Monday, January 10, 2022

 IMPAK PANDEMIK COVID-19 TERHADAP SOSIOEKONOMI PENDUDUK FELDA BUKIT SAGU, KUANTAN, PAHANG


PENGENALAN

Virus covid-19 yang muncul di daerah Wuhan, China pada penghujung tahun 2019 telah menggemparkan dunia dan mula merebak ke serata dunia pada awal tahun 2020. Virus yang membawa maut ini mula menjadi ancaman kepada manusia sehingga virus ini diisytiharkan sebagai pandemik di setiap negara yang mengalami penularannya. Malaysia juga turut menghadapi penularan virus covid-19 apabila kes pertama yang membabitkan warganegara Malaysia pada 23 Januari 2020. Jumlah kes positif terus meningkat di Malaysia sehingga kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama di Malaysia bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 bagi membendung penularan virus covid-19 dari terus merebak. Namun demikian, peningkatan demi peningkatan kes berlaku sehingga kerajaan melanjutkan PKP dan diikuti oleh beberapa siri perintah kawalan pergerakan lain seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Siri perintah kawalan pergerakan ini sudah pastinya memberi kesan kepada semua penduduk di Malaysia terutama terhadap sosioekonomi.

Perkampungan Bukit Sagu merupakan sebuah perkampungan felda yang dibuka sekitar tahun 1970 hingga 1980-an. Felda yang paling awal dibuka adalah Felda Bukit Sagu 1 pada sekitar penghujung tahun 1970-an dan diikuti oleh Felda Bukit Sagu 2 & 3 pada penghujung tahun 1980-an. Pada awal pembukaan perkampungan Felda Bukit Sagu ini, hanya terdapat kira-kira 500 buah keluarga sahaja dan kini telah berkembang kepada 1500 buah keluarga. Aktiviti sosioekonomi penduduk di perkampungan Felda Bukit Sagu sememangnya berada dalam keadaan yang baik sepanjang 30 tahun penubuhannya, namun setelah pandemik covid-19 melanda negara sememangnya arah tuju sosioekonomi penduduk disini mula berubah dan melalui perjalanan yang tidak seperti dulu.

Rajah 1 : Peta Felda Bukit Sagu 1,2 dan 3

PERBINCANGAN : IMPAK PANDEMIK COVID-19 TERHADAP SOSIOEKONOMI PENDUDUK FELDA BUKIT SAGU, KUANTAN, PAHANG

Semenjak pengumuman PKP yang pertama pada 18 mac 2020, kehidupan masayarakat di gugusan Felda Bukit Sagu mula mengalami perubahan. Perubahan ketara adalah dari segi sosioekonomi penduduknya kerana dengan pengenalan Prosedur Standard Operasi atau lebih dikenali sebagai SOP oleh kerajaan dan pengamalan norma baharu sememangnya memujudkan suasana kehidupan yang berbeza berbanding sebelumnya. Seperti yang dialami oleh semua penduduk Malaysia, penduduk Felda Bukit Sagu juga turut terkesan dalam sector ekonomi dan sosial. Antaranya adalah pendapatan penduduk Felda Bukit Sagu telah terjejas, gaya hidup berubah, serta perubahan kehidupan sosial masyarakat Bukit Sagu.

            Impak pertama yang dialami oleh penduduk Felda Bukit Sagu ialah punca pendapatan mereka terjejas. Hal ini demikian kerana, perlaksanaan PKP di seluruh negara telah menghentikan sebahagian besar sektor ekonomi. Sudah pasti apabila bercakap berkenaan felda, sektor ekonomi utama bagi penduduk Bukit Sagu adalah berorientasikan pertanian kelapa sawit. Apabila PKP dilaksanakan operasi ladang iaitu menuai kelapa sawit telah dihentikan. Maka punca pendapatan peneroka yang mengharapkan jualan buah kelapa sawit telah terjejas. Walaubagaimanapun, Felda tetap memberikan pendapatan bulanan kepada peneroka iaitu melalui pinjaman bantuan sara hidup sebanyak RM 1500 sebulan sama seperti pinjaman sara hidup bagi peneroka yang ladangnya sedang ditanam semula. Pendapatan bulanan ini sememangnya berbeza dengan sebelum ini dimana rata-rata peneroka Felda Bukit Sagu memperoleh RM 2500 ke RM 5000 sebulan.

