. Manakala, 2.4% daripadanya adalah kaum cina, 1.7% adalah kaum india dan baki sebanyak 0.2% diwakili oleh lain - lain bangsa. Setiap bandar akan mengalami pertumbuhan penduduknya yang mengikut pelbagai corak sama ada cepat, perlahan atau negatif. Ini disebabkan oleh beberapa faktor yang mempengaruhi corak pertumbuhan penduduk di sesuatu kawasan termasuklah di Putrajaya. Melihat kepada graf 1.0, kadar kelahiran di Putarajaya pada tahun 2015 hingga 2018 menunjukkan tren menurun. Manakala, kadar kematian di Putrajaya menunjukkan tren tidak tetap dari tahun 2015 hingga 2018. Ini menyebabkan kadar pertumbuhan penduduk semula jadi secara kasar di Putrajaya menunjukkan penurunan dari tahun 2015 hingga 2018.

    

Graf 1.0 : Kelahiran hidup, kematian dan kadar pertambahan

semula jadi kasar, W.P. Purajaya, 2015 - 2018


    Oleh itu, purata bagi jangka hayat bagi seorang lelaki di Putrajaya dijangka selama  73.8 tahun manakala bagi seorang wanita pula adalah selama 78.4 tahun. Tren ini menunjukkan purata bagi jangka hayat penduduk wanita di Putrajaya lebih tinggi berbanding lelaki. Tidak dinafikan lagi bahawa ia menjadi salah satu faktor penyumbang kepada jumlah penduduk wanita yang ramai berbanding lelaki di Putrajaya. Kadar kelahiran di Putrajaya juga menjukkan penurunan daripada 28.8 kelahiran per 1000 orang pada tahun 2017 kepada 24.7 kelahiran per 1000 orang. Penurunan ini menunjukkan bahawa ferteliti di kawasan ini adalah semakin rendah dan jika ia tidak di kawal, kemungkinan akan membawa kepada penurunan yang lebih drastik terhadap pertumbuhan penduduk di bandar ini.

    Kadar kematian di Putrajaya pada tahun 2018 ialah sebanyak 2.2 kematian per 1000 orang yang mewakili seramai 218 kematian yang telah direkodkan. Jumlah ini menunjukkan penurunan yang sedikit berbanding kadar kematian pada tahun 2017 iaitu 2.6 kematian per 1000 orang yang mewakili 229 kematian yang telah direkodkan pada tahun tersebut. Menurut jadual 1.0 dan graf 1.2, tren kadar pertumbuhan penduduk di Putrajaya pada tahun 2015 hingga 2016 mengalami penurunan sebanyak 0.9 % iaitu dari 2.6% kepada 1.7%. manakala tren pertumbuhan penduduk di Putrajaya semakin meningkat dari tahun 2016 hingga 2018 iaitu daripada 1.7% kepada 10.5% yang menunjukkan kadar peratusan pertambahan yang sangat ketara. Walaubagaimanapun, tren pertumbuhan penduduk di Putrajaya menunjukkan penurunan semula pada tahun 2019 hingga 2020 yang mencatatkan sebanyak 6.4% pada tahun 2019 dan 6.0% pada tahun 2020.


Graf  1.2 :  Penduduk dan kadar pertumbuhan tahunan W.P. Putrajaya, 2010 - 2020.



Graf 1.3 : Struktur piramid penduduk mengikut jantina dan kumpulan umur, W.P. Putrajaya, 2020.



    Struktur piramid penduduk mengikut jantina dan kumpulan umur bagi penduduk Putrajaya pada tahun 2020 mendapati bahawa struktur piramid tersebut tidak sekata dan tidak seimbang mengikut jantina. Didapati bahawa kumpulan umur 35 - 39 tahun mempunyai bilangan wanita yang lebih ramai berbanding lelaki manakala bagi kelompok umur 5 - 9 tahun, jumlah lelaki adalah lebih tinggi berbanding wanita. Piramid penduduk ini menunjukkan penguncupan pada bahagian pertengahan piramid yang mewakili kelompok had umur 15 -19 tahun. Bilangan warga tua iaitu likungan umur 60 - 64 tahun bagi ke dua - dua jantina adalah seimbang dan had umur maksimum bagi penduduk di putrajaya yang dapat dilihat pada piramid tersebut ialah lingkungan 85 tahun ke atas. Manakala, penduduk yang berada di lingkungan umur 75 - 79 tahun adalah sifar di Putrajaya pada tahun 2020.



