Monday, January 10, 2022

GEOGRAFI PENDUDUK – ISU TARAF HIDUP YANG RENDAH DI KAMPUNG MASIN, BESUT, TERENGGANU.

 

PENGENALAN

Taraf merupakan tingkatan kedudukan dalam masyarakat, martabat serta darjat manakala hidup pula ialah berada dalam keadaan tertentu sama ada bahagia, mewah dan lain-lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015). Oleh itu, taraf hidup dapat didefinisikan sebagai tahap keselesaan yang dicapai dalam kalangan individu mahupun masyarakat. Menurut Julizah Sabstu (2014), taraf hidup mengukur perbandingan di antara pendapatan boleh belanja yang diterima oleh seseorang atau keluarga dengan kos sara hidup. Sekiranya pendapatan melebihi kadar peningkatan kos sara hidup maka taraf hidup seseorang itu akan meningkat dan sekiranya pendapatan kurang daripada kadar peningkatan sara hidup maka taraf hidup seseorang itu akan semakin merosot. Menurut daripada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar kemiskinan di luar bandar adalah sebanyak 1.0 peratus dan ianya lebih tinggi berbanding miskin bandar iaitu 0.2 peratus. Oleh itu, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan taraf hidup yang rendah di Kampung Masin, Besut, Terengganu.

Kampung Baroh Masin atau lebih dikenali sebagai Kampung Masin merupakan sebuah kampung yang terletak di daerah Besut, Terengganu. Kampung ini dikelilingi oleh sawah padi yang terbentang luas serta mempunyai pemandangan yang begitu cantik terutamanya pada waktu pagi. Terdapat ramai penduduk yang mendiami kampung ini terutamanya bagi golongan B40 iaitu golongan isi rumah yang berpendapatan dengan purata bulanan di bawah RM4, 850. Di kampung ini juga terdapat penduduk kampung yang terdiri daripada pelbagai umur serta jantina hasil daripada pemerhatian secara langsung.           

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI TARAF HIDUP YANG RENDAH DI KAMPUNG MASIN

Taraf hidup yang rendah dalam kalangan penduduk di Kampung Masin adalah disebabkan oleh faktor pekerjaan. Peluang pekerjaan yang terdapat di kampung ini adalah kurang dan juga terhad disebabkan oleh kekurangan pembangunan serta kebanyakkan pekerjaan lebih tertumpu kepada sektor pertanian. Oleh itu, kekurangan peluang pekerjaan yang disediakan menyebabkan penduduk kampung memilih untuk menjalankan pekerjaan secara sendiri bagi memperoleh pendapatan iaitu kebanyakkan penduduk di kampung ini bekerja sebagai petani, penoreh getah, buruh kasar, peniaga di simpang jalan serta terdapat juga golongan yang menganggur. Hasil pendapatan yang diperoleh penduduk juga adalah kurang lumayan terutamanya selepas membayar tapak sewa untuk menjalankan pekerjaan hingga menyebabkan taraf hidup penduduk menjadi rendah serta memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan terutamanya dari segi perumahan seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).


Gambar 1: Kawasan perumahan PPRT di Kampung Masin

 

Gambar 2: Kawasan perumahan PPRT di Kampung Masin

 

Gambar 3: Kawasan perumahan PPRT di Kampung Masin

Faktor taraf hidup yang rendah di Kampung Masin juga adalah disebabkan oleh faktor pendidikan. Kebanyakkan penduduk di kampung ini mempunyai taraf pendidikan yang rendah yang mana terdapat penduduk yang tidak mempunyai pendidikan serta terdapat penduduk yang hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja. Taraf pendidikan yang rendah dalam kalangan penduduk menyebabkan mereka tidak berupaya atau sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang bergaji tinggi bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Menurut Rancangan Malaysia Kesebelas, tahap pencapaian pendidikan yang rendah telah menjejaskan keupayaan isi rumah B40 untuk mendapat pekerjaan bergaji tinggi atau menceburi aktiviti perniagaan. Oleh itu, terdapat penduduk yang masih menganggur serta terdapat pekerja yang melibatkan diri dalam pekerjaan berkemahiran rendah dan separuh mahir. Selain itu, pendapatan yang rendah dalam kalangan isi rumah juga menyebabkan ibu bapa tidak dapat memenuhi keperluan seharian serta tidak mampu memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak mereka. Justeru itu, taraf hidup penduduk di kampung ini sukar ditingkatkan.