            Walaupun dilihat situasi PKP di negara dilihat semakin pulih dengan pengenalan PKPD, PKPB dan PKPP yang telah membenarkan operasi ladang berjalan seperti sedia kala, namun peneroka Felda Bukit Sagu tetap mengalami kerugian dimana pandemik covid-19 telah menyebabkan Felda kekurangan pekerja untuk menuai tandan kelapa sawit. Hal ini dapat dilihat melalui laporan Utusan Malaysia dimana “Sebanyak RM264 juta sebulan kerugian dianggarkan ditanggung 80,000 pe­neroka Felda di seluruh negara ekoran kekurangan tenaga buruh asing bagi menuai hasil sawit di ladang mereka.” Situasi ini terjadi berikutan pembekuan pengambilan pekerja asing apabila PKP pertama diumumkan. Secara teknikalnya, pekerja ladang yang mencukupi akan membolehkan kelapa sawit dituai sebanyak dua kali sebulan, Namun kekurangan pekerja ladang telah menyebabkan kelapa sawit hanya boleh dituai sekali sahaja setiap bulan. Kelapa sawit yang tidak sempat dituai akan membusuk dia atas pokok dan menyebabkan harga jualan buah kelapa sawit merosot. Hal ini pastinya memberikan kerugian yang amat besar kerana penghujung dan awal tahun adalah musim dimana pokok kelapa sawit akan menghasilkan buah yang banyak. Sekiranya buah kelapa sawit boleh dituai 2 kali sebulan, peneroka akan memperoleh kira kira 15 ke 18 tan sebulan namun kekurangan pekerja ladang menyebabkan peneroka hanya memperoleh 9 hingga 11 tan sahaja. Jika dibandingkan dengan harga sawit semasa iaitu RM 1,183 satu tan, peneroka Felda Bukit Sagu mengalami kerugian sebanyak RM 4,000 ke RM 8,000 sebulan.

            Selain peneroka Felda Bukit Sagu, penduduk lain seperti anak peneroka, pemastautin, dan peniaga juga turut terkesan akibat pandemik ini. Hal ini demikian kerana, anak-anak peneroka yang bekerja di sektor swasta juga terpaksa akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan. Sebahagian kecil dari anak peneroka ini juga turut kehilangan pekerjaan akibat perlaksanaan beberapa siri perintah kawalan pergerakan. Selain itu, pemastautin dan peniaga di sekitar Felda Bukit Sagu juga turut terjejas. Contoh yang boleh diambil adalah seperti yang dialami oleh seorang responden iaitu Encik Adnan bin Aziz, seorang peniaga nasi ayam penyet yang berasal dari Besut, Terengganu. Menurut Encik Adnan, beliau menyatakan bahawa pandemik covid-19 telah menyebabkan pendapatan beliau hasil dari perniagaan nasi ayam penyet merudum. Hal ini demikian kerana, semasa PKP pertama diumumkan, beliau tidak boleh menjalankan pernigaan dan pendapatan beliau adalah sifar. Seterusnya, semasa siri PKPB, PKPD, dan PKPP pendapatan beliau adalah tidak sama seperti sebelum pandemik berlaku dimana pengenalan SOP seperti had pelanggan satu meja, vaksinasi dan lain-lain menyebabkan bilangan pelanggan di warung beliau berkurang.