    Kesimpulannya, Putrajaya mengalami pertumbuhan penduduk yang semakin perlahan sejak tahun 2018 hingga 2020. Walaubagaimana pun, Putrajaya telah mengalami pertumbuhan yang bertambah sejak tahun 2012 hingga 2017 kerana beberapa faktor termasuklah imigrasi penduduk sama ada di dalam negara mahupun daripada luar negara ke Putrajaya.  Pengurangan pertumbuhan penduduk di Putrajaya boleh dikaitkan dengan kadar kelahiran yang semakin berkurangan akibat daripada faktor kesuburan bagi penduduk di kawasan tersebut menurun. Faktor peningkatan kematian penduduk akibat daripada penyakit dan usia juga turut main peranan terhadap pertumbuhan penduduk di sini. Oleh itu, pihak pengurusan pembandaran di sini telah banyak menyediakan kemudahan kesihatan dalam menjaga kesihatan penduduk di sini agar purata hayat penduduk di sini dapat ditingkatkan dan memberi suasana yang harmoni di dalam kalangan penduduk di Putrajaya.


Rujukan :
https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter%202020/DOSM_DOSM.WILAYAH_1.2020_Siri-91.pdf 


PERLOMBONGAN BIJIH BESI DI KAMPUNG ULU LUIT, MARAN PAHANG.

 

PENGENALAN

Sumber bermaksud mata air, perigi, asal, punca dan mula (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015). Sumber semula jadi terbahagi kepada dua iaitu sumber yang boleh diperbaharui dan sumber yang tidak boleh diperbaharui. Sumber yang tidak boleh diperbaharui ialah sumber mineral atau galian manakala sumber yang boleh diperbaharui ialah sumber hutan, tanih, air, udara dan tenaga suria. Perlombongan pula merupakan satu pendapatan bagi sektor ekonomi penduuduk. Secara umumnya, perlombongan adalah aktiviti yang melibatkan pengeluaran bahan galian mahupun bahan geologi yang berharga dari bumi.

Seterusnya, bijih bermaksud batu yang mengandungi logam manakala besi pula bermaksud logam yang berwarna putih perak (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015). Bijih besi merupakan batu atau galian dari besi metalik yang mempunyai kegunaan komersial. Selain itu, bijih besi ialah batuan yang mengandungi mineral-mineral besi dan beberapa unsur lain. Antara bijih besi terdiri daripada sebatian atau unsur lain misalnya oksida, sulfida, belerang, silikon dan lain-lain. Ciri-ciri bijih besi ialah mineral yang mempunyai pelbagai warna yang berbeza iaitu dari kelabu gelap, kekuningan, ungu gelap sehingga berwarna merah seperti berkarat. Bijih besi ini terlalu kaya dengan oksida besi. Terdapat beberapa jenis bijih besi yang terdiri daripada magnetik, hematik, geotik, limonik, dan siderik.

Kawasan perlombongan yang dipilih ialah perlombongan bijih besi di Kampung Ulu Luit, Maran Pahang. Kampung Ulu Luit merupakan salah satu kampung yang terdapat di daerah Maran, Pahang.  Lombong bijih besi di Kampung Ulu Luit, Maran Pahang telah dibuka oleh Allahyarham Zakaria yang merupakan seorang usahawan yang disegani oleh penduduk setempat. Beliau telah berjaya mengoperasikan lombong bijih besi pada tahun 2010 dengan kawasan seluas 40 hektar.

