Monday, January 10, 2022

GEOGRAFI PENDUDUK – ISU TARAF HIDUP YANG RENDAH DI KAMPUNG MASIN, BESUT, TERENGGANU.

 

PENGENALAN

Taraf merupakan tingkatan kedudukan dalam masyarakat, martabat serta darjat manakala hidup pula ialah berada dalam keadaan tertentu sama ada bahagia, mewah dan lain-lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015). Oleh itu, taraf hidup dapat didefinisikan sebagai tahap keselesaan yang dicapai dalam kalangan individu mahupun masyarakat. Menurut Julizah Sabstu (2014), taraf hidup mengukur perbandingan di antara pendapatan boleh belanja yang diterima oleh seseorang atau keluarga dengan kos sara hidup. Sekiranya pendapatan melebihi kadar peningkatan kos sara hidup maka taraf hidup seseorang itu akan meningkat dan sekiranya pendapatan kurang daripada kadar peningkatan sara hidup maka taraf hidup seseorang itu akan semakin merosot. Menurut daripada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar kemiskinan di luar bandar adalah sebanyak 1.0 peratus dan ianya lebih tinggi berbanding miskin bandar iaitu 0.2 peratus. Oleh itu, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan taraf hidup yang rendah di Kampung Masin, Besut, Terengganu.

Kampung Baroh Masin atau lebih dikenali sebagai Kampung Masin merupakan sebuah kampung yang terletak di daerah Besut, Terengganu. Kampung ini dikelilingi oleh sawah padi yang terbentang luas serta mempunyai pemandangan yang begitu cantik terutamanya pada waktu pagi. Terdapat ramai penduduk yang mendiami kampung ini terutamanya bagi golongan B40 iaitu golongan isi rumah yang berpendapatan dengan purata bulanan di bawah RM4, 850. Di kampung ini juga terdapat penduduk kampung yang terdiri daripada pelbagai umur serta jantina hasil daripada pemerhatian secara langsung.           

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI TARAF HIDUP YANG RENDAH DI KAMPUNG MASIN

Taraf hidup yang rendah dalam kalangan penduduk di Kampung Masin adalah disebabkan oleh faktor pekerjaan. Peluang pekerjaan yang terdapat di kampung ini adalah kurang dan juga terhad disebabkan oleh kekurangan pembangunan serta kebanyakkan pekerjaan lebih tertumpu kepada sektor pertanian. Oleh itu, kekurangan peluang pekerjaan yang disediakan menyebabkan penduduk kampung memilih untuk menjalankan pekerjaan secara sendiri bagi memperoleh pendapatan iaitu kebanyakkan penduduk di kampung ini bekerja sebagai petani, penoreh getah, buruh kasar, peniaga di simpang jalan serta terdapat juga golongan yang menganggur. Hasil pendapatan yang diperoleh penduduk juga adalah kurang lumayan terutamanya selepas membayar tapak sewa untuk menjalankan pekerjaan hingga menyebabkan taraf hidup penduduk menjadi rendah serta memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan terutamanya dari segi perumahan seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).


Gambar 1: Kawasan perumahan PPRT di Kampung Masin

 

Gambar 2: Kawasan perumahan PPRT di Kampung Masin

 

Gambar 3: Kawasan perumahan PPRT di Kampung Masin

Faktor taraf hidup yang rendah di Kampung Masin juga adalah disebabkan oleh faktor pendidikan. Kebanyakkan penduduk di kampung ini mempunyai taraf pendidikan yang rendah yang mana terdapat penduduk yang tidak mempunyai pendidikan serta terdapat penduduk yang hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja. Taraf pendidikan yang rendah dalam kalangan penduduk menyebabkan mereka tidak berupaya atau sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang bergaji tinggi bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Menurut Rancangan Malaysia Kesebelas, tahap pencapaian pendidikan yang rendah telah menjejaskan keupayaan isi rumah B40 untuk mendapat pekerjaan bergaji tinggi atau menceburi aktiviti perniagaan. Oleh itu, terdapat penduduk yang masih menganggur serta terdapat pekerja yang melibatkan diri dalam pekerjaan berkemahiran rendah dan separuh mahir. Selain itu, pendapatan yang rendah dalam kalangan isi rumah juga menyebabkan ibu bapa tidak dapat memenuhi keperluan seharian serta tidak mampu memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak mereka. Justeru itu, taraf hidup penduduk di kampung ini sukar ditingkatkan.

Faktor kenaikan kos sara hidup juga merupakan antara faktor yang menyumbang kepada taraf hidup yang rendah di Kampung Masin. Menurut Tan (dalam Mohd Aqmin Abdul Wahab et. al, 2018) menyatakan bahawa kos sara hidup merujuk kepada belanjawan minimum untuk membeli sekumpulan barang dan perkhidmatan dalam mencapai tingkat taraf hidup tertentu. Oleh itu, isu peningkatan kos sara hidup boleh dikaitkan dengan dua perkara utama iaitu tingkat pendapatan dan taraf kehidupan seseorang individu (Mohd Aqmin Abdul Wahab, 2018). Kebanyakkan penduduk di kampung ini bekerja secara sendiri yang mana ia menyumbang kepada pendapatan yang rendah serta kurang lumayan. Oleh hal demikian, kenaikan kos sara hidup seperti kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, harga minyak dan banyak lagi yang tidak selari dengan pendapatan yang diperoleh penduduk memberi kesan kepada kuasa beli penduduk dan menyebabkan kauliti serta taraf hidup mereka rendah. Jelaslah bahawa, semakin meningkat kos sara hidup maka semakin berkurang kuasa beli dalam kalangan pengguna.

LANGKAH- LANGKAH MENINGKATKAN TARAF HIDUP PENDUDUK DI KAMPUNG MASIN

Antara langkah yang dapat dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk di Kampung Masin adalah dengan membangunkan lebih banyak kawasan perumahan terutamanya Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membantu penduduk yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah yang lebih selesa dan keselamatan yang lebih terjamin. Melalui bantuan yang diberikan oleh pihak yang berwajib, penduduk dapat menikmati kemudahan yang disediakan serta dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Selain itu, pihak yang berwajib juga perlulah menyediakan peluang pekerjaan iaitu dengan melaksanakan pembangunan serta perkhidmatan yang dapat memberi peluang kepada penduduk yang tidak mempunyai pekerjaan ataupun menganggur dapat memperoleh peluang pekerjaan serta pendapatan. Melalui peluang pekerjaan yang disediakan ini ia dapat meningkatkan tahap kemahiran dalam kalangan penduduk yang mana ia dapat melahirkan pekerja yang produktif serta berkemahiran tinggi. Oleh itu, penduduk yang mempunyai tingkat kemahiran yang tinggi dapat menghasilkan pendapatan yang menyumbang kepada peningkatan taraf hidup.