Faktor kenaikan kos sara hidup juga merupakan antara faktor yang menyumbang kepada taraf hidup yang rendah di Kampung Masin. Menurut Tan (dalam Mohd Aqmin Abdul Wahab et. al, 2018) menyatakan bahawa kos sara hidup merujuk kepada belanjawan minimum untuk membeli sekumpulan barang dan perkhidmatan dalam mencapai tingkat taraf hidup tertentu. Oleh itu, isu peningkatan kos sara hidup boleh dikaitkan dengan dua perkara utama iaitu tingkat pendapatan dan taraf kehidupan seseorang individu (Mohd Aqmin Abdul Wahab, 2018). Kebanyakkan penduduk di kampung ini bekerja secara sendiri yang mana ia menyumbang kepada pendapatan yang rendah serta kurang lumayan. Oleh hal demikian, kenaikan kos sara hidup seperti kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, harga minyak dan banyak lagi yang tidak selari dengan pendapatan yang diperoleh penduduk memberi kesan kepada kuasa beli penduduk dan menyebabkan kauliti serta taraf hidup mereka rendah. Jelaslah bahawa, semakin meningkat kos sara hidup maka semakin berkurang kuasa beli dalam kalangan pengguna.

LANGKAH- LANGKAH MENINGKATKAN TARAF HIDUP PENDUDUK DI KAMPUNG MASIN

Antara langkah yang dapat dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk di Kampung Masin adalah dengan membangunkan lebih banyak kawasan perumahan terutamanya Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membantu penduduk yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah yang lebih selesa dan keselamatan yang lebih terjamin. Melalui bantuan yang diberikan oleh pihak yang berwajib, penduduk dapat menikmati kemudahan yang disediakan serta dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Selain itu, pihak yang berwajib juga perlulah menyediakan peluang pekerjaan iaitu dengan melaksanakan pembangunan serta perkhidmatan yang dapat memberi peluang kepada penduduk yang tidak mempunyai pekerjaan ataupun menganggur dapat memperoleh peluang pekerjaan serta pendapatan. Melalui peluang pekerjaan yang disediakan ini ia dapat meningkatkan tahap kemahiran dalam kalangan penduduk yang mana ia dapat melahirkan pekerja yang produktif serta berkemahiran tinggi. Oleh itu, penduduk yang mempunyai tingkat kemahiran yang tinggi dapat menghasilkan pendapatan yang menyumbang kepada peningkatan taraf hidup.

Langkah yang seterusnya adalah dengan menyediakan peluang pendidikan yang baik terutamanya bagi golongan isi rumah yang mempunyai bilangan anak yang ramai dan kadar pendapatan yang rendah agar anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam memperoleh pendidikan. Hal ini demikian kerana terdapat ibu bapa yang tidak mampu untuk menyekolahkan atau memberi pendidikan kepada anak-anak mereka. Oleh itu, terdapat kanak-kanak yang membantu ibu bapa mereka bekerja di sawah padi, di kebun dan sebagainya. Oleh hal demikian, melalui pendidikan seseorang individu itu dapat memperoleh pekerjaan yang bersesuaian yang dapat meningkatkan taraf kehidupan.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, jelaslah bahawa faktor yang menyumbang kepada taraf hidup yang rendah di Kampung Masin adalah disebabkan oleh faktor pekerjaan, pendidikan serta kenaikan kos sara hidup. Taraf hidup yang rendah menyebabkan penduduk dibelenggu dengan masalah kemiskinan terutamanya bagi mendapatkan sesuatu barangan dan perkhidmatan. Ketidakmampuan dalam mendapatkan pekerjaan yang mendatangkan kadar pendapatan yang agak lumayan serta kemahiran dan pengetahuan yang kurang dalam kalangan penduduk menyumbangkan kepada berlakunya taraf hidup yang rendah. Oleh itu, pihak yang berwajib memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup penduduk di kampung ini agar mereka dapat menikmati kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan.

 

RUJUKAN

Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Julizah Sabstu (2014). Kenaikan Kos Sara Hidup, Kesan Kepada Rakyat. Maktab       Koperasi Malaysia Cawangan Selatan. 44.

Mohd Aqmin Abdul Wahab et al. (2018). Kos Sara Hidup Tinggi di Malaysia: Pertumbuhan     Pendapatan Isi Rumah yang Perlahan atau Taraf Hidup yang Meningkat? Jurnal     Ekonomi Malaysia. 52(1) 117 - 133

Rancangan Malaysia Kesebelas. Kertas Strategi 2: Meningkatkan Taraf Isi Rumah B40 ke    Arah Masyarakat Kelas Menengah.

 

AISYAH RASYIDAH BINTI RAZAK

D20191087849

KUMPULAN B

 

 

No comments:

Post a Comment