Perlombongan bijih besi di Kampung Ulu Luit, Maran Pahang ini telah mendatangkan beberapa kesan terutama kepada penduduk setempat di kawasan itu. Kaedah kajian secara kualitatif iaitu soal selidik telah dijalankan bagi mengenal pasti beberapa kesan dari perlombongan bijih besi di kawasan tersebut. Borong soal selidik yang digunakan adalah melalui aplikasi Google Form. Kemudian pautan Google Form telah diedarkan secara dalam talian kepada beberapa orang responden yang merupakan penduduk di Kampung Ulu Luit. Tujuan borong soal selidik diedarkan adalah untuk mengenal pasti sejauh mana kesan perlombongan di Kampung Ulu Luit memberi impak kepada penduduk setempat.



Rajah 1 : Lombong Bijih Besi di Kampung Ulu Luit, Maran Pahang

 

 

KESAN PERLOMBONGAN BIJIH BESI DI KAMPUNG ULU LUIT, MARAN PAHANG

Pencemaran udara

Pencemaran udara merujuk kepada perubahan kandungan bahan kimia, jirim zarah yang ada di dalam udara atau atmosfera bumi. Kegiatan perlombongan bijih besi di Kampung Ulu Luit, Maran Pahang telah menyebabkan berlakunya pencemaran udara. Hal ini dikatan demikan kerana, aktiviti yang dijalankan semasa perlombongan bijih besi tersebut mampu menyebabkan pelbagai partikel terampai seperti jelaga, debu halus dan habuk berterbangan ke udara. Kenderaan seperti lori yang sentiasa keluar dan masuk ke kawasan lombong ini secara tidak langsung membawa debu dan habuk sepanjang jalan kampung tersebut. Malahan jalan raya Kampung Ulu Luit juga sangat kotor dipenuhi tanah, debu dan habuk dari kawasan lombong. Rumah yang berada berdekatan dengan kawasan lombong jugak akan kotor dan berhabuk. Oleh itu, penempatan di Kampung Ulu Luit khususnya yang berdekatan dengan kawasan lombong bijih besi ini akan menjadi kawasan berdebu.

Rajah 2 : Laluan keluar masuk kawasan lombong

            Seterusnya, pencemaran udara juga boleh menjejaskan kesihatan penduduk. Habuk dan debu yang berterbangan ini boleh menjejaskan kualiti udara setempat. Kualitu udara yang tidak baik boleh mengakibatkan penduduk mengalami masalah pernafasan seperti asma. Di samping itu, penduduk juga akan lebih terdedah dengan masalah kulit. Kulit akan menjadi kering serta gatal-gatal keran terdedah kepada debu dan habuk yang tidak terkawal. Justeru, pencemaran udara ini mampu menjejaskan kesihatan penduduk Kampung Ulu Luit terutama golongan yang berisiko tinggu iaitu warga tua dan kanak-kanak.

Rajah 3 : Rumah yang ada berdekatan dengan kawasan lombong

Kesan dari pencemaran udara yang disebabkan oleh perlombongan bijih besi ialah jerebu. Tidak dinafikan bahawa pencemaran udara mempunyai hubangan rapat dengan berlakunya jerebu. Ini kerana, jerebu yang berlaku adalah disebabkan partikel terampai yang berterbangan di udara seperti aktiviti perlombongan ini membebaskan debu dan habuk. Kawasan setempat akam dipenuhi dengan debu dan habuk hingga boleh menjejaskan penghilatan. Penglihatan akan menjadi terhad akibat dihalang dengan debu dan habuk dari kawasan lombong.

 

Pencemaran air

Pencemaran air juga telah berlaku disebabkan oleh aktiviti perlombongan bijih besi di kawasan Kampung Ulu Luit, Maran Pahang. Air merupakan sumber keperluan utama penduduk yang tinggal di kawasan setempat. Namun begitu, terdapat beberapa kawasan air di kampung tersebut mengalami pencemaran. Hal ini dikatakan demikian kerana, berdasarkan pemerhatian sebelum ini, terdapat penduduk menyatakan bahawa air berdekatan kawasan lombong tersebut bertukar menjadi seakan-akan berwarna biru. Jelaslah bahawa aktiviti perlombongan ini telah menjejaskan tahap keasidan air.