Langkah yang seterusnya adalah dengan menyediakan peluang pendidikan yang baik terutamanya bagi golongan isi rumah yang mempunyai bilangan anak yang ramai dan kadar pendapatan yang rendah agar anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam memperoleh pendidikan. Hal ini demikian kerana terdapat ibu bapa yang tidak mampu untuk menyekolahkan atau memberi pendidikan kepada anak-anak mereka. Oleh itu, terdapat kanak-kanak yang membantu ibu bapa mereka bekerja di sawah padi, di kebun dan sebagainya. Oleh hal demikian, melalui pendidikan seseorang individu itu dapat memperoleh pekerjaan yang bersesuaian yang dapat meningkatkan taraf kehidupan.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, jelaslah bahawa faktor yang menyumbang kepada taraf hidup yang rendah di Kampung Masin adalah disebabkan oleh faktor pekerjaan, pendidikan serta kenaikan kos sara hidup. Taraf hidup yang rendah menyebabkan penduduk dibelenggu dengan masalah kemiskinan terutamanya bagi mendapatkan sesuatu barangan dan perkhidmatan. Ketidakmampuan dalam mendapatkan pekerjaan yang mendatangkan kadar pendapatan yang agak lumayan serta kemahiran dan pengetahuan yang kurang dalam kalangan penduduk menyumbangkan kepada berlakunya taraf hidup yang rendah. Oleh itu, pihak yang berwajib memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup penduduk di kampung ini agar mereka dapat menikmati kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan.

 

RUJUKAN

Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Julizah Sabstu (2014). Kenaikan Kos Sara Hidup, Kesan Kepada Rakyat. Maktab       Koperasi Malaysia Cawangan Selatan. 44.

Mohd Aqmin Abdul Wahab et al. (2018). Kos Sara Hidup Tinggi di Malaysia: Pertumbuhan     Pendapatan Isi Rumah yang Perlahan atau Taraf Hidup yang Meningkat? Jurnal     Ekonomi Malaysia. 52(1) 117 - 133

Rancangan Malaysia Kesebelas. Kertas Strategi 2: Meningkatkan Taraf Isi Rumah B40 ke    Arah Masyarakat Kelas Menengah.

 

AISYAH RASYIDAH BINTI RAZAK

D20191087849

KUMPULAN B

 

 

 IMPAK PANDEMIK COVID-19 TERHADAP SOSIOEKONOMI PENDUDUK FELDA BUKIT SAGU, KUANTAN, PAHANG


PENGENALAN

Virus covid-19 yang muncul di daerah Wuhan, China pada penghujung tahun 2019 telah menggemparkan dunia dan mula merebak ke serata dunia pada awal tahun 2020. Virus yang membawa maut ini mula menjadi ancaman kepada manusia sehingga virus ini diisytiharkan sebagai pandemik di setiap negara yang mengalami penularannya. Malaysia juga turut menghadapi penularan virus covid-19 apabila kes pertama yang membabitkan warganegara Malaysia pada 23 Januari 2020. Jumlah kes positif terus meningkat di Malaysia sehingga kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama di Malaysia bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 bagi membendung penularan virus covid-19 dari terus merebak. Namun demikian, peningkatan demi peningkatan kes berlaku sehingga kerajaan melanjutkan PKP dan diikuti oleh beberapa siri perintah kawalan pergerakan lain seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Siri perintah kawalan pergerakan ini sudah pastinya memberi kesan kepada semua penduduk di Malaysia terutama terhadap sosioekonomi.

Perkampungan Bukit Sagu merupakan sebuah perkampungan felda yang dibuka sekitar tahun 1970 hingga 1980-an. Felda yang paling awal dibuka adalah Felda Bukit Sagu 1 pada sekitar penghujung tahun 1970-an dan diikuti oleh Felda Bukit Sagu 2 & 3 pada penghujung tahun 1980-an. Pada awal pembukaan perkampungan Felda Bukit Sagu ini, hanya terdapat kira-kira 500 buah keluarga sahaja dan kini telah berkembang kepada 1500 buah keluarga. Aktiviti sosioekonomi penduduk di perkampungan Felda Bukit Sagu sememangnya berada dalam keadaan yang baik sepanjang 30 tahun penubuhannya, namun setelah pandemik covid-19 melanda negara sememangnya arah tuju sosioekonomi penduduk disini mula berubah dan melalui perjalanan yang tidak seperti dulu.

Rajah 1 : Peta Felda Bukit Sagu 1,2 dan 3

PERBINCANGAN : IMPAK PANDEMIK COVID-19 TERHADAP SOSIOEKONOMI PENDUDUK FELDA BUKIT SAGU, KUANTAN, PAHANG

Semenjak pengumuman PKP yang pertama pada 18 mac 2020, kehidupan masayarakat di gugusan Felda Bukit Sagu mula mengalami perubahan. Perubahan ketara adalah dari segi sosioekonomi penduduknya kerana dengan pengenalan Prosedur Standard Operasi atau lebih dikenali sebagai SOP oleh kerajaan dan pengamalan norma baharu sememangnya memujudkan suasana kehidupan yang berbeza berbanding sebelumnya. Seperti yang dialami oleh semua penduduk Malaysia, penduduk Felda Bukit Sagu juga turut terkesan dalam sector ekonomi dan sosial. Antaranya adalah pendapatan penduduk Felda Bukit Sagu telah terjejas, gaya hidup berubah, serta perubahan kehidupan sosial masyarakat Bukit Sagu.

            Impak pertama yang dialami oleh penduduk Felda Bukit Sagu ialah punca pendapatan mereka terjejas. Hal ini demikian kerana, perlaksanaan PKP di seluruh negara telah menghentikan sebahagian besar sektor ekonomi. Sudah pasti apabila bercakap berkenaan felda, sektor ekonomi utama bagi penduduk Bukit Sagu adalah berorientasikan pertanian kelapa sawit. Apabila PKP dilaksanakan operasi ladang iaitu menuai kelapa sawit telah dihentikan. Maka punca pendapatan peneroka yang mengharapkan jualan buah kelapa sawit telah terjejas. Walaubagaimanapun, Felda tetap memberikan pendapatan bulanan kepada peneroka iaitu melalui pinjaman bantuan sara hidup sebanyak RM 1500 sebulan sama seperti pinjaman sara hidup bagi peneroka yang ladangnya sedang ditanam semula. Pendapatan bulanan ini sememangnya berbeza dengan sebelum ini dimana rata-rata peneroka Felda Bukit Sagu memperoleh RM 2500 ke RM 5000 sebulan.