 

 

 



Rajah 2



Rajah 3



Rajah 4



Rajah 5

 

Rajah 2 dan 3 menunjukkan situasi warung Nasi Ayam Penyet milik En Adnan sebelum pandemik manakala rajah 4 dan 5 adalah selepas pandemik

Impak pandemik covid-19 kepada penduduk Bukit Sagu yang kedua ialah perubahan gaya hidup. Hal ini demikian kerana, pengenalan kepada SOP dan pengamalan norma baharu sememangnya merubah gaya hidup penduduk di sini terutama pada awal musim pandemik. Antara gaya hidup penduduk Bukit Sagu yang berubah adalah dari segi pengalaman gaya hidup sihat penduduk. Walaupun Felda Bukit Sagu terletak di Kawasan pedalaman dalam daerah Kuantan, namun kesedaran terhadap pengamalan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk Felda Bukit Sagu adalah tinggi. Sebelum pandemik tercetus, penduduk Felda Bukit Sagu kebiasaanya akan bermain bola sepak, futsal dan sepak takraw pada setiap petang. Namun, apabila kerajaan melarang untuk aktiviti yang melibatkan ramai orang dan berhubung secara rapat, penduduk Felda Bukit Sagu mula menceburi sukan berbasikal. Penduduk yang sebelum ini tidak gemar bersukan juga mula menceburi sukan berbasikal bagi menghilangkan kebosanan akibat terlalu lama dipaksa duduk di rumah. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa sukan berbasikal mula popular dalam kalangan rakyat Malaysia begitu juga kepada penduduk Felda Bukit Sagu. Walaupun covid-19 banyak memberi kesan negatif kepada masyakarat, namun impak ini dilihat sebagai impak positif kepada penduduk Bukit Sagu terutama kepada peningkatan jumlah penduduk yang mula bersukan.

Rajah 6

Rajah 7

 

Rajah 6 menunjukkan aktiviti penduduk sebelum pandemik manakala rajah 7 menunjukkan aktiviti penduduk selepas

            Impak terakhir pandemik covid-19 kepada penduduk Bukit Sagu yang dapat dikenalpasti ialah perubahan kehidupan sosial masyarakat. Umum mengetahui bahawa masyarakat yang menetap di kampung seperti penduduk Bukit Sagu sememangnya kehidupan sosial mereka dalam aktiviti bermasyarakat adalah sangat baik. Contoh yang dapat dilihat adalah dalam konteks aktiviti bergotong-royong, kenduri-kendara dan banyak lagi. Sebelum kedatangan pandemik covid-19, aktiviti sosial dan bermasyarakat sememangnya diamalkan oleh penduduk Bukit Sagu. Namun suasana ini dilihat mula berubah apabila kini kenduri kahwin mulai suram dengan kedatangan tetamu yang terhad dan ditetapkan sahaja. Jika dahulu, penduduk Bukit Sagu akan bersama-sama membantu tuan rumah bagi persiapan kenduri kahwin seperti memasang khemah, memasak, menghidang makanan dan mengemas setelah kenduri selesai. Kini majlis kenduri hanya menggunakan khidmat catering dan juga makanan akan dibungkus. Selain itu, aktiviti sosial lain seperti hari keluarga pada setiap tahun, tahlil arwah, gotong-royong, persembahan dikir barat, kunjung-mengunjung semasa hari raya dan sebagainya dilihat tidak dilakukan lagi sepanjang dua tahun pandemik melanda negara. Penduduk masih enggan melakukan aktiviti ini kerana sama ada masih takut akan wabak covid-19 atau takut dengan denda dan saman yang digariskan oleh kerajaan. Dapat di rumuskan di sini bahawa sememangnya pandemik covid-19 telahpun merubah kehidupan penduduk di sekitar Felda Bukit Sagu.

 

PENUTUP

Kesimpulannya, pandemik covid-19 yang melanda dunia sememangnya memberi kesan yang banyak kepada masyarakat dunia dan juga kepada penduduk Felda Bukit Sagu khususnya. Sosioekonomi penduduk Felda Bukit Sagu telahpun berubah 180 darjah  iaitu dari segi punca pendapatan penduduk mulai terjejas, perubahan gaya hidup penduduk dan juga perubahan kehidupan sosial masyarakat yang mendiami perkampungan gugusan Felda Bukit Sagu


Oleh : Muhammad Shafiq Burhan bin Abd Rahim

No Matrik : D2019***1283

Kumpulan : B

No comments:

Post a Comment