Rajah 4 : Air yang mengalir dari kawasan lombong

Rajah 5: Anak sungai menjadi semakin cetek

Kesan dari pencemaran air yang disebabkan oleh perlombongan bijih besi di Kampung Ulu Luit adalah menjejaskan hidupan akuatik. Kualiti air yang tidak baik tersebut secara tidak langsung membolehkan hidupan akuatik akan terjejas. Sebagai contoh, alga dan ikan-ikan yang hidup di dalam anak sungai kampung tersebut. Kandungan yang terdapat dalam air sungai tersebut mempunyai keasidan yang tinggi lalu menyebabkan banyak ikan akan mati. Di samping itu, ekosistem hidupan akuatik juga akan terganggu disebabkan pencemaran air dari lombong bijih besi.

 

Pencemaran bunyi

Perlombongan bijih besi yang dijalankan di Kampung Ulu Luit juga menyebabkan berlakunya pencemaran bunyi. Pencemaran bunyi merupakan suatu penghasilan bunyi yang kuat iaitu terhasil daripada mesin, haiwan mahupun manusia yang mampu mengganggu aktiviti harian penduduk di kawasan persekitaran. Perkara ini berlaku disebabkan oleh kerja-kerja mengeluarkan bijih besi di kawasan lombong. Di samping itu, kenderaan berat yang selalu keluar dan masuk dari kawasan perlombongan juga boleh mendatangkan bunyi yang bising. Dapat disimpulkan bahawa bunyi bising yang terhasil dari kawasan lombong bijih besi tersebut mampu mengganggu ketenteraman penduduk setempat yang tinggal berhampiran.

Rajah 6 : Permukaan yang dikorek di kawasan lombong

 

Perubahan pandang darat kawasan lombong

Tidak dinafikan bahawa apa-apa jenis perlombongan akan memberi perubahan terhadap pandang darat kawasan lombong. Perkara ini dapat dikaitkan dengan kesan dari perlombongan bijih besi yang dijalankan di Kampung Ulu Luit, Maran Pahang. Jelaslah bahawa perlombongan ini telah memberi kesan kepada pandang darat kawasan lombong iaitu terdapat kawasan yang gondol. Ia juga mampu menghasilkan cerun tinggi akibat dari kesan gondola tersebut. Malahan, struktur tanah juga menjadi longgar kerana ketiadaan pokok dan berisiko untuk berlaku tanah runtuh di kawasan lombong. Namun begitu, keadaan pandang darat yang berisiko ini boleh meragut nyawa orang berada di kawasan tersebut. Oleh hal yang demikian, ia sedikit sebanyak telah merubah keadaan di lombong bijih besi Kampung Ulu Luit, Maran Pahang.


Rajah 7 : Perubahan pandang darat kawasan lombong

Rajah 8 : Pandang darat yang bertingkat-tingkat


 

DAPATAN ANALISIS BORANG SOAL SELIDIK

Seramai 20 orang responden dari penduduk Kampung Ulu Luit, Maran Pahang telah menjawab borang soal selidik yang telah diedarkan secara dalam talian. Borang soal selidik ini mengandungi 10 soalan sahaja dan dijawab oleh 20 orang responden.

 

Rajah 9

Berdasarkan Rajah 9 yang mewakili Soalan 1 mendapati bahawa seramai 19 orang bersamaan 95% bersetuju perlombongan bijih besi di Kampung Ulu Luit boleh menyumbang kesan negatf kepada penduduk setempat. Manakala terdapat seorang bersamaan 5% sahaja yang tidak bersetuju dengan pernyataan tersebut.

Rajah 10

Soalan 2 mendapati seramai 19 orang bersamaan 95% menjawab Ya iaitu bagi penyataan terdapat lori yang sering keluar masuk kawasan lombong tersebut. Yang menjawab Tidak adalah seorang sahaja yang mewakili 5%.

 

Rajah 11

Rajah 11 menunjukkan seramai 85% bersamaan 17 orang responden menjawab Ya bagi penyataan tersebut manakala seramai 15% bersamaan 3 orang menjawab Tidak.

Rajah 12

Berdasarkan Rajah 12 menunjukkan semua responden menjawan Ya untuk Soalan 4 iaitu sebanyak 100% yang mewakili seramai 20 orang responden.