            Walaupun dilihat situasi PKP di negara dilihat semakin pulih dengan pengenalan PKPD, PKPB dan PKPP yang telah membenarkan operasi ladang berjalan seperti sedia kala, namun peneroka Felda Bukit Sagu tetap mengalami kerugian dimana pandemik covid-19 telah menyebabkan Felda kekurangan pekerja untuk menuai tandan kelapa sawit. Hal ini dapat dilihat melalui laporan Utusan Malaysia dimana “Sebanyak RM264 juta sebulan kerugian dianggarkan ditanggung 80,000 pe­neroka Felda di seluruh negara ekoran kekurangan tenaga buruh asing bagi menuai hasil sawit di ladang mereka.” Situasi ini terjadi berikutan pembekuan pengambilan pekerja asing apabila PKP pertama diumumkan. Secara teknikalnya, pekerja ladang yang mencukupi akan membolehkan kelapa sawit dituai sebanyak dua kali sebulan, Namun kekurangan pekerja ladang telah menyebabkan kelapa sawit hanya boleh dituai sekali sahaja setiap bulan. Kelapa sawit yang tidak sempat dituai akan membusuk dia atas pokok dan menyebabkan harga jualan buah kelapa sawit merosot. Hal ini pastinya memberikan kerugian yang amat besar kerana penghujung dan awal tahun adalah musim dimana pokok kelapa sawit akan menghasilkan buah yang banyak. Sekiranya buah kelapa sawit boleh dituai 2 kali sebulan, peneroka akan memperoleh kira kira 15 ke 18 tan sebulan namun kekurangan pekerja ladang menyebabkan peneroka hanya memperoleh 9 hingga 11 tan sahaja. Jika dibandingkan dengan harga sawit semasa iaitu RM 1,183 satu tan, peneroka Felda Bukit Sagu mengalami kerugian sebanyak RM 4,000 ke RM 8,000 sebulan.

            Selain peneroka Felda Bukit Sagu, penduduk lain seperti anak peneroka, pemastautin, dan peniaga juga turut terkesan akibat pandemik ini. Hal ini demikian kerana, anak-anak peneroka yang bekerja di sektor swasta juga terpaksa akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan. Sebahagian kecil dari anak peneroka ini juga turut kehilangan pekerjaan akibat perlaksanaan beberapa siri perintah kawalan pergerakan. Selain itu, pemastautin dan peniaga di sekitar Felda Bukit Sagu juga turut terjejas. Contoh yang boleh diambil adalah seperti yang dialami oleh seorang responden iaitu Encik Adnan bin Aziz, seorang peniaga nasi ayam penyet yang berasal dari Besut, Terengganu. Menurut Encik Adnan, beliau menyatakan bahawa pandemik covid-19 telah menyebabkan pendapatan beliau hasil dari perniagaan nasi ayam penyet merudum. Hal ini demikian kerana, semasa PKP pertama diumumkan, beliau tidak boleh menjalankan pernigaan dan pendapatan beliau adalah sifar. Seterusnya, semasa siri PKPB, PKPD, dan PKPP pendapatan beliau adalah tidak sama seperti sebelum pandemik berlaku dimana pengenalan SOP seperti had pelanggan satu meja, vaksinasi dan lain-lain menyebabkan bilangan pelanggan di warung beliau berkurang.

 

 

 



Rajah 2



Rajah 3



Rajah 4



Rajah 5

 

Rajah 2 dan 3 menunjukkan situasi warung Nasi Ayam Penyet milik En Adnan sebelum pandemik manakala rajah 4 dan 5 adalah selepas pandemik

Impak pandemik covid-19 kepada penduduk Bukit Sagu yang kedua ialah perubahan gaya hidup. Hal ini demikian kerana, pengenalan kepada SOP dan pengamalan norma baharu sememangnya merubah gaya hidup penduduk di sini terutama pada awal musim pandemik. Antara gaya hidup penduduk Bukit Sagu yang berubah adalah dari segi pengalaman gaya hidup sihat penduduk. Walaupun Felda Bukit Sagu terletak di Kawasan pedalaman dalam daerah Kuantan, namun kesedaran terhadap pengamalan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk Felda Bukit Sagu adalah tinggi. Sebelum pandemik tercetus, penduduk Felda Bukit Sagu kebiasaanya akan bermain bola sepak, futsal dan sepak takraw pada setiap petang. Namun, apabila kerajaan melarang untuk aktiviti yang melibatkan ramai orang dan berhubung secara rapat, penduduk Felda Bukit Sagu mula menceburi sukan berbasikal. Penduduk yang sebelum ini tidak gemar bersukan juga mula menceburi sukan berbasikal bagi menghilangkan kebosanan akibat terlalu lama dipaksa duduk di rumah. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa sukan berbasikal mula popular dalam kalangan rakyat Malaysia begitu juga kepada penduduk Felda Bukit Sagu. Walaupun covid-19 banyak memberi kesan negatif kepada masyakarat, namun impak ini dilihat sebagai impak positif kepada penduduk Bukit Sagu terutama kepada peningkatan jumlah penduduk yang mula bersukan.

Rajah 6

Rajah 7

 

Rajah 6 menunjukkan aktiviti penduduk sebelum pandemik manakala rajah 7 menunjukkan aktiviti penduduk selepas

            Impak terakhir pandemik covid-19 kepada penduduk Bukit Sagu yang dapat dikenalpasti ialah perubahan kehidupan sosial masyarakat. Umum mengetahui bahawa masyarakat yang menetap di kampung seperti penduduk Bukit Sagu sememangnya kehidupan sosial mereka dalam aktiviti bermasyarakat adalah sangat baik. Contoh yang dapat dilihat adalah dalam konteks aktiviti bergotong-royong, kenduri-kendara dan banyak lagi. Sebelum kedatangan pandemik covid-19, aktiviti sosial dan bermasyarakat sememangnya diamalkan oleh penduduk Bukit Sagu. Namun suasana ini dilihat mula berubah apabila kini kenduri kahwin mulai suram dengan kedatangan tetamu yang terhad dan ditetapkan sahaja. Jika dahulu, penduduk Bukit Sagu akan bersama-sama membantu tuan rumah bagi persiapan kenduri kahwin seperti memasang khemah, memasak, menghidang makanan dan mengemas setelah kenduri selesai. Kini majlis kenduri hanya menggunakan khidmat catering dan juga makanan akan dibungkus. Selain itu, aktiviti sosial lain seperti hari keluarga pada setiap tahun, tahlil arwah, gotong-royong, persembahan dikir barat, kunjung-mengunjung semasa hari raya dan sebagainya dilihat tidak dilakukan lagi sepanjang dua tahun pandemik melanda negara. Penduduk masih enggan melakukan aktiviti ini kerana sama ada masih takut akan wabak covid-19 atau takut dengan denda dan saman yang digariskan oleh kerajaan. Dapat di rumuskan di sini bahawa sememangnya pandemik covid-19 telahpun merubah kehidupan penduduk di sekitar Felda Bukit Sagu.

 

PENUTUP

Kesimpulannya, pandemik covid-19 yang melanda dunia sememangnya memberi kesan yang banyak kepada masyarakat dunia dan juga kepada penduduk Felda Bukit Sagu khususnya. Sosioekonomi penduduk Felda Bukit Sagu telahpun berubah 180 darjah  iaitu dari segi punca pendapatan penduduk mulai terjejas, perubahan gaya hidup penduduk dan juga perubahan kehidupan sosial masyarakat yang mendiami perkampungan gugusan Felda Bukit Sagu


Oleh : Muhammad Shafiq Burhan bin Abd Rahim

No Matrik : D2019***1283

Kumpulan : B

Sunday, January 9, 2022

MIGRASI PENDUDUK DI DAERAH MERADONG, SARAWAK

 

Migrasi merupakan penghijrahan sekumpulan manusia atau individu dari satu tempat ke tempat yang lain bagi tujuan meningkatkan taraf hidup dan ekonomi atau atas faktor lain. Dalam erti yang lebih luas. Migrasi merupakan perubahan tempat tinggal secara tetap atau separa tetap (Tjiptoherrijanto, 2009). Dalam pengertian yang demikian tidak dibezakan antara migrasi dalam negeri dengan migrasi luar negeri (Lee, 2011). Sejarah kehidupan suatu bangsa selalui diwarnai dengan wujudnya migrasi. Rentetan daripada iti terjadi proses pencampuran darah dan kebudayaan. Disamping itu, migrasi merupakan satu fenomena tingkah laku yang dialami oleh semua negara di seluruh dunia. Pola dan kadar migrasi berkait rapat dengan tahap urbanisasi yang dialami sesebuah negara (Mohd. Fadzil, 2010) negara-negara maju seperti Jepun, Australia, New Zealand dan Singapura yang telah mencapai tahap urbanisasi melebihi 80% mengalami pola dan kadar migrasi yang lebih seimbang berbanding negara-negara sedang membangun dan kurang membangun. Situasi ini adalah digambarkan oleh kadar purata pertumbuhan penduduk bandar yang rendah sehingga menghampiri sifar berikutan tiada sumbangan signifikan oleh migrasi.

    Migrasi-migrasi yang utama adalah migrasi penduduk iaitu perpindahan atau penghijrahan seseorang dari sesuatu tempat ke tempat yang lain, migrasi antarabangsa adalah penghijrahan penduduk dari satu negara ke negara lain. Migrasi dalaman pula perpindahan tempat tinggal secara kekal atau sementara dalam sesebuah negara. Migran adalah orang yang berhijrah ke sesuatu tempat. Dalam kajian ini, akan mengkaji migrasi penduduk di daerah Meradong, Sarawak. Rasionalnya kajian ini dilakukan bagi mendedahkan migrasi yang berlaku di kawasan berkenaan sama ada dalam kalangan penduduk setempat atau penduduk asing.

 

 

 


 

 Sarawak atau dikenali sebagai Sarawak bumi kenyalang merupakan salah satu negeri daripada 14 buah negeri (termasuk wilayah persekutuan yang membentuk Malaysia) Sarawak merupakan negeri yang terbesar di Malaysia dengan keluasan kira-kira 124449.51 km persegi yang terletak di Pulau Borneo iaitu di Malaysia timur. Sarawak berada dalam kawasan tropika dengan iklim khatulistiwa yang panas dan lembap sepanjang tahun. Sarawak mempunyai 11 bahagian keseluruhannya iaitu Kuching, Sri Aman, Sibu, Kota Samarahan, Bintulu, Mukah dan Betong. Setiap bahagian ditadbir oleh seorang residen dan dibahagikan kepada dua atau empat kawasan. Sarawak dipisahkan sejauh 600km dari Semenanjung Malaysia oleh Laut China Selatan di sebelah barat dan bersempadan dengan negeri Sabah di timur laut kesultanan Brunei di utara dan Kalimantan, Indonesia di sebelah timur. Daerah Meradonng merupakan daerah yang terkecil di Sarawak. Ibu kota Daerah Meradong ialah Bintangor. Daerah ini telah wujud sebelum tahun 1984 dengan nama Daerah Binatang. Daerah Meradong dengan Bintangor ialah lebih kurang 25 kilometer. Mengambil masa yang singkat untuk sampai di sana jika menggunakan kereta iaitu tidak sampai setengah jam jika kadar kelajuan kereta yang dibawa melebihi 60km/j. penduduk di Daerah Meradong giat menjalankan aktiviti ekonomi seperti pertanian, perladangan, dan penternakan.

 Migrasi yang berlaku di daerah Meradong adalah Migrasi Penduduk. Umumnya, migrasi dilakukan kerana alasan ekonomi iaitu bagi mendapatkan pekerjaan dan pendapatan yang lebih tinggi bagi menampung kehidupan rentetan taraf hidup yang semakin tinggi dewasa ini. Hukum model gravity yang juga dikenali sebagai model interaksi kawasan Lowry telah diperkenalkan oleh Ravenstein pada tahun 1885 (Harris 2001; Saad, Fatimah &Sofia 2010) dan menurut Ravenstein, berhijrah adalah untuk memperbaiki taraf. Hokum model graviti ini mengambil kira aspek saiz penduduk di kawasan asal, saiz penduduk di kawasan destinasi serta antara kedua-dua kawasan di samping perbezaan migrasi antara kumpulan manusia (Harris 2001; Saad et al, 2010) serta mengandaikan aliran migrasi adalah berhubung secara langsung dengan penduduk namun berhubungan songsang dengan jarak (Saad et al, 2010). Majoriti masyarakat yang melakukan migrasi di daerah Meradong ini adalah demi kepentingan ekonominya. Dalam ilmu ekonomi regional tenaga kerja akan cenderung melakukan migrasi dari daerah dengan kesempatan kerja kecil dan upah rendah ke daerah dengan kesempatan kerja besar dan upah tinggi. salah satu jenis migrasi penduduk di daerah Meradong ialah migrasi masuk. Kebanyakan penduduk yang melakukan migrasi masuk ini ialah penduduk asing. Misalnya dari Indonesia dan Bangladesh. Mereka melakukan migrasi ke daerah ini dari kawasan bandar. Selain itu, terdapat juga migrasi keluar yang berlaku di daerah ini. Penduduk tempatan melakukan migrasi keluar iaitu berpindah keluar dari daerah ke bandar misalnya.