 

Rajah 13

Berdasarkan Rajah 13 didapati seramai 20 orang respon iaitu mewakili 100% menjawab Ya untuk penyataan bagi Soalan 5.

Rajah 14

Berdasarkan Rajah 14 menunjukkan seramai 8 orang bersamaan 40% mewakali penyataan sangat setuju dan setuju. Manakala seramai 3 orang bersamaan 15% mewakili penyataan sederhana. Seterusnya seorang sahaja yang menjawab tidak setuju iaitu mewakili 5% dan tiada yang memilih sangat tidak setuju.

 

Rajah 15

Rajah 15 menunjukkan penyataan sangat setuju dan setuju mempunyai peratusan yang sama iaitu 35% mewakili 7 orang. Seterusny yang memilih penyataan sederhana seramai 4 orang iaitu 20%. Penyataan tidak setuju adalah seramai 2 orang bersamaan 10% dan tiada yang memilih sangat tidak setuju.

 

Rajah 16

Berdasarkan Rajah 16 didapati seramai 8 orang bersamaan 40% menjawab sangat setuju dan 6 orang bersamaan 30% menjawab setuju. Untuk penyataan sederhana pula seramai 5 orang mewakili 25% dan tidak setuju pula hanya seorang sahaja yang mewakili 5%. Bagi penyataan sangat tidak setuju pula kosong.

 

Rajah 17

Berdasarkan Rajah 17 seramai 11 orang mewakili 55% menjawab sangat setuju manakala seramai 8 orang mewakili 40% menjawab setuju. Seterusnya hanya seorang sahaja yang memilih penyataan sederhana iaitu bersamaan 5%. Untuk penyataan tidak setuju dan sangat tidak setuju, kedua-duanya adalah kosong.

 

 

Rajah 18

Berdasarkan Rajah 18 didapati seramai 5 orang bersamaan 25% menjawab sangat setuju. Seterusnya terdapat 10 orang menjawab setuju iaitu bersamaan 50% manakala seramai 4 orang memilih penyataan sederhana iaitu 20%. Bagi penyataan tidak setuju pula adalah seorang yang mewakili 5% dan penyataan sangat tidak setuju pula adalah kosong.

 

KESIMPULAN

Secara kesimpulannya,perlombongan bijih besi ini merupakan perlombongan bagi sumber semula jadi. Setiap jenis perlombongan mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Berdasarkan borang soal selidik yang diedarkan, penduduk lebih memilih bahawa perlombongan bijih besi di Kampung Ulu Luit, Maran Pahang telah mendatangkan kesan yang buruk terutama kepada penduduk yang tinggal berdekatan kawasan tersebut. Didapati kesihatan penduduk sangatlah terjejas hingga boleh menyebabkan berlakunya beberapa maslaah kesihatan seperti kesukaran bernafas dan penyakit kulit. Oleh itu, semua pihak hendaklah sentiasa peka dengan perkara yang berlaku kerana ia mampu memberi impak buruk pada masa akan datang.



RUJUKAN

Ashraf Malik. (2014). Teknologi Bahan Bab 3. Diperoleh pada 2 Disember 2021, daripada https://www.slideshare.net/asrafMTH/jf302-material-technology-chapter-3

Dunia Itu. (2013). Pengurus Lombong Bijih Maut. Diperoleh pada 10 Disember 2021, daripada http://duniaitu.blogspot.com/2013/05/pengurus-lombong-bijih-maut.html

Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Mohamad Ali Hassan & Che Ibrahim Mat Saman. 2017. Kesan perlombongan besi terhadap alam sekotar – tinjauan awal kes Bukit Besi. Newsletter of the Geological Society of Malaysia, 19(3) 134. Diperoleh daripada https://archives.datapages.com/data/geological-society-of-malaysia/warta-geologi-newsletter/019/019003/pdfs/134.htm

Ninie Aziz. (2012). Unit 6 dan 7 Sumber. Diperoleh pada 2 Disember 2021, daripada https://pt.slideshare.net/arezNInie/unit-6-dan-7-sumber/7?smtNoRedir=1

 

 

NAMA : WAN NADHIRAH BINTI WAN MOHD AZMI

NO. MATRIK : D******87829

KUMPULAN : A