   Faktor utama yang menyebabkan berlakunya migrasi di daerah ini ialah faktor pekerjaan. Penduduk setempat selalunya akan melakukan migrasi keluar bandar bagi mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan pendapatan yang lebih tinggi berbanding di kawasan tersebut. Contohnya, penduduk tempatan berpindah ke bandar kerana dinaikkan pangkat dan terpaksa berpindah ke cawangan atau perusahaan yang lebih besar dibandar. Selain itu, banyak yang bekerja sebagai seorang pendidik dan diberikan tanggungjawab untuk mengajar di kawasan bandar atau ke kawasan pedalaman lebih-lebih lagi. Di kawasan pedalaman elaun yang diberikan lebih tinggi berbanding kawasan bandar dan luar bandar dan kos hidup di tempat tersebut lebih rendah. Contohnya adalah dari daerah meradong ke bandar sibu, dari daerah meradong ke song.

 


 Faktor yang turut mempengaruhi migrasi yang berlaku di daerah Meradong ini ialah faktor pendidikan. Ramai remaja yang melanjutkan pelajaran di Universiti-Universiti awam serta kolej kemahiran untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka. Mereka melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat penjian tinggi seperti dari daerah Meradong ke Kuching, Sarawak iaitu di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Namun migrasi ini hanya sementara dimana mereka hanya menetap di tempat pengajian tersebut sepanjang tempoh pengajian sahaja. Migrasi yang berlaku di daerah Meradong ini juga disebabkan oleh faktor perkahwinan. Dimana pasangan yang sudah berkahwin terpaksa berpindah mengikut pasangan masing-masing sama ada menetap di daearah ini tau berpindah ke tempat lain. Namun majoriti pasangan yang yang telah berkahwin lebih memilih untuk tinggal dibandar kerana karier mereka.

 


 Kesan daripada Migrasi yang berlaku di daerah Meradong ini memberikan kesan positif dan juga kesan negatif kepada kawasan yang dituju dan kesan ke atas kawasan asal. Antara kesan positif kepada kawasan asal adalah tanah pertanian dapat dikerjkan dengan lebih ekonomik tanpa menggunakan tenaga kerja yang ramai dan hasil yang diperolehi akan lebih banyak oleh setiap petani. Hal ini kerana kurang saingan tempat pertanian dan menggunakan tenaga kerja ahli keluarga sendiri tanpa mengeluarkan modal upah untuk mendapatkan tenaga kerja asing atau tempatan. Migrasi ini juga meningkatkan pembangunan sumber alam. Migrasi masuk penduduk ke kawasan ini menyebabkan pertambahan tenaga buruh yang mencukupi bagi menjana dan membangunkan sumber-sumber alam yang ada. Selain itu, masalah pengangguran di daerah Meradong dapat dibendung kerana penduduk yang menganggur berpindah ke bandar bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Berikutan daripada senario tersebut masalah sosial juga dapat dikurankan di daerah tersebut misalnya rompak, ragut, jenayah siber, dadah dan sebagainya. Disamping itu, migrasi yang berlaku ini juga dapat menyelesaikan masalah lebihan penduduk yang mengurangkan kesesakan dalam daerah ini dimana daya tampung dikawasan ini akan lebih mencukupi. Tekanan kependudukan dan sumber alam di daerah Meradong yang agak padat dapat dikurangkan melalui migrasi penduduk migrasi keluar penduduk. Dari segi impak negatif kepada kawasan asal ialah pengurangan golongan professional. Penghijrahan keluar para professional atau tenaga pakar akan merugikan kerana pihak kerajaan telah banyak melaburkan duit untuk pendidikan mereka. Migrasi yang berlaku ini juga menyebabkan lebihan sumber alam kerana banyak tanah terbiar disebabkan golongan belia majoriti memilih untuk migrasi ke bandar. Malah berlaku ketidakseimbangan jantina di daerah ini kerana kebanyakan kaum lelaki berhijrah ke bandar dan kaum wanita menetap di daerah ini sahaja lebih-lebih lagi wanita yang berstatus suri rumah sepenuh masa. Hal ini menyebabkan tenaga kerja lelaki berkurangan. Pencemaran dan kerosakan sumber alam juga merupakan kesan kepada migrasi dimana penghijrahan penduduk telah meningkatkan kadar pencemaran di tempat destinasi migrasi. Secara tidak langsung bilangan kenderaan turut meningkat yang menyebabkan pelepasan gas-gas berbahaya seperti karbon monoksida. Keadaan ini meningkatkan lagi indeks pencemaran udara. Sumber air khusunya akan tercemar akibat pembuangan sisa domestic seperti sampah oleh penduduk lebih-lebih lagi di kawasan setinggan. Kerosakan sumber alam pula kejadian tanah runtuh dan hakisan yang sering berlaku di bandar akibat aktiviti pembangunan yang pesar bagi tujuan pembinaan petempatan untuk menampung pertambahan penduduk.

Kesimpulannya, migrasi merupakan perpindahan penduduk dari satu kawasan ke kawasan yang baru dengan tujuan untuk menetap. Masyrakat yang melakukan migrasi ini biasanya disebut sebagai masyarakat migran. Migrasi yang giat berlaku di daerah Meradong, Sarawak ini ialah migrasi keluar penduduk dan migrasi masuk penduduk yang berlaku sejak dahulu lagi. Mereka melakukan migrasi atas beberapa faktor iaitu faktor pekerjaan bagi mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi terutamanya di kawasan bandar, faktor pendidikan bagi meningkatkan kualiti pendidikan migran terutamanya golongan remaja agar mereka dapat menyediakan masa depan yang lebih baik dikemudian hari dan faktor perkahwinan yang terpaksa mengikut pasangan masing-masing berpindah ke tempat yang baru untuk membina kehidupan yang baru dan lebih baik. Rentetan daripada migrasi yang berlaku di daerah ini ianya telah mendatangkan impak positif dan juga negatif. Kesan positifnya ialah tanah pertanian dapat dikerjakan dengan lebih ekonomik, masalah pengangguran dapat diatasi, menyelesaikan masalah lebihan penduduk. Kesan negatif pula adalah tekanan sumber alam, kerosakan sumber alam, ketidakseimbangan jantina penduduk dan pencemaran alam sekitar. Setiap kawasan pasti akan ada berlakunya migrasi sama ada masuk atau keluar atas faktor tertentu dan ianya sesuatu yang berada di luar kawalan kerana kita tidak dapat memaksa atau mengarahkan seseorang individu itu untuk melakukan penhijrahan.


 

 

 

 

Thursday, December 30, 2021

KESAN TANAH RUNTUH TERHADAP SEKTOR PERNIAGAAN DAN PETEMPATAN DI PEKAN PASIR MAS, KELANTAN.

 

PENGENALAN

Tanah runtuh merupakan salah satu kejadian bencana geogelogi yang berlaku secara semula jadi atau dipengaruhi oleh faktor perbuatan manusia yang menjalankan aktiviti yang bertujuan untuk pembangunan. Proses kejadian tanah runtuh ini berlaku apabila pergerakan tanah tinggi yang tidak stabil bergerak ke Kawasan rendah sama ada berlaku secara cepat ataupun perlahan akibat tindakan graviti tanah. Kejadian tanah runtuh yang berlaku secara kecil-kecilan kurang memberikan risiko yang merbahaya kepada alam sekitar tetapi jika berlaku secara besar-besaran boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan manusia yang mengakibatkan bencana yang membawa maut dan kemusnahan di sesuatu Kawasan. Kejadian tanah runtuh juga merupakan salah satu proses hakisan tanah yang dipengaruhi oleh ketidakstabilan tanah. Ini menjadai masalah utama yang menjadi isu di beberapa buah negara terutamanya Kawasan tanah tinggi yang terdedah dengan Kawasan yang berisiko gempa bumi dan berdekatan dengan gunung berapi.

Rajah 1: Kejadian tanah runtuh di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan.

Isu tanah runtuh ini telah berlaku di Kawasan tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pohon Celagi di Pasir Mas yang berlaku pada 17 Februari 2021. Kejadian ini berlaku apabila pergerakan tanah dikesan pada jam 2:30 pagi dan mulai runtuh pada jam 6:30 pagi. Kejadian ini membawa kesan yang buruk kepada penduduk di Kawasan berdekatan. Kira-kira 50 penduduk kampung itu yang sedang nyenyak tidur dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat apabila tebing sepanjang 200 meter berhampiran rumah mereka runtuh. Runtuhan itu turut mengakibatkan sebuah rumah runtuh manakala beberapa rumah lagi terjejas dan hampir runtuh namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Rajah 2: Detik berlaku tanah runtuh di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan.

Proses kejaadian ini berlaku  Pergerakannya adalah dari zon tinggi ke zon rendah, mengikut tarikan graviti di sepanjang cerun. Pergerakannya boleh disertai oleh pembawa seperti aliran air. Proses tanah runtuh melibatkan pergerakan tanah runtuh atau tanah dari kedudukan yang tidak stabil, dan berlaku dengan cepat atau perlahan di bawah tindakan graviti.Ia merupakan salah satu proses tanah runtuh yang disebabkan oleh ketidakstabilan tanah. Ia merupakan salah satu proses pereputan tanah yang disebabkan oleh ketidakstabilan tanah.Pergerakannya bertindak balas terhadap pergerakan graviti dari tempat yang tinggi ke tempat yang bercerun rendah.Pergerakannya boleh disertai atau tidak disertai oleh pembawa seperti aliran air.

Rajah 3: Keadaan tanah runtuh di Cerun Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan

Pergerakan tanah runtuh pada asasnya boleh dibahagikan kepada batu atau kerikil yang jatuh, tanah runtuh atau kerikil, kerikil atau lumpur, dan gelongsor ais. Bukit-bukit dikhususkan untuk pembinaan jalan raya atau bangunan. Letusan gunung berapi atau larian air bawah tanah. Ini adalah proses semula jadi di mana tekanan menyebabkan bahan tanah bergerak untuk menyusun semula menjadi lebih stabil. Komposisi tanah runtuh boleh terdiri daripada sedimen bersaiz lumpur, batu pasir, kerikil dan kerikil atau jisim batu. Bahan batuan yang bercampur dengan tanah dipanggil detritus atau kerikil. Adalah dipercayai bahawa bahan-bahan ini akan gagal untuk pelbagai sebab. Kandungan bahan gagal ini boleh mencecah 1,000,000 meter padu dan menyebabkan kerosakan besar-besaran di kawasan sekitar.


Rajah 4: Kejadian tanah runtuh yang melibatkan beberapa buah rumah rosak di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan

Menurut hasil penelitian, punca yang dikenal pasti disebabkan oleh aliran deras air Sungai Kelantan ke arah tebing  sungai yang melengkung di Kawasan kejadian. Keadaan Sungai Kelantan yang deras dan keruh menjadi punca utama hakisan berlaku di bawah cerun yang menyebabkan tanah di Kawasan tebing terhakis oleh aliran dan menyebabkan tanah hilang tapak yang kukuh untuk berdiri yang menyebabkan pergerakan tanah di atas cerun yang berat jatuh ke bawah. Tanah yang berada di atas cerun terdapat kediaman penduduk di Kawasan tersebut menyebabkan tanah tidak dapat menampung dan runtuh bersama tanah ke bawah cerun di Kawasan tersebut. Keadaan ini juga disebabkan oleh kejadian hujan yang beerterusan, telah menyebabkan Kawasan tidak stabil dan aliran air yang berlebihan menyusup masuk ke bawah permukaan bumi dan menyebabkan tanah permukaan bumi semakin lemah. Diatmabh pula keadaan cerun yang tidak stabil menyebabkan sejumlah bahan bumi bersama rumah kedaiaman terlibat dengan kejadian runtuh.  Keadaan ini menyebabkan pergerakan tanah dari atah cerun jatuh ke bawah cerun.

Rajah 5: Jalan ditutup di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan.

Terdapat juga jalan di Kawasan tersebut rosak dan terpaksa ditutup bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh yang lebih membahayakan penduduk dan pengguna di sekitar.  Pengaliran air yang teramat deras di Kawasan tersebut menghakis tanah atau lapisan atas yang menyebabkan berlaku hakisan di cerun yang mengundang kepada kejadian tanah runtuh ini. Proses ini juga berlaku kerana kegagalan kestabilan cerun itu dilakukan. Kawasan berdekatan iaitu Dataran Air Muleh untuk tujuan pelancong atau penduduk melihat keadaan air sungai dan ia merupakan pusat tarikan pelancong terpaksa ditutup. Kejadian ini menybabkan Sebagian peniaga yang membuka kedai di sekitarnya mengalami kerugian. Kerajaan juga menangung kerugian yang besar akibat menyumbangkan bantuan sewa bulanan kepada mangsa yang mendiami kediaman berdekatan Kawasan tersebut. Hal ini memberi kesan kepada peniaga dan penduduk di sekitarnya.

Keadaan muka bumi di Kawasan runtuhan cerun berlaku juga menyebabkan perubahan landskap. Rekahan-rekahan di jalan kecil Kawasan kediaman juga tampak serius. Kejadian ini juga dilaporkan berpunca daripada aktiviti korek pasir yang giat dijalankan di Kawasan berkenaan bagi tujuan ekonomi. Kawasan tersebut juga menjalankan penebangan pokok dan tumbuhan untuk tujuan pembinaan rumah di Kawasan tersebut dan juga membina simen yang bertujuan untuk tarikan pelancong. Tumbuhan yang berkurangan yang mempunyai fungsi akar untuk menguatkan tanah dan mestabilkan tanah menjadi punca juga yang berlaku di Kawasan berdekatan.

Rajah 6: Aktiviti korek pasir di Pasir Mas, Kelantan

KESAN TERHADAP SEKTOR PENIAGAAN DAN PETEMPATAN DI PASIR MAS KELANTAN

PREMIS PERNIAGAAN DITUTUP

Kejadian tanah runtuh di tebing cerun  Kampung Pohon Celagi Pasir Mas Kelantan menyebabkan premis terpaksa ditutup atau dipindahkan ke Kawasan lain. Salah sebuah restoran yang terkena tempias ini iaitu salah sebuah premis yang tershihir iaitu Restoran Alisya yang merupakan premis tarikan pengunjung Pasir Mas kerana terdapat beraneka menu yang menarik dan juga tarikan taman berdekatan menarik lebih ramai pengunjung yang menikmati selera berdekatan dengan sungai. Restoran ini tidak beroperasi semenjak berlakunya kejadian tanah runtuh pada 17 Februari 2021 sehingga kini. Beberapa premis yang berdekatan juga terpaksa ditutup dan tidak dibenarkan beroperasi bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh akibat pergerakan tanah yang tidak stabil. Penutupan kedai yang menjadi punca pencarian menjejaskan perniagaan penduduk di sekitar tersbut.

Rajah 7: Restoran Alisya Tomyam yang ditutup di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan.

KEMEROSOTAN EKONOMI

Kejadian ini juga menyebabkan beberapa sector ekonomi tidak dapat dijalankan termasuklah aktiviti korek pasir yang dijalankan di Pasir Mas kerana disyaki menyebabkan punca tanah runtuh yang berlaku di Kawasan tersebut. Selain daripada itu, kegiatan ekonomi yang kurang dijalankan akibat kejadian ini menjejaskan sumber pendapatan dan sumber ekonomi penduduk. Terdsapat juga premis perniagaan yang terpaksa ditutup disebabkan kejadian yang berlaku di sekitar Dataran Air Muleh yang mengundang Tanah Runtuh berlaku. Ini menelan kos yang tinggi untuk membaik pulih Kawasan yang terlibat. Ini sedikit sebanyak mengganggu ekonomi sesebuah negara dengan anggaran perbelanjaan mencecah jutaan ringgit yang terpaksa dikeluarkan oleh negara.

Rajah 8: Penutupan jalan di sekitar Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan.

KOS BAIK PULIH MENINGKAT

Trajedi ini meningkatkan kos baik pulih yang terpaksa kerajaan keluarkan bagi membaik pulih Kawasan yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh. Kerajaan juga diperuntukkan perbelanjaan besar untuk membaik pulih dan terpaksa menanggung kos sewa rumah bagi penduduk yang terpaksa dipindahkan ke Kawasan lain. Kerajaan pusat juga menanggung RM500 sebulan selama enam bulan kepada mangsa yang terlibat dengan pemindahan dan termasukklah memperuntukkan kira-kira dengan kos anggaran sebanyak RM60 juta yang melibatkan kerja pemulihan di Kawasan tebing dan pengambilan tanah baharu di Kawasan terbabit. Ia juga mengambil masa selama enam bulan untuk proses membaik pulih berdasarkan cadangan daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali. Beliau juga menyatakan bahawa pembaikpulih ini merangkumi pembinaan semula rumah pam saliran Air Muleh termasuk mekanikal dan elektrikal dengan anggaran kos RM1.5 juta.

PENDUDUK HILANG TEMPAT TINGGAL

Tragedi ini menyebabkan kerosakan rumah penduduk di Kampung Pohon Celagi dan diarahakan berpindah dengan segera. Kejadian mengejut luar jangkaan menyebabkan penduduk sekitar hilang tempat tinggal asal mereka. Kebanyakan penduduk yang tinggal berdekatan itu terdiri daripada warga emas yang telah bertahun-tahun tinggal di Kawasan tersebut. Dalam insiden ini, seramai 50 penduduk daripada 15 keluarga terpaksa dipindahkan ke Kawasan lain susulan kejadian berlaku.

Rajah 9: Kerosakan rumah di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan.

KEROSAKAN INFRASTRUKTUR

Runtuhan tanah yang berlaku juga meruntuhkan jaringan pengankutan seperti jalan raya yang berhampiran Kawasan tersebut. Kerosakan ini menyebabkan kenderaan tidak boleh lalu Lalang di Kawasan tersebut kerana diarahkan segera untuk ditutup. Kerosakan berlaku kira-kira 200 meter berhampiran dengan tebing berdekatan Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan. Pada peringkat awal kejadian ini berlaku apabila jalan tersebut runtuh dan berlubang akibat hakisan dan runtuhan tanah yang berlaku di Kawasan tebing tersebut. Ini menyebabkan sistem pengankutan terjejas apabila laluan di Kawasan tersebut disekat. Pembangunan infrastruktur ini terjejas dan memakan ratusan ringgit atau mencecah jutaan ringgit untuk membaik pulih. Keadaan ini menyebabkan halangan masyarakat untuk bergerak ke Kawasan tersebut apabila berlaku bongkah batu runtuh dan menghalang laluan kenderaan keluar masuk ke dalam Kawasan tesebut. Hal ini menjejaskan aktiviti ekonomi di Kawasan tersebut.

Rajah 10: Kerosakan jalan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan.

HARTA BENDA PENDUDUK TERJEJAS

Kejadian yang berlaku memberi kesan kepada harta benda penduduk di sekitar Kampung Pohon Celagi yang mengalami kehilangan harta benda seperti rumah dan peralatan penting dan bernilai yang terdapat di dalam rumah yang tidak sempat diangkut. Kejadiaan ini juga melibatkan kerugian harta benda apabila terdapat penduduk yang tidak sempat mengalihkan kenderaannya dan dibiarkan di Kawasan runtuhan tersebut. Semasa kejadian, terdapat kereta Perodua Myvi yang tidak sempat diselamatkan. Kerugian ini dialami oleh penduduk yang mendiami Kawasan tersebut. Namun tiada kematian yang dicatat semasa kejadian itu berlaku. Kejadian ini menyebabkan beberapa buah rumah roboh bersama tanah yang merosakkan kediaman penduduk setempat. Terdapat juga penduduk yang tidak sempat memindahkan barangan mereka akibat kejadian yang berlaku secara pantas. Ini memberi kesan yang dalam kepada penduduk yang hilang harta benda dengan sekelip mata.

 

Rajah 11: Keadaan Kereta Produa Myvi yang ditinggalakan insiden kejadian tanah runtuh di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan.


DAPATAN ANALISIS BORANG SOAL SELIDIK

Borang soal selidik diedarkan kepada 20 orang penduduk di kawasan Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan untuk mengumpulkan maklumat berkaitan tanah runtuh yang berlaku di kawasan tersebut. Borang soal selidik ini mengandungi 10 soalan berkaitan dengan faktor dan kesan berlaku tanah runtuh di kawasan tersebut.

Semua responden iaitu 20 orang penduduk bersamaan 100% bersetuju dengan menjawab ‘Ya’ bahawa keadaan graviti tanah yang tidak stabil punca berlaku tanah runtuh di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan. Hal ini kerana pergerakan tanah berlaku semasa berlaku tanah runtuh yang dipengaruhi graviti tanah yang tidak stabil di bahagian cerun.



Berdasarkan soalan 2, rata-rata responden seramai 19 orang bersetuju bersamaan dengan 95% dengan menjawab ‘Ya’ manakala hanya seorang responden bersamaan 5% tidak bersetuju dengan menjawab ‘Tidak’ bahawa tanah runtuh disebabkan oleh luluhawa yang berlaku di tebing sungai Kelantan akibat agen luluhawa iaitu arus air sungai yang deras menghakis bawah permukaan tanah yang mendorong berlaku tanah runtuh akibat hakisan bawah tanah.



Majoriti responden menjawab ‘Ya’ iaitu seramai 20 orang responden bersamaan 100% bersetuju bahawa insiden tanah runtuh berlaku akibat kejadian hujan lebat. Hal ini berkait rapat memandangkan kejadian tersebut berlaku pada musim tengkujuh yang meningkatkan air sungai yang deras yang menggalakkan hakisan sungai ke arah tebing sungai berlaku.


 

Semua responden terdiri 20 orang penduduk bersamaan 100% bersetuju bahawa kejadian tanah runtuh disebabkan oleh hakisan yang giat berlaku akibat aliran deras Sungai Kelantan yang memecahkan tanah di bahagian bawah permukaan bumi dan tebing yang menjadi faktor utama kejadian ini berlaku. Rata-rata responden juga bersetuju dengan pernyataan ini.



Berdasarkan pungutan data daripada responden, semua responden yang terdiri daripada 20 orang penduduk bersamaan 100% bersetuju dengan menjawab ‘Ya’ bagi pernyataan bahawa aktiviti korek tanah yang dijalankan di cerun menyebabkan berlaku tanagh runtuh.

Berdasarkan soalan 6, semua responden bersetuju bahawa penebangan pokok yang berlaku di kawasan Kampung Pohon Celagi menyebabkan tanah tiada akar yang mencengkam tanah dan longgar yang terdedah dengan kejadian tanah runtuh. Semua responden iaitu 20 orang bersamaan 100% bersetuju dengan memilih jawapan ‘Ya’.


Majoriti responden iaitu 19 responden bersamaan 95% menjawab 'Ya' manakala seorang responden bersamaan 5% menjawab 'Tidak' berdasarkan pernyataan bahawa kesan tanah runtuh menjejaskan jaringan pengangkutan kawasan berdekatan.


Majoriti responden menjawab ‘Ya’ iaitu seramai 19 responden bersamaan 95% manakala seorang responden menjawab ‘Tidak’ bersamaan 5% bagi pernyataan bahawa tanah runtuh menyebabkan kos penduduk semakin meningkat apabila terpaksa mengeluarkan kos berbelanja untuk berpindah kediaman baru dan kerugian harta benda yang berlaku.



Semua responden bersetuju dengan seramai 20 responden menjawab ‘Ya’ bagi pernyataan bahawa kejadian tanah runtuh menjejaskan petempatan penduduk di sekitar cerun tersebut kerana terdapat 50 penduduk yang terpaksa berpindah dari kediaman mereka dan terdapat rumah yang rosak akibat insiden tersebut.



Berdasarkan soalan 10, semua responden bersetuju dengan menjawab ‘Ya’ seramai 20 orang bersamaan 100% bahawa tanah runtuh ini menjejaskan sebilangan kecil penduduk yang menjalankan perniagaan atau yang membuka premis di kawasan berdekatan.

KESIMPULAN

Kejadian tanah runtuh di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan ini memberi kesan kepada sektor perniagaan dan petempatan yang terjejas. Kesan yang berlaku termasuklah penutupan premis perniagaan, peningkatan kos membaik pulih, keroskan harta benda penduduk, kehilangan kediaman penduduk setempat, kerosakan jalan raya yang berlaku dan kemerosotan ekonomi boleh berlaku apabila menelan kos perbelanjaan untuk membaik pulih mencecah jutaan ringgit. Punca kejadian ini juga disebabkan oleh keadaan gravity, kejadian luluhawa yang pesat, hujat yang lebat, hakisan daripada aliran deras sungai Kelantan dan aktiviti manusia yang menjalankan penebangan pokok untuk tujuan pembinaan petempatan dan aktiviti korek tanah yang bertujuan untuk ekonomi. Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah mengambil langkah-langkah yang efisien bagi membendung kejadian ini daripada berulang.

RUJUKAN

http://www.ukm.my/zuhairi/Pengajaran/internet_projects/stag3072/Kump%203/Web-hlmn%20utma.htm

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lebih-50-penduduk-dipindahkan-dalam-insiden-tanah-runtuh-di-pasir-mas-283324

https://www.scribd.com/presentation/80339767/Tanah-runtuh

https://www.scribd.com/document/93768222/Geo1-Kejadian-Tanah-Runtuh

 

NAMA: PUTRIE BALQIS BINTI MOHAMAD TAJUDDIN

NO MATRIK: D2******184

KUMPULAN: C